Dalam dunia sekarang, apa saja boleh “di-deliver” sampai depan pintu rumah. Termasuklah rawatan fototerapi untuk bayi jaundis. Di media sosial, makin banyak pihak tawarkan servis sewa mesin kononnya lebih mudah, lebih cepat, lebih selesa untuk ibu yang baru bersalin.

Tapi sebagai mak-ayah, especially bila kita jaga bayi yang baru beberapa hari melihat dunia, kita kena berhati-hati. Ada benda yang boleh buat sendiri dan ada benda yang langsung tak patut dibuat tanpa pemantauan pakar.

Perkongsian daripada Dr Suhazeli Abdullah, Pakar Perubatan Keluarga, menjelaskan kenapa fototerapi di rumah ini bukan semudah yang kelihatan.

Kenapa fototerapi di rumah semakin ditawarkan?

Menurut Dr Suhazeli Abdullah, Pakar Perubatan Keluarga, di media sosial mula kelihatan pihak-pihak tertentu yang menawarkan perkhidmatan fototerapi di rumah. Rawatan ini katanya untuk merawat penyakit kuning (jaundis) bayi.

KKM memandang serius isu membuka premis persendirian bagi rawatan fototerapi jaundis bayi ini. Ia dikawal selia secara ketat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 2006.

Ads

Sehubungan dengan itu, Arahan Ketua Pengarah Kesihatan Bilangan 1 Tahun 2018 menetapkan garis panduan khusus untuk perkhidmatan ini. Di bawah undang-undang ini, tiada pihak boleh menyediakan perkhidmatan fototerapi di rumah tanpa kelulusan dan lesen yang sah, dan pelanggar boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda atau penjara.

Syarat ketat sebelum fototerapi di rumah boleh dibuat

Fototerapi Di Rumah: Risiko Bahaya Kepada Bayi Yang Ramai Tak Sedar
Gambar sekadar Hiasan

Dari aspek tatacara dan etika perubatan, perkhidmatan fototerapi di rumah hanya boleh disediakan oleh hospital swasta, pusat jagaan ambulatori swasta, atau klinik perubatan swasta pakar pediatrik/neonatologi yang berlesen. Maknanya ia perlu diuruskan oleh pihak yang mahir serta berpengetahuan.

Ads

Walaupun mungkin ianya dilihat selamat untuk kegunaan dan tidak ada komplikasi yang teruk, tetapi dari sudut perubatan terdapat beberapa isu “red flag” yang perlu diketahui dan bagaimana untuk menguruskannya.

Isu penting yang ibu bapa wajib tahu

  • Rawatan mesti ditetapkan dan diselia oleh pakar pediatrik atau neonatologis yang berdaftar serta memiliki APC dan NSR.
  • Peralatan fototerapi yang digunakan mesti memenuhi spesifikasi teknikal tertentu termasuk cahaya biru 400–500nm dan kekuatan sinaran mencukupi.
  • Ibu bapa mesti diberikan kaunseling bertulis dan memberi persetujuan bertulis mengenai risiko dan manfaat rawatan. Pemantauan harian termasuk ujian TSB setiap 24 jam adalah wajib.
  • Tidak semua bayi jaundis wajib diletak di bawah fototerapi. Ada keadaan yang memerlukan rawatan lebih serius termasuk penukaran darah.
  • Risiko fizikal seperti penutup mata tergelincir, kerengsaan kulit, kehilangan berat badan atau kurang kencing boleh berlaku tanpa pemantauan pakar.
  • Kegagalan memantau tahap bilirubin boleh menyebabkan kerosakan otak kekal jika jaundis tidak dirawat dengan betul.
  • Penggunaan peralatan tidak mengikut piawaian seperti lampu kalimantang biasa adalah berbahaya dan tidak berkesan.
  • Perkhidmatan sewa mesin tanpa pengawasan perubatan mendedahkan bayi kepada risiko kerana tiada jaminan peralatan disterilkan atau mengikut piawaian kesihatan.
  • Bayi yang tahap bilirubin tidak menurun atau terus meningkat mesti dirujuk segera ke hospital.

Kesedaran ibu bapa amat penting

Fototerapi Di Rumah: Risiko Bahaya Kepada Bayi Yang Ramai Tak Sedar
Gambar sekadar Hiasan

Ramai ibu bapa memilih fototerapi di rumah kerana ingin lebih selesa dan mengurangkan pergerakan bayi. Namun, tanpa pemantauan profesional, rawatan ini boleh mendatangkan risiko besar. Dalam banyak kes, ibu bapa tidak sedar bahawa jaundis tertentu memerlukan rawatan intensif yang hanya boleh dilakukan di hospital.

Ads

Bagi mengelakkan kekeliruan, ibu bapa wajar mendapatkan pemeriksaan pakar sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan fototerapi di rumah. Bertanya dan memahami risiko adalah langkah penting untuk keselamatan bayi.

Adalah diharap masyarakat dapat mengelakkan membuat rawatan fototerapi yang tidak bertauliah. Kesedaran awam sangat penting supaya bayi tidak terdedah kepada bahaya yang boleh dielakkan.

Sumber: Suhazeli Abdullah

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads