Ada benarnya perkongsian Pn. Wawa Shauqi ini. Masih ada antara kita yang suka mengusik anak-anak tentang kasih sayang terhadap mereka. Kononnya jika mereka sudah ada adik, kita tidak akan sayangkan mereka lagi. Seawal usia muda mereka sudah berdepan dengan masalah keyakinan diri dan perebutan perhatian.

“Habislah kakak. Nak dapat adik ni nanti ibu tak sayang dah kat kakak.”

Suka sangat orang menyakat dengan ayat macam tu kat budak kecik. Dulu la. Sekarang saya tak pasti. Waktu saya masih kecil, saya pun merasa. Bila kita menangis-nangis, semua pakat ketawa terhibur.

Hati-hatilah bila menyakat budak. Memang seronok tengok ‘serangan anxiety’ mereka. Tapi emosi mereka terdera teruk tau. Saya tau la sebab masa kecil pernah disakat macam ni. Duduk pula dengan saudara-mara, lagilah ideal jadi bahan.

Tolonglah jangan sakat. Sampai dewasa saya rasa bersalah bila ingat memori mencubit adik yang masih kecil. Saya masih ingat betapa puas dapat menabur bedak sebotol di badan adik. Tak mungkin jiwa sementah 5 tahun ada perasaan nak menyakiti makhluk comel bernama bayi kalau bukan kita dewasa yang memupuk benci.

Sebahagian pilihan cara parenting saya banyak mengambil ikhtibar dari memori saya dibesarkan. Tak. Saya tak salahkan mereka yang pernah membesarkan saya. Setiap dari mereka punya jasa besar yang tak mampu terbalas. Cuma iyelah, zaman dulu-dulu ilmu parenting ini tidak mudah nak dapat macam sekarang.

IKLAN

Waktu mengandung anak kedua, saya dah nampak cabarannya. Ammar takut dan tak suka dengan bayi. Mungkin sebab mukanya dah beberapa kali diterkam. Egosentriknya pula masih kuat.

Bila menyambut saya yang baru keluar dari hospital lepas bersalin, Ammar memalingkan muka. Taknak langsung matanya melintas wajah adik.

Padahal dari mengandung dah berkempen. Ajak dia bercakap dengan adik di dalam perut, bacakan buku cerita tentang sayang adik dan bercerita betapa seronoknya dia lepas ni ada kawan bermain.

IKLAN

Kadang-kadang dia menyambut baik kempen saya. Kadang-kadang dia menolak. “Takpe, Ammar nak mama je. Lepas beberapa minggu bermula dari cuit-cuit adik, dia mula berani minta peluk.

Sampai sekarang bila saya terlebih melayan Aqlan, saya panggil Ammar untuk dilayan kemudiannya. Bila saya terlebih marah Ammar, saya panggil Aqlan untuk dimarah juga kemudiannya.

IKLAN

Takut. Takut terbit rasa benci dan iri hati. Nauzubillah.

Sebagai ibu, kita kena peka membaca parasaan anak-anak. Kalau mereka meletus, kita perlu jadi salji yang menyejukkan. Bila mereka menjauh, kitalah yang jadi tali penyambung. Bila mereka bertelagah, kitalah yang mendekatkan huluran salam antara mereka. Bila mereka bermusuh, pelukan kitalah yang akan jadi pendamai.

Biar pendapat, aliran politik, selera makan mahupun lagu kegemaran membezakan, tapi hubungan bersaudara tetap utuh.


Sebaiknya, tunjukkan kasih sayang kita tanpa henti kepada setiap anak yang kita ada. Benar, ada masanya kita teralpa dan tidak perasan kemungkinan kita mengabaikan anak yang lebih besar. Kita bergelut untuk memberi perhatian kepada semua anak sehingga ada masanya kita cenderung untuk menjadi perengus. Anak-anak selalu menjadi mangsa, renung-renungkanlah wahai Mama Papa…

Sumber: Wawa Shauqi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI