Gigi kekal sudah tumbuh di belakang, perlukah gigi susu dicabut? Hal ini sering menjadi dilema pada mama papa. Perlukah dibawa ke klinik atau biarkan ia tercabut sendiri.

Gigi Kekal Sudah Tumbuh Di Belakang, Perlukah Gigi Susu Dicabut? Ini Kata Doktor Gigi

“Mama tengok ni. Ada gigi baru tumbuh kat belakang gigi Anis,” kata Anis sambil mengangakan mulut ke arah ibunya. Setelah diteliti, memang ada gigi baru kekal tumbuh di belakang gigi kacip bawah. Memang sudah agak panjang dan tumbuhnya menyenget. Gigi kacip susunya itu juga sudah mula bergoyang apabila ditolak lembut dengan jari. Timbul kekeliruan pada fikiran si ibu sama ada ingin mencabut gigi susu tersebut untuk memberi laluan kepada gigi kekal tumbuh atau membiarkan sahaja gigi susu tersebut tercabut sendiri. Mama dalam dilema…

Situasi begini biasa terjadi pada kanak-kanak yang mula melalui fasa tumbuh gigi kekal seawal usia enam tahun. Bagaimana untuk membuat keputusan sama ada perlu mencabutnya atau tidak? Sekiranya dibiarkan adalah gigi kekal tersebut akan tumbuh senget dan bertindan.

GIGI SUSU MULA GOYANG

Menurut pandangan profesional pergigian, Dr Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen mengatakan masalah atau dilema ini biasa berlaku terutama sekali bagi ibu bapa dan anak pertama mereka. Katanya ramai yang mendapatkan perkhidmatan untuk mencabut gigi apabila gigi susu anak mereka mula bergoyang.

Gigi Kekal Sudah Tumbuh Di Belakang, Perlukah Gigi Susu Dicabut? Ini Kata Doktor Gigi

“Gigi susu pertama biasanya akan tumbuh apabila umur kanak-kanak berusia sekitar enam bulan dan biasanya apabila kanak-kanak berusia dua setengah hingga tiga tahun, semua gigi susunya telah tumbuh sepenuhnya. Biasanya gigi kacip akan tumbuh terlebih dahulu, diikuti dengan gigi geraham pertama, kemudian gigi taring dan gigi geraham kedua. Gigi bawah akan tumbuh dulu diikuti dengan gigi atas mengikut urutan tetapi ada juga yang sebaliknya gigi atas tumbuh dulu.

“Apabila umur kanak-kanak sekitar enam tahun, biasanya gigi kacip bahagian bawah akan mula bergoyang. Hal ini terjadi kerana akar gigi susu tersebut telah dihakis oleh gigi kekal yang mula bergerak ke permukaan gusi. Jika gigi yang bergoyang dicabut terlalu awal, maka gigi kekal yang bakal tumbuh akan menjadi makin lambat tumbuh kerana akar gigi yang menjadi rujukan telah tiada. Biasanya gigi yang bergoyang akan tanggal dengan sendirinya apabila tiba masanya,” kata Dr Mazleen.

Kanak-kanak akan memiliki 20 batang gigi susu. Warnanya putih dan akan mula luruh apabila mencecah usia lima tahun ke atas dan diganti dengan gigi kekal.

5 KEADAAN GIGI SUSU PERLU DICABUT OLEH DOKTOR

Walau pun begitu, Dr Mazleen memberikan beberapa keadaan yang memerlukan gigi si manja dicabut oleh doktor gigi iaitu:
1. Apabila gigi kekal telah tumbuh di bahagian belakang gigi susu pada bahagian rahang bawah atau gigi kekal telah tumbuh di bahagian hadapan gigi susu bagi rahang atas sedangkan gigi susu masih belum tanggal lagi.
2. Gigi susunya si manja boleh dicabut apabila ia telah rosak teruk dan selalu menyebabkan gusi bengkak dan bernanah serta sakit yang menyebabkan kanak-kanak sukar makan walaupun pernah dirawat beberapa kali oleh doktor gigi.
3. Keadaan gigi susu yang menyekat pertumbuhan gigi kekal atau menghalang gigi kekal dari tumbuh ke tempat sepatutnya.
4. Apabila sudah sampai masanya untuk gigi itu tanggal tetapi tidak tanggal juga pada usia lapan tahun. Hal ini kerana biasanya bila gigi kekal tidak kelihatan kerana berada di bawah gigi susu.
5. Sekiranya ibu dan bapa tidak mampu dan atau tidak berani untuk mencabut sendiri gigi anak yang sudah bergoyang.

Gigi Kekal Sudah Tumbuh Di Belakang, Perlukah Gigi Susu Dicabut? Ini Kata Doktor Gigi

MITOS TENTANG GIGI TIDAK TERSUSUN

IKLAN

Selain itu, menurut Dr Mazleen, terdapat mitos yang mengatakan sekiranya gigi susu yang sudah bergoyang tidak dicabut segera, gigi kekal yang tumbuh akan menjadi tidak tersusun dan bertindan. Katanya,hal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Terdapat beberapa keadaan dan faktor yang boleh menyebabkan gigi kekal tumbuh menjadi tidak teratur?
1. Keturunan
Rahang muka yang kecil dan gigi yang besar
menyebabkan gigi tidak mendapat tempat untuk tumbuh jadi tumbuh secara tidak teratur. Jika ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali mempunyai gigi yang tidak teratur maka besar kemungkinan anak juga mempunyai masalah yang sama.

2.Gigi yang dicabut terlalu awal
Gigi yang rosak atau bergoyang yang dicabut terlalu awal akan menyebabkan gigi lain bergerak mengambil tempat kawasan yang dicabut
. Hal ini mengakibatkan gigi yang sepatutnya tumbuh di lokasi tersebut tiada tempat . Biasanya gigi yang berlapis adalah gigi geraham kecil dan juga gigi taring.

3.Gigi susu yang tidak dicabut
Gigi tidak teratur biasanya terjadi apabila gigi susu yang tidak dicabut walaupun gigi kekal telah tumbuh. Pada kebanyakan keadaan, gigi kekal menjadi berlapis-lapis dan tidak tersusun.

TIP ELAK ANAK TRAUMA UNTUK PERIKSA GIGI

IKLAN

Dr Mazleen menyarankan ibu bapa agar membawa si manja untuk pemeriksaan gigi dari usia muda iaitu dalam usia dua atau tiga tahun. Bukan sahaja bertujuan cabut gigi, tetapi untuk pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.

 Gigi Kekal Sudah Tumbuh Di Belakang, Perlukah Gigi Susu Dicabut? Ini Kata Doktor Gigi

Hal ini amat penting kerana apabila mereka sudah biasa dan tidak takut dengan doktor gigi maka senang untuk mendapatkan rawatan sama ada tampalan atau cabut. Jangan sesekali memaksa mereka untuk mendapatkan rawatan gigi. Pujuklah dengan cara yang baik. Bimbang sekiranya mereka tidak melakukan dengan rela hati mereka boleh menjadi trauma dan tidak mahu lagi membuat rawatan gigi sehingga dewasa kelak,”.

Katanya lagi, gigi yang bergoyang tidak semestinya  terus dicabut. Gigi susu juga tidak semestinya dicabut oleh doktor gigi. Berjumpalah dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan.

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI