Pelakon Izreen Azminda yang bakal melahirkan anak ketiga dalam masa terdekat ini memaklumkan dia bakal bersalin secara pembedahan sekali lagi.
Selepas dua kali melahirkan anak secara pembedahan caesarean, kata Izreen dia tiada pilihan lain apabila terpaksa melahirkan anak ketiganya menerusi kaedah yang sama.
Malah kata Izreen lagi, hal itu sudah diberitahu oleh doktor lebih awal memandangkan sejarah dua kelahiran anaknya yang bersalin melalui pembedahan.
“Anak pertama dilahirkan secara pembedahan, jika diikutkan saya mahu lahirkan bayi kedua secara normal. Namun, disebabkan kedudukannya melintang, saya tiada pilihan selain perlu dibedah.
“Saya juga tiada pilihan untuk anak ketiga ini. Mahu atau tidak, doktor memberitahu, saya perlu melahirkan anak secara pembedahan juga,” kata Izreen.
Bimbang sampai tak senang duduk
Ads
Izreen yang dijangka melahirkan bayi ketiganya sekitar minggu ini atau minggu hadapan turut meluahkan rasa kebimbangannya untuk melahirkan anak disaat negara berdepan pandemik Covid-19.
Malah kata Izreen lagi dia mula rasa risau dan kadangkala emosinya terganggu bila mana memikirkan ketakukan untuk bersalin di ketika pandemik. Pun begitu kata Izreen, apa yang dilakukannya hanyalah fokus untuk bersalin kelak.
“Memang takut dan bimbang, cuma saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Ibu mengandung emosinya mudah terganggu dan akan membuatkan saya tidak senang duduk.
“Jadi, cara terbaik adalah fokus pada kesihatan diri dan proses bersalin sahaja. Walaupun sudah cukup dua dos vaksin, saya mengambil langkah berjaga-jaga.
Ads
“Saya memang langsung tidak keluar rumah kecuali ke hospital untuk pemeriksaan bulanan. Jika terlalu bosan atau teringin sangat keluar rumah suami akan bawa berjalan-jalan pusing-pusing dalam kereta sahaja,” ujar Izreen.
Meskipun berasa bimbang, kata Izreen hatinya sedikit lega apabila melihat pihak hospital mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang agak ketat. Tambah pula dia bersyukur suami dapat menemaninya sepanjang bersalin nanti.
Terdahulu, Izreen mendirikan rumah tangga bersama pemuzik bebas, Ude pada Ogos 2017. Hasil perkongsian hidup bersama, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun. Izreen turut mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Adrian Umar, 8, menerusi perkahwinan pertamanya.
Ads
Menarik: Betul Ke Cara Mama Pakaikan Lampin Pada Bayi, Jom Baca Untuk Ketahui
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sumber: Kosmo Online & @izreen.azminda
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun sering diketepikan daripada diet moden, ikan kecil sebenarnya menyimpan khasiat besar khususnya buat ibu hamil, menyusu dan kanak-kanak.
Kajian kesihatan terkini mendapati, pengambilan ikan kecil bersama sayur-sayuran tempatan dan buah-buahan asli mampu membantu mengurangkan kadar kekurangan zat makanan sekaligus memberi kesan positif terhadap kesihatan ibu dan tumbesaran anak.
Menurut laporan kesihatan antarabangsa, kadar kekurangan zat makanan di kawasan luar bandar semakin berkurangan hasil daripada peningkatan penggunaan sumber kaya mikronutrien seperti ikan kecil, sayur dan buah tempatan. Kekurangan zat makanan antara punca utama masalah kesihatan serius seperti kebutaan kekal, kematian ibu hamil, bayi pramatang dan kelewatan perkembangan kanak-kanak.
Bekas Pengetua Kolej Perubatan Rangpur, Profesor Dr. Md Shariful Islam menjelaskan bahawa pengambilan ikan kecil seperti Mola, Darkina dan Dhela secara tetap memberi kesan besar terhadap imuniti serta perkembangan bayi dan kanak-kanak.
“Ikan kecil, sayur-sayuran dan buah-buahan asli mengandungi mineral serta vitamin penting seperti zat besi, kalsium dan asid folik yang membantu pertumbuhan otak sihat, menguatkan sistem imun dan menyokong perkembangan minda kanak-kanak,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa ramai masyarakat masih memandang remeh nilai pemakanan ikan kecil kerana saiznya yang kecil, sedangkan ia sebenarnya kaya dengan mikronutrien penting yang diperlukan tubuh.
“Pengambilan ikan kecil secara konsisten bukan sahaja memenuhi keperluan nutrisi, tetapi turut mengurangkan kadar kematian ibu dan kanak-kanak serta membantu menghapuskan masalah buta kekal akibat kekurangan vitamin,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pegawai Perikanan Daerah Rangpur, Mohammad Habibur Rahman Talukder, berkata pengeluaran ikan kecil semakin meningkat di kawasan seperti kolam, terusan, tanah lembap dan sawah, walaupun sumber air semakin berkurangan di wilayah utara.
“Masyarakat luar bandar kini lebih banyak memakan ikan kecil yang kaya dengan mikronutrien, dan langkah ini terbukti membantu mengatasi masalah kekurangan zat makanan,” katanya.
Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan makanan tempatan bukan sahaja membantu memperkukuh kesihatan komuniti luar bandar, malah turut membuka peluang ekonomi baharu kepada penternak dan pengusaha ikan kecil tempatan.
Walaupun kecil, nilai pemakanan ikan kecil ini sangat besar. Ia bukan sekadar lauk kampung, tetapi makanan bernutrisi tinggi yang mampu melindungi kesihatan ibu dan anak. Jadi, mulai hari ini, jadikan ikan kecil sebagai menu wajib di rumah — kecil saiznya, tapi besar khasiatnya!
Mungkin ada ibu yang beranggapan tidak perlu untuk melakukan scan bayi atau ujian imbasan dalam kandungan. Sebenarnya scan bayi dalam kandungan amat penting bukan sekadar untuk melihat wajah sahaja seperti yang sering difikirkan segelintir ibu hamil.
Berkenaan ujian imbasan atau scan bayi, apakah ada ujian imbasan khas yang perlu dilalui selain daripada ujian imbasan yang biasa dilakukan setiap kali melakukan pemeriksaan antenatal?
Semua wanita hamil perlu menjalani ujian imbasan nucheal transluscency pada minggu ke-11 hingga 14 bagi mengukur bahagian belakang bayi dalam kandungan. Cecair yang sangat tebal pada bahagian berkenaan boleh menjadi petanda bahawa bayi bermasalah.
Hasil kajian mendapati 50% mengalami masalah kromosom, 25% tidak dapat dijangka masalahnya, 10% bayi meninggal dunia dan 30% bayi lahir normal selepas ujian ini dilakukan.
Selain itu ujian amniosentosis boleh mula dilakukan selepas usia kandungan 15 minggu di mana jarum khas digunakan untuk mengambil air ketuban untuk pemeriksaan selanjutnya di makmal.
UJIAN MENENTUKAN KECACATAN KROMOSOM
Semasa kehamilan, wanita hamil mungkin perlu mengambil beberapa pilihan ujian termasuklah ujian saringan untuk mengenal pasti keabnormalan atau kecacatan kromosom. Walaupun kecacatan kromosom yang berlaku pada bayi belum lahir adalah jarang-jarang, namun kebanyakan ibu bapa dengan keadaan perubatan tertentu atau mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit keturunan adalah perlu untuk lebih berhati-hati.
Keabnormalan atau kecacatan boleh berlaku dengan perkembangan luar biasa kromosom itu sendiri, atau ia boleh termasuk satu atau lebih gen. Bayi tersebut tidak lahir dengan kecacatan tetapi kebanyakannya mewarisi gen abnormal daripada kedua-dua ibu dan bapa. Selalunya, jika bayi mendapat hanya satu gen abnormal, maka gen baik lain akan diambil alih oleh ibu bapa.
Kajian menunjukkan bahawa kecacatan kromosom menghuraikan lebih daripada separuh kes keguguran dalam trimester pertama. Kecacatan kromosom yang dikenali ditemui dalam 0.5 hingga 1 peratus pada kesemua bayi baru lahir yang hidup.
Contoh paling lazim kecacatan kromosom ialah Sindrom Down. Berbanding dengan mempunyai dua kromosom no. 21, individu yang terjejas dengan keadaan ini mempunyai tiga kromosom salinan. Sindrom Down menyebabkan IQ rendah dan ciri istimewa seperti anggota badan yang pendek dan mempunyai kedutan di sekitar mata.
Implikasi lain keabnormalan kromosom ialah kecacatan jantung. Bayi baru lahir yang mempunyai kromosom no. 13 tambahan (Sindrom Patau) atau no. 18 (Sindrom Edward) jarang sekali hidup selepas lahir. Keadaan-keadaan ini kurang diketahui umum berbanding Sindrom Down.
Apakah ujian yang digunakan untuk mengesan kecacatan kromosom?
Pemeriksaan serum
Jika doktor anda mengesan tanda-tanda luar biasa pada fetus anda, dia akan menjalankan pemeriksaan serum seperti ujian amniosintesis. Ujian ini hanya disarankan jika anda berisiko tinggi mendapat kecacatan kromosom. Walau bagaimanapun, mendapat risiko tinggi bukan bermakna anak anda sudah dijangkiti.
Ini adalah bentuk ujian darah yang dilakukan antara minggu ke-15 hingga 20. Jika anda mengambil ujian ini, hormon kehamilan dalan darah anda akan dinilai berhati-hati. Selepas itu, doktor akan menggabungkan keputusan dengan usia anda bagi mengira dan mengenal pasti sama ada anak anda berisiko mendapat Sindrom Down ataupun tidak.
Ujian persampelan vilus korion (CVS)
Ujian diagnostik ini dilakukan untuk menentukan bilangan sebenar kromosom pada bayi. Jika bilangannya 46, ia dianggap normal. Kaedah ini membantu doktor mengenal pasti kebarangkalian bayi mendapat kecacatan kelahiran seperti trisomi 18, trisomi 13, Sindrom Down, dan penyakit lain. Jika ibu hamil mempunyai sejarah keluarga dengan keadaan genetik tertentu, CVS juga akan dijalankan. Doktor akan memasukkan jarum melalui abdomen ibu atau melalui serviks ke dalam plasenta. Kemudian, doktor akan memilih kepingan kecil plasenta untuk dihantar ke makmal bagi pengimbasan genetik. Prosedur ini mengambil masa sekitar 2-3 jam untuk dijalankan. Keputusan akan didapati dalam kira-kira beberapa minggu selepas itu.
UJIAN MENENTUKAN JANTINA
Antara perkara yang mengujakan semasa hamil adalah meneka sama ada jantina bayi anda lelaki ataupun perempuan. Selain daripada mitos yang diperkatakan sejak sekian lama, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti jantina bayi dalam kandungan. Artikel di bawah memberikan maklumat kepada anda mengenai bagaimana jantina boleh dikenal pasti melalui beberapa ujian perubatan.
Mitos
Mitos-mitos yang diperkatakan mungkin sekadar mitos, tetapi tiada salahnya untuk mencuba.
Bentuk perut anda semasa hamil (baby bump):
Mengikut cerita orang-orang dahulu, jika bentuk perut anda semasa hamil bulat seperti bola, ini bermakna anda sedang mengandungkan bayi lelaki. Sebaliknya, jika perut anda berbentuk luas, anda lebih cenderung untuk mendapat bayi perempuan.
Mengidam makanan manis dan berempah, dan makanan yang sedap:
Teknik ini hanya bergantung kepada apa yang anda ingin makan, dan tentunya tidak tepat untuk mengenal pasti sama ada anda mengandungkan bayi lelaki ataupun perempuan. Bagaimanapun, adalah dipercayai bahawa jika seseorang ibu itu mengidam makanan manis, dia akan mendapat bayi perempuan. Sebaliknya, jika anda teringin makan makanan seperti kentang goreng dan stik semasa hamil, anda mungkin sedang hamil bayi lelaki.
Bentuk wajah anda:
Kepercayaan orang dulu-dulu, ibu yang boleh mengawal berat badan mereka dan menjaga penampilan akan melahirkan bayi lelaki. Sementara untuk ibu yang tidak, dia akan mendapat bayi perempuan. Mengapa berbeza? Ini kerana, menurut kepercayaan dahulu, bayi perempuan akan mengambil seri kehamilan ibu tersebut.
Ujian perubatan yang boleh mendedahkan jantina sebenar bayi
Amniosentesis:
Prosedur amniosentesis termasuklah meletakkan sebatang jarum ke dalam bendalir yang mengelilingi bayi. Pakar kemudiannya akan melihat kepada rupa kromosom bayi untuk menentukan jantina bayi, juga sebarang keabnormalan kromosom. Teknik ini pasti dapat menentukan jantina bayi anda. Walau bagaimanapun, memandangkan ujian ini berisiko tinggi menyebabkan keguguran, maka doktor tidak akan mencadangkan anda untuk melakukan ujian ini.
Ultra-bunyi:
Pada usia kandungan 20 minggu, anda dan pasangan boleh mengetahui jantina bayi dengan cara melakukan imbasan ultrabunyi anatomi. Jika anda benar-benar ingin tahu, semasa minggu ke-14 dan 15 kehamilan, imbasan juga sudah boleh dilakukan. Malahan, secara saintifiknya, jika anda melihat bentuk penyu, bersedialah untuk menerima bayi lelaki. Sementara itu, jika anda melihat tiga garisan, maka anda mungkin akan menerima bayi perempuan. Pun begitu, teknologi boleh menyebabkan keputusan yang salah. Jadi, satu-satunya cara untuk memastikan jantina anak anda adalah dengan menunggunya sehingga hari kelahiran.
BEZA UJIAN IMBASAN 2D, 3D, DAN 4D. DOKTOR INI TERANGKAN DENGAN TERPERINCI
Sejak kebelakangan ini, ujian imbasan 3D dan 4D semakin popular di kalangan ibu hamil. Hal ini kerana, dengan perkembangan teknologi moden yang semakin canggih, bukan sahaja jantina anak dapat diketahui dengan mudah, bahkan rupa parasnya juga dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah, apa sahaja yang berkaitan dengan fizikal anak dapat diketahui sejak dalam kandungan lagi.
Menerusi imbasan 3D (tiga dimensi – gambar berwarna oren) dan 4D (empat dimensi dengan video tiga dimensi) ini, anda boleh melihat secara langsung apa yang bayi lakukan di dalam kandungan. Memang mengujakan! Lebih-lebih lagi sekiranya ia kandungan pertama anda.
Namun yang demikian, imbasan 3D dan 4D hanya boleh dilakukan ketika usia kandungan 26 minggu hingga 32 minggu. Ini kerana pada masa ini, bayi di dalam kandungan sudah matang dan besar. Jadi, pembentukan fizikal dan jantinanya boleh dilihat dengan jelas.
Selain itu, pemeriksaan imbasan 3D dan 4D dipengaruhi beberapa faktor lain seperti maternal habitus (gemuk/kurus), posisi bayi ketika imbasan, kandungan air ketuban dan usia kandungan.
Imbasan dan keperluannya
Imbasan ultrabunyi juga dikenali sebagai imbasan ultrasound ataupun sonografi yang melibatkan pemancaran gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Gelombang bunyi akan melalui rahim dan imej bayi dan dipantul balik. Pantulan ini kemudiannya diproses oleh mesin dan komputer untuk mewujudkan imej pada skrin yang mendedahkan kedudukan dan pergerakan bayi.
Imbasan ultrabunyi dianggap sebagai kaedah yang selamat, tepat dan menguntungkan. Ia berbeza dengan X-ray di mana ia menggunakan pengionan yang membahayakan manakala
imbasan ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi. Ia menghasilkan gambar-gambar bahagian dalam tubuh. Pengimejan ultrabunyi, juga dikenali sebagai imbasan ultrabunyi atau sonografi, melibatkan penggunaan transduser kecil (probe) dan gel ultrabunyi diletakkan terus pada kulit.
Pengimejan ultrabunyi merupakan ujian perubatan invasif yang membantu mendiagnosis dan merawat keadaan perubatan. Ultrabunyi memainkan peranan yang penting dalam penjagaan setiap ibu hamil. Antara sebab ia penting adalah untuk:
1. Mengetahui kedudukan uri dan tahap air ketuban. 2. Menentukan usia sebenar bayi dan jangkaan tarikh lahirnya. 3. Mengetahui bilangan bayi sama ada tunggal ataupun kembar. 4. Memeriksa perkembangan fizikal bayi dan kecacatan kelahiran. 5. Memeriksa perkembangan bayi sama ada sesuai dengan peringkat perkembangannya.
Beza 2D, 3D dan 4D
Imbasan 2D memberi gambar dua dimensi dalam warna hitam putih. Imbasan ini juga dikenali sebagai imbasan morfologi. Paling baik dilakukan pada minggu ke-20 hingga 26 kehamilan. Ia merupakan imbasan terperinci bayi dan banyak aspek yang akan dinilai semasa proses imbasan dilakukan. Ini bagi memastikan perkembangan bayi adalah normal.
Biasanya sonografer akan melihat kepala dan otak bayi, muka termasuk profil bibir, jantung, dada termasuk diafragma; abdomen termasuk buah pinggang, pundi kencing, perut, tulang belakang, anggota badan termasuk tangan dan kaki.
Imbasan ini perlu dilakukan di dalam keadaan yang baik dan memerlukan kerjasama bayi. Jika kedudukan bayi tidak menentu, anda mungkin terpaksa pulang dan datang kembali pada masa yang lain.
Setiap bayi mempunyai ciri-ciri tersendiri. Contohnya, sesetengah bayi mempunyai ukuran kepala yang lebih besar atau ukuran tulang paha yang lebih pendek. Ciri-ciri ini sering sama dengan ibu bapanya. Aspek-aspek lain yang dinilai adalah:
1. Kadar jantung bayi. 2. Bilangan bayi. 3. Kedudukan plasenta. 4. Jumlah cecair amnion sekitar bayi. 5. Tempoh pembukaan laluan serviks. 6. Rahim ibu.
Imbasan 3D pula merupakan gambar statik tiga dimensi dan 4D pula merupakan rakaman video. Imbasan 3D dan 4D dianggap selamat seperti imbasan 2D kerana imej-imej yang terdiri daripada bahagian-bahagian imej dua dimensi ditukar ke dalam bentuk gambar.
Imbasan 3D dan 4D boleh memberikan lebih banyak maklumat kerana ia boleh menunjukkan lebih terperinci dari sudut yang berbeza. Pengimbasan 3D dan 4D juga berguna untuk melihat hati dan organ-organ dalaman yang lain. Sebelum 26 minggu, bayi anda mempunyai sangat sedikit lemak di bawah kulit. Jadi, tulang mukanya akan mudah dilihat dengan lebih jelas. Selepas 32 minggu, kepala bayi akan pergi jauh ke dalam pelvis dan anda mungkin tidak dapat melihat wajahnya.
Pada minggu ke-28, jika plasenta berada di hadapan rahim (anterior plasenta), anda akan melihat imej terbaik wajah bayi! Namun, kadang-kadang ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Ia bergantung pada kedudukan bayi di dalam rahim. Pihak sonografer mungkin akan meminta anda untuk berjalan-jalan dahulu atau datang kembali dalam tempoh seminggu dengan harapan bayi berubah ke kedudukan yang lebih baik.
Penghidap migrain pasti berdepan dengan masalah ketika hamil kerana tidak dapat mengambil ubat-ubatan untuk meredakan sakit mereka. Terpaksalah mereka bertahan dengan hanya tidur dan merehatkan diri. Soalnya bagaimana untuk meredakannya?
Dr Maiza Tusimin daripada Prince Court Medical Centre berkongsi mengenai pengambilan ubat paracetamol ketika waktu hamil. Selamatkah diambil?
Sejak sebelum hamil saya biasa mengambil paracetamol untuk mengurangkan rasa sakit kepala. Apa benar paracetamol selamat untuk diambil ketika hamil? Berapa dos yang boleh saya ambil dalam sehari?
Paracetamol atau lebih dikenali sebagai Panadol atau Uphamol adalah antara ubat yang dikategorikan sebagai selamat untuk wanita hamil, jika diambil dalam dos yang terkawal.
Food Drug Administration (FDA) mengklasifikasikan paracetamol tergolong dalam ubat kategori kehamilan A iaitu ubat yang paling selamat untuk ibu hamil yang tidak memberikan kesan buruk kepada janin dan ibu hamil itu sendiri.
Indikasi penggunaan Paracetamol adalah sebagai analgesik (ubat penahan sakit) dan antipiretik (pengurang demam). Paracetamol digunakan untuk melegakan sakit yang disebabkan oleh: sakit kepala, sakit gigi, sakit disebabkan oleh artritis, sakit otot, osteoarthritis dan senggugut.
Paracetamol adalah selamat dan berkesan untuk menurunkan suhu badan yang tinggi akibat demam sekiranya diambil dalam kuantiti seperti yang disyorkan. Dos maksima yang disarankan adalah 4 gram sehari iaitu dengan pengambilan 500mg -1 gram setiap 6 jam sehari.
Walaupun Paracetamol selamat digunakan oleh ibu hamil untuk tujuan pengubatan kendiri, namun ibu harus segera mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya suhu badan mencecah 38 darjah celsius. Ini adalah kerana ibu hamil terdedah kepada risiko penyakit yang lebih teruk berbanding wanita yang tidak hamil.
Sekiranya sakit kepala berlanjutan setelah mengambil paracetamol, ibu juga harus segera berjumpa doktor kerana dikhuatiri sakita kepala disebabkan oleh penyakit lain yang lebih serius seperti preeklamsia.
Kesan Sampingan
Paracetamol adalah ubat yang selamat jika diambil dalam dos yang disyorkan. Pastikan anda tidak mengambil lebih dari satu persediaan yang mengandungi paracetamol pada satu-satu masa. Periksa label ubat yang diambil bagi mengelakkan anda mengambil dos yang berlebihan.
Kebanyakan pesakit yang mengambil paracetamol tidak mengalami sebarang kesan sampingan. Walaubagaimanapun, pengambilan paracetamol secara berterusan atau pengambilan melebihi daripada dos yang disyorkan boleh menyebabkan kerosakan hati.
Ibu perlu segera berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala kerosakan hati seperti loya dan muntah yang kerap, mata dan kulit kekuningan, air kencing berwarna gelap, sakit perut/abdomen dan kepenatan yang melampau. Rawatan awal adalah penting bagi mengelakkan kerosakan kekal pada hati.
Kejadian alahan juga jarang berlaku dengan pengambilan paracetamol. Antara gejala alahan adalah seperti seperti gatal, ruam, bengkak (muka/lidah/tekak), pening dan susah bernafas.
Kesan kepada bayi
Satu kajian kohort yang di laporkan di International Journal of Epidemiology ke atas 48,631 orang kanak-kanak yang mana ibu telah mengambil paracetamol secara berterusan selama 28 hari atau lebih, mendapati bahawa kanak-kanak ini mengalami sedikit masalah perkembangan dan perangai pada usia tiga tahun.
Kesimpulannya, walaupun paracetamol selamat dikonsum ketika hamil, tetapi perlu diambil pada dos yang ditetapkan dan hanya dikonsum apabila perlu dan pada jangkamasa yang tidak terlalu lama. Ibu disarankan untuk berjumpa doktor sekiranya demam atau sakit kepala berlarutan.
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...