
Masalah gigi rongak, gigi hitam dan gigi berlubang bukan lagi perkara asing untuk kita lihat berlaku pada kanak-kanak. Gigi yang dahulunya putih dan tersusun rapi kini sudah menghilang.

Masalah kerosakan gigi pada kanak-kanak ini berlaku disebabkan banyak faktor seperti pemakanan dan cara menggosok gigi yang salah. Bagi mengelakkan masalah kerosakan gigi, ibu bapa mesti memastikan penjagaan oral dan gigi kanak-kanak dilakukan secara berterusan setiap hari.
Bagaimana kerosakan gigi berlaku?
- Plak gigi yang mengandungi bakteria akan terbentuk dan melekat pada gigi si manja anda.
- Bakteria akan bertindak dengan gula menjadi asid dan menyerang serta mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ia akan membentuk karies gigi yang akan menyebabkan gigi mereput dan berlubang.
- Jika masalah ini dibiarkan, kanak-kanak akan mengalami sakit gigi kerana bakteria di dalam karies akan terus merebak dan menjangkiti pulpa gigi.
- Lebih teruk lagi, sekiranya ia tidak dirawat, si kecil bakal mengalami masalah bisul pada gusi dan radang muka.
Faktor gigi anak rosak
Faktor utama kerosakan gigi berpunca daripada cecair, minuman atau makanan bergula yang diberikan kepada anak. Minuman dan makanan ini mengandungi gula tersembunyi yang akan menyebabkan plak terbentuk sekali gus menyebabkan gigi rosak.
Selain itu, tabiat bayi dan kanak-kanak yang gemar menghisap botol juga boleh menyebabkan kerosakan gigi berlaku. Apatah lagi jika si kecil menghisap botol yang berisi minuman manis ataupun minuman jus bergula.
Langkah pencegahan
Ibu bapa disarankan untuk mengehadkan pengambilan minuman bergula terutama di dalam botol untuk kanak-kanak. Selain itu, elakkan daripada memberikan anak menyusu botol sebelum waktu tidurnya.
Pilih ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi fluorida, iaitu sejenis bahan mineral yang membantu menghalang kerosakan gigi dan menguatkan lapisan enamel gigi. Fungsi fluorida juga adalah untuk membuatkan gigi bertahan daripada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria.
Elakkan meletakkan madu ataupun manisan pada pacifier atau puting kanak-kanak. Selain itu, minimakan penggunaan puting kerana penggunaan yang kerap akan menyebabkan susunan gigi kekalnya nanti tidak cantik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak Anak Pandai Bercakap, Kena Kerap Bermain Dengan Mereka. Ini 3 Jenis Permainan Yang Wajib Anda Buat

Bermain adalah perbuatan sukarela dan menyeronokkan bagi kanak-kanak. Bermain adalah sebahagian daripada aktiviti yang penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari bahasa dan pertuturan. Kanak-kanak meluahkan idea, perasaan dan fikiran mereka sewaktu bermain. Kemahiran bermain merupakan sebahagian daripada kemahiran pra-pertuturan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah bermain:
- Kanak-kanak yang mengalami kecacatan mental
- Kanak-kanak yang mengalami kecacatan fizikal
- Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan
- Kanak-kanak yang mempunyai masalah persepsi
- Kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi dan tingkah laku
- Kanak-kanak yang kurang mendapat peluang untuk bermain
- Kanak-kanak yang mempunyai kelambatan pertuturan dan bahasa
Terdapat 3 jenis permainan:
- Permainan berfungsi
- Permainan membina
- Permainan olok-olok
Baca:
Hasrat Nak Pakai Sedondon Di Pagi Raya Tak Kesampaian, Anak Maut Digilis Treler
Resepi Kerepek Terung Rangup Untuk Kudapan Anak, Guna Tepung Bestari Je! Berebut Anak Makan
“Jangan Bagi Makan Bergula/Manis” Dr Izzar Kongsi Tip Nak Latih Anak Kecil Berpuasa
Permainan Berfungsi
Kanak-kanak bermain permainan berfungsi dengan eksplorasi sesuatu objek. Antara contoh permainan berfungsi adalah seperti menarik, menggoyang atau mengetuk objek, memanjat dan berlari.
Permainan Membina
Kanak-kanak membina sesuatu dengan merancang menggunakan minda. Contoh permainan membina seperti membina istana pasir atau menyusun blok secara bertingkat. Kanak-kanak akan menggunakan minda mereka untuk bermain permainan ini.
Permainan Olok-olok
Bermain menggunakan imaginasi seperti memberikan anak patung makan dan minum atau bermain secara olok-olok seperti menjadi seorang doktor. Keupayaan untuk meniru, penggunaan motor sensori dan kemahiran kognitif adalah penting dalam permainan olok-olok.
Tips bermain bagi meransang pertuturan anak
Sewaktu bermain dengan anak anda, bercakaplah dengan mereka. Komunikasi sewaktu bermain dapat merangsang pertuturan dan bahasa anak anda. Gunakan bahasa yang mudah, intonasi suara yang menarik serta pilih permainan yang bersesuaian dengan umur mereka. Gunakan ruang yang sesuai untuk anda dan anak anda bermain. Anda juga boleh menarik minat mereka dengan mengajak mereka berbual semasa bermain.
Aktiviti bermain mestilah sesuai dengan perkembangan anak anda. Pilih permainan yang bersesuai dengan perkembangan anak. Permainan perlu diubahsuai jika perlu bagi kanak-kanak yang mengalami kelainan upaya.
- Mainan atau barang-barang yang digunakan mestilah bersesuaian dengan umur mereka.
- Kenal pasti minat anak anda dan gunakan minat tersebut untuk menarik perhatian mereka bermain.
- Arahan secara lisan mestilah sesuai dengan tahap pemahaman anak anda. Gunakan bahasa yang mudah difahami.
- Proses mengajar dimulakan dengan perkara asas dan kemahiran yang baru perlu diperkenalkan secara berperingkat.
- Model perbuatan yang hendak anda ajar. Jika anak anda mempunyai masalah untuk meniru perbuatan tersebut, beri bantuan secara fizikal. Sebagai contoh; pegang tangan mereka dan melambai ‘bye-bye’
- Anak anda mungkin berasa kecewa jika waktu bermain terlalu singkat atau tempoh bermain yang terlalu lama juga boleh menyebabkan mereka berasa bosan. Rancang tempoh bermain yang sesuai dengan anak anda.
- Kanak-kanak yang tidak mahu bermain akan ikut bermain jika mereka lihat anda seronok dengan aktiviti yang sedang anda lakukan.
- Beri ganjaran seperti pujian jika anak anda bermain sehingga habis sesuatu permainan.
- Tunjukkan yang anda juga suka apabila anak anda bermain.
Sewaktu bermain, galakkan anak anda bercakap tentang apa yang sedang anda berdua lakukan
Apabila kanak-kanak bosan dengan mainan mereka, anda boleh bermain mainan tersebut dengan cara yang lain seperti menyembunyikan mainan tersebut di dalam kotak untuk mendapatkan semula perhatian mereka.
Ingat, anak anda juga perlukan masa untuk bermain sendiri
Keselamatan sewaktu bermain adalah sangat penting. Pastikan kanak-kanak mendapat pengawasan semasa bermain, ruang bermain yang mencukupi dan peralatan yang selamat
Permainan yang sesuai mengikut umur
Sewaktu bermain dengan anak anda, pastikan mainan tersebut sesuai dengan umur mereka Berikut adalah cadangan permainan yang sesuai mengikut peringkat umur mereka.
UMUR JENIS-JENIS MAINAN
- 0-3 bulan Mainan yang lembut, buku yang lembut, rattles lembut
- 3-6 bulan Rattles yang ringan, buku kulit keras, mainan untuk menggigit, play mat
- 6-9 bulan Buku, anak patung yang lembut, bola, blok berkayu atau blok lembut, mainan perkakas rumah
- 2-4 tahun Permainan yang boleh ditarik atau ditolak, permaian yang boleh ditunggang, permainan aksi seperti buaian, terowong and gelongsor (taman permainan mini)
- 5-8 tahun Permainan yang boleh dimanipulasi seperti permainan potong (cut game), mainan seni dan kraf tangan
Kredit: Ernie Heliza bt. Yusof

Saksikan gelagat Azwan Kombos dan keluarga bersama Irma Hasmie beriadah di Super Park @ Next Gen hanya di Pa&Ma Playdate!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
https://www.youtube.com/watch?v=YMLiCoOw7DU&t=1s
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Jangan Ulangi Silap Saya.” Ibu Ini Kongsi Masa Anaknya 2 Tahun Dah Bijak Di Anggap Hebat Tapi…

Kesilapan yang mungkin ibu bapa tak sedar, tapi berlaku dalam kalangan anak-anak kita hari ini.
Tengok anak pandai berjalan, petah bercakap, dah boleh kenal huruf dan nombor kita akan rasa anak kita hebat kerana perkembangan cepat. Tapi adakah kita terfikir mungkin disebaliknya ada kelemahan yang kita tak perasan.
Ingat setiap anak mereka masih ada kekurangan tapi bagaimana cara ibu bapa mengilap dan membantu untuk menjadi seorang anak yang seimbang dari aspek perkembangan dan akademik bergantung pada cara kita usahakannya untuk berjaya.

Perkongsian dari seorang ibu, Puan Wawa Shauqi mengenai anak sulungnya yang dah dianggap cepat tapi sebenarnya ada masalah deria dan mungkin boleh menganggu proses pembelajarannya nanti.
Ini Ammar, anak sulung saya. Dia seorang yang cepat berjalan dan cepat bercakap. Pada usia dia 2 tahun, dia telah mengenal huruf dan dapat memadankan kesemua huruf kecil dan huruf besar.
Pada usia 3.5 tahun, dia mula membaca dan menghafal lebih dari 20 surah. Sekarang usianya 4 tahun, telah masuk separuh buku Iqra’ kedua.

Nampak macam perkembangannya cepat, tetapi ada perkara yang dia tidak mahir kalau nak dibanding dengan teman seusianya yang lain.
Pada usia 3 tahun, dia masih belum boleh menangkap bola pada paras dada. Malah tangannya tak cukup kuat untuk menyepit objek menggunakan forcep mainan. Tangannya juga tak mampu bergayut walau 2 saat di ‘monkey bar’.
Saya sangka, mungkin kekurangannya itu kecil dan biasa. Mungkin pencapaian motor kasarnya tak mengikut carta milestone kerana dia bukan kategori ‘body intelligence’.
Yalah, sangka saya setiap budak ada kelebihan dan kekurangannya.
Tapi bukan itu sahaja. Ammar seorang penggeli. Dia geli memijak pasir, geli duduk pada kerusi kulit (atau pvc) dan menjerit bila memegang ais.

Gelinya kadang-kadang keterlaluan. Pernah dia menjerit waktu kami lalu di sebuat kedai mainan. Ingatkan apa yang ditakutnya, rupanya ‘Magic Stretch Ball’. Seronok betul kami menyakat dia dengan bola tu.
Saya tak pernah sangka kesemua masalah ini mempunyai perkaitan yang sama. Malah masalah dia meraung bila mencuba kasut baru di mall dulu juga, ada kaitannya.
Dia mempunyai tanda-tanda yang kebiasaan ada pada anak-anak yang ada kecelaruan neurologi. Tanda-tanda yang disebut OT Maryam itu mengesahkan yang Ammar mempunyai masalah sensori sentuhan, atau dalam istilahnya Sensori Processing Disorder (SPD) terhadap deria Tactile (Hypersensitif).
Ammar mungkin membaca awal dan cepat tangkap dalam pembelajaran, tapi masalah ini jika saya tak sedar dari awal, akan mengganggu pembelajarannya bila dia mula bersekolah nanti.
Nasib baik saya cepat sedar. Mujur Allah cepat temukan saya dengan pakar.

Alhamdulillah setelah saya lakukan pelbagai aktiviti ransangan, sekarang ‘sensitiviti’ Ammar dah banyak berkurangan. Cuma dengan Magic Ball tu masih takut-takut. Fobia kesan dari kena sakat masa kecil agaknya.
Kadang-kadang kita terlalu mahukan anak pandai, lalu kita hulur anak buku, pensil & kertas dan kita nafikan fitrah anak bermain.
Sedangkan dari bermain itulah anak-anak membina asas akademik mereka. Dari bermainlah anak akan belajar komunikasi dan membina keyakinan diri. Dan dari bermainlah daya tumpuan anak dipertingkat.
Dari bermain jugalah kesemua deria mereka berstimulasi dan berintegrasi bersama dengan baik.
Apa kaitan DERIA ini semua dengan akademik?
Eh penting sangat. Deria sentuhan yang baik adalah asas untuk anak kuasai kemahiran motor halus seperti menulis dan mengguna tangan dengan baik.
Deria rasa pula membantu memberi stimulasi awal untuk anak menggunakan mulut untuk bercakap, selain mengelakkan masalah ‘picky eater’ pada anak.
Deria visual dan auditori pula penting untuk memberi tumpuan yang baik semasa dalam kelas dan mengenal huruf, nombor, bentuk serta simbol.
Deria sendi dan kestabilan akan bantu anak-anak menguasai hampir kesemua kemahiran dalam hidup.
TAPI.
Tapi bermain pun perlu ada tujuan. Setiap permainan perlu betul caranya supaya merangsang perkembangan anak-anak.

Seperti yang diajar OT AisyahRozalli, main pun perlu ada 5 target. Antara targetnya adalah supaya anak mahir berkomunikasi, mahir berdikari dan mahir guna tubuh.
Haa! Ajar anak main pun kena ada ilmu tau.
Ya, memang tak dapat dinafikan setiap ibu bapa ada cara didikan yang tersendiri. Tetapi ilmu masih perlu kita cari. Tempoh tumbesaran anak singkat untuk kita cuba-cuba dan buat silap.
Ikut rapat-rapat ikon-ikon keibubapaan ustaz ustazah dan para terapis, supaya kita tak silap mendidik anak.
Sumber: Wawa Shauqi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kuatnya Lelaki, Hal Lain Selamba Handle. Masuk Bab Baby Girl Dia, Boleh Menangis!

Rupanya anak perempuan boleh jadi lebih berjaya sekiranya mereka rapat dengan ayah. Bahkan penting untuk ayah selalu pesan 5 perkara penting ini kepada anak perempuan mereka.Hubungan ayah dengan anak perempuan memberi impak besar terhadap perkembangan positif anak perempuan.
Kajian menunjukkan bahawa ayah yang mempunyai hubungan rapat dengan anak perempuan dapat mempengaruhi pembentukan harga diri dan keyakinan diri si anak hingga dewasa.
Artikel Menarik: [Asyik Mengamuk Tak Tahu Punca, Petanda Anak Tak Cukup Tidur]

Persepsi anak perempuan terhadap ayah banyak mempengaruhi kehidupannya dan menjadikan ia seorang wanita yang kuat dan tabah kelak.
Hubungan anak perempuan dengan ayah sangat penting. Ayah memberikan pengaruh berpanjangan kepada anak perempuan. Ayah mampu membuatkan si anak mencapai kejayaan di masa hadapan.
Bagaimana hubungan anda (ayah) dengan anak perempuan? Sebab itu pentingnya setiap yang bergelar ayah sering berkomunikasi dengan anak perempuan dan mempunyai hubungan erat ayah dan anak.
1. Fikir sebelum bercakap
Orang perempuan cenderung untuk selalu bercakap yang bukan-bukan apabila mereka sedang marah. Elakkan anak perempuan daripada mempunyai sikap begitu. Ia perlu diasuh sejak kecil.
Ia mesti ditunjukkan oleh ibu bapa sendiri. Di sini pentingnya peranan ayah untuk memberitahu anak supaya berfikir sebelum mereka bercakap. Ayah mesti beritahu anak supaya fikir perasaan orang lain jika mereka berkata-kata.

Paling penting, ayah mesti tunjukkan contoh tauladan. Tunjukkan contoh bagaimana menjadi orang yang menghormati orang lain sebelum mengeluarkan kata-kata, ia akan memberikan pengaruh berpanjangan kepada anak perempuan supaya pandai menjaga hati orang lain ketika bercakap.
2. Percaya dan yakin pada diri sendiri
Ayah mesti menanamkan sikap percaya dan yakin pada diri sendiri kepada anak perempuan. Mereka akan membesar sebagai seorang wanita satu hari nanti maka ada pelbagai perubahan yang akan dilalui. Walau apa pun perubahan yang mereka lalui, sentiasa ingatkan mereka untuk tetap berkeyakinan diri.
Bercakap dari kaca mata seorang lelaki yang telah melalui banyak pengalaman, ayah perlu mengingatkan anak perempuan supaya sentiasa menjaga maruah diri dan dalam masa yang sama perlu berkeyakinan.
Mempunyai ayah yang sentiasa mengingatkan anak perempuan untuk berkeyakinan dan percaya pada diri sendiri memberikan impak besar yang positif terhadap perkembangan anak.
3. Menjadi berani
Walaupun anak perempuan nampak manja dan agak penakut tetapi penting untuk menanamkan kata-kata semangat kepada anak perempuan supaya sentiasa berani. Ketika anak perempuan mula belajar berjalan, ayah adalah orang yang paling kuat memberikan kata-kata semangat supaya anak berani melangkah walaupun berisiko untuk jatuh.
Artikel Menarik: [Usah Tewas Dengar Anak menangis. Selai Tak bahaya, Biar Anak Belajar Pujuk Dirinya]

Dari situ anak memperoleh keberanian untuk meneruskan perjuangan sampai berjaya dan kata-kata tersebut perlu diteruskan secara konsisten sampai bila-bila kerana anak perempuan perlukan daripada seorang ayah!
4. Ayah sentiasa sayang
Anak perempuan memang anak yang manja. Mereka suka disayangi dan dimanjakan walaupun sudah besar. Ayah, jangan lupa tentang hal ini! Sentiasa berikan mereka perhatian dan konsisten ucapkan yang ayah sayang akan dirinya.

Percayalah, anak perempuan yang dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang daripada ibu dan ayah serta sentiasa mendapat ucapan sayang daripada ayah akan membesar sebagai anak yang bahagia dan berjaya.
Ucapan sayang daripada ayah memberi seribu makna kepada anak perempuan dan ia terus tersemat dalam sanubari mereka sampai bila-bila.
5. Melindungi anak
Ayah sentiasa menjadi pelindung kepada anak-anaknya terutama anak perempuan. Walaupun tegas dan nampak garang tetapi sebenarnya ayah seorang yang penyayang kepada anak perempuan.
Seorang ayah akan sentiasa melindungi anak perempuannya daripada perkara buruk. Ayah selalu nampak ‘tak sporting’ dalam banyak perkara tetapi sebenarnya dia lebih memikirkan perkara buruk yang mungkin tidak pernah terfikir oleh si anak. Itulah sikap pelindung seorang ayah.
Artikel Menarik: [Kalau Anak Jatuh Terhantuk, Buat Pemeriksaan Menyeluruh Bimbang Ada Kesan Jangka Panjang]
Setiap ayah berkemampuan mengajar anak perempuannya kekuatan sebenar dan nilai keyakinan diri. Ayah memang tegas dan garang tapi jauh di sudut hati ayah sangat menyayangi dan melindungi anak perempuannya dan tidak mahu si anak disakiti sama sekali.
Sumber: Inc.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!




