Keibubapaan

Fuh Hadiah Penuh Satu Bonet Kereta! Hari Guru Bertukar Jadi ‘Hari Rezeki’ Buat Cikgu

Share

“Cikgu PJ di Hari Guru…”

Ayat itu antara yang paling mencuri perhatian ramai netizen di Threads apabila beberapa guru berkongsi momen menerima lambakan hadiah sempena sambutan Hari Guru tahun ini. Ada yang siap membawa pulang hadiah menggunakan troli, malah lebih mengejutkan apabila ada guru menunjukkan satu bonet kereta penuh dengan hadiah daripada murid-murid!

Dengarnya hari ini banyak sekolah di seluruh negara mengadakan sambutan Hari Guru dengan meriah. Selain persembahan, ucapan penghargaan dan acara khas, satu perkara yang paling menjadi perhatian tentulah hadiah yang diterima oleh para guru daripada murid dan ibu bapa.

Hari Guru Jadi Momen Paling Dinantikan Guru

Daripada coklat, bunga, tumbler, alat tulis hinggalah barangan mahal dan eksklusif, semuanya diberikan sebagai tanda penghargaan buat insan yang mendidik anak bangsa. Ada guru yang berkongsi meja mereka penuh dengan bungkusan hadiah berwarna-warni, manakala ada juga yang memerlukan bantuan rakan guru lain untuk mengangkat semua hadiah pulang ke rumah.

Paling mencuit hati apabila netizen mula membuat “perbandingan” antara jenis guru yang paling banyak menerima hadiah. Rata-rata bergurau mengatakan guru favourite biasanya akan mendapat hadiah paling banyak berbanding guru disiplin!

Malah ada perkongsian lucu daripada seorang guru yang menulis, “Cannot relate, cikgu disiplin,” sambil menunjukkan jumlah hadiah yang jauh lebih sedikit berbanding guru lain. Ada juga yang berseloroh mengatakan guru Pendidikan Jasmani (PJ) dan guru tadika antara yang paling “laku keras” setiap kali Hari Guru tiba.

Video Hari Guru Di Threads Buat Netizen Terhibur

Salah satu posting yang paling mendapat perhatian ialah daripada pengguna Threads, cikgumisai_, yang memuat naik video beberapa guru membawa troli penuh hadiah sambil berseloroh mengenai “cikgu Math”, “cikgu disiplin” dan “cikgu PJ”. Video tersebut mengundang pelbagai reaksi lucu daripada netizen yang rata-ratanya dapat relate dengan situasi di sekolah masing-masing.

Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman zaman sekolah mereka dahulu. Ada yang mengaku sanggup mengumpul duit bersama rakan-rakan semata-mata mahu membeli hadiah terbaik untuk guru kesayangan. Bagi mereka, Hari Guru ialah peluang untuk membalas jasa insan yang banyak membantu dan memberi semangat sepanjang sesi pembelajaran.

Dalam pada itu, perkongsian tersebut turut dihujani pelbagai komen daripada cikgu-cikgu lain yang sama-sama berkongsi hadiah diterima daripada anak murid mereka.

Bukan untuk membandingkan, namun ia sekadar berkongsi momen manis dan pemberian ikhlas daripada para pelajar sebagai tanda penghargaan buat guru-guru mereka.

 

 

Penghargaan Buat Guru Lebih Bermakna Daripada Nilai Hadiah

Walaupun ramai melihat perkara ini sebagai gurauan semata-mata, hakikatnya pemberian hadiah tersebut menunjukkan penghargaan besar murid terhadap guru mereka. Tidak kisahlah banyak atau sedikit hadiah yang diterima, apa yang paling penting ialah ingatan dan kasih sayang daripada anak murid.

Ramai guru juga mengakui mereka sebenarnya lebih menghargai ucapan ikhlas, kad buatan tangan dan kejayaan murid-murid berbanding hadiah mahal. Ada yang tersentuh apabila menerima surat kecil daripada pelajar yang mengucapkan terima kasih kerana tidak pernah putus asa mengajar mereka.

Dalam kemeriahan sambutan Hari Guru tahun ini, jelas dapat dilihat hubungan antara guru dan murid masih sangat istimewa. Walaupun ada usikan mengenai guru favourite dan guru disiplin, semuanya disambut dengan suasana ceria dan penuh kasih sayang.

Apa pun, memang betullah kata netizen,  Hari Guru sekarang bukan biasa-biasa. Ada yang sampai penuh satu bonet kereta!

Sumber: Threads cikgumisai_

Published by
Nor Yusoff