
Ibu hamil berpuasa sering menjadi persoalan besar setiap kali Ramadan tiba. Bila masuk Ramadan, ramai ibu hamil mula rasa serba salah. Nak puasa sebab mahu rebut pahala, tapi dalam masa yang sama risau keadaan diri dan bayi dalam kandungan. Ada yang paksa diri tahan lapar dan dahaga walaupun badan sudah beri isyarat tidak larat.
Hakikatnya, Islam itu memudahkan. Kesihatan ibu dan keselamatan bayi adalah keutamaan. Bukan semua ibu hamil sesuai untuk berpuasa, terutamanya jika kehamilan dikategorikan sebagai berisiko.
Menurut Dr Muhammat Izzat, doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan, terdapat beberapa golongan ibu mengandung yang dinasihatkan untuk tidak berpuasa demi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Siapa Yang Tidak Digalakkan?
Berikut antara kumpulan yang tidak disarankan berpuasa.
1. Ibu Dengan GDM Yang Tidak Terkawal
Ibu yang mempunyai Diabetes Mellitus Semasa Hamil atau GDM dengan bacaan gula yang tidak stabil sangat berisiko jika berpuasa.
Lebih-lebih lagi jika ibu sedang mengambil insulin. Turun naik gula dalam darah boleh memberi kesan kepada ibu dan juga bayi dalam kandungan.
Bagi ibu GDM yang hanya kawal melalui pemakanan, masih ada kemungkinan untuk berpuasa, tetapi mestilah selepas dinilai dan mendapat kebenaran doktor yang merawat. Jangan buat keputusan sendiri jika bercadang untuk ibu hamil berpuasa dalam keadaan ini.
2. Ibu Berisiko Darah Beku
Ibu yang berisiko mendapat darah beku atau venous thromboembolism juga tidak digalakkan berpuasa.
Termasuk dalam kumpulan ini ialah ibu yang sedang menerima suntikan ubat pencair darah seperti clexane atau heparin. Dehidrasi akibat berpuasa boleh meningkatkan risiko pembekuan darah, sekali gus membahayakan nyawa ibu.
Jika doktor menilai risiko tinggi, sebaiknya utamakan keselamatan dan tangguhkan hasrat ibu hamil berpuasa sehingga keadaan lebih stabil.

3. Ibu Dengan Pre-Eclampsia Atau Darah Tinggi
Pre-eclampsia dan tekanan darah tinggi ketika hamil bukan perkara kecil. Ibu dalam keadaan ini biasanya perlu mengambil ubat pada waktu tertentu dan perlu pemantauan rapi.
Berpuasa boleh menyebabkan perubahan tekanan darah dan mengganggu jadual pengambilan ubat. Ini boleh memberi kesan serius kepada ibu dan bayi, terutama jika ibu hamil berpuasa tanpa pemantauan rapi doktor.
4. Ibu Yang Alami Muntah Teruk Di Awal Kehamilan
Trimester pertama sering dikaitkan dengan alahan dan muntah. Namun jika muntah terlalu kerap sehingga ibu tidak mampu makan dan minum dengan baik, berpuasa hanya akan memburukkan keadaan.
Risiko dehidrasi dan kekurangan nutrisi boleh menjejaskan kesihatan ibu serta perkembangan bayi. Dalam situasi ini, keputusan ibu hamil berpuasa perlu dinilai dengan sangat berhati-hati.
5. Tidak Sihat Atau Demam
Jika ibu sedang tidak sihat, demam atau mengalami jangkitan, badan memerlukan tenaga dan cecair yang mencukupi untuk pulih.
Berpuasa dalam keadaan ini boleh melambatkan proses pemulihan dan menyebabkan komplikasi lain. Kesihatan semasa lebih penting daripada memaksa diri untuk ibu hamil berpuasa ketika tubuh sedang lemah.
6. Kehamilan Dengan IUGR
IUGR merujuk kepada keadaan bayi terbantut tumbesaran dalam kandungan. Dalam situasi ini, nutrisi yang mencukupi amat penting.
Berpuasa mungkin menjejaskan bekalan nutrien yang diperlukan bayi untuk membesar dengan baik. Sebarang keputusan berkaitan ibu hamil berpuasa dalam kes IUGR perlu melalui nasihat pakar.

7. Ibu Mengandung Kembar
Kehamilan kembar dua atau tiga memerlukan tenaga dan nutrisi yang lebih tinggi berbanding kehamilan biasa.
Ibu lebih mudah letih, lapar dan dehidrasi. Risiko komplikasi juga lebih tinggi, jadi penilaian doktor amat penting sebelum membuat keputusan untuk ibu hamil berpuasa.
8. Ibu Yang Risau Tentang Keselamatan Diri & Anak
Jika ibu menyusukan anak atau sedang hamil dan berasa bimbang tentang keselamatan diri, bayi dalam kandungan atau anak yang disusukan, ibu tidak perlu memaksa diri.
Rasa tidak yakin dan tidak mampu itu sendiri sudah menjadi petunjuk bahawa badan memerlukan perhatian. Dalam keadaan ini, tidak salah untuk menangguhkan ibu hamil berpuasa demi kesejahteraan semua.
Jangan Rasa Bersalah Jika Tidak Berpuasa
Puasa yang ditinggalkan boleh diganti pada hari lain atau dibayar fidyah mengikut keadaan masing-masing.
Apa yang penting, jangan jadikan puasa sebagai beban sehingga memudaratkan diri. Setiap kehamilan adalah berbeza. Ada ibu yang mampu berpuasa tanpa masalah, ada juga yang tidak sesuai.
Jika tidak termasuk dalam kumpulan berisiko, tetaplah lakukan pemeriksaan dan berbincang dengan doktor sebelum membuat keputusan. Soal ibu hamil berpuasa bukan hanya tentang kemampuan menahan lapar dan dahaga, tetapi tentang tanggungjawab menjaga amanah yang Allah berikan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





