Fatima Okay Je Dengan Nenda, Siap Ajak Ikut Pergi Disneyland

Share

Pelakon dan usahawan terkenal, Fattah Amin, mencuri perhatian netizen apabila memuat naik video memaparkan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, berbual mesra dengan neneknya melalui panggilan video. Menerusi hantaran di Instagram, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menulis kapsyen ringkas tetapi penuh makna, seolah mahu menamatkan spekulasi yang timbul sebelum ini.

“Dah jangan gaduh-gaduh ya.
Fatima okey sahaja dengan nenda. Tengah berbincang nak pergi Disneyland,” tulisnya.

Rakaman tersebut menunjukkan Fatima kelihatan ceria, sambil berbual mesra dengan neneknya, Azizah Abd Ghani. Perkongsian itu disambut positif oleh peminat, yang lega melihat kemesraan antara cucu dan nenek, sekali gus meredakan perbualan panas yang tercetus beberapa hari sebelum itu.

Beberapa hari sebelumnya, nama Fatima menjadi bualan hangat selepas sebuah video siaran langsung (live) di Instagram milik ibunya, pelakon Nur Fazura, tular di media sosial. Dalam sesi live tersebut, Fatima tiba-tiba meluahkan kata-kata yang mengejutkan ibunya.

“Fatima tak pandai, Fatima tak comel,” kata Fatima dengan nada sebak.
Apabila Fazura bertanya siapa yang berkata begitu, Fatima dengan yakin menjawab, “Nenda.”

Fazura yang kelihatan terkedu cuba menenangkan suasana, sambil menafikan kemungkinan ibu mentuanya pernah mengucapkan kata-kata sedemikian. “I don’t think she says that,” ujar Fazura, namun Fatima tetap menegaskan, “It’s true.”

Video itu mengundang pelbagai reaksi warganet, malah ada yang mula membuat spekulasi tentang hubungan Fatima dan neneknya. Menyedari isu tersebut semakin mendapat perhatian, adik Fattah, Raihan Amin, tampil memberi penjelasan. Beliau menegaskan ibu mereka tidak pernah melontarkan kata-kata negatif terhadap Fatima, malah amat menyayangi dan bangga dengan cucunya itu.

Perkongsian terbaharu Fattah melalui video panggilan mesra itu nyata berjaya ‘menjernihkan yang keruh’ dan mengembalikan senyuman peminat. Ia juga menjadi bukti bahawa hubungan Fatima dan neneknya kekal akrab dan penuh kasih sayang, walaupun pernah dihujani spekulasi.

Published by
Syaza