
Freeze-dry susu ibu menjadi pilihan sepasang suami isteri dalam usaha memastikan lebihan stok susu ibu tidak membazir dan dapat disimpan untuk tempoh lebih lama. Perjalanan penyusuan susu ibu bukan hanya tentang seorang ibu dan bayinya. Di sebalik usaha mengepam, menyimpan dan memastikan setiap titisan susu dapat dimanfaatkan, sokongan suami juga memainkan peranan yang cukup besar.
Baru-baru ini, perkongsian pempengaruh yang dikenali sebagai Shafiqcute atau Mohd Syafiq Zulkarnain menarik perhatian ramai apabila dia berkongsi pengalaman menggunakan teknologi pengeringan beku atau freeze-drying untuk menukarkan lebihan susu ibu isterinya daripada bentuk cecair kepada serbuk.
Bukan sekadar berkongsi mengenai teknologi yang masih dianggap baharu oleh sebahagian masyarakat, usaha Syafiq dan isterinya dalam memastikan stok susu ibu tidak membazir turut mencuri perhatian.
Lebih-lebih lagi, isterinya mengalami keadaan oversupply, iaitu penghasilan susu ibu yang melebihi keperluan bayi sehingga ruang penyimpanan sedia ada tidak lagi mencukupi.
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Menurut perkongsian Syafiq di Threads, dia dan isterinya mengambil keputusan menggunakan perkhidmatan The Breastmilk Company selepas berbincang bersama mengenai lebihan stok susu yang dimiliki.
Daripada membiarkan stok susu yang begitu banyak tidak dapat digunakan, pasangan ini memilih untuk memprosesnya kepada bentuk serbuk menggunakan teknologi freeze-drying.
Kaedah itu dilihat lebih praktikal untuk mereka kerana susu berkenaan lebih mudah disimpan dan dibawa ketika berada di luar rumah.
Menurut Syafiq, mereka tidak lagi perlu membawa terlalu banyak kelengkapan penyimpanan seperti beg khas susu, pek ais dan beberapa peralatan lain apabila mahu membawa bekalan susu tersebut.
Susu dalam bentuk serbuk hanya perlu disediakan semula mengikut kaedah yang ditetapkan sebelum diberikan kepada anak.
Syafiq turut menjelaskan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan anak mereka yang semakin membesar dan bakal memasuki fasa pengambilan makanan pejal.
Apabila bayi semakin membesar, corak pemakanan dan keperluan susunya juga akan berubah secara berperingkat apabila makanan pelengkap mula diperkenalkan.
“Bayi pun semakin membesar dan akan makan makanan pejal pula. Makanan pejal pula akan menjadi pengganti sedikit demi sedikit keperluan bayi selain susu ibu. Bayi mula kurang minum susu pula selepas ni. Zat makanan datang dari makanan pejal pula nanti,” kongsinya.
Justeru, lebihan stok susu yang terlalu banyak membuatkan pasangan ini mencari pilihan lain supaya usaha si ibu mengepam susu selama ini dapat terus dimanfaatkan.
Dalam perkongsian berasingan, Syafiq menjelaskan bahawa niatnya berkongsi perkara tersebut hanyalah untuk memperkenalkan satu teknologi yang mungkin masih belum diketahui ramai di Malaysia.
Dia turut menjawab beberapa persoalan daripada warganet yang membangkitkan isu berkaitan penggunaan susu ibu selepas diproses menjadi serbuk.
Syafiq menegaskan bahawa dia memahami mengenai hukum berkaitan susu ibu dan susu yang diproses itu hanyalah untuk kegunaan anaknya sendiri, bukannya untuk dijual atau diberikan sesuka hati kepada anak orang lain.
Malah, dia turut menggalakkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber dan kajian yang betul sebelum membuat kesimpulan mengenai sesuatu teknologi.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
The Breastmilk Company merupakan antara syarikat yang menawarkan perkhidmatan memproses susu ibu menggunakan teknologi freeze-drying atau pengeringan beku.
Secara asasnya, proses freeze-dry susu ibu menyingkirkan kandungan air daripada susu pada suhu rendah sehingga susu bertukar menjadi bentuk serbuk.
Menurut maklumat yang dikongsikan pihak syarikat, proses berkenaan dilakukan tanpa menambahkan bahan lain ke dalam susu ibu pelanggan.
Pihak syarikat turut menyatakan teknologi dan proses yang digunakan bertujuan memudahkan penyimpanan serta membantu mengekalkan kualiti susu sepanjang tempoh penyimpanan yang disarankan.
Menurut maklumat pada bahagian soalan lazim syarikat itu, susu ibu yang telah melalui proses berkenaan dikatakan boleh mempunyai jangka hayat penyimpanan sehingga tiga tahun apabila disimpan mengikut panduan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, ibu bapa yang berminat menggunakan kaedah seperti ini disarankan mendapatkan penerangan lengkap mengenai proses, penyimpanan, penyediaan semula dan aspek keselamatannya terlebih dahulu.
Syafiq turut menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat berdasarkan pengalaman peribadinya menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Menurutnya, dia tidak menerima bayaran daripada The Breastmilk Company untuk berkongsi pengalaman tersebut.
Isu berkaitan perubahan sifat susu ibu daripada bentuk cecair kepada serbuk juga pernah mendapat perhatian dari sudut hukum, termasuk penjelasan daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Dalam masa sama, terdapat juga pandangan profesional kesihatan serta kaunselor penyusuan yang mencadangkan beberapa pilihan lain bagi ibu yang mengalami oversupply.
Antaranya termasuk mendapatkan bantuan kaunselor laktasi untuk mengurus penghasilan susu mengikut keperluan bayi, menjadi ibu susuan atau melihat kemungkinan menderma susu melalui saluran yang sesuai serta mempunyai prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Justeru, ibu bapa yang mempertimbangkan freeze-dry susu ibu juga boleh mendapatkan penerangan daripada pihak berkaitan sebelum membuat keputusan berdasarkan keadaan dan keperluan masing-masing.
Nama Shafiqcute sememangnya tidak asing dalam kalangan pengguna TikTok. Personaliti berasal dari Alor Gajah, Melaka itu cukup dikenali menerusi video memasaknya sambil tersenyum memandang kamera dari awal sehingga hidangan siap disediakan.
Senyumannya yang menjadi ‘trademark’ turut membuatkan Syafiq mengumpul ratusan ribu pengikut di platform berkenaan.
Namun di sebalik personaliti ceria yang sering dilihat di media sosial, sisi Syafiq sebagai seorang suami dan bapa juga wajar diberikan perhatian.
Kesungguhannya bersama isteri mencari jalan supaya setiap stok susu ibu dapat dimanfaatkan memperlihatkan bahawa kejayaan perjalanan penyusuan bukan hanya terletak di bahu ibu.
Sokongan pasangan, sama ada membantu menyediakan kelengkapan, menjaga anak ketika ibu mengepam, mengurus stok susu mahupun mencari maklumat yang betul, boleh memberi makna besar kepada seseorang ibu.
Lebih menarik, Syafiq sendiri merupakan Ikon Bapa Penyusuan Susu Ibu dan Ikon Jabatan Kimia Malaysia.
Untuk makluman, Syafiq dan isterinya masing-masing berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia. Syafiq merupakan Pegawai Sains Forensik DNA manakala isterinya bertugas sebagai Pegawai Sains Forensik Narkotik.
Apa yang dikongsikan pasangan ini boleh menjadi inspirasi bahawa perjuangan penyusuan susu ibu tidak semestinya perlu dilalui seorang ibu sendirian.
Di sebalik seorang ibu yang gigih mengepam dan menyediakan susu buat anak, kehadiran suami yang memahami, membantu dan bersama-sama mencari penyelesaian boleh menjadikan perjalanan itu lebih mudah.
Setiap ibu mempunyai pengalaman penyusuan yang berbeza. Ada yang mempunyai bekalan mencukupi, ada yang mengalami oversupply dan ada juga yang perlu berusaha lebih keras untuk memenuhi keperluan bayi.
Apa juga keadaannya, sokongan tanpa tekanan dan ilmu yang tepat sangat penting.
Susu ibu merupakan sumber pemakanan penting buat bayi dan setiap usaha seorang ibu untuk menyusukan anak sewajarnya dihargai. Namun lebih indah apabila usaha itu turut disambut dengan sokongan seorang ayah yang sanggup sama-sama belajar, membantu dan menghargai setiap titisan susu yang diusahakan untuk si kecil.
Sumber: shafiquecute_official