Sudah menjadi tanggung jawab seorang suami, untuk menjaga dan menghargai isteri. Berilah layanan terbaik kepadanya, sesungguhnya banyak pengorbanan yang dia lakukan untuk kebahagiaan rumah tangga. Jangan diabaikan perasaan seorang isteri, kelak sesal di kemudian hari.
Seperti yang dikongsikan lelaki ini, dia menyesal kerana mengabaikan perasaan si isteri. Akhirnya dia sesal kerana berlaku sesuatu yang tak mungkin dia lupakan sehingga bila-bila.
Isteri Cantik, Orangnya Baik
Saya Azhar, berusia 36 tahun. Saya seorang suami dan mempunyai dua orang anak yang comel. Tapi itu dulu, sekarang saya seorang duda. Dan saya menyesali perkara itu. Kerana saya tidak bersabar dan mengikut nafsu, saya kehilangan isteri tercinta dan anak-anak.
Isteri saya (saya gelarkan sebagai Aliya), dia seorang yang baik. Cukup sempurna. Semasa awal perkenalan kami, dia seorang yang langsing. Mukanya cerah, manis dengan senyuman. Sangat cantik pada pandangan mata saya. Waktu itu, bukan saya seorang yang mahukan perhatian Aliya. Ada beberapa orang lain yang sukakan dia, tapi dia memilih saya. Sungguh, saya bersyukur.
Apabila cukup duit, saya ajak Aliya berkahwin. Selepas tiga tahun kami bercinta, rasanya elok saya halalkan perhubungan kami. Alhamdulillah, Aliya bersetuju. Keluarganya juga memberi restu. Majlis perkahwinan kami langsungkan dengan meriah. Di hari pernikahan kami, Aliya cukup cantik. Tak ada wanita lain yang dapat menandinginya.
Selepas empat bulan berkahwin, Aliya disahkan mengandung anak sulung kami. Saya sangat bahagia. Aliya pun bukan main berseri-seri. Semakin cantik semasa mengandungkan anak kami. Kehamilan dia pun dipermudahkan, tak ada sebarang masalah.
Lepas Bersalin, Tak Cantik Macam Dulu
Selepas bersalin, saya lihat ada perubahan pada Aliya. Entah kenapa dia sudah hilang serinya. Wajahnya kusam. Perutnya menggeleber. Sudah saya nasihatkan, waktu berpantang jagalah elok-elok. Saya terlupa, saya bekerja mengikut syif. Memang jarang dapat bantu Aliya.
Ads
Ibu Aliya sudah lama meninggal dunia, jadi tiada siapa yang dapat menjaganya ketika berpantang. Ibu saya pula tidak boleh membantu kerana terpaksa menjaga anak-anak asuhannya. Jadi Aliya terpaksa berpantang sendiri. Pernah dia suarakan untuk mengupah confinement lady (CL), tapi saya tak benarkan. Ya, salah saya. Saya bodoh!
Anak belum pun setahun, Aliya mengandung semula. Waktu tu, saya gembira. Tapi boleh tengok Aliya macam sedih. Dia tak bersedia lagi untuk hamil semula. Tapi saya marah dia, saya kata itu rezeki. Kenapa perlu dipertikaikan? Saya lupa, dia lah yang terpaksa menanggung segala kesusahan sepanjang berpantang. Waktu malam, dia juga yang bangun untuk susukan anak. Sedangkan saya, tidur tak bangun-bangun.
Cukup masa, Aliya melahirkan anak kedua kami. Terpaksa berpantang sendiri, dengan dua orang anak kecil memang memberi kesan kepada Aliya. Emosinya tak stabil dan dia selalu marah-marah. Waktu itu saya alpa, bila dia marah, saya tengking dia semula. Apa hak dia nak marah pada saya? Dia seorang isteri!
“Eh, awak kalau tak marah satu hari tak boleh ke? Saya bosanlah. Dengan bising anak-anak ni menangis. Rumah bersepah. Awak pulak asyik nak marah-marah. Cuba awak cermin diri tu. Dahlah makin gemuk, dah tak cantik. Gelilah saya dengan awak ni!.” Lepas saya cakap macam tu, saya keluar rumah. Langsung tak peduli apa perasaan Aliya.
Kalau Tak Kurus, Saya Ceraikan Awak!
Lebih teruk lagi, saya bagi dia masa. Saya kata dalam tempoh dua bulan kalau dia tak kuruskan badan saya akan ceraikan dia. Entah apa yang merasuk saya waktu itu, tergamak ungkapkan kata-kata macam tu pada dia. Isteri yang dahulunya saya sayang, saya hina sampai macam tu.
Ads
Saya nampak usaha isteri saya untuk kurus. Dia mula tak makan. Kadang-kadang, bila hari minggu dia minta izin untuk keluar berjoging. Saya biarkan saja. Asalkan dia kurus, itu saja yang saya fikirkan.
Keluar Tak Balik-Balik
Suatu hari itu, dia nak keluar beli barang dapur. Dia minta saya tengokkan anak-anak. Tapi saya tak mahu. Saya minta dia bawa mereka sekali. Saya nak rehat, hari minggu sajalah saya dapat tidur lama sedikit. Saya tahu Aliya sedih, tapi dia bawa keluar juga anak-anak kami bersama.
Selepas dua jam keluar, pelik juga Aliya masih tak balik. Selalunya tak lama sangat Aliya keluar kalau bawa anak-anak bersama. Saya hubungi dia, tapi tak berangkat. Selepas dua tiga kali saya call isteri, baru ada yang menjawabnya.
Ads
“Eh, awak ke mana? Dah lama sangat keluar?”. Saya ingat lagi, itulah yang saya tanyakan pada dia. Tapi waktu itu, bukan dia yang jawab panggilan saya. orang lain yang angkat phone, memberitahu yang Aliya kemalangan.
Bergegas saya ke hospital. Waktu saya sampai, saya diberitahu pihak polis yang anak-anak saya meninggal dunia di tempat kejadian. Isteri saya pula mengalami kecederaan parah. Selepas dua jam berada di dalam OT, doktor mengatakan isteri saya tidak dapat diselamatkan.
Dah Tak Ada, Baru Nak Menyesal
Kini sudah enam bulan isteri dan anak-anak meninggalkan saya. Menurut laporan dari pihak polis, sebuah treler melanggar kereta arwah isteri saya kerana tidak sempat brek. Tidak sempat mengelak kerana treler tersebut datang dari belakang.
Benarlah kata orang, bila ada depan mata kita tak hargai. Dah tak ada, baru nak meratap kesedihan. Satu per satu saya terbayangkan layanan buruk saya padanya. Tambah ralat, saya tak sempat nak minta maaf. Inilah hukuman yang harus saya terima, kerana saya tidak menjaga amanah dari Allah SWT ni dengan baik. Tak pedulikan dia, sesuka hati menyakitkan hatinya.
Untuk para suami, tolonglah hargai isteri anda. Jangan sampai dah jadi macam saya, baru nak menyesal. Tak ada gunanya lagi. Betapa saya rasa bersalah, tapi tak mampu nak buat apa dah. Sekarang, saya hanya banyakkan berdoa untuk arwah Aliya dan anak-anak kami. Ya Allah, ampunilah kekhilafan hamba-Mu ini.
Sekiranya anda mahu berkongsi sebarang cerita dan pengalaman menarik, klik di KONGSI CERITA.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut semuanya di tangan Tuhan. Siapa yang menyangka, hari ini si dia yang kita sayangi masih sihat dan elok sahaja bersama kita tiba-tiba esoknya ‘pergi’ meninggalkan kita. Jika ini yang berlaku, sudah tentu ia sesuatu yang mengejutkan dan sukar untuk diterima. Sama seperti isteri ini, Ecah Ayra, yang telah berkongsi dua keping foto makanan dengan kapsyen yang menyedihkan di sebuah grup masakan di Facebook.
Menurutnya, suami tidak ada selera mahu makan nasi. Jadi dia sediakan makanan tersebut untuk memancing selera suaminya. Siapa sangka, itulah hidangan terakhir yang Ecah sediakan untuk suaminya. Pemergian suaminya secara mengejut tahun lalu masih memberi kesan kepadanya sehingga sekarang.
Foto kenangan Ecah sekeluarga
Mohd Feroh Abdul Razak mendapat serangan jantung ketika sedang bersukan dan Ecah hanya mendapat tahu tentang hal itu apabila rakan-rakan suaminya datang ke rumah untuk memaklumkan hal tersebut kepadanya.
Arwah Suami Seorang Yang Sempurna
Menurut Ecah, suaminya seorang yang bertolak ansur dan banyak membantunya menguruskan hal rumah tangga. Bahkan, arwah seorang yang penyayang dan rajin melayan karenah anak-anak. Arwah Feroh juga rapat dengan anak perempuan mereka.
Boleh dikatakan sepanjang tujuh tahun perkahwinan mereka, Ecah memberitahu jarang sekali dia yang mengemas rumah. Semuanya dibuat oleh arwah suaminya yang sangat rajin membantu.
Keguguran Anak Ketiga
Ecah menceritakan yang dia baharu sahaja keguguran anak ketiganya pada bulan Januari yang lalu. Usia kandungan baharu 13 minggu pada waktu itu. Sebenarnya, arwah suami tidak tahu tentang dirinya yang hamil. Kini, Echa sedang mengumpul kekuatan dengan dua orang anaknya yang berumur enam dan empat tahun.
Sejenis Yang Tidak Cerewet
Arwah suami Ecah bukanlah jenis yang cerewet dan memilih makanan. Semuanya yang disediakan oleh isterinya akan dinikmati dengan berselera. Pada arwah, memadai jika ada makanan untuk dimakan. Seminggu sebelum pemergiannya, arwah suami Ecah tiba-tiba hilang selera makan. Dia tidak mahu makan nasi.
Antara hidangan terakhir yang disediakan Ecah buat arwah Feroh
Untuk memancing selera makan suaminya, Ecah sediakan burger ayam dan mi segera goreng untuk arwah. Selain itu, ada dua lagi jenis makanan lain yang dibuat Echa.
Simpan Semua Kasut & Selalu Sebut Tentang Kematian
Seminggu sebelum meninggal dunia, arwah Feroh berubah sikap. Dia tidak banyak bercakap tetapi selalu memberi pesan supaya Ecah belajar untuk berdikari. Selain itu, Ecah juga pelik apabila suami selalu menyebut tentang kematian. Setiap hari arwah akan mengatakan yang mati itu pasti dan kita akan kembali kepada Allah SWT.
Ecah semakin pelik apabila tiga hari sebelum ‘pergi’, arwah Feroh mengemas dan menyimpan semua kasut termasuk selipar hariannya di dalam stor.
Suami Kena Serangan Jantung Semasa Berfutsal
Pada hari kejadian, arwah suami Ecah menjemput selepas waktu bekerja dan memberitahu yang dia akan bermain futsal malam itu. Sempat juga arwah suaminya mengadu yang badannya terasa hangat seperti mahu demam. Ecah menegah arwah Feroh untuk pergi kerana khuatir suaminya tidak sihat. Walaupun begitu, arwah suaminya tetap berdegil untuk bermain futsal untuk mengeluarkan peluh.
Memori terindah percutian keluarga Ecah di Pulau Langkawi, Kedah
Malam itu, arwah Feroh Ecah keluar tanpa memberitahunya. Biasanya jika mahu keluar, arwah suaminya akan berpesan untuk mengunci pintu rumah. Tiba-tiba pada tengah malam itu, rakan-rakan suaminya ke rumah untuk memberitahu yang suaminya rebah di gelanggang futsal sedangkan baharu sahaja bermain tidak sampai lima minit.
Ketika sampai di hospital, pada jam 1.30 pagi doktor memaklumkan bahawa suaminya sudah meninggal dunia pada jam 11.44 malam. Apabila post mortem dilakukan pada keesokkan harinya, doktor mendapati arwah Feroh meninggal dunia akibat serangan jantung.
Pemergiannya sangat mengejutkan kerana arwah seorang yang sihat dan aktif bersukan. Tarikh pemergian suaminya adalah pada 11 Disember 2019 yang lalu.
Selagi Masih Ada, Layanlah Sebaiknya
Ecah sempat menitipkan pesanan buat semua isteri agar hargailah suami selagi masih ada. Kita tidak tahu bila suami akan meninggalkan kita, tidak semestinya suami akan meninggal dunia ketika sudah tua. Kini Ecah sedang berehat dan bercuti sementara dari bekerja di rumah ibunya di Tumpat, Kelantan. Katanya, dia mahu kumpul kekuatan semula sebelum mula bekerja.
Sesungguhnya kisah Ecah ini sangat memberi kesan dan menyedihkan. Seorang isteri yang kehilangan suami secara mengejut dan anak-anak pula masih kecil. Didoakan agar Ecah kuat untuk menempuh ujian ini dan terus semangat untuk meneruskan hidup demi anak-anak. Buat para isteri, hargailah suamimu selagi dia masih ada.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selalu kita dengar hubungan menantu dan mentua yang tidak serasi tetapi berbeza dengan pelakon, Mawar Rashid. Walaupun berkahwin dalam usia muda dan masih banyak yang perlu dipelajari, Mawar mengakui dirinya ada cara tersendiri untuk bergaul serasi dengan ibu mentua.
Rapat dengan ibu kandungnya sendiri membuatkan Mawar yang merupakan anak bongsu dalam keluarga tidak kekok untuk melayan ibu mentua persis layanan yang diberikan kepada ibu sendiri yang dipanggil Mummy.
“Dulu ke mana sahaja Mummy pergi, pasti akan ada saya menemani. Dia seorang yang caring dan cukup lemah lembut selain sanggup berkorban apa saja demi anak. tetapi lepas kahwin, dah tak boleh macam dulu.
“Pun begitu, hubungan dengan ibu mentua juga rapat kerana sudah ada ‘bonding’ dari awal. Seperti mana saya layan Mummy, begitu juga layanan saya pada ibu (mentua). Awal-awal memang sedikit kekok, tapi ibu dan ahli keluarga yang lain banyak beri tunjuk ajar.
“Jadi timbul keserasian antara kami. Lagipun saya memang dilahirkan dalam keluarga besar dan kami sangat rapat. Jadi, apabila berada di rumah mentua, ia mengingatkan saya seolah-olah berada dalam keluarga sendiri.
“Mummy juga selalu ajar bagaimana untuk saya menjadi menantu yang baik pada mentua,” ujar Mawar seperti yang dipetik menerusi temubual bersama majalah Keluarga
Belajar cara hidup baru
Menurut Mawar juga, bila berkahwin dia juga banyak belajar cara hidup baru dalam keluarga mentuanya. Malah ruang yang diberi oleh mentuanya memberikan keselesaan buat diri Mawar.
“Seronok sebenarnya kerana saya dapat belajar cara dan budaya hidup orang lain. maklumlah sebelum ini saya lebih ke arah orang Thailand.
“Tetapi keluarga mentua pula lebih tersusun, disiplin dan waktu ini saya memang belajar banyak benda baru. Ibu ajar bagaimana mahu jadi isteri dan menantu yang baik memandangkan usia saya masih muda.
“Kalau di rumah ibu memang rajin memasak, jadi saya akan bantu mana yang patut. Cuma selepas disahkan mengandung saya alami alahan dan tak boleh memasak. Tetapi ibu sangat memahami dan prihatin.
“Banyak nasihat yang beliau kongsikan,” ulas Mawar yang kini sedang sarat hamil anak kedua.
Sambil memanjat rasa syukur, pada masa yang saya Mawar turut berterima kasih kepada suami dan keluarganya sendiri. Dia juga turut akui masih banyak yang perlu dipelajari dalam hidup terutamanya bila bergelar isteri dan ibu.
“Masih banyak yang perlu saya belajar dalam kehidupan ini terutama sekali status dan tanggung jawab saya sekarang sudah berbeza. Apa pun saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang saya tempuhi sekarang.
“Walaupun saya meletakkan sasaran mendirikan rumah tangga di kala usia 28 tahun, tetapi saya tidak menyesal. Sebaliknya saya bertuah kerana mendapat suami yang penyayang dan bertanggungjawab.
“Malah saya akui agak takut dan gementar untuk menggalas tanggung jawab besar ini, tetapi suami dan ahli keluarga yang lain banyak beri sokongan. Tak timbul soal tak boleh enjoy sebaliknya saya rasa bertuah kerana sejak dulu saya sangat mementingkan keluarga.
“Malah bagi saya keluarga itu membahagiakan saya,” ujar Mawar yang turut mendoakan urusan bersalin anak keduanya nanti dipermudahkan.
Mawar mendirikan rumah tangga dengan suami, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf pada November 2017. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Raden Muhammad Rafael Mac tahun lalu.
Mawar juga memiliki dua orang anak tiri iaitu Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela hasil perkahwinan Raf yang terdahulu.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah pilu pemergian Nor Fadillah Che Par selepas 7 tahun terlantar
Ibu koma lahirkan anak, wanita tabah ini meninggal dunia selepas 7 tahun terlantar — kisah pilu yang sekali lagi membuka mata ramai tentang besarnya pengorbanan seorang ibu dan ketabahan sebuah keluarga menjaga insan tersayang sehingga ke hujung nyawa.
Nor Fadillah Che Par, 34, yang terlantar sejak 2018 akibat komplikasi ketika melahirkan cahaya mata sulung, menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya, Muhammad Saiful Sudin, 35, pada jam 9 pagi di Hospital Bachok.
“Abang halalkan makan minum, ampunkan dosa dan reda ayang pergi.”
Itulah kata-kata terakhir yang sempat dibisikkan Muhammad Saiful kepada isterinya ketika nafas wanita itu mula perlahan dan mesin monitor berhenti serta-merta. Dalam keadaan sebak, suaminya sempat mengajarkan kalimah syahadah sebelum Nor Fadillah Che Par pergi dengan tenang.
Detik akhir sebelum pemergian
Menurut Saiful, isterinya sebelum itu hanya demam biasa. Namun keadaannya bertambah teruk apabila mula sesak nafas pada malam Selasa, lalu dibawa ke hospital sekitar jam 11 malam kerana bimbang dengan keadaannya yang sudah lama terlantar.
Doktor pada awalnya mencadangkan untuk menidurkan pesakit, tetapi selepas mempertimbangkan risikonya, prosedur itu tidak diteruskan kerana keadaan Nor Fadillah yang rapuh.
“Pada jam 2 pagi, keadaan isteri stabil. Pagi tadi selepas saya suapkan susu, dia renung wajah saya lama. Saya ingatkan dia penat… rupanya itu renungan terakhirnya,” kata Saiful, menahan sebak.
7 tahun terlantar selepas komplikasi melahirkan
Bangun tanpa sedar, tidur tanpa jemu — itulah kehidupan Nor Fadillah Che Par sejak 18 November 2018. Beliau terlantar selepas degupan jantungnya terhenti seketika ketika pembedahan melahirkan anak sulung mereka. Akibatnya, beliau mengalami kerosakan saraf yang membuatkannya lumpuh seluruh badan dan hanya mampu berkomunikasi melalui gerakan mata.
Lebih menyayat hati, beliau tidak sempat menatap wajah anaknya sejurus dilahirkan. Anak itu kini berusia tujuh tahun, membesar dengan cerita tentang pengorbanan ibunya yang tidak pernah mengenal lelah.
Pengorbanan suami menjaga Nor Fadillah Che Par
Sejak hari pertama isterinya terlantar, Saiful mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh masa untuk menjaga isteri serta anak tunggal mereka. Kerja kampung dilakukan sekadar mencari rezeki tanpa perlu jauh dari rumah.
Baginya, itu bukan beban, tetapi amanah dan tanda cinta sejati.
“Saya puas hati kerana dapat jaga dia sampai ke hujung nyawa,” katanya.
Jenazah Nor Fadillah Che Par selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir pada jam 6 petang.
Pengorbanan seorang ibu tidak pernah sia-sia
Kisah ini bukan sekadar kisah sedih, tetapi bukti bahawa pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu itu tidak ternilai, walaupun dalam keadaan tidak sedar. Dan cinta seorang suami yang bertahan selama tujuh tahun menjaga tanpa jemu adalah contoh sebenar ketabahan.
Semoga roh arwah Nor Fadillah Che Par dicucuri rahmat, dan semoga anaknya membesar menjadi anak yang soleh, penyambung doa buat ibunya.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.