Pelakon Elisya Sandha yang kini sedang hamil enam bulan berkongsi keadaan dirinya yang mengalami alahan teruk bagi kehamilan keduanya ini.
Tambah Elisya lagi, alahan yang dialaminya turut menjejaskan ibadah puasanya pada Ramadan kali ini.
Berbeza kandungan pertamanya, kata Elisya dia bersyukur kerana dapat berpuasa penuh.
“Sebenarnya ketika saya mengandungkan Bunga sebelum ini, saya dapat berpuasa penuh. Tak tinggal satu hari pun. Saya sangat gembira kerana itu memang sasaran saya pada waktu itu.
“Tapi pada kehamilan kali ini, jika lihat pada gaya, saya rasa tak mampu nak berpuasa penuh tapi saya akan tetap cuba.
Ads
“Kali ini, saya cepat penat dan ada alahan yang agak teruk,” katanya berkongsi cerita.
Tambah ibu kepada si comel, Bunga Elhaq ini lagi, proses kehamilan keduanya ini agak mencabar berbanding kehamilan pertamanya pada tahun 2022.
“Cuma kali ini alahan teruk juga. Perut saya agak kecil walaupun dah enam bulan tapi digantikan dengan alahan, bengkak kaki dan mudah penat.
“Kalau berjalan pun saya akan mudah penat,” ujarnya lagi.
Ads
Elisya berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media LXM Resources, yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berkongsi kisah jantina anak kedua, kata Elisya dia dan suami sepakat merahsiakan jantina anaknya itu dari pengetahuan keluarga.
“Jantina anak kita belum maklumkan lagi. Kita akan adakan majlis gender reveal selepas Hari Raya. Mak mentua saya pun belum tahu lagi. Cuma saya dan suami sahaja yang tahu.
“Buat masa ini, kami memang nak merahsiakan walaupun ibu mentua saya cuba korek,” tambahnya.
Terdahulu, Elisya dan suaminya mengumumkan bakal menimang anak kedua mereka pada penghujung tahun lalu. Pasangan ini turut dikurniakan dengan seorang cahaya mata perempuan, Bunga Elhaq.
Sebaik disahkan menghidap kanser payudara, dua tahun lepas, Wan Musfirah Aimi Wan Supian yang pada mulanya hilang arah, bangkit melawan takdir dan memastikan kegembiraan menyeliputi segenap ruang hidupnya.
Menceritakan detik permulaan Aimi disahkan kanser, menurutnya beberapa hari sebelum ujian dikeluarkan perasaan takut itu sememangnya tidak dapat di gambarkan. Jadi susah untuk tidur dan stres melampau sampai menjejaskan kesihatan dan fizikal. Jauh di sudut hati, Aimi dapat rasakan laporan yang dikeluarkan adalah positif kanser. Berbeza dengan suami yang lebih positif serta yakin Aimi sihat.
“Pada masa itu, saya mula memikirkan tentang apa yang saya perlu lakukan walaupun belum disahkan positif. Saya mahu lebih bersedia daripada segi mental dan fizikal. Bila bersedia dan mempunyai maklumat, saya lebih mudah untuk mengawal situasi, emosi suami dan anak-anak dan keluarga saya. Saya perlu bersedia, kuat dan tabah untuk mereka semua,” ujarnya.
Seperti yang disangka, telahan Aimi benar belaka. Doktor dengan tenang memaklumkan hasil keputusan biopsi yang dijalankan.
“Tepat sekali. Sangkaan saya benar. Doktor syak saya menghidapi kanser tahap dua berdasarkan saiz ketulan di dalam payudara yang diukur. Suami saya terkejut dan tidak percaya dengan apa yang doktor katakan. Mungkin sukar untuk dia menerima isterinya pesakit kanser. Saya sendiri payah nak percaya sedangkan selama ini, diri langsung tidak menunjukkan apa-apa tanda-tanda kanser. Saya diam seketika. Bisu, kelu, lidah seolah-olah beku untuk berkata-kata. Tiada kata-kata yang dapat difikirkan pada waktu itu. Walaupun bersedia, sudah berazam untuk kuat tetapi fikiran tiba-tiba jadi kosong,” cerita Aimi dengan nada yang sungguh tenang.
Biarpun begitu, Aimi sentiasa mengingatkan dirinya ia bukan penamat kehidupan. Doktor memberi semangat dan sangat serius dengan rancangan rawatan yang dirangka. Ia perlu dijalankan secepat mungkin sebelum menjadi lebih serius.
“Namun pada ketika itu, saya belum bersedia. Saya minta doktor beri saya sedikit masa untuk berbincang dengan keluarga dan majikan. Saya juga mahu selesaikan pelbagai urusan sebelum pembedahan dijalankan termasuklah menyambut hari jadi anak bongsu yang memasuki umur dua tahun pada tahun itu di Legoland kerana ia telah lama kami rancang. Percutian tersebut sedikit sebanyak membantu saya untuk menerima takdir dengan lebih mudah apabila dapat bergembira dan meluangkan masa bersama suami serta anak-anak. Saya langsung tak bersedih melihat anak-anak gembira,” cerita Aimi lagi.
Saat itulah, Aimi sedar bahawa kegembiraan keluarganya adalah segala-galanya. Secara tidak sedar, ia menjadi matlamat hidupnya sebagai pesakit kanser. Dia ingin berterusan melihat kegembiraan di wajah mereka dan berazam bahawa kanser yang dihidapi tidak akan dapat melemahkan semangat dan menarik kegembiraan dirinya sekeluarga.
Selepas menjalani pembedahan pada 15 Jun 2015, laporan CT scan mendedahkan berita buruk. Dalam tempoh enam bulan, sel kanser merebak ke paru-paru pula. Setelah berbincang dengan doktor, Aimi berbincang dan bersetuju untuk menjalani rawatan kemoterapi secepat mungkin.
“Pada 11 Ogos 2015 saya mulakan rawatan kemoterapi pertama. Syukur, saya tidak mengalami kesan sampingan yang melampau. Sepanjang tempoh kemoterapi, saya masih menjalankan kehidupan seperti biasa tapi perlu lebih banyak berehat supaya cepat sembuh dan bertenaga. Sepanjang rawatan saya membuat rawatan ‘terapi minda’ dengan bercuti ke beberapa buah tempat untuk mengalih perhatian terhadap kesakitan akibat kesan sampingan yang dialami.
Setelah tamat rawatan kemo keempat, doktor mengesahkan sel kanser di paru-paru hilang sepenuhnya dan impak daripada kemo itu membantu merawat sel-sel kanser yang telah merebak. Tidak lama selepas itu, saya memulakan rawatan hormone herceptin selama setahun. Rawatan ini melibatkan 17 kali pusingan. Kesan sampingannya tidak seteruk kemo tetapi tetap menjejaskan kesihatan. Demi kesihatan, saya teruskan mengikut jadual. Kos hormon terapi ini sangat mahal dan menelan kos sehingga RM180,000,” terang Aimi tentang rawatan yang di tempuhinya.
Sokongan luar jangkaan yang diterima Aimi adalah salah satu faktor dia mudah sembuh. Aimi juga langsung tidak sangka, selama ini dia dikelilingi insan-insan yang amat menyayanginya.
“Saya tidak akan tahu, rasa dan nampak semua ini jika saya tidak ditakdirkan sebagai pesakit kanser. Suami, anak-anak dan keluarga sentiasa mendoakan saya dan berusaha berbagai-bagai cara untuk pastikan saya sihat. Tidak lupa sokongan pihak majikan, bos, pengurus, rakan-rakan satu jabatan dan sekerja lain yang sering bertanya khabar. Bukan itu sahaja mereka juga turut membantu saya menyiapkan kerja serta sediakan makan minum ketika di pejabat apabila saya kurang sihat atau perlu rehat. Saya juga dibenarkan mengambil waktu kerja fleksibel di mana saya masuk awal ke pejabat dan pulang lebih awal.
Kawan-kawan amat istimewa bagi saya dan banyak membantu. Mereka bukan hanya teman untuk bergembira dan bersuka ria. Mereka sentiasa ada bila saya perlukan. Hashtag #prayforaimi adalah inisiatif kawan-kawan yang melakar pelbagai memori suka duka perjalanan saya sebagai pesakit kanser. Saya amat berterima kasih kepada mereka semua kerana telah menjadikan perjalanan hidup saya selama dua tahun ini sebagai sesuatu yang indah.
Suami pula sentiasa membuatkan diri saya penting untuknya. Tiada sedetik waktu pun dia mengecewakan saya. Tempoh perkahwinan kami masih terlalu awal dan belum puas kami untuk menikmati hidup bersama. Suami adalah sumber inspirasi saya untuk meneruskan kehidupan. Tidak sanggup saya melihat dia bersedih jika sesuatu berlaku ke atas diri saya,” luah Aimi yang sangat terharu dengan sokongan yang diperolehnya.
“Saya mula mengenali NCSM apabila dilantik sebagai Duta Larian Kanser untuk The Running Diva Malaysia 2016. Bermula dari situ, saya menyertai segala aktiviti yang dijalankan oleh pelbagai organisasi dan badan korporat yang bekerjasama dengan NCSM. Tujuan paling utama ialah menyebarkan maklumat sebanyak mungkin kepada golongan wanita tentang kanser payudara.
Sepanjang 2017, saya mempunyai beberapa program bersama NCSM. Saya bersyukur telah mendaftar diri sebagai sukarelawan dan dapat membantu masyarakat Malaysia tentang kesedaran kanser payudara. Saya tidak mempunyai harta yang banyak untuk disumbangkan tetapi melalui pengalaman yang ada, dapat saya kongsi bersama yang lain agar dapat membantu pesakit kanser mahupun yang terlibat dengan pesakit kanser.
Semoga saya diberi kesihatan berpanjangan. Dapatlah saya memberi lebih sumbangan untuk NCSM dan semua pesakit kanser agar sama-sama memberi semangat di antara satu sama lain dalam berjuang untuk meneruskan hidup bersama ahli keluarga masing-masing.”
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anda mungkin pernah terbaca atau mendengar perkataan ‘breastsleeping’ dan tertanya apakah ia sebenarnya. Ia bukan bantal penyusuan terbaru yang ada di pasaran tetapi ia ungkapan yang diberikan oleh pakar tidur, James McKenna, PhD, yang juga pengarah Mother-Baby Behavioral Sleep Laboratory di University of Notre Dame.
McKenna juga seorang pakar antropologi dan pakar terkenal tentang tidur bayi. Beliau banyak menghasilkan artikel dan kajian tentang kelebihan dan keselamatan ‘co-sleeping’. Salah satu artikel terbarunya yang disiarkan dalam jurnal pediatirk, Acta Paediatrica turut memaparkan tentang frasa ‘breastsleeping’.
‘Breastsleeping’ bermaksud menyusukan bayi semasa ibu dan bayi tidur. Maknanya ibu menyusukan bayi dengan susu ibu sangat digalakkan untuk berkongsi katil atau tidur bersama bayi sekali.
Mengapa pakar ini kata ia sangat bagus? Ini antara sebabnya.
1. Berkongsi katil dengan bayi yang disusukan adalah perkara biasa, normal dan sihat.
2. Ibu menyusu secara psikologi sudah biasa dengan bayi mereka, jadi ibu akan tidur tidak terlalu lena pada waktu malam supaya mudah terjaga sekiranya ada yang tidak kena pada bayi.
3. ‘Breastsleeping’ sangat bagus kepada ibu menyusu kerana ia dapat memastikan penghasilan susu ibu sangat tinggi sebab bayi yang tidur dengan ibu akan lebih kerap menyusu pada waktu malam, maknanya ibu akan menyusukan dalam tempoh masa lebih panjang.
4. Hubungan positif antara penyusuan lanjutan dan berkongsi katil kini semakin dipercayai di mana mereka yang mengamalkannya mengakui amalan tersebut banyak kebaikan.
5. ‘Breastsleeping’ sebenarnya menjamin ibu tidur lebih lena kerana walaupun bayi kerap bangun di tengah malam, tetapi bayi akan lebih mudah terlena semula dan sudah tentu ibu juga tak perlu berganjak dari katil untuk menjenguk bayi.
6. Tidur bersama bayi sekatil hanya dicadangkan kepada ibu yang menyusukan anak dengan susu ibu sahaja. Jadi tidak timbul isu bahaya kepada bayi. Ini kerana ibu menyusu lebih mudah terjaga berbanding ibu memberi bayi susu formula. (Ini bukan satu serangan kepada mana-mana pihak kerana menyusukan atau tidur dengan bayi adalah pilihan masing-masing).
7. Kajian mendapati bahawa berkongsi katil bukanlah satu risiko yang nyata jika dilakukan dengan selamat, dan selepas tiga bulan, berkongsi katil dengan bayi sebenarnya bersifat melindungi.
Jadi, ibu-ibu menyusukan bayi yang tidur sekatil dengan bayi, anda telah melakukan perkara yang betul dan tepat. Sememangnya ‘breastsleeping’ sangat bermakna bila anda menyusukan bayi.
Memang ia akan membuatkan anda kerap terjaga di tengah malam, tetapi percayalah selepas beberapa minggu, anda akan dapati mudah untuk memasukkan puting payudara ke dalam mulut si comel biarpun tanpa cahaya lampu dan paling penting anda berdua boleh tidur lena semula tanpa masalah.
Oleh itu jangan takut anda akan kekurangan tidur, bimbang keselamatan bayi atau perkara lain, kerana pakar tidur sudah membuktikan ia benar-benar berkesan dan selamat kepada ibu dan bayi (dengan syarat semua garis panduan keselamatan dipatuhi).
Yang penting, ibu menyusu tak perlu turun dari katil dengan mata yang mengantuk untuk memberi bayi susu!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau di kalangan masyarakat utara seperti Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak, ibu lepas berpantang sangat dilarang makan laksa, bahkan sampai tempoh setahun!
Menurut petua orang tua-tua, laksa termasuk dalam kategori makanan ‘sejuk’ yang akan membahayakan kesihatan badan ibu lepas bersalin seperti masalah angin dan bisa satu badan.
Dikatakan daun kesum dan bunga kantan yang digunakan dalam laksa akan menjadi punca kepada masalah bisa dalam badan. Lebih teruk kalau ibu yang makan akan mengalami bentan iaitu kesakitan yang menyebabkan badan rasa menggigil dan demam tak kebah.
Disebabkan takut terkena kemudaratan tersebut, ramai ibu lepas bersalin terutama dari negeri-negeri utara sangat berpegang pada kepercayaan ini.
Dr Rusyainie Ramli membidas kepercayaan mengarut yang menjadi tradisi pegangan ramai ibu lepas bersalin kerana katanya paling penting adalah mengamalkan pemakanan sihat sepanjang masa apatah lagi ketika lepas bersalin.
Baca penjelasan Dr Rusyainie ini sebagai panduan berguna, apa pun terpulang kepada masing-masing untuk mengikutnya atau tidak.
Apa lah yang kalian dengki sangat dengan LAKSA ni? Yang pelik, dengan laksa utara saja pula tu. Laksa lain takde pula gitu. Memang laksa utara ni musuh ketat ke apa?
Siap terangkan satu persatu kenapa tak boleh makan laksa sampai setahun lepas bersalin. Kalau dah beranak tiap tahun macam pesakit akak, 6 tahun kahwin, 5 anak dia, ikut pantang merapu kalian, tak sentuh laksa langsung la gamaknya dia.
1. Laksa dibuat dari beras. Rebus lah 100× pun takdenya lagi berangin. Laksa tak boleh. Bihun boleh? Tak ke aneh? Asalnya beras juga kan. Saiz saja lain. Pasta boleh ke tak wahai adik bawang? Ke tak boleh sebab kena rebus juga? Tolonglah. Kalau ikut logik kalian, nasi pun tak boleh makan ok. Habis nak makan apa? Kentang? Jagung?
2. Tulang ikan memang la tajam. Tak ke? Secara lahiriahnya memang tulang ikan tajam. Pernah tertelan tulang kan? Perit dan seksa kan. Ikan untuk buat laksa utara ni jenis sardin (selayang) atau kembung kan? Tinggi kandungan omega tu. Kalau dah direbus dengan periuk tekanan tinggi memang tulang ikan tu lembut. Tapi kalau rebus biasa, memang kita buang tulang ikan tu lah. Takdenya nak masukkan tulang tu kat kuah laksa kita masak tu. Logik mana adik bawang wei?
3. Daun kesum dan bunga kantan yang kita guna dalam kuah laksa tu gunanya nak kasi aroma dan rasa sedap la. Takde kesan apa pun dari segi bahan kimia dalam daun kesum atau bunga kantan pada badan kita setakat apa yang kita guna dalam kuah laksa. Tak payahlah mengarut sakit sendi la, sakit urat la, angin la bagai.
Akak dah tulis pasal angin dan urat. Tolong baca dan hadam. Dah tak payah nak sembang kencang kalau fakta ke laut.
4. Ni lah yang paling akak tak tahan ni. Timun sejuk? Memang sejuk la kalau bubuh dalam peti sejuk. Aduh. Mungkin sejuk juga sebab kandungan air dalam timun lebih kurang 95%. Jadi orang dulu-dulu kata timun tu sejuk. Akak pun tak pasti la kan.
Timun sebenarnya sejenis buah kalau ikut definisi sains. Tapi takde langsung fakta kata tak boleh makan timun sebab sejuk lepas tu nanti berangin. Mitos!
Kalau badan sakit lepas makan laksa tu kemungkinan besar TAKDE KENA MENGENA LANGSUNG. Selalunya kesan placebo saja. Sebab kita percaya sangat kepercayaan karut tu, maka jadilah kat kita. Takkan akak nak salahkan nasi goreng akak makan bila malam lepas akak makan tu, akak kena demam teruk dan otot habis sakit? Rupanya akak kena jangkitan virus Influenza A. Salah nasi goreng ke?
Dahlah. Ni zaman maju moden dah. Kenapalah masih berpegang pada cakap orang-orang tua yang tak ada asas sains macam kita yang dah pergi sekolah sampai universiti dah ni. Tolonglah.