Buah nanas terutamanya bahagian empulur kaya dengan nutrisi. Sangat bagus jika anak-anak tak sihat makan empulur buah nanas.
Kandungan nutrisi yang tinggi menarik perhatian para pengkaji untuk mengkaji khasiat yang terkandung dalam buah nanas. Buah nanas diklasifikasikan sebagai ‘functional food’ iaitu makanan yang berpotensi untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia.
Empulur Nanas Jangan Buang, Kaya Nutrisi
Dr Mazliana Mazlan berkongsi beberapa khasiat yang tersembunyi dalam buah nanas. Yang menariknya ia sangat bagus untuk kesihatan anak-anak!
Empulur nanas keras yang kita selalu buang itu sebenarnya banyak betul kandungan bromelain.
Bromelain ini sejenis enzim yang ada pada buah nanas. Dan paling banyak di bahagian tengah nanas yang keras itu.
Kadang bila kita makan nanas, rasa lidas dan gatal di bahagian lidah bukan? Ini kerana kandungan bromelain tersebut.
Ads
Bromelain boleh menjejaskan lapisan protein mukosa pada lidah dan jadikan lidah kita lebih sensitif pada makanan berasid seperti nanas. Inilah yang sebabkan rasa lidas dan gatal bila kita makan buah nanas.
Pun begitu, bromelain ini tinggi jugak khasiatnya. Takkanlah sebab rasa gatal lidah kita terus tak nak makan buah nanas.
Nanas tinggi dengan kandungan vitamin C. Salah satu superfood yang kita wajib kita ajar anak-anak untuk cuba makan.
Ads
Nanas boleh kurangkan lendir dan kahak. Dan ada kajian tahun 2016 mengatakan yang buah nanas mampu mengurangkan simptom radang pada sinus. Resdunglah maksudnya.
Elok Beri Anak Tak Sihat Makan
Kalau anak-anak tak sihat, suami saya suka beli nanas bagi anak makan setiap hari.
Nanas kaya dengan sifat anti radang yang insyaAllah boleh cepatkan penyembuhan anak.
Nanas jugak tinggi dengan kandungan vitamin B. Kalau nak anak-anak cepat belajar dan ingat sesuatu, jom kita jadikan nanas sebagai buah mingguan yang patut ada di rumah.
Ads
Makanan sebenar, terlalu banyak khasiat yang ada walau dari sebiji buah.
Setiap hari 3 4 jenis buah kita bagi anak makan, lebih banyak khasiat yang pelbagai anak akan dapat. Berbanding kita beri 2 3 jenis makanan proses sehari, yang mana pasti akan burukkan kesihatan anak untuk jangka masa panjang.
Sama-sama kita cuba ya, banyakkan makanan sihat dari sumber asli untuk anak-anak.
Bila bayi anda sudah mula belajar berjalan dan jatuh, dia memang berisiko untuk kerap terjatuh. Terjatuh tanpa kesan luka atau kecederaan adalah perkara normal sepanjang tempoh tumbesaran seorang anak tetapi jika terlalu kerap terjatuh sehingga ada benjol dan hentakan kuat di kepala, apakah kesannya terhadap si kecil?
Siapa yang tidak risau apabila anak terjatuh dan menangis kesakitan. Lagi bimbang bila kesan terjatuh meninggalkan benjol atau mengakibatkan kecederaan sampai berdarah.
Tetapi sebelum itu ibu ayah perlu faham mengenai kesan-kesan hentakan kepala supaya dapat membuat perbezaan antara hentakan yang serius dan hentakan yang tidak serius supaya langkah-langkah rawatan yang betul dapat diambil.
1. Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Apabila ada hentakan atau trauma ke kepala ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau/dan otak.
2. Apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika luka tersebut besar dan melibatkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan yang serius.
3. Selain luka ada juga kecederaan kulit kepala yang disusuli dengan benjol sahaja. Benjol boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pun pendarahan di bawah kulit di mana darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak. Ia bermakna pendarahan itu berada di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh tengkorak.
4. Benjol di kepala yang disebabkan oleh pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dan boleh memakan masa hingga 1-2 minggu.
5. Kecederaan kepada tengkorak dan otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding kecederaan kepada kulit sahaja dan kedua-duanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan kepada kulit.
6. Jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tidak ada luka atau benjol atau apa-apa tanda kecederaan, bukan bermaksud tidak ada pendarahan atau kesan kepada otak.
7. Apabila ada keretakan kepada tengkorak ia bermaksud hentakan yang berlaku sangat kuat dan ada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui retak di tengkorak ke otak.
8. Kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh berlaku di mana-mana bahagian dalam otak.
Antara simptom-simptom pendarahan dalaman otak atau kecederaan kepada otak:
– Pengsan selepas trauma.
– Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua anggota badan tidak boleh bergerak.
– Amnesia/hilang ingatan.
– Keliru.
– Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya.
– Sawan.
– Muntah lebih dari sekali.
– Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah.
– Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga.
– Mata hitam tidak sama saiz.
– Penglihatan kabur atau nampak objek lebih dari satu.
Jika ada simptom-simptom ini janganlah berlengah lagi untuk membawa anak ke hospital yang berdekatan. Jika doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan anak di bawa pulang, kebiasaanya doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam 24 jam yang pertama untuk tanda-tanda seperti di atas.
Sekiranya anak anda tidak ada tanda simptom tersebut, kemungkinan berlaku pendarahan dalam otak sangat tipis tetapi proses pemulihan daripada hentakan tersebut mengambil masa yang lama sehingga berminggu bahkan ada yang berbulan.
Bagaimanapun mangsa tidak akan mengalami sebarang kesan jangka panjang walaupun proses pemulihan mengambil masa yang lama.
Rawatan segera
a. Jika berlaku pendarahan akibat luka anak terjatuh, anda perlu segera menghentikan pendarahan kerana kesan serius boleh berlaku kepada mangsa jika hilang darah dengan banyak. Apa yang perlu dilakukan sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah dengan mengenakan tekanan pada luka dengan menggunakan kain yang bersih. Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa mangsa ke klinik atau pusat kesihatan yang paling dekat sambil meneruskan tekanan terhadap luka tersebut.
b. Benjolan yang berlaku selepas terjatuh akan meninggalkan rasa sakit dan mungkin lebih sakit jika benjol tersebut ditekan. ‘Cold compress’ atau tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan tersebut reda/kurang.‘Hot compress’ atau tuaman panas boleh mengurangkan sakit tetapi harus disusuli dengan tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak. Darah beku tersebut akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dah benjolan/bengkak akan surut dan hilang.
c. Memberi Paracetamol sahaja jika perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan untuk memberi ubat dari kategori NSAID (‘Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs’) seperti Ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau Diclofenac (Cataflam, Voren).
Sumber: doktorbudak.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menerima takdir Allah saat dikurniakan anak sulung yang menghidap penyakit Hydrocephalus, iaitu lebihan cecair dalam kepala memang payah. Ibu mana yang mampu menerimanya. Saat hati teruja menanti anak pertama tetapi bertukar sayu bila mana anak disahkan sakit, tidak sempurna seperti bayi yang lain. Namun semua ini ketentuan Allah yang Maha Esa.
Bagi Nur Hidayah Zolkifli, 33 tahun dan suaminya, Mohd Firdaus Hazizan, 32 tahun, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Semua ini diterima dalam senyuman manis tanda syukur bila anak sulung mereka, Umar Haziq yang kini berusia 6 tahun disahkan menghidap hydrocephalus.
“ Syukur alhamdulillah, selepas 10 hari berada di hospital akhirnya Umar dibenarkan keluar. Malah Umar makin sihat dan mampu makan dan minum seperti biasa. Selepas jalani pembedahan dia bangun dan bertanyakan adiknya, Zahra Auliya yang kini berusia 4 bulan.
Hidap Hydrocephalus Selepas Seminggu Kelahiran
“Jujurnya ketika itu saya dan suami langsung tidak bersedia menerima semua ini. Saya dan suami memang teruja nak sambut kelahiran anak pertama kami dan langsung tidak menjangkakan semua ini. Tambah pula saya langsung tidak alami apa-apa masalah ketika hamil, jadi saya tak jangkakan semua ini. Setiap hari saya menangis dan lama kelamaan barulah saya makin pulih.
Umar dikesan mengalami masalah Hydrocephalus selepas seminggu kelahirannya. Bila di bawa balik ke rumah, jururawat yang datang buat lawatan beritahu tubuh anak saya makin kecil dan kepalanya membesar. Jadi dia minta kami rujuk kepada pihak hospital.
Setelah melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan anak saya menghidap Hydrocephalus dan terpaksa di rujuk ke Hospital Alor Setar. Doktor beritahu anak saya tidak mempunyai saluran dari kepala ke bahagian tubuh lain dan inilah penyebab cecair dalam kepala tidak dapat dikeluarkan. Dan ini jugalah penyebab kepalanya menjadi semakin membesar.
Saya dan suami redha dengan ketentuan ini. Hampir sebulan juga Umar ditahan di wad kerana ada jangkitan kuman dalam otaknya. Pelbagai proses dan rawatan yang dilaluinya termasuklah pembedahan memasukkan alat VP Shunt bagi membolehkan cecair dari kepala dikeluarkan ke bahagian tubuh yang lain.
Doktor pasang alat ini di bahagian belakang telinga dalam tubuhnya membawa ke bahagian perut. Namun malangnya bila Umar dibawa balik ke rumah, dia alami muntah-muntah yang teruk, sakit dan menangis tanpa henti.
Rupanya VP Shunt yang dipasang tidak serasi dengan tubuhnya. Kali ini Umar terlantar lama di hospital. Tiga bulan saya dan suami berkampung di hospital dan saya nekad untuk berhenti kerja ketika itu, demi memberi tumpuan pada Umar,” katanya.
Cahaya Baru Umar
Terlantar lama di hospital, Umar dipasangkan dengan alat bantuan, Ommaya Shunt yang membawa air keluar daripada kepalanya. Cahaya baru buat Umar bila mana keadaannya makin stabil.
“Umar seterusnya menjalani pembedahan semula untuk memasangkan VP Shunt buat kali kedua. Kali ini alat ini serasi dengan dirinya dan alhamdulillah akhirnya Umar mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain walaupun dia tidak boleh berjalan dan hanya berbaring serta kadangkala duduk sambil menonton televisyen di rumahnya. Walaupun tidak boleh berjalan tapi Umar anak yang petah berkata-kata,” ceritanya lagi.
Rawat Lebih Awal
“Bagi saya, mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak-anak syurga ini, ambillah rawatan seawal mungkin. Insyaallah kalau kita rawat lebih awal kita boleh mencegah dari jadi lebih teruk.
Kalau sayangkan anak kita buatlah sesuatu untuk dia, supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Sekurang kurangnya kita berusaha dan berikhtiar untuk kesembuhannya. Semua penyakit kesembuhannya hanya dari Allah. Kita merancang tapi Allah yang menentukan. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik.
Anak-anak istimewa ini adalah anugerah Allah buat kita, jadi peliharalah ia sebaik- baiknya dan ingatlah anak-anak istimewa jaminan syurga buatnya. Dan mungkin juga dia mampu membawa kita juga ke syurga Allah. Insyaallah…amin,” katanya penuh redha sambil mengharapkan kesihatan berpanjangan buat amanah Allah yang satu ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila anak mengadu sakit kaki, ibu ayah mungkin pelik kerana simptomnya seperti orang tua pula. Bukannya sebab jatuh atau berjalan terlalu lama. Tapi tanpa sebab tertentu, asyik mengadu sakit kaki, terutamanya pada waktu malam.
Jika ini yang sedang berlaku pada anda, kemungkinan besar anak anda sedang dalam fasa tumbesaran. Bagi sesetengah kanak-kanak, mereka akan mengalami simptom yang dikenali sebagai ‘growing pains’.
5 PERKARA IBU AYAH KENA TAHU TENTANG ‘GROWING PAINS’
1. IA ADALAH NORMAL
Menurut KidsHealth.com, ‘growing pains’ ini bukanlah sejenis penyakit dan ia tidak perlu dirisaukan. Lazimnya simptom ini berlaku pada anak berusia antara 3 tahun hingga 12 tahun.
‘Growing pains’ ini boleh membuatkan anak berasa sakit pada kaki, lebih-lebih lagi pada bahagian depan paha, betis, belakang lutut dan keting. Ia juga biasanya melibatkan kedua-dua belah kaki.
2. PUNCA
Punca kesakitan ini masih tidak diketahui secara tepat. Namun menurut NHS Choices, tiada bukti saintifik yang menunjukkan proses tumbesaran menyebabkan kesakitan. Sebab itulah ada doktor yang lebih selesa menggunakan istilah ‘recurrent nocturnal limb pain in children’.
‘Growing pains’ juga lebih kerap berlaku pada kanak-kanak yang aktif serta kanak-kanak dengan sendi yang longgar dan fleksibel (joint hypermobility). Ia juga biasanya diwarisi daripada keluarga.
3. BAGAIMANAKAH RASA SAKIT YANG DIALAMI OLEH ANAK?
Kesakitan yang dirasakan adalah seperti cramp pada otot. Namun, ia tidak menunjukkan sebarang tanda lain yang boleh dilihat seperti lebam, kemerahan atau infeksi. Kesakitan ini juga sepatutnya tidak mempengaruhi cara anak berjalan.
‘Growing pains’ biasanya bermula sebelum waktu tidur. Walaupun kadangkala anak boleh masuk tidur tanpa sebarang masalah, tapi kesakitan juga boleh berlaku ketika mereka tidur hingga menyebabkan anak terjaga.
4. BILAKAH ‘GROWING PAINS’ AKAN BERHENTI?
Pakar mendapati bahawa kesakitan ini akan berhenti apabila kanak-kanak tidak lagi mengalami ‘growth spurt’. Ini bermaksud simptom ini tidak lagi berlaku apabila anak mencecah usia remaja iaitu sekitar usia 13 tahun.
5. CARA MEMBANTU ANAK MENGURANGI RASA SAKIT
Cara yang paling berkesan adalah dengan memberikan urutan dan menyapukan minyak yang sesuai untuk anak.
Lakukan sedikit regangan seperti meluruskan kaki anak atau melipatkannya agar otot dapat meregang dan menegang.
Selain itu, boleh juga membuat tuaman panas dengan menggunakan ‘heating pad’ pada bahagian yang sakit. Kedua-dua cara ini dapat melegakan rasa sakit yang dialami akibat ‘growing pains’.
PATUTKAH BERJUMPA DOKTOR?
Kebiasaannya keadaan ini bukanlah suatu keadaan serius. Namun, anda boleh mendapatkan pandangan doktor sekiranya rasa sakit kaki yang dialami oleh anak disertai dengan beberapa keadaan lain seperti:
1. Sakit kaki yang terlalu kerap – berlaku setiap malam dan turut berlaku pada waktu siang
2. Sakit pada sebelah kaki sahaja
3. Bengkak, kemerahan atau lebam
4. Demam
5. Kurang selera makan
6. Berjalan tempang / terhincut-hincut
7. Enggan berjalan
Semua simptom ini perlu dirujuk kepada doktor kerana ia mungkin berkait dengan penyakit lain yang lebih serius. Jadi, ibu ayah perlulah peka dan ambil tahu tentang ‘growing pains’ yang berlaku pada anak-anak.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!