
Ramai ibu bapa mungkin menganggap homeschool atau persekolahan di rumah sebagai pilihan bebas untuk menggantikan sekolah biasa. Ada yang menyangka apabila anak tidak sesuai dengan suasana sekolah atau ibu bapa mahu mengajar sendiri di rumah, mereka boleh terus memilih kaedah ini.
Hakikatnya, homeschool bukanlah pilihan yang boleh dibuat sesuka hati. Persekolahan di rumah bukan alternatif kepada pendidikan wajib, sebaliknya hanya boleh dipertimbangkan melalui pengecualian khas yang tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Apa Itu Homeschool?
Home schooling merupakan kaedah persekolahan di rumah yang diberikan kepada kanak-kanak yang benar-benar memerlukannya, khususnya mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik serta memerlukan penjagaan rapi oleh ibu bapa atau penjaga.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan homeschool hanyalah satu keistimewaan dan bukannya hak automatik kepada semua kanak-kanak. KPM tetap mengutamakan supaya setiap kanak-kanak mengikuti sesi persekolahan di sekolah seperti biasa.
Ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah bukan sekadar memberi ilmu akademik, malah membantu perkembangan sosial, komunikasi, disiplin serta kemahiran berinteraksi dengan rakan sebaya.
Pelaksanaan persekolahan di rumah juga perlu mematuhi Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002 serta Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2005.
Justeru, ibu bapa perlu memahami bahawa homeschool bukan pilihan bebas yang boleh dibuat tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Tujuan KPM Membenarkan Homeschool

Kementerian Pendidikan Malaysia memberi kelulusan persekolahan di rumah bagi memastikan kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan kronik masih berpeluang mengikuti pendidikan formal walaupun tidak dapat hadir ke sekolah.
Langkah ini juga bertujuan mengelakkan keciciran pendidikan dalam kalangan kanak-kanak sepanjang tempoh pendidikan wajib seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1996.
Dalam masa yang sama, ibu bapa masih bertanggungjawab memastikan anak menerima pendidikan sewajarnya sepanjang tempoh tersebut.
Syarat Kelayakan Homeschool
Terdapat beberapa syarat utama yang perlu dipenuhi sebelum permohonan boleh dipertimbangkan.
- Anak mempunyai masalah kesihatan kronik yang disahkan oleh pakar perubatan.
- Anak memerlukan penjagaan rapi oleh ibu bapa atau penjaga.
- Pembelajaran dijalankan sepenuhnya di rumah.
- Kelas luar tidak dikira sebagai waktu pembelajaran rasmi.
- Persekolahan di rumah tidak boleh dijalankan secara berkumpulan kecuali melibatkan adik-beradik.
- Ibu bapa perlu memastikan pembelajaran memenuhi tahap minimum Kurikulum Kebangsaan terutama mata pelajaran teras.
- Kanak-kanak tertakluk kepada pemantauan dan penilaian berkala oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
- Kanak-kanak juga boleh didaftarkan untuk menduduki peperiksaan awam jika memenuhi syarat yang ditetapkan.
Prosedur Permohonan
Bagi ibu bapa yang ingin memohon, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Seterusnya, pihak KPM akan membuat penilaian berdasarkan setiap kes secara individu atau case to case basis.
Keputusan akhir permohonan dibuat oleh Menteri Pendidikan. Sekiranya permohonan diluluskan, kanak-kanak boleh mengikuti persekolahan di rumah mengikut syarat yang ditetapkan. Jika tidak diluluskan, anak perlu meneruskan persekolahan seperti biasa.
Sepanjang tempoh kelulusan diberikan, pihak PPD atau JPN akan menjalankan pemantauan dan penyeliaan secara berkala bagi memastikan pelaksanaan pembelajaran berjalan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian
Ibu bapa juga perlu memahami bahawa kelulusan homeschool bukanlah bersifat kekal. KPM berhak membuat semakan semula sekiranya syarat yang ditetapkan tidak lagi dipenuhi atau keadaan kesihatan anak berubah.
Selain itu, ibu bapa perlu menyediakan rekod pembelajaran yang sistematik supaya proses pemantauan oleh pihak berkuasa pendidikan dapat dilakukan dengan lebih mudah. Perancangan pembelajaran yang tersusun akan membantu memastikan anak terus mengikuti perkembangan akademik setara dengan Kurikulum Kebangsaan.
Penutup
Kesimpulannya, homeschool bukanlah jalan mudah untuk mengelakkan anak daripada bersekolah, sebaliknya merupakan satu pengecualian khas bagi kes tertentu yang memenuhi syarat Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pendidikan wajib tetap perlu dipatuhi dan setiap permohonan mestilah melalui proses serta prosedur yang telah ditetapkan. Sebelum membuat keputusan, ibu bapa disarankan mendapatkan maklumat lengkap daripada pihak KPM bagi memastikan tindakan yang diambil benar-benar mengikut undang-undang dan demi kepentingan terbaik anak.
Untuk maklumat lanjut, ibu bapa boleh merujuk laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bahagian Home Schooling.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





