Pada tarikh 5 Julai 2014 perginya anak kedua pelakon Linda Rafar, Rezaimen Keiflin ke rahmatullah setelah bergelut dengan kanser Burkitt Lymphoma. Sebagai ibu, Linda sangat kental dan kuat menghadapi kenyataan anak kesayangannya ini sudah tiada lagi.
Rezaimen atau nama manjanya Memen anak paling aktif, paling ceria dan paling sihat antara semua anak-anaknya. Tak pernah sakit malah tak pernah masuk hospital. Arwah cergas berbola sepak, bahkan kuat bersukan.
Tiada kelainan yang dilihat pada anaknya itu sehingga Memen beberapa kali mengadu sakit perut beberapa kali, sehingga satu tahap Memen kelihatan tidak boleh lagi bertahan dengan kesakitan itu. Di hospital, prosedur endnoskopi dilakukan anus dan mulut tidak menemui puncanya. Hingga Linda bertindak membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut atas nasihat doktor. Sakit perut yang disangka angkara angin oleh beberapa doktor sebelum ini akhirnya membongkar tentang ketumbuhan seberat satu kilogram di dalam perut anaknya hasil daripada MRI.
Setelah Memen dimasukkan ke sebuah hospital universiti, satu pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan itu. Pembedahan yang memakan masa sembilan jam itu mendapati ada gelembung yang masih aktif dan berpotensi untuk membesar dan menjadi ketumbuhan baru. Dan satu lagi yang merubah kehidupan Memen apabila doktor mengkhabarkan yang usus Memen terpaksa diletakkan di luar dan najis perlu dikeluarkan menerusi menerusi beg stoma sehingga usus besar sudah sembuh dan boleh disambung semula dalam jangka masa setahun.
Menerima kenyataan ini dan ingin berhadapan dengan Memen dan menceritakan segalanya memerlukan kekuatan jiwa. Ternyata ibu ini amat tabah, walau pun air mata sentiasa bergenang, tidak pernah Linda biarkan dirinya kelihatan sedih di hadapan Memen. Dia tahu dia adalah tunjang kekuatan untuk Memen dan tidak boleh menunjukkan kesedihan, dia perlu berikan semangat untuk Memen.
Linda tidak putus harapan dan terus berusaha untuk Memen. Dia tidak yakin anaknya itu boleh melalui proses kemoterapi yang sangat pedih jadi dia memilih untuk melakukan pelbagai rawatan dilakukan seperti berjumpa ustaz, perubatan Cina, herba, air rebusan akar kayu sehingga bertemu dengan seorang profesor pakar kanser yang memberikan harapan dengan sejenis pil khas berharga RM27,000. Bersama dengan bekas suami, Linda mengambil keputusan membeli pil yang sangat mahal harganya itu untuk Memen.
Sehabis ubat itu selepas 44 hari , Memen sakit kembali dan Linda merayu rawatan kemoterapi untuk Memen. Rentetan rawatan kemoterapi kali pertama ini menyebabkan kompilkasi buah pinggang kepada Memen hinggalah ke hari pemergiannya pada 7 Ramadan tanggal 5 Julai 2014 yang merubah kehidupan Linda yang semakin tabah menghadapi kehilangan anaknya itu.
Ingin tahu bagaimana Linda melalui kehilangan yang amat hebat ini? Ikuti temu ramah Pa&Ma bersama Linda Rafar dalam rancangan Pa&Ma bertajuk “Wira Kecil Berjiwa Besar” pada Selasa, 17 Julai 2018 jam 12 tengah hari.
Bukan mudah untuk mengajar anak menulis pada awal usia. Ketika usia dua hingga enam tahun anak-anak fokus kepada bermain. Namun ada caranya nak buat anak-anak menulis secara bermain. Walaupun sepatutnya pada usia ini anak-anak perlu fokus kepada perkembangan membentuk peribadinya secara positif. Namun disebabkan sistem pendidikan negara seumpama ini, anak-anak perlu tahu kemahiran ini.
Perkongsian Puan Hazrina Nasir ini diharap dapat memberi panduan dan semangat kepada ibu-ibu untuk mengajar dan menanam kan minat untuk menulis seawal usia dua tahun supaya tidak ketinggalan apabila memasuki tadika nanti..
Ramai anak-anak yang boleh pegang pensil sendiri tanpa perlu diajar tetapi ramai juga yang mak ayahnya perlu mengajar anak macam mana cara memegang pensil yang betul. Seterusnya sampailah dia pandai menulis dan melukis sendiri.
Actually isu tak pandai menulis ni bukannya selalu jadi pada special kid saja tapi pada anak normal pun boleh jadi. Setiap anak tu perkembangan dia berbeza-beza dan setiap anak juga unik. Jadi masing-masing ada kelebihan masing-masing. Kadang-kadang ada budak yang lambat sangat pandai menulis.
Tapi sepatutnya mak ayah perlu faham, mungkin anak lebih cenderung kepada aktiviti fizikal jadi kurang fokus kepada benda yang dia kurang minat. Ataupun otot tangan lemah sikit. Tak larat nak tulis lama-lama. Mungkin tak perlu sampai tahap kena pergi terapi tapi mak ayah yang memahami boleh bantu untuk latih anak instead of marah kata anak malas belajar dan sebagainya.
Walaupun tak semua tapi kebanyakan anak istimewa Autisma memang ada isu motor halus termasuklah Ihsan. Adik Ihsan si Aisyah naturally boleh pegang pensel dan dah mula menconteng grafitti sejak umur 2 tahun. Tapi dengan Ihsan Mama haruslah ajar beliau from basic. Usaha ni bukan makan masa satu dua hari ataupun sebulan dua. Tapi makan tahun!
Untuk permulaan dulu, saya bagi je dia main conteng-conteng suka hati dia. Dan saya bagi je pen, marker, krayon, kapur dan lain-lain untuk dia berkenal-kenalan dengan alatan menulis tu. Tak kenal maka tak cinta kan. Bila dia dah familiar dengan alatan tu dan kita dah kenal pasti mana yang dia paling selesa nak guna, baru kita move to next step.
Memang bukan satu perjalanan yang straight forward bagi anak yang ada motor skills issue macam Ihsan. Penuh dengan tangisan dan linangan air mata nak belajar menulis. In fact mula-mula dulu Ihsan langsung tak nakkk pegang pensil. Of course lah dia benci. Otot tangan dan jari dia lemah.
Tapi hari ni Ihsan dah pandai menulis dan melukis. Lagi best, dia tak boleh berhenti sebab itu lah hobby dia sekarang. Walaupun cara penulisan dan melukis dia banyak lagi perlu diperbaiki tapi saya nampak dia ada style sendiri. Honestly saya selalu kagum dengan hasil kreativiti dia.
Cara Mengajar Anak Pegang Pensil Untuk Menulis Dan Melukis
So saya share cara saya ajar Ihsan pegang pensil untuk menulis dan melukis. Ada beberapa perkara yang sebenarnya kita kena faham dan bagi perhatian. Cara-cara yang saya kongsikan ni bukan saja specifically untuk Autism kid tapi juga untuk normal kids. Cuma untuk anak normal banyak steps boleh langkau.
1. Banyakkan Senaman Tangan (Proprioceptive Pressure Massage)
Untuk anak Autisma, memang ada kecelaruan sistem saraf yang affect keseluruhan sistem tubuh termasuklah tangan yang digunakan untuk menulis. Ini disebabkan oleh kecelaruan integrasi deria ataupun sensory integration dysfunction.
Jadi sebelum aktiviti menulis boleh buat senaman ni pada tangan. Senaman ni bantu rangsang saraf-saraf untuk lebih peka, kuatkan sambungan sendi dan otot dan kurangkan tekanan saraf pada bahagian berkenaan. Proprioceptive pressure massage ni boleh buat pada seluruh bahagian sendi tubuh.
2. Banyakkan Buat Aktiviti Menggunakan Jari Dan Tangan
Bagi anak main macam-macam permainan dan aktiviti yang perlu gunakan jari. Contohnya main playdough, guna penyepit baju dan sepitkan di kotak, main puzzle yang ada knob, buat jemput-jemput guna kinetic sand, kutip beras masukkan dalam botol, guna tweezer untuk sepit cotton balls, main koyak-koyak kertas, main theraputty dan sebagainya.
Tunjukkan anak cara buat aktiviti-aktiviti di atas menggunakan 3 jari untuk latih jari anak untuk buat tripod grip masa pegang pensil. Buat juga senaman fizikal melibatkan tangan untuk kuatkan otot tangan contohnya wheelbarrow (berjalan guna tangan), main tumbuk-tumbuk, banyakkan bergayut pada monkey bars dan lain-lain. Jadi tangan tak cepat letih atau penat kalau terpaksa banyak menulis.
3. Menconteng Atas Kertas Mahjong Besar Ditampal Pada Dinding Menggunakan Pen Yang Berdiameter Besar
Bagi anak peluang untuk menconteng. Letakkan kertas besar pada dinding dan bagi anak pen yang berdiameter besar supaya dia mudah nak pegang. Guna krayon atau pen marker yang berwarna terang supaya anak mudah nampak hasilnya dan tak mudah give up.
Bila melukis di dinding, lebih mudah berbanding melukis atas meja sebab tak banyak otot yang perlu fokus. Suruh anak sambungkan titik, turisan, tiru dan lukis bentuk-bentuk asas macam bulatan, segitiga, bujur dan sebagainya. Buat juga latihan garis lurus ke bawah, ke tepi dan garisan berombak serta zigzag.
4. Sediakan Tempat Dan Posisi Yang Betul Serta Alat Bantuan Menulis Seperti Pemberat Dan Qalamiy
Masa anak menulis di dinding, pastikan tangan dia tak terangkat tapi terletak pada kertas. Boleh guna pemberat dan letak pada pergelangan tangan untuk bagi tangan anak steady. Dulu saya cuma guna napkin dan ikat botol bedak pada tangan Ihsan hihi. Lepas tu boleh latih menulis atas kertas besar yang dihampar atas lantai.
Bila anak dah mula boleh bagi kerjasama nak pegang pensel, boleh mula latih menulis atas meja. Kalau menulis di atas meja pula, pastikan dua-dua belah tangan terletak atas meja dan tangan yang menulis juga tak terangkat daripada atas kertas. Boleh guna alat genggaman pensil seperti Qalamiy untuk latih anak pegang pensel yang betul. Atau boleh juga guna pensel yang berdiameter besar dan berbentuk segitiga.
4. Sediakan Material, Ruang Dan Peluang Untuk Anak Bebas Berlatih
Saya memang selalu bagi dia marker untuk lukis atas whiteboard. Ada 2 boards yang memang selalunya dia je yang conquer. Tujuannya sebab saya tengok dia enjoy dan tenang bila melukis. Dia boleh fokus lamaa. Dan saya pun nak bagi dia practise selalu. Memang banyak marker pen dalam rumah ni sebab asyik kena beli je hahaha! Dia pula bila dah guna tak nak tutup hukhuk!
Saya sediakan juga used A4 papers untuk dia menconteng-conteng, juga buku mewarna dan buku pra-penulisan. Tapi selalu juga kertas A4 baru saya yang jadi mangsa. Habis kertas Mama! Saya belikan krayon berdiameter kecil dan pensil warna juga bila dia dah boleh pegang pensil dengan betul.
Dia bebas nak lukis bila-bila masa dia suka. Masa mula-mula dulu entah apa-apa yang dilukisnya. Memang conteng-conteng je. Dan dia lebih suka conteng diri sendiri berbanding atas kertas. Daripada muka sampailah ke kaki. Kadang-kadang bukan kaler pun tapi dok kikis krayon dengan kuku atau tekan-tekan kaler sampai rosak.
Tapi nasib baiklah Ihsan ni perangainya tak berapa minat nak buat grafitti atas dinding atau lantai. Kalau tak habis lahhh. So, beri material ikut peringkat kemajuan anak.
5. Banyakkan Latihan Menggunakan Water Color
Honestly saya jarang guna cara ni. Sebab Ihsan pantang nampak air mesti nak tumpahkan dan dia ada sensory issue so tak suka basah-basah. Tapi sekarang dia dah OK so boleh lah nak bagi main water color kerap sikit. Untuk permulaan, guna je jari. Main cop-cop dan sebagainya. Memang lah comot. Tapi nak anak pandai kan kan? ?
Lepas tu boleh guna berus lukisan yang besar. Latih anak lukis bentuk-bentuk asas dan mewarna. Ini boleh kuatkan pergelangan tangan. Bagus juga untuk latih anak kembangkan imaginasi.
Bila melukis ni, kadang-kadang imaginasi anak Autisma ni terhad. Jadi kita kena rajin-rajin main sama-sama. Demo dan tunjuk pada dia sambil-sambil bercerita. Suruh dia tiru dan dalam masa sama kita prompt dia untuk lukis sendiri benda-benda lain.
6. Beri Sokongan (Support) Supaya Anak Lebih Yakin
Masa mula-mula dulu memang saya terpaksa berkeras nak mengajar Ihsan menulis. Nampak pensil je dia dah mengamuk. Memang stress sangat dulu huhu. Sebenarnya waktu tu saya pun belum pandai nak mengajar so main redah je. Tapi lama-lama Ihsan terpaksa akur. Bila dah boleh pegang tapi dia tak pegang dengan cara betul pun. Dan tulisan dia sangat lah fine. Tak nampak apa dia tulis. Memang tangan lemah.
Jadi untuk tak nak bagi dia pun stress sangat, bila menulis saya support dengan pegang tangan dia sama-sama. Supaya dia rasa lebih yakin dan genggaman tangan dia lebih kuat. Saya guide gerakan tangan dia. Sampailah lama-lama bila dia makin stabil, saya cuma pegang saja just for his confidence. Lepas tu perlahan-lahan saya lepaskan tanpa dia sedar (sebab tengah fokus melukis kan hihi) sampailah sekarang dah tak payah pegang.
Masa dia dah mula berlatih menulis guna pensil, dalam masa sama saya masih buat tips nombor 1 hingga nombor 5 di atas secara berterusan.
Menulis ni sebenarnya tough bagi anak-anak yang baru nak belajar. Banyak otot nak guna bukan saja tangan tapi tengkuk, lengan, postur badan nak kena betul. Dalam masa sama perlukan koordinasi mata dan tangan yang baik. Semua ni perlu seiring.
Macam anak Autisma contohnya mana dengan sensory issue lagi tak selesa nak pegang material, dengan tak boleh fokusnya, pendengaran dan penglihatan yang hyper-sensitive ataupun hypo-sensitive yang menggangu dia untuk concentrate. Eh macam-macam lah! Dah nak terus suruh pegang pensel menulis? Hoih!
Jadi memang parents kena sabar kalau nak mengajar anak. Ikut perkembangan anak secara berperingkat bermula daripada yang paling asas. Dah pandai sikit tingkatkan cabaran task tu. Boleh bertegas tapi berpada-pada ikut kemampuan anak.
It could be a very slow process. Tapi takpe, banyakkan bagi latihan secara konsisten serta berterusan. Tak perlu terkejar-kejar dan membanding-banding dengan anak-anak yang lain.
Memanglah zaman sekarang ni umur 3 tahun pun budak-budak dah masuk tadika. Umur 4 tahun dah kena mula belajar menulis A B C.
Sadis betul dengan nasib kanak-kanak sekarang yang tertekan dengan zaman yang makin kiasu ni. Sepatutnya umur macam ni perlu fokus kepada pembinaan peribadi dan pembangunan diri. Kena main banyak-banyak melasak dan beraktiviti. Tapi tulah…
Anyway, kat rumah galakkan anak enjoy aktiviti dalam bentuk yang menyeronokkan. Takdelah anak pun stress asyik kena paksa pegang pensil dan buku je macam di tadika. Guna kaedah yang anak rasa seperti bermain tapi sebenarnya dia tengah belajar. Anak tulis tak cantik takpe. Jangan terlalu fokus kepada kesempurnaan tapi celebrate setiap tiny achievement! Next time saya kongsikan apa lagi aktiviti-aktiviti yang saya buat untuk practise menulis ni.
Semoga bermanfaat ?
Mendidik anak mempunyai sikap positif sudah pastinya bermula di rumah. Anak yang diasuh dengan baik akan mempunyai jiwa yang halus iaitu jiwa yang peka akan perasaan orang lain dan persekitaran. Justeru, Islam menggalakkan ibu bapa mendidikan anak yang masih kecil dengan penuh kasih sayang dan kesabaran tanpa memerlukan kekerasan. Ikuti perkongsian, Pakar Motivasi. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad mengenai cara didikan positif kepada anak-anak.
Dalam mendidik anak-anak, perkara paling utama dalam Islam ialah pastikan mereka mengenal Allah dan menyembah Allah. Sebab itulah penting ibu bapa memperkukuhkan tauhid anak-anak sejak daripada bayi lagi. Sejak kecil lagi anak-anak perlu didedahkan bahawa setiap ciptaan itu adalah penciptanya iaitu Allah swt. Apabila anak bertanya kenapa hujan turun? Ibu bapa perlu terangkan dahulu dari aspek ketuhanan sebelum aspek sains. Jawablah, “Hujan itu turun kerana Allah yang menciptakan hujan. Ia turun sebagai rahmat Allah kepada manusia. Allah boleh turunkan hujan di bumi mana sahaja yang Allah mahukan. Cuba fikirkan apa yang berlaku sekiranya Allah murka lalu tidak diturunkan hujan? Tiada air untuk diminum, mandi, dan sebagainya.” Bukan setakat faham sahaja, apabila anak sudah tahu dan faham maka Allah sahajanya tempat untuk dia meminta dan menyembah. Allahlah yang patut sentiasa dipuji melalui fikir dan zikir. Oleh itu jadilah ibu bapa yang bertanggung jawab memperkukuhkan tauhid anak-anak sebelum mereka diserahkan kepada guru-guru di sekolah.
Anak-anak yang terbentuk akhlak dan sikap positif juga akan lebih berjaya apabila masuk alam persekolahan dan pekerjaan. Sikap dan akhlak ini akan mudah terbentuk apabila ibu bapa menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. IQ yang tinggi dan cerdik tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan hikmah dan kebijaksaanan. Ilmu yang tinggi tidak bermakna jika tidak seiring dengan adab. Sebab itulah membentuk adab dan akhlak perlu diberikan keutamaan dalam mendidik anak-anak. Disamping menggalakkan anak-anak menghidupkan sunnah, didik juga mereka dengan adat orang Melayu dulu-dulu yang penuh dengan sopan dan santun. Misalnya, bongkokkan badan meminta izin ketika melintas depan orang, tidak duduk sekali dalam kelompok orang-orang tua yang sedang bercakap, ringankan mulut dengan ucapan salam dan terima kasih, dan banyak lagi. Ia membina rasa hormat dalam diri anak terhadap orang lain.
Dengar percakapan anak-anak dengan teliti. Ada ketikanya mereka bercakap secara kasar atau menggunakan intonasi suara yang tidak sesuai. Didik anak untuk bercakap dengan nada yang lembut terutamanya dengan orang yang lebih dewasa. Anak-anak seawal usia tiga tahun sudah mula pandai bercakap bohong bagi mengelakkan dirinya daripada dimarahi oleh ibu bapanya. Sebab itulah apabila kita tahu bahawa anak telah melakukan kesalahan maka usah bertanya saya ada dia lakukan atau tidak, sebab ia akan mendorong anak berbohong. Misalnya, kita tahu yang adik telah mengambil mainan abangnya laku disorokkan. Kita pula bertanya, “Adik ada ambil barang abang ker?”. Agaknya apa jawapan adik? secara logiknya dia tidak akan mengaku lantar menjawab, “Tidak”. Secara tidak langsung ibu bapa telah mendorong anaknya untuk berbohong. Sepatutnya, ibu terus sahaja mendekti anaknya lalu berkata, “Adik, mak tahu adik ambil barang abang. Sekarang mak cuma nak tahu kenapa adik ambil?”.
Tiada ibadah yang lebih penting daripada ibadah solat. Solat adalah tiang agama dan amalan pertama yang dihisab di akhirat nanti adalah solat. Adalah satu kesilapan apabila masuk sahaja bulan Ramadan ibu bapa lebih utamakan puasa berbanding solat anak-anak mereka. Dalam satu hadis, daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.” Jelas sekali Allah mahukan ibu bapa menjadi contoh dalam bab solat ini dan mesti bertegas apabila usianya masuk 10 tahun.
Ibu bapa perlu menjadi contoh dengan mengajak anak bersolat bersama mereka meski pun anak sekadar main-main.
Malah jika anak duduk di tepi memerhati pun sudah memadai. Anak-anak perlu dipaksa untuk solat dan usah ragu-ragu untuk bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak pada usia ini.
Dalam mendidik anak-anak bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Bercakaplah dengan anak dengan nada yang sederhana dan tidak meninggikan suara tanpa sebab. Dalam percakapan itu pula lebihkan kata-kata positif, fokus kepada kebaikan dan kekuatan anak dan bukannya menyebut akan kelemahan dan kekurangan mereka. Sebahagian besar daripada didikan dan pengajaran dalam al-quran disampaikan dalam bentuk cerita-cerita. Maka ambillah iktibar dari al-quran ini dengan mendidik anak-anak melalui cerita.
Ceritakan kepada anak-anak kisah-kisah para nabi dan para sahabat. Ceritakan juga tentang pemimpin-pemimpin Islam yang hebat, para huffaz dan ulamak.
Ceritakan juga kisah-kisah kejayaan orang lain untuk anak-anak jadikan ikutan. Dengan selalu bercerita, jiwa anak-anak terbentuk secara positif. Tanpa disedari cerita-cerita ini membentuk watak, karakter dan mindset anak-anak dan menjadi panduan hidup mereka dalam menjalani setiap ujian dan cabaran.
Tiada perkara yang lebih utama kepada anak-anak selain daripada mereka sedar bahawa ibu bapa memang menyayangi mereka tanpa syarat. Oleh itu usah membanding-banding anak-anak sebab setiap anak itu punya rezekinya masing-masing. Keupayaan dan bakat mereka juga berbeza. Jika ada anak yang kurang menyerlah dalam pelajaran maka tidak mengapa. Ingatkan anak itu untuk berikan yang terbaik dalam hidupnya. Yang penting dia menjadi anak yang baik, beriman dan sentiasa doakan kita sebagai ibu bapa. Sebab, semasa hidup anak-anak perlukan doa ibu bapanya untuk berjaya dan setelah kita meninggalkan dunia ini kita perlukan pula doa anak-anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak menangis, nak biar atau pujuk? Semua ibu ayah akan menghadapi situasi ini cuma yang membezakan macam mana kita menyelesaikannya. Ada banyak sangat pendapat terutamanya di media sosial. Ada yang kata:
“Biarkan je anak menangis, biar dia belajar mengawal emosi sendiri dan bagus untuk paru-paru”
“Jangan biar anak menangis sebab akan menyebabkan masalah perkembangan di masa akan datang”
“Anak menangis terus angkat, mak ayah secara tak langsung spoil anak”
Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi berkongsi pendapatnya. Setiap kali Kelas Merangsang Perkembangan Anak, mesti akan ada soalan tentang anak menangis. Jadi, disini saya nak kongsikan tentang topik anak menangis.
1. ABAIKAN “ORANG KATA”
Benda pertama adalah mindset mak ayah, kalau kita serabut bila anak menangis. Anak lagilah serabut.
Anak yang selalu menangis tak semestinya disebabkan mak ayah “tak pandai jaga anak” kerana setiap keperluan dan perkembangan berbeza. Terutamanya anak yang umur 3 tahun ke bawah yang tak mahir sangat untuk luahkan perasaan mereka. Saya pasti semua mak ayah inginkan apa yang terbaik untuk anak. Kadang-kadang, kita terlalu sangat fikirkan apa orang kata sehinggakan kita dah lukakan perasaan anak kita.
Jangan takut orang kata apa, tetapi lebihkan fokus kepada keadaan yang sedang berlaku.
2. KENALPASTI UMUR DAN TAHAP PERKEMBANGAN ANAK
Cara mengatasi dan memujuk anak adalah sangat berbeza mengikut umur dan tahap perkembangan. Sebab itu, sangat penting untuk mak ayah kenal anak dan memahami betul-betul tahap perkembangan anak.
UMUR 0-6 BULAN
– Tak reti manipulasi mak ayah.
– Meluahkan perasaan dan “bercakap” dengan cara menangis.
– Menangis apabila keperluannya tak tercapai.
– Tak akan berhenti menangis selagi tidak di layan.
– Berhenti disebabkan sudah penat menangis.
Ada kajian menunjukkan 1 daripada 10 bayi menangis lebih 3 jam sehari. Bayi pula ada banyak kategori, bayi kategori “high need” akan lebih banyak menangis dalam sehari. Selagi tak capai keperluannya, selagi itu dia akan menangis. Keperluan bayi pula bukan sahaja kenyang, sihat dan kering tetapi keperluan nak peluk dan dodoi pun termasuk juga. Ada bayi yang letak sahaja boleh tertidur sendiri, ada bayi yang dah dodoi pun susah tidur.
Menurut Paediatrician Dr. Armeet Singh, semasa anak 4-6 bulan adalah waktu kritikal untuk mak ayah dapatkan “special bonding” dengan bayi. Maka, mak ayah WAJIB elakkan bayi menangis lama kerana waktu ini anak sedang belajar sayang dengan orang yang selalu “tolong” semasa mereka menangis. Semakin anak percaya mak ayah, semakin kurang dia menangis. Anak yang kerap dibiarkan menangis semasa ini mungkin mempunyai masalah untuk mempunyai “bonding” dengan mak ayah di masa akan datang.
UMUR 6 – 18 BULAN
– Dah mula belajar memanipulasi mak ayah dengan menggunakan tangisan.
– Mempunyai masalah “separation anxiety” iaitu resah apabila terpisah.
– Menangis apabila berjauhan.
– Rasa tidak selamat dengan tempat, barang atau orang yang tidak dikenali.
Waktu ini memang fasa anak sedang belajar untuk hidup dan mengenalpasti yang mana selamat dan tidak selamat. Banyak menangis disebabkan takut dengan benda baru atau sebab berjauhan dengan mak ayah. Anak ingat yang mak ayah akan hilang selamanya jika dia tak nampak disebabkan masalah dengan”object permanence” terutamanya semasa bawah 8 bulan.
Sewaktu ini mak ayah dah boleh tinggalkan anak menangis sebentar untuk mengajar anak yang kita tak hilang pun jika kita pergi ke tandas sekejap. Kemahiran “object permanence” ini akan mula develop semasa 4-7 bulan dan akan betul-betul ada apabila bayi umur 8 atau 9 bulan.
ANAK UMUR 18 BULAN – 3 TAHUN
– Keliru dengan emosi sendiri.
– Fasa autonomi, perasaan konfiden untuk melakukan sesuatu dengan sendiri dan kebolehan buat sesuatu atau fikir tentang diri sendiri.
– Sedang belajar mengurus emosi yang pelbagai, (marah, sedih, cemburu, malu, kecewa dll).
Ini adalah waktu yang paling mencabar dan kritikal untuk anak belajar mengurus emosi sendiri. Anak yang mengalami masalah lewat perkembangan bahasa selalunya akan mempunyai masalah tingkahlaku. Masalah tingkahlaku menyebabkan anak lagi kerap menangis. Semakin anak membesar, semakin mereka kurang menangis kerana dapat meluahkan perasaan dengan kata-kata.
Periksa dan analisa satu persatu, jika semua tak ada masalah. Cuba peluk dan dukung anak, kalau anak diam dari menangis bermakna mereka perlukan pelukan dan perhatian mak ayah kerana pelukan juga salah satu keperluan sensori anak terutamanya semasa bawah 3 tahun.
Kalau dah buat semua benda tapi anak tetap menangis, mungkin ada perkara yang mereka sendiri tak tahu atau melibatkan kecelaruan emosi mereka sendiri.
4. KECELARUAN EMOSI
Ingat kita sahaja ada masalah emosi, anak juga ada terutamanya semasa 18 bulan – 3 tahun. Ada masa yang kita buat semua cara untuk pujuk anak menangis tetapi semua tak jalan. Makin kita pujuk, makin teruk anak menangis sambil tutup mata.
Jika mak ayah menghadapi waktu ini, cara yang terbaik adalah tinggalkan anak menangis sekejap sambil kita pun tenangkan emosi sambil fikir dan analisa punca anak menangis teruk. Bila anak dah mula menangis perlahan dan mula buka mata serta pandang sekeliling barulah mak ayah datang kepada anak dan peluk.
Mengatasi anak mengamuk waktu ini sangat memerlukan kemahiran menganalisa mak ayah. Sama ada anak menangis disebabkan oleh perkara yang boleh diatasi atau yang tidak dapat diatasi:
A) Boleh diterima dan diatasi – Nak urus diri sendiri (pakai baju, buka seluar, makan minum sendiri) – Nak pergi ke tempat yang boleh diterima dan selamat. – Main mainan yang susah. – Nak memanjat atau main di tanggga.
B) Tidak boleh diatasi – Makan atau minum makanan yang tidak sesuai (air bikarbonat, sup pedas, air panas, ubat mak ayah). – Pergi tempat yang bahaya atau tak sesuai (naik tangga rumah orang lain, jalan raya)
Jika anak menangis disebab A, cara terbaik adalah mak ayah latih skil-skil penting anak sambil beri sokongan pada anak. Semakin cepat anak pandai buat sendiri, semakin kurang episod menangis anak. Kalau anak menangis disebabkan nak memanjat, banyakkan bawa anak pergi memanjat di taman.
Jika anak menangis disebabkan B, tak ada cara lain selain alihkan perhatian anak atau tinggalkan anak menangis sebentar sambil terangkan kenapa anak tak boleh pergi atau makan apa yang dia nak.
Jangan sesekali, anak menangis kita marah mereka menangis sebab menangis tak salah. Inilah satu-satunya cara anak untuk lepaskan perasaan mereka. Anggaplah anak seperti diri kita sendiri yang terperangkap di dalam badan budak kecil yang tersesat di planet lain dan bahasa lain.
Bila kita letakkan mindset sebegini, pasti kita kurang stress bila mengurus anak menangis. Emosi mak ayah sangat memainkan peranan terhadap perkembangan emosi anak. Kalau kita mahu anak belajar mengurus emosi sendiri, pastikan kita pandai dahulu uruskan emosi.
TEKNIK “CRY IT ALL”
Jika mak ayah dah baca sampai habis, agak-agak berapa lama jangka masa kita biarkan anak menangis?
– 1 minit, 5 minit, 10 minit, 30 minit?
Tak ada
Semuanya bergantung kepada perkembangan anak dan kenapa anak menangis. Setiap personaliti anak berbeza sejak mereka 4 bulan lagi. Berdasarkan pengalaman menterapikan beribu kanak-kanak, saya setuju dengan kenyataan ini kerana memang ada anak yang memang “tahan menangis” sehingga berjam-jam. Teknik “cry it out” tak berkesan untuk semua anak. Tak kiralah nak ajar anak tidur sendiri, nak bercerai susu ataupun mengasingkan tempat tidur.
Saya sendiri pernah cuba lakukan teknik ini kepada anak saya sendiri kononnya untuk “mengajar” anak saya tidur sendiri dan saya menyesal. Hasilnya anak saya tetap tak dapat tidur, tahan menangis 1 jam dan emosinya terganggu serta dia jadi sangat sensitif disebabkan emosinya tercedera. Ambil masa lebih kurang seminggu untuk pulihkan emosinya.
Ada masa yang kita mak ayah sendiri tahu adakah anak kita bersedia atau tidak. Jangan terlampau terikutkan orang. Tenunglah mata anak dan tataplah muka anak, adakah anak bersedia?
Jika anak kerap sangat menangis dan mak ayah pernah terfikir untuk cederakan anak, sila dapatkan bantuan profesional. Saya percaya tak semua orang mampu mendengar tangisan anak kerana deria auditori setiap orang berbeza. Jangan malu-malu untuk minta tolong pasangan, keluarga atau profesional untuk membantu.
Isu guru sekolah rendah didakwa janji kahwin murid Tahun 6 ketika umur 18 tahun buat ramai ibu ayah takut dan marah. Dakwaan tular ini cetus kebimbangan tentang keselamatan anak di sekolah.