Sepanjang tempoh berpantang, emosi seorang wanita haruslah dijaga sebaiknya agar tidak dipengaruhi aura negatif yang membuatkannya meroyan. Suami harus memainkan peranan yang penting pada waktu ini, untuk memastikan si isteri tidak merasa terbeban.
Orang sekeliling juga harus lebih prihatin dan peka dengan perasaan ibu dalam pantang. Jangan sesuka hati bercakap tanpa berfikir atau buat apa-apa yang boleh mengguris hati si ibu. Seperti yang dikongsikan oleh wanita ini, dia mengalami gila meroyan sewaktu berpantang kerana tiada yang mengambil berat tentang dirinya.
Assalamualaikum semua. Nama aku Sharifah, berumur 36 tahun. Aku nak kongsikan cerita aku berpantang anak ketiga tahun lepas. Tidak semua yang tahu tentang cerita ni, tapi aku terpanggil untuk berkongsi dengan korang semua. Hal ini betul-betul memberi kesan kepada aku.
Untuk wanita yang sudah melahirkan anak, pasti tahu betapa penatnya selepas tu kan? Sama lah macam aku, tambah pula aku dah ada tiga orang anak sekarang. Yang dua orang tu pun tak adalah besar mana. Yang sulung 5 tahun, adiknya 3 tahun. Dapat pula baby baru.
Korang boleh bayangkan macam mana anak-anak kecil ni, selalu nak melekat dengan aku. Walaupun ayahnya ada, tetap nak duduk dengan aku. Aku bahagia tapi kadang-kadang letih juga. Seminggu pertama selepas aku bersalin baby ketiga ni, aku berpantang sendiri. Cuma panggil tukang urut datang rumah.
Balik Pantang Ke Rumah Mertua
Suami pun cuma dapat cuti 10 hari, jadi lepas seminggu dia kata baik aku pantang di rumah emak dia. Aku ni anak yatim, adik-beradik pun tak ada perempuan. Emak aku meninggal dunia waktu anak kedua aku berumur setahun. Sebelum anak ketiga ni, memang aku berpantang di Temerloh, rumah Ummi dan Ayah aku.
Emak mertua aku beria-ia minta suami hantar aku ke rumah dia. Kesian kat aku katanya. Dengan anak-anak kecil lagi, mana nak berpantang pulak. Sebenarnya aku tak selesa juga, tapi aku fikirkan emak mertua aku dan bersungguh-sungguh nak jaga aku, tak sampai hati nak tolak.
Suami aku pun happy sebab katanya takdelah dia risau sangat kalau aku dah balik kampung. Kalau tidak susah juga sebab dia susah nak tengokkan aku kalau dia dah start bekerja. Jadi, kami pun sama-sama balik ke kampung emak mertua aku di Perak.
Aku bukanlah orang yang cerewet sangat, tak ada masalah nak duduk ramai-ramai. Tapi dalam waktu berpantang ni, jujurnya aku tak selesa. Untuk pengetahuan korang, di rumah mertua aku ni ada adik suami aku dan keluarganya yang tinggal sekali. Anak dia ramai. Ada 5 orang semuanya.
Ads
Tetap Buat Semuanya Sendiri
Korang boleh bayangkan, budak-budak kecil kalau bermain kan? Bising dan terpekik-pekik. Aku tak ada masalah sangat, tapi bila ada baby ni. Susah dia nak tidur. Jadi dia asyik meragam. Mana taknya, baru nak lelap ada yang melompat, menjerit dan main baling-baling barang.
Sepanjang aku di rumah mertua aku, sebenarnya tak banyak yang mereka ni tolong. Aku tetap kena mandikan anak-anak aku sendiri. Masak lauk pantang pun aku buat sendiri. Sebab kadang-kadang susah nak masak, aku kirim pada bapa mertua aku belikan oat. Senang sikit nak makan, letak susu suam campur kurma pun dah boleh bagi aku kenyang.
Aku boleh berpantang sendiri, tak perlu orang bantu sangat. Tapi aku harapkan mereka ni lebih peka. Kadang-kadang tu sampai 2-3 pagi anak-anak adik ipar aku ni tak tidur lagi. Susah aku nk tidurkan anak-anak aku, sebab keadaan yang bising.
Mujur Ada Ayah Mertua
Penat sangat aku rasa. Tapi tak ada siapa yang faham. Aku bertungku pun sendiri. Nasiblah ada ayah mertua aku. Dia yang panaskan tungku dan beri pada aku. Dia juga yang masakkan air panas untuk aku buat mandian herba. Kadang-kadang dia masakkan aku singgang ikan atau lauk pantang yang mudah-mudah.
Bila dia tolong, emak mertua aku sound dia. Katanya tak payah manjakan sangat, nanti badan jadi lembik. Tak sempat tua, selalu sakit. Sedih sangat sebenarnya, sebab aku teringat. Dia yang beria-ia minta suami hantar aku ke rumah dia. Sebab senang nak jaga, tapi bila dah ada kat sini, lain pula jadinya.
Kadang-kadang hati jahat aku ni terfikir, lagi senang kalau pantang sendiri. Penat-penat pun tak makan hati. Adik ipar pun selalu perli-perli. Dia kata, dia anak ramai pun boleh jaga sendiri. Tak ada nak minta orang tolong. Ya Allah, sedih sangat aku rasa.
Ads
Aku ada beritahu pada suami, untuk ambil aku dan anak-anak. Aku tak mahu burukkan keluarga dia, jadi aku kata aku rindukan dia. Anak-anak pun rindu. Tapi dia pula kata tunggulah sampai habis pantang sebab lagi terjaga di sana. Jadi aku malas nak cakap apa-apa dah, saya ikut saja.
Adik Ipar Cubit Anak
Sampailah satu hari, anak sulung aku ambil air di dapur. Lepas tu terjatuh dan tumpah. Adik ipar aku nampak dan marahkan dia. Yang sedih tu, dia cubit anak aku. Sampai berbekas. Aku sendiri pun tak pernah cubit anak, paling banyak marah saja. Lepas tu dia boleh marahkan aku, kata tak pandai jaga anak.
Malam tu nak tidur, berendam air mata. Aku tak tahu sampai bila aku mampu bertahan duduk rumah emak mertua aku ni. Agaknya, waktu ni dalam keadaan lemah macam ni, mudahlah aku dipengaruhi benda-benda tak elok. Aku terdengar suara. Suara tu minta aku ambil baby dan hempaskan ke lantai.
Aku tak nak buat. Suara tu kata, kalau buat akan selesai semua masalah. Hati aku pun senang. Tak susah pun, hempas je baby tu. Serius, waktu ni aku tak tahu apa nak buat. Tapi aku nampak ada benarnya kata suara tu. Lagi pula waktu tu, baby aku asyik menangis.
Meroyan, Nak Campak Anak Ke Lantai
Aku angkat baby aku, aku bawa keluar. Aku ke ruang tamu. Waktu tu ayah mertua dengan suami adik ipar aku tengah bersembang. Aku tak tahu apa aku fikir. Aku berdiri depan mereka. “Korang semua benci aku kan? Benci anak aku kan? Aku bunuh budak ni, senang hati korang semua!”. Aku tak sedar langsung.
Ads
Yang aku tahu aku rebah. Macam tu je. Mujurlah ada biras aku. Dia yang sambut aku waktu nak jatuh tu (kata ayah mertua aku). Anak aku pula ayah mertua aku sempat rampas dari aku. Ya Allah, aku meroyan ke?
Waktu aku terjaga tu, ada seorang bidang kampung yang ayah mertua ku panggil. Kebetulan makcik ni jenis pandai mengubat juga. Kata dia, aku meroyan. Dia tanya, kenapa sampai meroyan. Waktu tu aku tengok muka emak mertua aku lain. Macam bersalah. Aku pun beritahu makcik bidan tu, mungkin aku letih dan rindukan suami aku. Sebab tu terbawa-bawa.
Alhamdulillah lepas makcik bidan tu balik, aku rasa segar sikit. Emak mertua dan adik ipar aku minta maaf pada aku. Bila mereka minta maaf tu kan, aku rasa macam ringan beban aku. Aku menangis sebab aku rasa lega. Rasa macam semua masalah hilang.
Aku Tak Cerita Pada Suami
Lepas kejadian tu, emak mertua aku layan baik. Semua keperluan aku dia sediakan. Adik ipar aku pun tolong jagakan anak-anak aku. Ya Allah, mujur waktu syaitan merasuk aku tu, ada ayah mertua dan biras aku. Kalau tidak, mungkin baby aku dah tak ada sekarang.
Suami aku tahu aku meroyan, cuma dia tak tahu sebab apa. Aku tak ceritakan semua pada dia. Cukuplah dia tahu aku jadi macam tu sebab penat dan rindukan dia. Aku tak nak burukkan sesiapa, lagipun tu emak dan adik dia. Janji mereka dah berubah tu pun aku dah cukup bersyukur.
Sekarang ni baby aku yang diberi nama Baby A pun dah berusia 7 bulan. Alhamdulillah, dia sihat-sihat je. Aku bersyukur dikurniakan suami yang baik dan keluarga mertua pun baik-baik. Aku anggap apa yang berlaku ni ada hikmahnya, aku sayangkan keluarga suami aku. Emak dia, emak aku. Aku doakan hubungan kekeluargaan kami ni akan bahagia sampai bila-bila.
Untuk korang yang ada masalah waktu berpantang, jangan jadi macam aku. Berceritalah dengan orang, jangan pendam sendiri. Takut nanti meroyan. Ibu berpantang ni fragile, mudah sangat terganggu. Aku doakan supaya urusan korang ketika berpantang dipermudahkan. Aamiin..
Untuk berkongsi sebarang cerita atau pengalaman anda, boleh klik KONGSI CERITA.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kesan darah yang ditemui pada lembaran kertas bertulis tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan sepadan dengan profil DNA milik remaja berusia 13 tahun itu. Pendedahan terbaru dalam prosiding inkues kematiannya ini sekali lagi menyentuh hati ramai, terutama para ibu yang mengikuti kes ini dengan penuh emosi dan harapan agar kebenaran akhirnya terbongkar.
Bukti Forensik Yang Mengejutkan
Menurut laporan Harian Metro, Ahli Kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kesan darah itu ditemui pada dua kertas bertanda ‘Y8’ dan ‘Y1’, yang masing-masing mengandungi tulisan tangan milik Zara sendiri.
Beliau menjelaskan bahawa hasil analisis DNA mendapati kesan darah tersebut sepadan dengan profil DNA yang diambil daripada spesimen tulang bertanda ‘WK37’, disahkan milik Allahyarham.
“Ini menunjukkan DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” kata Nor Aidora di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menjadikan suasana mahkamah sepi seketika. Bagi seorang ibu, mendengar kenyataan ini ibarat menyaksikan semula luka lama yang belum pernah sembuh.
Tulisan Tangan & Darah: Dua Bukti Yang Bertemu
Dalam prosiding terdahulu, pemeriksa dokumen Nurul Atiqah Mohd Noh turut mengesahkan bahawa tulisan tangan pada beberapa helaian kertas yang dikemukakan sebagai bukti adalah konsisten dengan tulisan milik Zara Qairina.
Apabila laporan terbaru ini menunjukkan darah pada tulisan tersebut adalah milik Zara sendiri, ia menambah lagi beban emosi kepada keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini.
Persoalan besar mula timbul — apakah yang sedang dirasai oleh anak kecil itu ketika menulis nota tersebut? Adakah dia berada dalam keadaan takut, tertekan, atau cuba menyampaikan sesuatu mesej terakhir sebelum segalanya berakhir?
Ketelitian Makmal & Proses Analisis DNA
Nor Aidora turut menjelaskan bahawa semua barang bukti diterima dalam keadaan tertutup dan utuh, termasuk buku, alat tulis, pakaian dan beberapa spesimen seperti kuku serta tulang.
Sepanjang proses analisis, tiada sebarang gangguan berlaku. Setiap item disimpan dengan selamat dan disegel semula selepas pemeriksaan. Analisis dijalankan menggunakan instrumen bertaraf antarabangsa seperti Real-Time PCR, Thermal Cycler dan Genetic Analyser, mengikut prosedur makmal yang diiktiraf global.
Beliau juga menjelaskan bahawa profil DNA unik bagi setiap individu, dan dengan menguji 21 kawasan genetik, identiti seseorang boleh ditentukan dengan ketepatan yang sangat tinggi.
Keadilan Untuk Zara Qairina
Prosiding inkues ini masih berjalan, namun setiap pendedahan baharu membawa kita lebih dekat kepada kebenaran. Zara Qairina bukan sekadar nama di dada akhbar malah dia lambang kasih seorang anak, pengorbanan seorang ibu, dan harapan masyarakat agar keadilan ditegakkan tanpa kompromi.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dan semoga kisahnya menjadi peringatan buat semua bahawa kasih, perhatian dan empati kepada anak-anak adalah benteng utama dalam melindungi mereka daripada kesedihan yang tidak terlihat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehamilan Watie Hanifiah menjadi perhatian ramai selepas Watie akhirnya berkongsi kisah sebenar di sebalik rahsia yang dipendam selama hampir empat bulan. Coretannya bukan sekadar berita gembira, tetapi luahan penuh emosi yang mengundang sebak kepada para pengikutnya.
Trauma Lalu Buat Watie Lebih Berhati-Hati
Bukan tidak mahu berkongsi berita gembira tetapi trauma keguguran kandungan lalu memberi kesan kepada dirinya. Untuk Watie, pengalaman pahit itu membuatkan dia lebih berhati-hati setiap kali melalui momen awal kehamilan. Perasaan takut dan cemas bercampur dengan harapan yang besar agar semuanya baik-baik sahaja.
Terkini menerusi Instagram miliknya, Watie Hanifiah, 36, mendedahkan sebab dia menyimpan rahsia kehamilan selama hampir empat bulan. Menurutnya, trauma pengalaman lalu membuatkan dia mengambil masa sebelum bersedia untuk berkongsi, terutama dengan anak-anak dan keluarga terdekat.
“Simpan sini buat kenangan kerana tiada lagi rahsia… Sebab Daddy awal-awal dah bocorkan! 🤣 Syukur Alhamdulillah atas sekali lagi rezeki yang Allah titipkan untuk Mummy, Daddy & anak-anak,” tulisnya.
Luahan Yang Menyentuh Hati Seorang Ibu
Luahan jujur Watie ini menunjukkan kasih sayang seorang ibu yang sanggup menanggung perasaan sendiri demi melihat kegembiraan anak-anak. Dalam catatannya, Watie menekankan bahawa momen melihat anak-anak gembira mengetahui berita kehamilan adalah detik paling manis dalam hidupnya.
Hampir 4 bulan Mummy rahsiakan dari anak2 & family… Sebab Mummy masih trauma dgn peristiwa yang lepas…Kenape Mummy rahsiakan?sebab kegembiraan anak2 bila dapat tahu Mummy pregnant adalah moment paling bahagia dlm hidup Mummy…Dan mummy takut bila ianya terjadi lagi, ianya akan buat Mummy bertambah sedih bila tengok anak2 ikut sekali sedih bersama Mummy…
Kisah ini mencerminkan betapa kuatnya hati seorang wanita yang melalui pengalaman kehilangan, namun tetap mampu bangkit dengan senyuman setiap kali melihat anak-anaknya tersenyum. Dalam setiap ayat yang ditulis, terpancar rasa syukur dan harapan agar kehamilan Watie Hanifiah kali ini dipermudahkan.
Penghargaan Buat Suami & Anak-Anak
Selain itu, Watie turut mengucapkan terima kasih kepada suami, Shuib, dan anak-anak atas kesabaran mereka menghadapi perubahan hormon dan telatahnya sepanjang melalui fasa awal kehamilan.
“Terima kasih atas layanan baik & tolong buatkan semua untuk Mummy di saat Mummy bermalas-malasan, di saat Mummy jadi kebudak-budakkan dan di saat Mummy jadi singa jadian 🤣.”
Penghargaan itu jelas menunjukkan hubungan erat antara Watie, suaminya dan anak-anak. Mereka bukan sahaja menerima berita gembira ini dengan penuh rasa sayang, tetapi juga memberikan sokongan moral yang sangat besar kepada Watie.
Doa & Harapan Untuk Keluarga
Akhir luahannya penuh doa dan harapan agar kasih sayang keluarga kekal utuh sepanjang perjalanan kehamilan Watie Hanifiah. Setiap bait katanya seakan menjadi doa yang dipanjatkan buat keluarga kecil yang sedang melalui babak baru dalam kehidupan mereka.
“Doakan semoga kasih sayang ini tidak akan pernah berubah, semoga Mummy tetap jadi ibu yang adil yang kasihnya tidak pernah berbelah bagi pada semua anak-anak Mummy… Semoga kita bersama selamanya 🤍. Kamu semua Anugerah Terindah dalam hidup Mummy.”
Perkongsian ini bukan sekadar berita kehamilan, tetapi catatan tentang cinta, kesabaran, dan ikatan keluarga yang tidak ternilai. Ia mengingatkan kita bahawa momen kecil bersama keluarga boleh menjadi kenangan paling manis yang kekal selamanya.
Perhatian Ramai Selepas Perut Semakin Jelas
Baru-baru ini, Shuib memuat naik foto Watie menampakkan perut yang semakin membesar di Instagram, sekali gus mencetuskan tanda tanya peminat mengenai perkembangan kehamilan Watie Hanifiah. Ramai yang mula menyedari perubahan itu, namun Watie tetap memilih untuk menunggu masa sesuai sebelum membuat pengumuman rasmi.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2023, dua tahun selepas pemergian isteri Shuib, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 2021. Hasil perkahwinan Shuib dengan Siti Sarah, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan.
Dengan keluarga yang semakin berkembang, perjalanan hidup mereka kini memasuki fasa baru. Segalanya memberi makna lebih mendalam buat Watie, yang kini bukan hanya bergelar isteri dan ibu, tetapi bakal menyambut cahaya mata bersama suami tersayang.
Perjalanan pulang dari sekolah menjadi duka apabila tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas meninggal dunia dalam satu kemalangan apabila MPV terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Jalan Awat-Awat, Sundar, di sini tengah hari semalam (18/10/2024) .
Memetik laporan Utusan Sarawak, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim mengesahkan kejadian kenderaan berbagai guna (MPV) yang membawa 10 pelajar berkenaan terbabas dalam perjalanan balik dari sekolah pada jam 1 petang.
6 BERJAYA SELAMATKAN DIRI KEUAR MENERUSI BONET KERETA
Foto Sumber Utusan Sarawak“Setiba pihak bomba di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis Perodua Alza telah terjunam ke dalam sungai.
“Kenderaan tersebut yang dinaiki 10 orang (lapan daripadanya adalah pelajar SK Agama Lawas), seorang kanak-kanak berusia 5 tahun iaitu anak kepada pemandu, termasuk pemandu lelaki berusia 38 tahun,”
“Enam pelajar telah berjaya menyelamatkan diri selepas pemandu bertindak membuka pintu bonet belakang kenderaan.atanya dalam satu kenyataan hari ini,” ujarnya
Sementara tiga kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan, telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sundar, Lawas.
Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Hospital Lawas untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal.
Pihak Bomba telah membuat selaman di permukaan air di sekitar kenderaan bagi memastikan tiada lagi mangsa lain terlibat.
Tiga pelajar yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohamad Nazran Awang Matasan, 10 tahun; Mohd Fayard Mohd Azmi, 5, dan Eryna Akifa Imani Zukri, 8 tahun. Seorang pelajar yang kritikal berusia 9 tahun telah dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.