Keibubapaan

Elak Komplikasi, Kaki Adik Mas Siti Rosnani Terpaksa Dipotong Dalam Nahas Tragis

Share

Bagi yang mengikuti berita 4 bersaudara yang kemalangan ketika hendak ke sekolah pastinya menantikan berita terkini tentang mereka ini. Khabar terkini,  adik  Mas Siti Rosnani Rosli, 7,  salah seorang mangsa daripada 4 bersaudara itu disahkan terpaksa dipotong kaki akibat komplikasi yang dialami.

Mas Siti Rosnani Terpaksa Dipotong Kaki Akibat Komplikasi

Kanak-kanak perempuan, adik Mas Siti Rosnani Rosli yang terbabit dalam kemalangan berkenaan, selesai menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke paras paha bagi mengelak komplikasi serius.

Nadzri Abdullah, 51, berkata, anak saudaranya itu  kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi pemantauan lanjut.

“Kaki kanan anak saudara saya terpaksa dipotong selepas berlaku pembekuan darah selain tisu dan isi daging pada bahagian kaki berkenaan sudah mati, selain mengelakkan komplikasi yang lebih serius terhadap keadaannya,” katanya ketika dihubungi.

Keadaan Mangsa Lain Dalam Nahas

Nadzri berkata, seorang lagi anak saudaranya, Muhammad Muskir Rosli, 14, dijadual menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, hari ini.

“Muhammad Muskir cedera parah apabila tulang paha kanan hancur dan perlu dimasukkan besi pada bahagian kaki berkenaan manakala dua lagi cucu saudara saya, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di HSIP, Kuala Krai,” katanya.

Nadzri turut berharap orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih mengenai keadaan anak saudara dan cucu saudaranya yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Saya berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan mereka,” katanya.

Kemalangan Membabitkan Empat Bersaudara

Media semalam melaporkan, empat bersaudara yang dalam perjalanan ke sekolah parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor, berkata siasatan awal mendapati kereta Honda Jazz dipandu guru wanita berusia 39 tahun dari arah Machang menghala ke Kuala Krai sebelum berlanggar dengan motosikal Honda C100 yang dinaiki semua mangsa dari arah bertentangan.

Artikel berkaitan: Empat Bersaudara Parah Rempuh Kereta Guru Ketika Ke Sekolah

Sumber: Berita Harian 

Published by
Nor Yusoff