
Ramai ibu bapa mungkin menganggap gigi berlubang pada kanak-kanak bukanlah masalah besar kerana akhirnya akan tanggal dan digantikan dengan gigi kekal. Namun, gigi yang berlubang dan dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan anak menanggung kesakitan, mengalami jangkitan serius dan dalam kes yang jarang berlaku, boleh mengancam nyawa.
Masalah ini juga bukan perkara kecil dalam kalangan kanak-kanak. Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS) melaporkan bahawa 71.3 peratus kanak-kanak berusia lima tahun di Malaysia mempunyai pengalaman gigi berlubang. Angka ini menunjukkan penjagaan gigi perlu diberikan perhatian sejak anak masih bayi, bukannya menunggu sehingga mereka mula mengadu sakit.
Bermula Dengan Ngilu, Akhirnya Anak Tak Boleh Tidur Akibat Gigi Berlubang Pada Kanak-Kanak

Pada peringkat awal, anak mungkin hanya mengadu giginya ngilu ketika makan makanan manis, sejuk atau panas. Apabila lubang semakin dalam dan menghampiri saraf gigi, kesakitan boleh menjadi lebih kuat, berdenyut-denyut dan mengganggu tidur malam.
Anak juga mungkin mula menolak makanan kerana sakit ketika mengunyah. Jika keadaan ini berterusan, selera makan, pengambilan nutrisi, berat badan dan proses tumbesarannya boleh terjejas. Ada anak yang tidak pandai menjelaskan kesakitan, sebaliknya menjadi mudah meragam, menangis atau kerap memegang bahagian pipi.
Gigi Berlubang Pada Kanak-Kanak Boleh Menjejaskan Gigi Kekal
Gigi susu mempunyai peranan penting untuk membantu anak mengunyah, bercakap dengan jelas dan menyediakan ruang bagi pertumbuhan gigi kekal. Jika gigi susu rosak teruk, patah atau terpaksa dicabut terlalu awal, susunan gigi boleh berubah dan menyebabkan gigi kekal tumbuh tidak teratur.
Jangkitan pada akar gigi susu juga boleh menjejaskan benih gigi kekal yang sedang berkembang di bawahnya. Sebab itu, anggapan bahawa gigi susu tidak perlu dirawat kerana “nanti gugur juga” perlu dihentikan.
Jangkitan Daripada Gigi Berlubang Pada Kanak-Kanak Boleh Merebak
Lebih membimbangkan, gigi berlubang yang tidak dirawat boleh menjadi tempat pembiakan bakteria. Jangkitan boleh membentuk nanah atau abses, menyebabkan gusi dan muka membengkak, demam serta kesukaran membuka mulut.
Menurut Pensyarah Pergigian Pelatih Pembedahan Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia, Dr Fattirah Auni Fauzi, jangkitan daripada gigi dan gusi boleh merebak ke bahagian muka, sinus, otak, leher serta saluran pernafasan jika tidak dirawat. Walaupun komplikasi seperti abses otak jarang berlaku, keadaan tersebut boleh menjadi sangat berbahaya.
Betul Ke Gigi Berlubang Boleh Bawa Maut?
Dalam kebanyakan keadaan, gigi berlubang pada kanak-kanak boleh dirawat dengan baik apabila anak dibawa berjumpa doktor gigi lebih awal. Namun, jangkitan teruk yang dibiarkan merebak boleh mengancam nyawa.
Jangkitan daripada gigi bawah misalnya boleh merebak ke dasar mulut dan leher lalu mencetuskan keadaan dikenali sebagai Ludwig’s angina. Bengkak yang berlaku dengan cepat boleh menolak lidah ke atas dan menyekat saluran pernafasan. Keadaan ini memerlukan rawatan kecemasan kerana boleh menyebabkan kesukaran bernafas, jangkitan darah atau sepsis serta kematian jika lambat dirawat.
Trending artikel: Bantuan MamaKerja Kini RM10 Juta! Lagi 5000 Ibu Bekerja Terima Insentif RM1,000
Jangan Tunggu Bengkak Pecah Sendiri
Ibu bapa perlu membawa anak mendapatkan pemeriksaan segera jika anak mengalami sakit gigi berterusan, demam, gusi bernanah, muka atau leher membengkak dan sukar membuka mulut.
Sekiranya anak sukar bernafas atau menelan, air liur meleleh kerana tidak mampu menelan, lidah kelihatan terangkat, suara berubah atau bengkak semakin cepat membesar, bawa anak terus ke jabatan kecemasan. Jangan hanya memberi ubat tahan sakit atau menunggu bengkak surut sendiri kerana punca jangkitan masih perlu dirawat.
Rawatan bergantung pada tahap kerosakan. Doktor gigi mungkin melakukan tampalan, rawatan saraf, mengeluarkan nanah atau memberikan antibiotik apabila diperlukan. Sekiranya gigi sudah rosak teruk dan tidak dapat diselamatkan, cabutan mungkin menjadi langkah terakhir untuk menghentikan jangkitan daripada terus merebak.
Penjagaan Gigi Untuk Mencegah Gigi Berlubang Pada Kanak-Kanak

Pensyarah Kanan dan Pakar Pergigian Kanak-kanak IMU, Dr Yogeswari Sivapragasam menjelaskan bahawa penjagaan mulut perlu dimulakan sejak lahir. Walaupun bayi masih belum mempunyai gigi, gusinya perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari bagi membentuk rutin penjagaan mulut yang baik.
Selepas gigi pertama tumbuh, gunakan berus gigi yang sesuai dengan usia dan ubat gigi berfluorida dalam jumlah yang disarankan. Bantu atau pantau anak memberus gigi dua kali sehari, terutama sebelum tidur. Hadkan makanan serta minuman tinggi gula dan elakkan anak tidur sambil menghisap botol berisi susu atau minuman manis.
Jangan tunggu anak mengadu sakit untuk membawanya ke klinik pergigian. Pemeriksaan berkala membantu doktor mengesan kerosakan ketika lubang masih kecil dan lebih mudah dirawat.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Baca lagi:Hanya Upload Gambar Asal Kepada ChatGPT! Hasil Memang Cantik, Wanita Ini Kongsi Cara Nak Prompt!
Selain itu, ibu bapa digalakkan menjadikan pemeriksaan pergigian sebagai rutin sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun mengikut nasihat doktor gigi. Tabiat penjagaan mulut yang baik sejak kecil bukan sahaja mengurangkan risiko gigi berlubang, malah membantu membentuk kesihatan mulut yang lebih baik sehingga dewasa.
Gigi susu mungkin hanya berada dalam mulut untuk beberapa tahun, tetapi kesihatan gigi ini memberi kesan besar terhadap pemakanan, pertuturan, keyakinan dan perkembangan anak.
Gigi berlubang pada kanak-kanak bukan sekadar membuatkan anak sakit atau menangis pada waktu malam. Apabila jangkitan sudah merebak, risikonya boleh menjadi jauh lebih serius. Jadi, jangan ambil mudah tanda kecil seperti tompok hitam, lubang halus atau anak tiba-tiba tidak mahu mengunyah. Rawatan awal bukan sahaja dapat menyelamatkan gigi, malah boleh mengelakkan komplikasi yang membahayakan nyawa.
Sumber: Kosmo harian metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





