
Pernah tak ibu ayah perasan anak mudah sangat tersentuh walaupun ditegur dengan nada biasa? Ada anak yang terus menangis bila dimarahi sedikit, sukar menerima perubahan mengejut atau nampak terlalu memikirkan sesuatu perkara berbanding kanak-kanak lain.
Kadang-kadang, anak seperti ini mudah dilabel sebagai manja, terlalu emosi atau kuat merajuk. Hakikatnya, ada kemungkinan anak mempunyai ciri-ciri Highly Sensitive Child, iaitu kanak-kanak yang memiliki tahap sensitiviti emosi dan deria yang lebih tinggi.
Keadaan ini bukan bermaksud anak bermasalah. Sebaliknya, mereka memproses emosi, suasana dan persekitaran dengan lebih mendalam berbanding kanak-kanak lain. Memahami sifat ini dapat membantu ibu ayah memilih pendekatan yang lebih sesuai ketika membimbing perkembangan emosi anak.
Highly Sensitive Child merujuk kepada kanak-kanak yang mempunyai sistem saraf yang lebih peka terhadap rangsangan emosi, bunyi, perubahan persekitaran dan interaksi sosial. Mereka bukan saja mudah menangis, tetapi turut memproses setiap pengalaman dengan lebih mendalam.
Kepekaan ini bukan penyakit atau gangguan perkembangan. Ia merupakan satu ciri personaliti yang ditemui dalam sebahagian kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Setiap kanak-kanak mempunyai personaliti berbeza. Namun, beberapa ciri berikut sering dilihat pada anak yang sangat sensitif.
Anak yang tergolong sebagai Highly Sensitive Child biasanya lebih mudah tersentuh apabila ditegur. Walaupun ibu ayah hanya bercakap dengan nada sedikit tegas, mereka mungkin terus menangis, diam atau kelihatan sangat sedih.
Ini bukan kerana anak sengaja mahu merajuk atau menarik perhatian. Sebaliknya, mereka memproses teguran dengan lebih mendalam. Bagi mereka, nada suara, ekspresi wajah dan pilihan kata ibu ayah boleh memberi kesan besar kepada emosi.
Anak yang sensitif tinggi juga biasanya sangat peka dengan emosi orang sekeliling. Mereka mudah perasan apabila ibu ayah sedang penat, marah atau sedih.
Ada anak yang akan bertanya, “Mama okay ke?” atau kelihatan muram apabila melihat orang lain menangis. Mereka juga mudah berasa simpati dan kadangkala turut menangis apabila melihat orang lain dalam kesusahan.
Sifat ini menunjukkan anak mempunyai empati yang tinggi, cuma mereka mungkin masih belum tahu cara mengurus emosi tersebut dengan baik.
Perubahan yang nampak kecil bagi orang dewasa mungkin terasa besar bagi anak yang sangat sensitif. Contohnya perubahan jadual harian, berpindah rumah, bertukar guru, masuk sekolah baharu atau perlu berpisah sementara dengan ibu ayah.
Anak seperti ini biasanya memerlukan masa lebih lama untuk menyesuaikan diri. Mereka lebih selesa apabila diberi persediaan awal, penerangan yang lembut dan sokongan emosi daripada ibu ayah.
Anak Highly Sensitive Child juga sering dilihat lebih berhati-hati sebelum mencuba sesuatu yang baharu. Mereka mungkin bertanya banyak soalan kerana mahu memahami apa yang akan berlaku.
Contohnya sebelum masuk kelas baharu, mereka mahu tahu siapa gurunya, di mana perlu duduk, apa aktiviti yang akan dibuat dan bila ibu ayah akan datang mengambil mereka.
Ini bukan bermaksud anak cerewet. Mereka hanya cuba menyediakan diri supaya berasa lebih selamat dan yakin.
Sesetengah anak mudah berasa tidak selesa apabila berada di tempat yang terlalu bising, sesak atau mempunyai cahaya yang terang. Mereka mungkin cepat letih selepas menghadiri majlis yang ramai orang atau memerlukan masa bersendirian untuk menenangkan diri.
Keadaan ini berlaku kerana otak mereka memproses rangsangan deria dengan lebih mendalam berbanding kebanyakan kanak-kanak lain.
Sifat sensitif tinggi dipercayai dipengaruhi oleh gabungan faktor genetik dan perkembangan sistem saraf. Otak anak seperti ini cenderung memproses maklumat dengan lebih mendalam.
Sebab itu mereka lebih cepat menyedari perubahan suasana, emosi orang lain, bunyi, nada suara atau keadaan persekitaran.
Apa yang penting, ibu ayah perlu tahu bahawa keadaan ini bukan berpunca daripada kesilapan dalam mendidik anak. Anak yang sangat sensitif bukan anak yang lemah, tetapi mereka memerlukan pendekatan yang lebih lembut, konsisten dan memahami.
Walaupun sering dilihat sebagai cabaran, anak yang sangat sensitif sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Antara kekuatan mereka ialah:
Jika dibimbing dengan baik, anak seperti ini boleh membesar menjadi individu yang matang dari segi emosi, penyayang dan mempunyai kemahiran sosial yang baik.
Menjadi Highly Sensitive Child bukanlah satu masalah kesihatan mental. Namun, ibu ayah boleh mendapatkan nasihat pakar seperti pakar psikologi kanak-kanak sekiranya sensitiviti anak mula mengganggu kehidupan harian.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah:
Penilaian awal dapat membantu ibu ayah mengenal pasti sama ada anak hanya mempunyai sensitiviti tinggi atau terdapat faktor lain yang memerlukan sokongan lanjut.
Ibu ayah boleh membantu anak membina keyakinan diri dengan menggunakan komunikasi yang lembut, memberi masa untuk mereka menyesuaikan diri dan mengiktiraf perasaan mereka tanpa menghakimi.
Elakkan membandingkan anak dengan adik-beradik atau rakan sebaya. Sebaliknya, berikan galakan apabila mereka berjaya mengurus emosi dan menghadapi situasi baharu. Sokongan yang konsisten akan membantu anak belajar mengawal emosi secara sihat.
Tidak semua anak yang mudah menangis, pemalu atau cepat terasa itu manja. Ada antara mereka sememangnya dilahirkan dengan tahap sensitiviti yang lebih tinggi.
Apa yang anak perlukan bukanlah label atau perbandingan, tetapi bimbingan, kasih sayang dan persekitaran yang membuatkan mereka rasa selamat.
Dengan sokongan yang betul, Highly Sensitive Child mampu membesar sebagai individu yang yakin, penyayang dan mempunyai kekuatan emosi yang luar biasa.
Sumber: Lerner Child Development