Pelakon Mia Ahmad yang sedang hamil anak kedua mendedahkan dia tidak mengalami alahan yang teruk.
Menurut laporan Harian Metro, pemilik nama sebenar Samihah Ahmad Baderi ini pernah mengharungi suasana berbeza ketika hamil anak pertama.
“Alhamdulillah, kandungan saya kini berusia empat bulan. Saya mula dapat tahu hamil ketika menggunakan alat ujian kehamilan dan ia positif.
“Saya bersyukur kehamilan kali ini tidak mengalami alahan yang teruk berbanding kehamilan anak sulung. Kali ini saya lebih kuat dan masih boleh keluar serta melakukan kerja,” katanya.
Ads
Tambah Mia, dia yang bakal bersalin pada Jun ini berharap proses kehamilan kedua dipermudahkan.
Ads
“Saya berharap proses kehamilan dipermudahkan dan doakan yang baik-baik. Soal jantina saya tidak kisah. Saya serahkan semuanya kepada rezeki dan takdir. Saya okay saja,” katanya lagi.
Sebelum ini, peminat mula berspekulasi Mia hamil lagi setelah dia berkongsi foto percutian keluarga di Bali, Indonesia dengan hashtag #BabyMooninBaliAgain.
Mia dan suami, pemain bola sepak Mohd Izham Tarmizi mendirikan rumah tanggap ada 13 Januari 2017 dan pelakon itu pernah mengalami keguguran pada Disember tahun sama.
Pasangan itu menerima cahaya mata pertama, Sayf Issa pada 28 September 2018.
Bermacam kenangan pahit dan manis yang dilalui oleh ibu mengandung. Jika awal kehamilan, ibu perlu melalui kesukaran morning sickness yang sangat tidak selesa. Tetapi apabila selesai trimester pertama, gejala mual, loya, muntah dan hilang selera makan hilang dengan sendirinya.
Ketika itu ibu mengandung sudah mula merasakan nikmatnya berbadan dua. Gembira, ceria dan bahagia sukar digambarkan dengan kata-kata. Bagi yang pertama kali hamil, rasa teruja makin menjadi-jadi apabila merasakan tendangan pertama si kecil.
Sebenarnya sebelum itu lagi sudah tertanya-tanya macam mana agaknya rasa bila bayi menendang. Maklumlah selalu dengar cerita pengalaman kawan-kawan yang mengandung, membuatkan dir sendiri rasa tak sabar hendak merasakannya sendiri.
Ia sememangnya pengalaman paling mahal dan menyeronokkan. Ibu hamil boleh ketawa sendirian kerana geli apabila bayi aktif bergerak. Biarpun geli tetapi ibu sangat bahagia dan seronok menikmati tendangan kecil tersebut.
Sebenarnya bila kali pertama bayi bergerak?
Menurut doktor pakar perbidanan & sakit puan, setiap ibu mengandung akan merasakan pergerakan anak pada masa yang berbeza-beza. Bagi yang baru pertama kali mengandung pergerakan anak akan dirasakan agak lambat iaitu pada minggu ke-20 dan ke atas. Manakala bagi ibu yang mengandung anak kedua dan seterusnya, pergerakan bayi dirasakan lebih awal iaitu sekitar minggu ke-16 kehamilan.
Bagaimana agaknya rasa pergerakan bayi itu?
Awalnya pergerakan bayi dirasakan hanya seperti jentikan sahaja. Kadang kala ibu sendiri tidak sedar pun anak dalam kandungan sudah mula bergerak. Biasanya tendangan bayi paling kuat dirasakan pada pertengahan kandungan. Ketika ini bayi sangat aktif bergerak sehingga kadang kala ibu sukar untuk tidur lena di waktu malam kerana bayi aktif bergerak.
Bagaimanapun apabila usia kandungan masuk minggu ke-34, pergerakan bayi akan kurang kuat tetapi ketika ini ibu perlu lebih prihatin kepada jumlah bilangan pergerakan kerana apa yang penting adalah bilangan pergerakan bayi bukan kekuatan dia bergerak.
Pada awal kandungan bayi banyak bergerak sebab masih banyak ruang dalam rahim ibu tetapi selepas 32 minggu ke atas, kepala bayi sudah turun ke bawah tetapi jika bayi dalam posisi lain, ibu disarankan mengikuti lebih banyak pemeriksaan dan perbincangan dengan doktor tentang cara kelahiran yang sesuai.
Kenapa ibu disuruh mengira pergerakan?
Ibu mesti mengira pergerakan anak kerana bayi yang kurang bergerak atau kurang aktif menunjukkan ada masalah lain. Jika pergerakan bayi kurang, dibimbangi bayi ada masalah lain seperti ibu kurang air ketuban atau perkembangannya terbantut. Jadi, ia memerlukan lebih pantuan daripada doktor.
Mengapa doktor biasanya menyuruh ibu mengira sebanyak 10 kali sahaja pergerakan bayi?
Sebenarnya ini adalah kiraan minimum yang doktor sarankan dalam sehari tetapi sebenarnya bayi bergerak lebih daripada 10 kali dalam sehari.
Bagaimana hendak mengira 10 pergerakan itu dalam sehari?
1. Ibu disarankan mula mengira pergerakan bayi dari pukul 9 pagi hingga 9 malam (minimum 10 pergerakan).
2. Oleh kerana ibu sibuk bekerja di pejabat atau di rumah dan kurang prihatin dengan pergerakan bayi jadi ibu disarankan mengira dahulu pergerakan anak selama dua jam sehingga mendapat 10 kali pergerakan.
3. Pergerakan atau tendangan dikira sebagai satu kali jika dalam satu-satu masa bayi bergerak melebihi sekali. (Bayi bergerak secara bertubi-tubi atau tidak berhenti-henti).
4. Pergerakan bayi terlalu lemah misalnya bila sudah pukul 9 malam pergerakan bayi masih belum mencapai 10 kali kemungkinan ada masalah pada bayi dan kandungan. Ibu disarankan segera datang ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
5. Pergerakan yang terlalu aktif juga perlu dipantau. Misalnya sekiranya sebelum pukul 12, tendangan dan pergerakan bayi sudah mencapai kiraan 10, dibimbangi bayi meronta-ronta di dalam kandungan disebabkan terbelit tali pusat.
Oleh itu ibu hamil mesti mematuhi arahan doktor untuk mengira jumlah pergerakan bayi dalam kandungan apabila sudah memasuki trimester ketiga. Jangan pandang remeh arah tersebut kerana ia penting untuk memantau keadaan bayi dalam kandungan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak dapat digambarkan kehilangan bayi dalam kandungan akibat kesilapan diri sendiri. Tujuan asal berurut untuk melegakan sakit-sakit badan lain pula jadinya apabila tukang urut mula sentuh perut.
Perkongsian daripada jururawat Bel Nawhen ini menimbulkan rasa sebak. Atas dasar percayakan tukang urut ibu muda akhirnya kehilangan anak sulung dalam kandungan sekelip mata.
Tukang urut berkenaan mendakwa bayi dalam kandungan ibu ini songsang dan telah diurut untuk memperbetulkan kedudukan. Episod kehilangan dimulai dengan rasa senggugut dan seterusnya pendarahan. Akhirnya bayi dalam kandungan tidak lagi bernyawa, pergi atas sebab kesilapan yang tidak dapat diperbetulkan lagi.
Mendapat mesej peribadi dari individu ini, saya turut merasa sebak di dalam dada. Betapa naifnya ibu muda ini.
Rakan saya yang pakar dalam perbidanan pun tidak boleh terus mengatakan bayi tidak berada dalam kedudukan betul mahupun songsang tanpa pengesahan dari ultrabunyi (ultrasound) dan dari penilaian doktor, inikan pula orang yang mengaku pandai mengurut kerana saya amat yakin tukang urut tidak semua mempunyai asas perbidanan serta berdaftar dengan lembaga bidan.
Berurut di bahagian abdomen boleh meransang pengecutan rahim dan menyebabkan keguguran.
Jadi, waspada apabila anda merasa kesakitan yang teramat sejurus selepas berurut. Urutan untuk melegakan ketegangan, mengurangkan stress dan mengurangkan lenguh-lenguh waktu hamil amat membantu, tetapi bila tidak ada keperluan, tidak kena tempat, tidak dilakukan oleh mereka yang berkepakaran, penyakit jadinya.
Dalam istilah perubatan, prosedur memusingkan bayi ini dipanggil ECV (External Cephalic Version) yang dilakukan oleh doktor perbidanan yang terlatih dibawah pengawasan mesin ultrabunyi.
Selain itu, CTG (Cardiotocography) juga akan diselia bagi melihat sebarang kemungkinan kepada kegagalan proses supaya pembedahan kecemasan boleh dilakukan.
Jangan tak tahu, dewan bedah juga sudah diminta dalam mode bersedia sewaktu ECV dilakukan kerana jika procedure gagal dan mengalami komplikasi, ibu akan ditolak untuk pembedahan.
ECV biasanya dilakukan semasa 36minggu kehamilan (mengikut jumlah kehamilan). Kejayaan pemusingan bayi songsang melalui teknik ECV ini adalah dalam lingkungan 50%.
TIDAK semua kehamilan songsang boleh dipusing-pusing. ECV tidak boleh dilakukan jika; 1) Kehamilan yang memerlukan pembedahan dilakukan seperti Placenta Previa type III dan IV. 2) Ibu mengalami perdarahan semasa hamil. 3) Air ketuban sudah pecah. 4) Kandungan kembar. ECV yang tidak diselia boleh menyebabkan; 1) Placenta Abruptio (Uri lekang dari dinding rahim). 2) Tali pusat menjerut/mengelilingi leher bayi (Cord Round Neck). 3) Uterine rupture (rahim pecah/luka). 4) Fetomaternal bleeding (masalah pendarahan ketika hamil).
Kerana itu, anda perlu dapatkan nasihat doktor dan jangan sewenang-wenang percaya kata-kata orang hanya atas alasan mereka lebih berpengalaman kerana mata kasar dan deria rasa tidak boleh scan kehamilan anda.
Memang dahulu ada mak bidan yang cukup mahir bab kehamilan tetapi mereka tetap menyerahkan kepada doktor dan hospital yang mempunyai peralatan lengkap jika komplikasi berlaku.
Pendedahan mengenai jantina bayi anda merupakan salah satu perkara yang paling teruja yang anda akan lalui. Anda pasti tertanya-tanya adakah anda akan memiliki seorang pemain bola sepak atau seorang puteri kayangan.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang didakwa sebagai tanda-tanda bahawa anda memiliki anak perempuan. Adakah ia benar-benar tepat dan berkesan? Ikuti kupasannya melalui artikel di bawah.
Mood swing yang melampau
Perubahan hormon semasa kehamilan seringkali menyebabkan mood swing. Sesetengah individu menyatakan bahawa wanita yang hamil bayi perempuan mempunyai tahap estrogen yang lebih tinggi lalu menyebabkan kekerapan mood swing. Walau bagaimanapun, tidak terdapat sebarang kajian yang membuktikan dakwaan ini.
Ini kerana perubahan hormon kerap berlaku semasa kehamilan tanpa mengira sama ada anda mengandungkan bayi lelaki mahupun perempuan.
Perut yang lebih besar
Ada terori yang menyatakan, sekiranya seseorang wanita bertambah berat badan di bahagian perut ketika hamil, itu menandakan bahawa dia hamil anak perempuan. Malang sekali, dakwaan ini ternyata tidak benar kerana wanita yang mengalami peningkatan berat badan sebenarnya bergantung kepada jenis tubuhnya, bukan jantina bayinya.
Perut lebih tinggi
Ini juga merupakan salah satu dakwaan yang tidak tepat. Ia tidak mempunyai asas saintifik yang tepat. Perut kandungan tinggi atau rendah bergantung kepada jenis tubuh wanita, penambahan berat badan, tahap kecergasan dan kekuatan otot.
Keinginan terhadap makanan manis
Ada teori yang menyatakan sekiranya wanita hamil berkeinginan terhadap sesuatu makanan yang manis, ia menandakan bahawa dia sedang hamil anak perempuan. Sekiranya lebih gemar makanan yang masin, ia petanda sedang hamil anak lelaki. Kedua-dua teori tersebut adalah tidak tepat sama sekali kerana ia bergantung kepada kekurangan mineral dalam badan, bukannya keinginan bayi anda.
Kulit berminyak dan rambut yang kusam
Sesetengah individu juga percaya sekiranya ibu hamil mempunyai kulit berminyak dan rambut yang kusam, ini bermakna bahawa dia sedang hamil bayi perempuan. Dakwaan ini juga adalah tidak tepat memandangkan perubahan pengeluaran minyak pada kulit dan penampilan rambut semasa hamil bergantung kepada perubahan hormon.
Degupan jantung bayi yang lebih cepat
Ramai juga yang mempercayai sekiranya degupan jantung bayi itu lebih cepat atau pantas, ia bermakna bahawa bayi tersebut adalah bayi perempuan. Walau bagaimanapun, dakwaan ini juga adalah tidak benar memandangkan kajian telah menunjukkan bahawa tiada perbezaan antara degupan jantung bayi lelaki atau perempuan.
Jelas sekali bahawa kesemua dakwaan atau teori berkenaan penentuan jantina tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Sekiranya anda benar-benar ingin mengetahui jantina bayi, lakukan ujian ultrasound kerana ia lebih dipercayai dan lebih berkesan. Elakkan daripada mempercayai dakwaan karut yang tidak mempunyai sebarang asas dan telah dibuktikan tidak benar.