Bukan senang untuk mengekalkan berat badan selepas bersalin namun penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berjaya membuktikan kelahiran anak kedua bukan alasan untuk mengekalkan bentuk badan seperti sebelum melahirkan.
Kata Dato’ Siti, bila badan semakin berusia semakin payah untuk kembali mengekalkan berat badan. Namun dia punya cara sendiri dalam memastikan beratnya kekal langsing biarpun masih lagi mensasarkan penurunan sebanyak 10kg.
Ketika ditanya mengenai tip turun berat badan yang dilakukan Siti, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi caranya sendiri ketika Webinar Penyusuan Pa&Ma, Aku Tak Penat Susukan Anak.
“Apa yang saya boleh kongsi dekat sini, wanita ni kalau waktu pantang tu pantanglah betul-betul. Ramai yang berkongsi dengan saya waktu pantang ni badan kita senang nak mengikut.
“Kalau kita pakai bengkung, bertungku, berurut dan sebagainya ini semua cara kita mempercepatkan proses turun berat badan.
“Lepas habis pantang memang saya aim untuk kembali cergas semula. Saya start dengan bersenam, memang tak boleh malas. Saya tak buat senaman yang berat masa awal-awal sebab saya Czer.
“Lepas pantang 100 hari barulah saya pergi jogging dan mula buat senaman ringan, yoga dan pilates untuk bagi badan berpeluh. Saya memang tak ambil atau amalkan produk-produk sliming, semua secara semulajadi dengan senaman dan jaga pemakanan,” kongsinya.
Ads
Masih aim 10kg
Malah kata Siti lagi, walaupun sudah banyak penurunan berat yang dialami namun katanya dia masih lagi menyimpan hasrat untuk turun 10kg lagi. Baginya kesihatan lebih penting, demi untuk menguruskan dua anak kecilnya yang sedang membesar.
“Sebenarnya saya masih lagi aim penurunan berat badan saya lagi 10kg, tapi bukan senang.
“Disebabkan saya menjalani rawatan IVF jadi banyak proses saya terpaksa lalui masa mengandung. Masa mengandungkan Afwa berat saya 80kg dan dekat bersalin berat saya 92kg dan kini alhamdulillah dah jadi 70 lebih. Alhamdulillah tapi saya masih lagi aim 10kg.
Ads
“Bagi saya bukan sebab kita nak pakai baju cantik-cantik dan menarik tapi kesihatan tu yang lebih penting.
“Lepas bersalinkan Aafiyah saya akui saya selalu sangat sakit pinggang, banyak baring masa IVF jadi saya banyakkan senaman untuk kembalikan kecergasan saya.
“Anak saya kecil-kecil lagi, saya kena pastikan badan sihat untuk tengok anak-anak membesar. Bila badan sihat, minda saya pun sihat, apa nak buat pun saya rasa macam bersemangat.
“Lepas habis pantang 100 hari juga saya ambil Beausiti setiap hari untuk kekalkan kesihatan saya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, menerusi Webinar itu juga, Dato’ Siti turut berkongsi pengalamannya menyusukan dua anaknya, Aafiyah dan Afwa yang melalui seribu satu pengalaman di awal penyusuan.
Namun alhamdulillah, berkat tunjuk ajar dan bimbingan orang terdekat, penyusuan kedua-duanya begitu lancar dan sukses. Malah kata Dato’ Siti lagi, proses menyusukan dua anak kecilnya itu adalah pengalaman paling indah dalam hidupnya.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit foto: @ctdk
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehilangan anak pertama memang sesuatu yang sukar diucapkan. Lagi-lagi anak tidak dapat merasai susu ibu sepenuhnya.
Namun kisah dari Nad Masrom yang juga Kaunselor Penyusuan ini dapat menguatkan semangat ibu-ibu dalam memperjuangkan hak anak mendapat susu ibu.
Semoga kisah kegagalan yang membawa kepada kehilangan anak pertamanya akan menjadi iktibar bersama untuk terus bertahan dalam dunia penyusuan susu ibu. Ikuti luahannya..
Pengalaman penyusuan anak kedua saya, Nur Khadijah alhamdulillah begitu indah dan diizinkan Allah sehingga cukup tempoh 2 tahun. Saya dapat menyusukan Khadijah dalam 30 minit selepas kelahiran. Alhamdulillah, saya dapat melalui setiap fasa penyusuan selama 2 tahun ini dengan baik. Dan Allah sentiasa beri saya peluang untuk terus menimba ilmu penyusuan serta membantu ibu-ibu lain dengan mengizinkan saya untuk menjadi seorang breastfeeding peer counselor.
Semangat juang saya untuk meneruskan penyusuan susu ibu buat Nur Khadijah dan membantu ibu-ibu lain yang mempunyai masalah dalam penyusuan dikuatkan oleh rasa serba salah saya terhadap anak pertama saya, Najla Batrisya. Saya telah merasakan diri saya gagal untuk menyempurnakan penyusuan susu ibu buatnya. ‘Kegagalan’ saya bukanlah kegagalan biasa yang tidak perlu dikesali. Kegagalan kali pertama itu mungkin adalah suratan takdir namun telah memberi kesan kepada siapa saya selepas kejadian itu.
———————————————————————-
3.8.2011 – Tepat jam 1.02 pagi, saya telah selamat melahirkan puteri pertama, Najla Batrisya secara normal dikala usia kandungan baru berusia 30 minggu. Anak pertama saya dilahirkan pramatang kerana PPROM (Preterm Premature Rupture of Membrane – Pecah Ketuban Pramatang). Saya ditahan di wad selama 3 hari dan diberikan rawatan sewajarnya oleh pakar dan para doktor serta jururawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum melahirkan puteri sulung saya itu.
Tangisan kuat dari seorang bayi yang mempunyai saiz fizikal yang kecil dengan berat hanya 1.5 kg memecahkan suasana pagi 3 Ogos 2011. Selepas bersalin, bermulalah detik-detik penuh liku dalam hidup saya sebagai seorang ibu. Tidak seperti bayi full term, saya hanya sempat menatap wajah Najla beberapa minit sebelum Najla dibawa ke NICU untuk rawatan lanjut.
Tiada Ilmu Penyusuan
Sejujurnya, saya TIADA ILMU tentang penyusuan susu ibu waktu tu. Saya fikir, proses penyusuan itu adalah suatu proses semulajadi yang mudah. Bila-bila bayi nak menyusu, saya hanya perlu beri dan susu akan keluar mencurah-curah. Saya langsung tak terfikir untuk marmet dan bekalkan susu awal kepadanya. Istilah ‘marmet’ ketika itu juga suatu yang janggal bagi saya. Saya cuma fikir rasa penat dan sakit sahaja lepas bersalin.
Saya masih bingung dengan status saya sebagai seorang ibu ‘baru’ waktu itu. Saya cuma lihat Najla dalam incubator dan sedang diberi susu formula khas untuk bayi pramatang oleh nurse dengan menggunakan picagari dan tube. Langsung saya tak bertindak untuk cuba perah susu waktu tu atau minta keizinan doktor untuk saya susukan Najla.
Petang tu saya dibenarkan pulang tapi Najla perlu ditahan di wad. Sebelum discharged, ada seorang staff nurse mengajar saya cara marmet dan nasihatkan saya untuk bekalkan susu awal yang mengandungi kolostrum untuk bayi pramatang saya. Pesannya, bayi saya sangat perlukan susu ibu kerana ususnya belum matang dan adalah lebih mudah untuk cernakan susu ibu berbanding susu formula.
Maka balik sahaja dari hospital, suami terus belikan breastpump. Berusaha keraslah saya mengepam. Lebih 30 minit mengepam, yang keluar hanya beberapa titik susu sahaja, kalau dikira mungkin ada dalam 5ml. Saya panik dan terus menganggap yang SUSU SAYA TIADA!
Langsung saya tidak tahu tentang sifat semulajadi kolostrum yang memang sedikit dan tak akan jadi sampai 5oz bila diperah. Saya terus mengalah dan biarkan sahaja Najla diberikan susu formula bila saya tiada di sisinya.
Sekali sekala, saya cuba juga untuk perah sikit demi sedikit dan kumpulkan semua susu saya itu. Kemudian saya hantar ke hospital walaupun beberapa ml yang saya dapat. Gembira sangat hati bila Najla mula diberikan susu ibu.
Hari ke-5, Najla dikeluarkan dari incubator. Saya diberi peluang untuk menyusukan Najla secara direct. Lama saya duduk di bilik menyusu. Saya tak tahu langsung cara pegangan bayi pramatang yang betul. Terkial-kial saya di bilik menyusu seorang diri. Dan selama hampir 30 minit, barulah saya sedar hisapan Najla tidak kuat, dan acapkali hisapannya terlepas dan Najla akan terus tertidur.
Sekali lagi saya buntu dan terus mengalah. Saya betul-betul tak faham kenapa penyusuan susu ibu TIDAK SEMUDAH YANG DISANGKA.
Setiap hari saya cuba menyusukan direct Najla tapi tidak pernah berjaya. Akhirnya saya mengepam sahaja dan bagi Najla minum menggunakan syringe @ cup dan sudu. Masa tu saya cuma mengepam waktu breast penuh sahaja. Langsung saya tak tahu yang mengepam pun ada waktunya, bukan tunggu breast penuh.
Saya mula kumpulkan stok setiap hari. Tapi sejujurnya, saya langsung tidak tahu cara pengendalian EBM dan tempoh EBM yang boleh digunakan selepas pemanasan. Saya main buat sahaja. Dan setiap hari saya akan berikan anak saya EBM itu.
Malangnya, setiap kali anak saya perlu ditimbang, beratnya tak pernah naik. Dan ada waktunya, berat anak saya turun pula.
Buat Keputusan Silap
Saya jadi STRES. Doktor kata selagi berat tak melepasi tahap minimum, anak saya tak boleh keluar. Dan saya yang tertekan waktu itu terus menganggap susu ibu tiada khasiat dan tak boleh naikkan berat Najla.
Maka saya ambil keputusan untuk berikan anak saya susu formula khas untuk bayi pramatang diselang-selikan dengan susu ibu. Setiap hari pasti ada sesi anak saya akan minum susu formula. Waktu itu, dalam fikiran saya hanya inginkan yang terbaik untuknya dan ingin dia naik berat dengan cepat.
Namun semua impian tu tiba-tiba berubah jadi satu peristiwa yang saya tak boleh lupakan sampai bila-bila. Pada hari ke-18, muka Najla beberapa kali bertukar biru untuk seketika. Susu yang diminum muntah beberapa kali. Saya rujuk pada MO yang ada dan doktor kata kemungkinan anak saya tersedak susu. Namun semua tu jadi lebih dari apa yang disangka.
Najla dimasukkan ke wad NICU A4 selama 6 hari kerana jangkitan kuman. Pada hari ke-23, keadaan Najla bertambah baik. Namun semua itu tidak lama. Lebih kurang pukul 6.30petang, 23/8/2011, Najla lihat saya dan menangis sekuat hati. Saya rasa tak sedap hati. Saya nampak di kerongkong Najla penuh susu. Najla muntah lagi!
Selepas susu disedut keluar, saya tak tinggalkan Najla. Saya tak sedap hati. Betul telahan saya. 5minit selepas itu bacaan oksigen Najla drop dari 96% ke 17%!. Keadaan jadi kelam kabut. Najla segera dibantu dengan ventilator. Mesin yang begitu canggih itu tidak dapat membantu pernafasan Najla ketika itu.
Keadaan Makin Teruk
Lebih kurang pukul 7.45 malam, MO datang diikuti doktor pakar. Saya dapat lihat doktor melakukan CPR dan bantuan untuk jantung Najla berdegup sebab saya dapat dengar dan lihat bacaan jantung Najla di mesin, drop hingga bawah 20 dengan bunyi amaran begitu kuat. Bantuan yang diberikan oleh doktor berlarutan sehingga 3 jam lamanya.
Hancur luluh hati saya bila melihat Najla dicucuk-cucuk hingga lebam setiap penjuru tubuh kecil itu. Tilam Najla penuh dengan darah kesan tusukan jarum untuk memasukkan pelbagai ubat dengan dos maksimum. Hinggakan suatu ketika yg amat kritikal, salur darah Najla sukar untuk ditemui, doktor terpaksa mencari salur darah di kepala Najla. Najla terus bertarung nyawa. Pukul 10.30 malam, keadaan Najla kembali stabil dan Najla kembali aktif.
Saya terus merujuk kepada doktor pakar tentang keadaan Najla. Menurut doktor, keadaan Najla sangat-sangat tidak stabil kerana daripada sample darah yg diambil didapati terdapat kandungan garam (kalau tak silap saya) yang sangat tinggi apabila antibiotik dimasukkan untuk melawan serangan kuman menyebabkan jantung Najla terhenti dan Najla berhenti bernafas. Keadaan Najla sangat tidak diduga sebegitu rupa kerana Najla dijangka akan sembuh dan keadaannya jauh lebih baik sebelum ini berbanding bayi lain yang sedang kritikal. Namun melihat keadaannya yang aktif kembali, doktor tetap suruh saya berdoa kerana bila-bila masa sahaja apabila ubat yg dimasukkan telah habis digunakan, Najla akan kembali tidak stabil.
Lebih kurang pukul 3 pagi, di luar tingkap wad terdengar bunyi mesin oksigen Najla. Bunyi itu begitu kuat dan saya faham dengan maksud bunyi itu! Najla berhenti bernafas! Sekali lagi Najla cuba dibantu oleh beberapa staff nurse dan doktor. Pelbagai bantuan dibuat tapi akhirnya Najla tidak memberi sebarang respon. Bacaan jantung dan oksigen Najla tidak dapat dikesan. Doktor suruh saya memanggil suami dan menyatakan keadaan Najla sudah tiada harapan.
Saya dan suami memegang tangan Najla kanan dan kiri. Kami bisikkan kalimah Allah dan syahadah..Tiba-tiba Najla memegang erat tangan kami. Begitu erat seperti genggaman tangan org dewasa. Dan tiba-tiba juga bacaan oksigen Najla meningkat kepada 100% dan bacaan jantung Najla meningkat kepada 166. Saya tergamam. Doktor juga bingung. Namun saya tahu, Najla masih ada kerana ingin menguatkan hati kami supaya redha dengan pemergiannya nanti. Saya tahu Najla tidak mahu kami ralat dan ingin bersama kami untuk suatu ketika yang lebih lama. Gerak hati saya begitu kuat sebagai seorang ibu. Saya bisikkan pada suami, “Kita jangan seksa dia lagi ye..”.
Pukul 5.30 pagi saya pujuk suami untuk maklumkan pada semua ahli keluarga. Suami akur. Saya terus menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakan. Semua ahli keluarga yang hadir akhirnya buat pertama kali dan terakhir dapat memegang Najla sejak 22 hari yang lalu.
Kembali Pada Pencipta-Nya
Pukul 8 pagi, doktor pakar hadir, pemeriksaan dilakukan dan memaklumkan kpd kami, Najla sudah tiada harapan lagi. Doktor pakar menunaikan impian terakhir kami untuk memeluk dan memangku Najla. Segala wayar dan tiub yg berselirat pada tubuh kecil Najla dicabut.
Tepat 8.20pagi, mata Najla yang sejak tadi terbuka tertutup sendiri. Genggaman yang begitu kuat dilepaskan. Najla tersenyum.Ya, Najla sudah tiada lagi.
Dan kerana itu, TIADA ALASAN untuk saya tidak boleh menyusukan Nur Khadijah sehingga 2 tahun walaupun banyak cabaran yang perlu dilalui. TRAUMA yang saya lalui dengan kehilangan anak pertama saya adalah lebih hebat berbanding cabaran penyusuan yang perlu dilalui dalam tempoh 2 tahun ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melihat anak-anak menjinjit beg duit saban waktu hanya kerana ingin membeli barangan kesukaannya buat kita rasa terhibur. Namun inilah konsep menabung yang perlu kita terapkan pada anak.
Konsep tabung sedekah subuh antara yang boleh kita kongsikan dengan anak. Insyallah rezeki kita dan anak-anak tak akan putus-putus. Rezeki sentiasa dipermudahkan malah hati pun lebih tenang. Niatkan bersedekah pada yang memerlukan, insyallah Allah beri lebih rezeki untuk kita dan anak-anak.
FORMULA REZEKI INFINITI DENGAN TABUNG SEDEKAH SUBUH
1. Masukkan derma seikhlas walaupun 50 sen setiap hari pada waktu Subuh. Jangan miss walau sekali pun. Ingat, Allah tak pandang nilai wang, tetapi keikhlasan tika kita memberi.
2. Cukup sebulan, dermakan ke masjid atau beri makan kepada anak yatim, orang yang memerlukan atau kepada mereka yang sangat layak untuk menerima sumbangan. Mungkin saudara mara kita sendiri, sahabat yang dalam kesusahan atau kurang berkemampuan. (Nanti, ingatkan saya untuk menulis apakah kebaikan bersedekah kepada mereka yang di dalam kesusahan ini).
3. Waktu tiap kali menderma ke “Tabung Subuh” tu, lakukan ia sambil berdoa dengan spesifik dan jelas serta penuh tenang dan rasa gembira (elevated emotion). Kemudian, ucapkan alhamdulillah penuh kesyukuran dan keyakinan. Ingat, ALLAH Maha Mendengar.
Yakinlah bahawa ganjaran dari Allah itu boleh dihantarkan melalui rezeki yang tidak disangka-sangka (oleh akal fikiran kita yang terbatas ini) serta dari pelbagai pintu dan arah. Yakin juga bahawa tidak ada yang sukar bagiNya. Dan Dialah Al Ghanni (Maha Kaya) dan Al Mughni (Maha Pemilik Kekayaan).
4. Jika tidak sempat sediakan “Tabung Subuh” di rumah, kumpulkan setiap hari dan sedekahkan kepada masjid/surau. Jika bertugas di luar kawasan (berjauhan dari rumah contohnya) jangan lupa bawa wang sedekah dan masukkan duit dalam tabung masjid/surau.
Dalam sebuah hadits Nabi ﷺ menggambarkan keuntungan yang bakal diraih seseorang yang rajin berinfaq di pagi hari sekaligus kerugian yang bakal dideritanya bilamana ia tidak peduli berinfaq di pagi hari.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu sesungguhnya Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Tidak ada satu Subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerusakan bagi orang yang menahan (hartanya)”
(HR Bukhary 5/270)
5. Tulis nama pada tabung
Tulis nama pada tabung ini adalah sebagai affirmation kita nak komited dengan amalan mulia ini. Supaya kita rajin dan harus buat setiap hari. Kalau boleh tabung kita tu buat cantik-cantik sikit atau guna tin atau bekas yang cantik.
Agar kita sendiri rasa seronok dan tak sabar nak menderma untuk keesokan hari pula. Anda tahu tak, bila buat begini kita juga akan secara tidak sengaja akan rajin untuk bangun solat Subuh di awal waktu.
6. Tabung subuh buat anak-anak
Kalau anak-anak kita diberikan kefahaman untuk bersedekah dan memilik Tabung Subuh masing-masing lagi baik. Mudah-mudahan ada keajaiban buat anak-anak juga Allah beri nanti.
POTONGAN AYAT AL-QURAN – Surah Ali Imran Ayat 133-134
133. Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
134. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Jom sahabat semua kita ringankan tangan untuk bersedekah. Sedekah Subuh, bukan bermakna waktu lain kita tidak boleh bersedekah ya. Cuma sedekah subuh ni special kan. Sebab itulah kakak masukkan hadis dan petikan Surah sebagai rujukan.
Sesungguhnya Allah Ar Razzaq Al Mughni (Maha Pemberi Rezeki & Maha Pemegang Kekayaan).
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selalu ibu-ibu bila ada anak kecil, tak seronok terasa peluang ibadah semakin sempit. Selalu rindu nak solat berjemaah dengan kawan-kawan. Puan Insyirah Soleha dan suami berkongsi cara solat dengan bayi sebagai panduan untuk ibu bapa lain yang mempunyai anak kecil.
Suami cadangkan untuk kami berkongsi cara untuk solat dengan anak kecil. Mungkin ada masa anak meragam tak mahu duduk, ibu pula dah makin singkat waktu untuk solat. Daripada luput waktu solat, boleh sahaja solat dengan anak kecil.
1. Ibu ayah boleh salin pampers anak sebelum solat. Kalau memang pampers anak berat dengan air kencing atau berak, basuh dahulu. Bagi anak selesa.
2. Ibu biasanya dapat agak masa untuk salin pampers anak, jadi boleh sedia untuk tukarkan pampers anak sebelum solat.
CONTOH SOLAT DUKUNG BAYI BAGI IBU
Permasalahan dukung anak pakai pampers;
1. Berhubung dengan najis
متصل بالنجاسة
2. Menanggung najis
حامل النجاسة
Dua perkara ini berbeza:
Contoh berhubung dengan najis ialah tahi cicak pada pakaian kita semasa solat.
Contoh menanggung najis ialah kita solat atas karpet masjid, ada najis pada hujung saf.
1. Najis pada pakaian
2. Najis pada karpet.
Apa hukum kedua-dua situasi tersebut?
1. Sah kedua-dua solat?
2. Tidak sah kedua-dua solat?
3. Salah satu sah?
Solat tidak sah sekiranya najis pada pakaian kita semasa solat, tetapi solat sah sekiranya tahi cicak hujung karpet tempat solat.
Sama juga seperti dukung bayi BELUM BERSUNAT dan PAKAI PAMPERS, kita tidak menempel najis pada tubuh kita.
Ia juga terpakai kepada mana-mana sahabat yang berniat bawa anak menunaikan umrah, sama kondisi seperti persoalan solat.
Kalau kita mencari sebab tak boleh, memang selamanya kita akan cakap tak boleh. Dalam Islam, sentiasa ada solusi untuk setiap tribulasi.
Isteri, suka sangat bila suami tawarkan diri untuk jadi imam dan solat berjemaah.
Selepas suami solat berjemaah di surau/masjid, boleh balik rumah solat sunat 2 rakaat sambil isteri jadi makmum untuk solat fardhu. Jadi, isteri boleh solat berjemaah dengan suami.
Saya kongsikan video bagaimana untuk solat dengan bayi kepada para bapa supaya selepas ini boleh sama-sama berjemaah dengan isteri dan anak-anak.
NOTA TAMBAHAN:
Ibubapa mestilah memastikan dada sentiasa mengadap ke arah kiblat.
CONTOH SOLAT SAMBIL DUKUNG BAYI UNTUK BAPA
Video contoh solat sambil mendukung bayi untuk bapa.
Semoga bermanfaat untuk semua ibu ayah yang berusaha biasakan anak-anak dengan rutin solat.
Wahai Tuhanku,
Jadikanlah aku dan zuriat keturunanku dari kalangan orang yang mendirikan solat, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang soleh.
Nutrisi perkembangan minda anak bermula daripada pemakanan harian. Ketahui 8 makanan terbaik seperti telur, ikan berlemak, susu, avokado dan bayam yang membantu meningkatkan fokus, memori serta perkembangan otak kanak-kanak.