
Seorang ibu sanggup mengetepikan rasa penat demi memastikan anak-anaknya selamat sampai ke rumah apabila terpaksa mendaki tangga sehingga tingkat 36 selepas semua lif di kondominiumnya rosak akibat hujan lebat.
Perkongsian wanita dikenali sebagai Izzaty Zulkifli di TikTok baru-baru ini nyata mengundang sebak dalam kalangan netizen apabila dia berkongsi pengalaman mencabar bersama dua orang anaknya.
Menurut Izzaty, kejadian berlaku selepas kesemua tujuh lif di bangunan kediamannya tidak dapat digunakan dipercayai susulan cuaca buruk dan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.
Lebih mengejutkan, notis yang dikeluarkan memaklumkan operasi lif hanya akan disambung semula pada keesokan hari. Situasi itu membuatkan para penghuni tiada pilihan selain menggunakan tangga untuk pulang ke rumah masing-masing.
Bagi Izzaty, cabaran menjadi lebih sukar kerana dia perlu membawa bersama dua orang anak kecil untuk naik sehingga ke tingkat 36.
Perjalanan mereka pada awalnya berjalan lancar, namun keadaan mula berubah apabila anak keduanya mula menunjukkan tanda keletihan ketika tiba di tingkat 18.
@izzatyzulkifli Tahu one day akan jadi benda mcm ni tapi tak sangka secepat ini. Rumah baru tak smpai setahun owner duduk😂 Punca air hujan masuk shaft lift. Semoga tak terjadi lagi 🥹. #vierraresidence #liftshutdown #rumawip ♬ Jelly Fish Jam – Da Fokin
Walaupun mereka berhenti beberapa kali untuk berehat, tenaga anaknya semakin berkurangan sehingga tidak mampu lagi berjalan sendiri apabila sampai di tingkat 22.
Tanpa banyak pilihan, ibu cekal itu akhirnya mengambil keputusan untuk mendukung anaknya sambil meneruskan perjalanan menaiki tangga satu demi satu.
Menerusi video yang dikongsikan, jelas kelihatan keletihan yang dirasai namun dia tetap kuat demi anak-anak.
Dalam kepenatan itu, Izzaty turut berkongsi detik menyentuh hati apabila seorang jiran tampil membantu dengan menghulurkan air minuman ketika mereka sedang berehat di tangga.
Tindakan kecil tersebut cukup bermakna dan sedikit sebanyak memberi semangat untuk mereka meneruskan perjalanan hingga tiba di rumah.
Menurut Izzaty, keseluruhan perjalanan mendaki tangga hingga ke tingkat 36 mengambil masa kira-kira satu jam 15 minit.
Dia turut berseloroh mengatakan dirinya sudah “tak rasa kaki” selepas berjaya sampai ke rumah kerana terlalu penat mendukung anak sepanjang perjalanan.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa simpati dan kagum dengan pengorbanan seorang ibu.
Ramai memuji ketabahannya yang sanggup menggagahkan diri demi keselesaan dan keselamatan anak-anak, malah ada juga yang berkongsi pengalaman berdepan situasi sama ketika lif rosak atau gangguan elektrik berlaku di kediaman mereka.
Tidak kurang juga yang tersentuh melihat sikap prihatin jiran tetangga yang masih sanggup membantu walaupun dalam keadaan serba mencabar.
Kisah ibu cekal daki tangga tingkat 36 ini secara tidak langsung menyentuh hati ramai pengguna media sosial kerana menggambarkan pengorbanan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anak. Walaupun berdepan situasi sukar dan memenatkan, dia tetap meneruskan perjalanan tanpa mengeluh demi memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat.
Selain itu, ramai netizen turut menjadikan kisah tersebut sebagai peringatan tentang pentingnya semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. Bantuan kecil seperti menghulurkan air minuman ternyata mampu memberi kekuatan kepada seseorang yang sedang melalui detik sukar.
Baca lagi: Lisa Surihani Berangkat Tunai Haji, Momen Perpisahan Dengan Anak-Anak Undang Sebak
Mykad Baharu Bermula Jun 2026, Ini Ciri Keselamatan & Siapa Wajib Tukar
Sumber: Tik Tok @izzatyzulkifli