
Selepas berehat selama dua bulan bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan dan menguruskan putera sulungnya, Eyka Farhana kini sudah kembali aktif bekerja.
Menurut Eyka tanggungjawab sebagai ibu tidak menjadi penghalang untuknya meneruskan kerjaya. Malah, dia bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang boleh dipercayai, terutama ibu dan ahli keluarganya.
Bergelar ibu buat pertama kali pastinya menuntut banyak perubahan, termasuk dari segi pengurusan masa dan pembahagian tanggungjawab.
Eyka Farhana tidak menafikan jadual hariannya kini lebih sibuk berbanding sebelum mempunyai anak. Bagaimanapun, kesibukan itu tidak dianggap sebagai satu beban, sebaliknya membuatkan kehidupannya terasa semakin lengkap dan bermakna.
“Saya tidak nafikan rutin sekarang lebih padat, tapi pada masa sama lebih bermakna.
“Banyak perubahan dalam kehidupan seharian, tapi semuanya ke arah yang lebih baik dan buat saya lebih bahagia alhamdulillah,” kongsinya lagi.
Selain mendapat bantuan daripada ibu dan keluarga, Eyka turut bersyukur kerana suaminya, pemain bola sepak Akhyar Rashid, kini berada lebih dekat dengannya.
Menurut Eyka, pasukan yang diwakili Akhyar kini menjalani latihan di Kuala Lumpur, sekali gus membolehkan suaminya berulang-alik ke rumah setiap hari.
Keadaan itu dianggap sebagai satu rezeki buat mereka kerana masing-masing dapat berkongsi tanggungjawab serta melalui fasa membesarkan Muhammad Luay Khayr bersama-sama.
“Apabila saya sudah melahirkan anak, Akhyar diberi peluang untuk bermain dalam pasukan Negeri Sembilan yang mana ‘base’ latihannya hanya di Kuala Lumpur.
“Jadi setiap hari dia akan berulang-alik balik ke rumah. Bagi saya, itu adalah satu ‘bonus’ bila suami ada dekat dengan kita.
“Walaupun kalau berjauhan saya tak ada masalah, tapi bila dapat sama-sama jaga bayi kami, itu sesuatu yang saya sangat hargai,” katanya.
Berkongsi mengenai perubahan suaminya selepas kelahiran anak mereka, Eyka berkata dia dapat melihat sendiri sisi baharu Akhyar yang kini semakin matang dan bertanggungjawab.
Menurutnya, Akhyar juga lebih teliti dalam menguruskan keperluan Muhammad Luay Khayr. Malah, suaminya sanggup bangun pada waktu malam untuk sama-sama menjaga putera mereka.
“Bila Akhyar sudah jadi ayah ni, dia nampak lebih tegas. Sebenarnya dia bukan garang, cuma sekarang dia jadi lebih teliti dan ‘particular’ bila bab anak termasuk bangun tengah malam untuk uruskan anak.
“Saya nampak sendiri perubahannya. Sifat kebapaan itu. Dia memang sudah berbeza daripada Akhyar yang saya kenal dulu.
“Waktu bercinta lain, waktu awal kahwin pun lain, tapi bila dah jadi seorang ayah, memang jelas nampak sisi tanggungjawab dia kini berubah dan lebih besar,” ujarnya lagi.
Bagi Eyka, perubahan tersebut memperlihatkan bagaimana kehadiran seorang anak bukan sahaja membawa gelaran baharu kepada mereka, malah turut membentuk sisi yang lebih matang dalam diri Akhyar.
Imbas kembali, Eyka dan Akhyar mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2025. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Luay Khayr yang kini menjadi pelengkap kebahagiaan keluarga kecil mereka.
Anak akan dapat akaun Simpan SSPN bernilai RM30, goodies istimewa dan sijil penyertaan. Sambil bermain, dapat hadiah! Daftarkan anak segera di: https://www.majalahpama.my/edutainment-fest/
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Kredit Foto: @eykafarhana