Mula membersihkan mulut bayi beberapa hari pertama selepas lahir perlu untuk memastikan kebersihan mulut dijaga dari awal. Selepas menyusu, lap gusi bayi dengan tuala kecil yang bersih dan lembap untuk menanggalkan plak.
Ibu bapa perlu tahu kerosakan gigi boleh berlaku sebaik sahaja gigi tumbuh di dalam mulut. Satu keadaan kerosakan gigi yang serius di kalangan kanak-kanak kecil adalah “karies botol susu” yang berlaku apabila bayi itu dibiarkan menyusu secara berterusan dari botol susu, formula, air gula, atau jus buah-buahan semasa tidur atau pada waktu malam.
Sebagai ibu bapa, anda perlu jadikan rutin membersihkan gigi anak dan buang persepsi ‘baru gigi susu kalau rosak pun nanti tumbuhlah gigi baru’. Jika mentaliti ini ada dalam diri anda, bila dapat anak seterusnya pun anda akan fikir hal yang sama.
Ads
Jadi sebaiknya buat langkah ini untuk memudahkan anda membersihkan gigi dengan mudah.
• Mewujudkan rutin pembersihan mulut yang baik di peringkat awal usia.
• Menyelia pemberusan gigi kanak-kanak sehingga berumur enam tahun.
• Gunakan ubat gigi bersaiz kacang hijau untuk mengelak anak anda menelan secara berlebihan.
• Bagi membantu anak anda memberus gigi, berdiri di belakang mereka dan condongkan kepala ke atas supaya semua permukaan gigi boleh diberus menggunakan kaedah gosokan yang lembut.
Selain tip tersebut, anda mungkin boleh mencuba tip yang dikongsikan Lamy menerusi Kelab Soal Jawab Ibu & Bakal Ibu Comel yang menggunakan kayu sugi untuk membuang tompok putih di gigi anak.Saya nak berkongsikan pengalaman saya mengenai kayu sugi yang sangat berkesan menanggalkan kesan degil pada gigi anak saya. Anda boleh mendapatkan kayu sugi di kedai sensei atau di mana-mana kedai dan ianya sangat murah.
Ads
Saya beli sepaket (20 gram) berharga 50 sen sahaja. Sebelum menggunakannya, rendamkan kayu sugi dalam air suam selama 10 minit, kemudian gosokkan kayu sugi itu pada kesan degil di gigi anak anda.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Pada masa kini memang semakin ramai bayi dijangkiti jaundis atau demam kuning sebaik sahaja dilahirkan. Keadaan ini berpunca daripada peningkatan bilirubin dalam darah dan keadaan organ hati yang belum matang.
Disebabkan itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif amatlah disarankan untuk meningkatkan imun sistem dalam badan si kecil tersayang.
Tapi ada antara ibu baru yang mungkin kurang arif untuk mengenalpasti si kecil yang terkena jangkitan jaundis. Perkongsian daripadan Puan Nurasyikin Ali, Breasfeeding Peer Counselor mungkin boleh dijadikan panduan.
Ikuti perkongsian beliau:
PENYUSUAN DAN BAYI JAUNDICE
Ada ke anak-anak ibu yang pernah kena jaundis? Jaundis atau demam kuning selalu terjadi pada bayi berpunca dari peningkatan bilirubin dalam darah dan keadaan organ hati yang belum matang.
Bilirubin ni pulak adalah pigment hasil pemecahan sel darah merah yang kemudian diproses dalam hati sebelum keluar ikut najis bayi.
Biasanya bayi akan kena demam kuning bermula dalam masa 24 jam ke 2 hari atau minggu pertama selepas lahir.
Tapi macam mana nak tahu bayi kena jaundis atau tak? 1. Bayi akan kelihatan tidak aktif
2. Bayi tak nak menyusu
3. Najis bayi pucat
4. Air kencing pekat
5. Kulit, mata bayi kekuningan
6. Bayi suka tidur
7. Demam
8. Tangisan yang tak normal
Sebab tu WHO menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif (tanpa tambahan makanan lain) sehingga bayi umur 6 bulan ke 2 tahun.
Apa yang ibu boleh buat adalah kejutkan bayi setiap 1-2 jam untuk menyusu.
Tak perlu berikan air kosong kepada bayi. Sebab kandungan air dalam susu ibu sudah memenuhi keperluan bayi, bantu tingkatkan imuniti bayi dan penawar terbaik untuk jaundis.
Jika bayi kekurangan susu, maka bayi akan kurang membuang. Sebaliknya, jika lebih banyak bayi minum susu, maka lebih banyak membuang dan dapat singkirkan bilirubin keluar.
Ibu-ibu jangan khuatir dan panik. Segera bawa bayi ke hospital untuk dapatkan rawatan.
Sampel darah (Total serum bilirubin) akan diambil pada bayi yang menunjukkan bacaan kuning dan akan di pantau melalui rawatan phototherapy.
Depresi bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Lebih-lebih lagi jika dialami tanpa kita sedari. Penyakit depresi atau kemurungan ini makin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat atas beberapa faktor.
Mungkin ramai juga yang mengganggap bahawa depresi itu sememangnya sama sahaja dengan stress. Tidak sama sekali.
Penyakit ini merupakan penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang hingga menganggu rutin harian.
Perkongsian dari seorang suami, Najmi Nawawi mengenai masalah depresi yang dialami isterinya sehingga sanggup mencederakan diri dan orang serta caranya untuk bantu isteri benar-benar boleh dijadikan panduan bersama.
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Mula fasa ujian
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Isteri meraung, menjerit, pecah pintu bilik dan cuba tikam
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa daddy and mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
Anak suka mengempeng pada payudara tapi tidak menyusu ialah cabaran buat mama. Mereka akan melekap pada payu dara biarpun sudah selesai menyusu sehingga kadangkala ibu tidak mampu berbuat apa-apa tugas. Ibu mungkin boleh menggunakan cara yang dicadangkan ini sebagai penyelesaiannya.
Apabila dilepaskan puting payu dara daripada mulutnya, dia akan menangis biar pun sudah yakin dia sudah pun lena. Apa yang patut dilakukan agar ia tidak menjadi tabiat buruk kerana keadaan ini menyukarkan ibu untuk bergerak setiap kali sesi penyusuan berlangsung.
4 SEBAB KENAPA BAYI MENGEMPENG
Menurut pakar laktasi, Rita Rahayu Umar, keadaan ini berlaku bergantung pada usia anak. Kadang kala ia adalah biasa bagi bayi yang berusia beberapa bulan memerlukan keselesaan daripada ibunya dan payu dara. Berikut adalah antara sebab terjadinya hal ini;
a)Selama sembilan bulan dia menjadi sebahagian daripada anda dan kini baru beberapa minggu atau bulan menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya.
b)Dia memerlukan momen penyusuan intim bagi mengenang perasaan selesa yang pernah dilaluinya bersama anda.
c)Sesetengah bayi memerlukan lebih keselesaan sewaktu menyusu berbanding yang lainnya. d)Ini kerana mungkin perasaannya lebih sensitif. Tiada salahnya jika bayi hanya boleh tidur lena jika menyusu terlebih dahulu.
e)Kajian menunjukkan anak yang mendapat keselesaan apabila dia menangis, cenderung
untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan diri dan berdikari. Asasnya, jika anda memberi keselesaan kepadanya sekarang, dia akan kurang memerlukannya di masa akan datang.
GUNAKAN PENGGENDONG BAYI
Adalah tidak biasa jika bayi terus mahu menyusu ketika sedang tidur. Untuk itu, ada beberapa perkara yang boleh anda cuba lakukan bagi mengatasi hal ini. Bergantung kepada berapa usia anak, anda mungkin boleh biarkan dia terus menyusu sambil tidur tetapi pastikan dia diletakkan di dalam sling (penggendong). Jadi, anda boleh bangun dan lakukan pekerjaan lain ketika dia tidur.
PERHATIKAN CORAK TIDUR SEBELUM MELETAKKAN KE DALAM PEGGENDONG
Walau bagaimanapun, pastikan bayi benar-benar lena dan tidak lagi menghisap puting sebelum anda cuba mempraktikkan panduan ini. Untuk itu, anda mungkin
perlu menunggu untuk beberapa ketika. Bayi akan melakukan aksi hisapan untuk mendapatkan keselesaan (flutter atau comfort sucking) iaitu hisapan yang lembut dan perlahan-lahan. Apabila bayi baru sahaja tidur, anda dapat lihat dia mengerut mukanya, sebahagian tangan digenggam, bayi menegangkan otot badan serta muka dan
kelopak matanya bergerak-gerak.
CABUT BILA SUDAH TIDUR NYENYAK
Apabila sudah nyenyak tidur pula, anda dapat mengenal pasti dengan melihat corak
pernafasannya adalah biasa, kelopak mata tidak bergerak dan anggota tubuhnya lemah;
tangan terkulai, tiada lagi genggaman tangan serta ototnya lebih relaks. Oleh yang demikian, apabila bayi mula tidur nyenyak, cuba tarik puting dan jauhkan diri
daripadanya secara perlahan-lahan.
GUNAKAN KELINGKING
Satu perkara yang kadang kala membantu ialah sisipkan jari kelingking di dalam mulut
bayi apabila dia sudah tidur. Jadi, anda boleh keluarkan puting payu dara dari mulutnya dan biarkan bayi menghisap jari anda itu. Lama-kelamaan, barulah anda boleh mengeluarkan jari daripada mulutnya. Cara ini membantu dengan memberi sedikit tekanan pada bahagian bawah bibir bayi apabila anda melakukannya. Dengan melaksanakan panduan ini, anda boleh mengelakkan bayi daripada terjaga daripada tidur.
OBJEK YANG MEMPUNYAI BAU BADAN IBU
Meletakkan sesuatu benda betul-betul di sebelahnya yang mempunyai bau badan ibu seperti baju T atau bantal juga dapat membantu.
Ketahuilah, menyusu bukan sekadar membekalkan bayi dengan khasiat yang diperlukannya. Lebih daripada itu, payu dara anda berupaya memberikan keselesaan dan rasa selamat kepada bayi. Masa yang diperuntukkan untuk menyusu bayi adalah sangat singkat tetapi memori kasih sayang yang anda curahkan melalui penyusuan susu ibu akan berkekalan seumur hidupnya. Percayalah, bayi anda dengan sendirinya akan tidur tanpa perlu menyusu pada masa akan datang. Jadi, nikmati momen ini selagi ada.
Sumber: Majalah Pa&Ma
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!