Kehamilan

GDM Ketika Hamil, 5 Petua Penting & Berkesan Untuk Kawal Gula Darah!

Share

Sedang hamil dan disahkan mengalami diabetes gestasi? Jangan panik, GDM ketika hamil sebenarnya boleh dikawal dengan penjagaan dan pemantauan yang betul. Ada beberapa cara yang boleh membantu ibu memastikan paras gula dalam darah lebih terkawal sepanjang kehamilan.

Jom ketahui 5 tip mengawal kencing manis ketika mengandung yang boleh ibu amalkan. Namun sebelum itu, penting untuk ibu fahami terlebih dahulu apakah faktor yang boleh meningkatkan risiko mengalami diabetes ketika hamil.

Faktor-faktor Risiko GDM Ketika Hamil

Setiap individu wanita yang sedang hamil mempunyai risiko untuk mendapat diabetes gestasi ini.

Tetapi terdapat beberapa faktor yang menjadikan sesetengah individu wanita berdepan risiko yang lebih tinggi.

  • Individu yang berusia lebih daripada 25 tahun.
  • Mempunyai sejarah keluarga atau peribadi. Risiko untuk anda menghadapi GDM akan meningkat jika anda mempunyai prediabetes, iaitu keadaan di mana kandungan gula dalam darah yang sedikit tinggi dan menjadi penanda kepada diabetes jenis 2. Sekiranya pada kehamilan sebelum ini anda mendapat GDM, maka risiko untuk mendapat kembali masalah ini adalah tinggi.
  • Berat badan yang berlebihan. Masalah obesiti adalah sangat berkaitan dengan diabetes. Jadi kecenderungan untuk mendapat GDM adalah tinggi jika BMI anda 30 atau lebih daripada itu.
  • Etnik. Ia adalah satu faktor yang sukar untuk diperjelaskan. Tetapi sekiranya anda adalah wanita berkulit hitam, Hispanik, Indian Amerika atau Asia, risiko untuk mendapat GDM adalah tinggi.

Bahaya Kencing Manis Ketika Mengandung

Seperti yang dimaklumkan di atas, masalah kesihatan ini bukanlah satu masalah yang boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Ini kerana terdapat beberapa risiko pada kesihatan yang mungkin boleh berlaku kepada ibu hamil.

Antaranya seperti pendarahan, pitam, risiko melahirkan anak bersaiz besar. Antara risiko lain yang mungkin terjadi adalah seperti:

  • Makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih). Bayi berkemungkinan akan menghadapi kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
  • Bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia).
  • Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis atau demam kuning yang berpanjangan.
  • Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap penyakit diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
  • Ibu berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit.
  • Mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
  • Ibu berisiko tinggi mendapat preeklampsia (darah tinggi) dan tumpah darah.

5 Petua Kawal GDM Ketika Hamil

Ada beberapa langkah yang boleh ibu lakukan untuk menangani kencing manis semasa mengandung. Antaranya adalah:

1. Ubah Diet Pengambilan Makanan Seharian

Diet yang penuh nutrisi adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal gula darah. Wanita hamil perlu mengehadkan makanan yang mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi.

Sebaliknya, ibu perlu makan pelbagai jenis makanan seperti kanji, zat besi, vitamin, dan makanan rendah lemak. Makan tiga hidangan kecil dan satu hingga tiga makanan ringan setiap hari.

Wanita yang mengandung juga harus makan banyak makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, beras bijirin penuh dan roti.

Di bawah adalah beberapa tip memilih makanan baik yang boleh anda ikuti:

  • Makanan bijirin penuh seperti roti gandum penuh.
  • Pilih makanan rendah GI. Indeks Glisemik adalah ukuran bagaimana makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah, seperti pasta yang diperbuat daripada tepung gandum, epal, oren, kekacang, jagung manis dan bubur.
  • Henti minum minuman manis.
  • Pilih makanan yang dipanggang, bukannya digoreng.
  • Amalkan makanan berserat seperti memperbanyakkan pengambilan sayuran berdaun hijau dan buah-buahan.

2. Makan Secara Tetap

Apabila sudah mengetahui pelan pemakanan yang baik untuk anda ikuti ketika sedang hamil, anda juga perlu memastikan anda mempunyai jadual pemakanan secara tetap dan elakkan daripada melangkau sebarang waktu hidangan makanan walau sesibuk mana anda dalam melaksanakan pekerjaan harian anda.

Maka antara langkah yang boleh diamalkan untuk mengawal GDM ketika hamil

adalah makan 3 kali hidangan makanan yang bersaiz kecil atau sederhana.

Jangan mengambil sesuatu hidangan makanan dalam kuantiti yang besar dan banyak. Jika perlu, anda juga boleh menambah waktu pengambilan snek dalam pemakanan harian anda.

Disarankan makan pada 3 waktu makan utama iaitu:

  • Sarapan pagi antara jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi.
  • Makan tengah hari antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang.
  • Makan malam antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam.

Waktu untuk mengambil makanan snek, ambilnya di antara waktu makan utama:

  • Minum pagi antara jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi.
  • Minum petang antara jam 4.00 petang hingga 4.30 petang.
  • Minum malam antara jam 10.00 malam hingga 10.30 malam.

Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil.

Perlu Elakkan:

Semua jenis gula, minuman berkarbonat, kordial, sirap, jem, kaya, kuih manis, aiskrim, susu pekat manis, yogurt manis, buah dalam tin, jeli dan lain-lain.

Perlu Kawalan:

Semua jenis bijirin, nasi, roti, biskut, kuih yang tidak manis, semua jenis pasta dan mi, capati, roti canai, tosai, semua jenis ubi, kekacang, susu dan buah-buahan.

3. Lakukan Aktiviti Fizikal Untuk Kawal Gula Darah

Siapa kata wanita mengandung tidak perlu melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam? Senaman pastinya merupakan satu aktiviti fizikal yang dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah dengan berfungsi mengangkut gula ke sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga. Senaman dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, yang bermakna badan tidak memerlukan insulin sebanyak sebelumnya untuk membantu membawa gula ke sel-sel badan.

Senaman juga pastinya dapat membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa kehamilan seperti sakit belakang, kekejangan dan lain-lain.

Lakukan aktiviti fizikal secara tetap dan teratur mengikut tempoh serta tahap intensiti yang disarankan oleh doktor berdasarkan keadaan kehamilan anda. Ini bukan sahaja membantu mengawal GDM ketika hamil, sebaliknya ia juga dalam masa yang sama membantu menjaga tahap kesihatan anda.

Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik dan membantu mengawal paras gula darah.

4. Pantau Tahap Gula Dalam Darah

Selain mengubah diet pengambilan makanan seharian, antara langkah yang perlu dilakukan adalah memeriksa dan memantau paras gula dalam darah supaya sentiasa dalam keadaan terkawal.

Anda mungkin perlu menguji tahap gula dalam darah secara teratur mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor, termasuk sebelum atau selepas makan bergantung kepada pelan rawatan anda.

Anda boleh melakukan pemeriksaan tahap gula dalam darah di rumah dengan mendapatkan alat pengukur meter glukosa darah yang boleh digunakan di rumah dan pastinya ia akan membantu anda untuk memudahkan kerja pemantauan paras gula dalam darah anda.

Namun, sekiranya anda tidak mempunyai alat pengukur meter glukosa darah, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik.

5. Pengambilan Vitamin C dan D

Vitamin C dan D merupakan antara nutrien yang diperlukan oleh tubuh sepanjang kehamilan. Namun, pengambilan suplemen untuk membantu menguruskan GDM ketika hamil perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan doktor.

Vitamin D memainkan peranan dalam beberapa proses dan fungsi badan, termasuk kesihatan tulang dan metabolisme kalsium. Keperluan vitamin dan mineral semasa mengandung pula boleh berbeza mengikut keadaan kesihatan seseorang.

Oleh itu, elakkan mengambil vitamin C, vitamin D atau suplemen lain dalam dos yang tinggi semata-mata untuk merawat diabetes gestasi tanpa mendapatkan nasihat profesional kesihatan.

Penjagaan Kesihatan Semasa Hamil Dengan GDM

Hamil bermakna bahawa ia bukan mengenai anda sahaja lagi. Mulai sekarang, keselamatan bayi dalam kandungan anda harus diberi keutamaan dari apa jua keputusan yang anda buat.

Oleh itu, ikuti gaya hidup yang sihat, lakukan senaman yang sesuai dan pantau paras glukosa darah anda adalah apa yang harus anda tumpukan semasa anda mengandung.

 

Published by
SRM