
Pelakon popular, Eyka Farhana, berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan dirinya kini sedang hamil anak sulung hasil perkahwinan bersama suami tercinta yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid. Berita tersebut nyata mencuri perhatian ramai dan menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat serta rakan selebriti.
Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 31, memuat naik satu video romantis yang memaparkan dirinya bersama Akhyar Rashid saling berpelukan sambil menunjukkan foto imbasan bayi mereka. Momen tersebut jelas memperlihatkan kebahagiaan pasangan itu yang kini menantikan kehadiran cahaya mata pertama.
“Daripada dua hati menjadi tiga. Masya-Allah Tabarakallah, anugerah terbesar kami sedang dalam perjalanan,” tulis Eyka ringkas namun sarat dengan makna mendalam.
Perkongsian itu pantas menerima ribuan tanda suka dan ucapan tahniah daripada peminat serta rakan artis yang turut menzahirkan rasa gembira atas berita Eyka Farhana hamil.
Dalam pada itu, Eyka turut meluahkan rasa syukur apabila impian untuk bergelar seorang ibu akhirnya dimakbulkan oleh Allah SWT. Menerusi beberapa perkongsian di Instagram Story, pelakon tersebut mengakui bahawa keinginan untuk memiliki zuriat telah lama tersemat di dalam hatinya.
“Saya sentiasa menyimpan impian untuk bergelar seorang ibu. Saya sering berkongsi dengan keluarga dan sahabat betapa besarnya harapan agar Allah mengurniakan saya seorang zuriat,” luahnya dengan penuh keinsafan.
Eyka menjelaskan bahawa dia dan suaminya sentiasa berdoa dan menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi.
“Kami berdoa bersama-sama dan yakin bahawa Allah lebih mengetahui waktu yang terbaik. Alhamdulillah, Allah akhirnya memakbulkan doa kami,” katanya lagi.
Eyka turut berkongsi perasaan bahagia yang sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila kini melalui fasa kehamilan yang sarat dengan rasa kasih sayang dan ketenangan jiwa.
“Setiap gerakan dan tendangan si kecil mengingatkan saya kepada rahmat-Nya.
“Hati ini tidak pernah rasa seindah ini, penuh dengan kasih sayang, kesyukuran dan nikmat yang tiada penghujungnya. Syukur, Alhamdulillah,” luahnya lagi.
Untuk rekod, Eyka Farhana sah bergelar isteri kepada Akhyar Rashid pada 2 Mei tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang berlangsung di sebuah premis acara di Ampang. Majlis tersebut hanya dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat sahaja.
Khabar gembira ini bukan sahaja menggembirakan keluarga dan sahabat terdekat, malah turut menjadi sumber inspirasi buat peminat yang sentiasa mengikuti perjalanan hidup dan kerjaya pelakon berbakat ini.