Kehamilan adalah salah satu pengalaman hidup yang cukup bermakna. Namun yang demikian, kehamilan tidak datang tanpa risiko dan komplikasinya. Selain hipertensi ketika hamil, salah satu penyakit yang kerap berlaku dalam kalangan ibu yang berbadan dua adalah kencing manis (diabetes gestasi).

Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang bacaan normal kencing manis semasa mengandung dan juga aspek-aspek diabetes gestasi penting yang lain.

Ibu Hamil Yang Ada Diabetis Perlu Dapatkan Bacaan Normal ≤5.3 mmol/L, ≤7.8 mmol/L, ≤6.7 mmol/L

Bagaimana diabetes gestasi boleh terjadi?

Di luar konteks kehamilan, masyarakat mungkin selalu mendengar bahawa terdapat dua jenis diabetes iaitu diabetes jenis satu dan diabetes jenis dua. Diabetes jenis satu disebut sebagai diabetes yang bergantung kepada insulin kerana patofisiologinya membabitkan ketidakupayaan organ pankreas untuk menghasilkan hormon insulin. Gangguan ini dipengaruhi oleh keadaan autoimun yang menyerang organ pankreas. Pesakit diabetes jenis satu selalunya adalah golongan kanak-kanak. Diabetes jenis dua pula adalah disebabkan oleh kerintangan insulin dan juga kekurangan relatif dalam penghasilan hormon insulin.

Kebanyakan diabetes adalah daripada jenis ini. Keterjadian penyakit ini disebabkan oleh faktor gaya hidup dan juga kecenderungan genetik. Lazimnya, penghidap diabetes jenis dua adalah golongan dewasa.

Dalam konteks kehamilan, wujud pula satu bentuk diabetes yang lain iaitu diabetes gestasi. Ketika mengandung, tindakan insulin akan sedikit terganggu akibat beberapa hormon (estrogen, kortisol dan human placental lactogen) yang dirembeskan oleh uri. Apabila memasuki trimester kedua dan ketiga, uri akan membesar dan matang sepenuhnya. Ini akan menyebabkan rembesan hormon-hormon penggugat insulin berada pada tahap yang tinggi. Tindak balas pankreas terhadap rintangan ini adalah dengan menghasilkan lebih banyak insulin demi mengawal paras gula dalam darah. Selepas minggu ke-24, seandainya paras gula terus-menerus gagal dikawal, seseorang itu akan didiagnosis dengan diabetes gestasi.

Penyakit diabetes gestasi bukanlah satu penyakit yang boleh dipandang ringan atau diambil mudah. Ini kerana kesannya melibatkan kedua-dua ibu dan juga bayi yang dikandung. Berita baiknya adalah majoriti penghidap diabetes gestasi akan pulih dengan sendirinya selepas melahirkan bayi mereka. Namun yang demikian, terdapat segolongan kecil penghidap yang kurang bernasib baik akan terus-menerus menghidap kencing manis walaupun telah selamat bersalin.

IKLAN

Risiko setiap wanita adalah berbeza

Menurut Laporan Obstetrik Kebangsaan, semenjak tahun 2011 sehinggalah tahun 2015, insiden diabetes gestasi adalah semakin menurun. Pada tahun 2015, buat pertama kalinya, insiden diabetes gestasi mencatatkan nilai bawah 8% iaitu 7.42%. Penting untuk diingati bahawa bukan semua orang mempunyai risiko yang sama untuk menghidapinya. Terdapat sesetengah kumpulan wanita hamil yang lebih cenderung untuk didiagnosis dengan diabetes gestasi berbanding kumpulan wanita hamil yang lain. Antara faktor risiko untuk penyakit ini adalah:

-Wanita yang mempunyai Indeks Jisim Badan melebihi 27 kg/m2
-Pernah didiagnosis dengan diabetes gestasi untuk kehamilan sebelum ini-
-Mempunyai ahli keluarga terdekat (first-degree) yang menghidap diabetes mellitus
-Pernah melahirkan bayi makrosmik (berat melebihi 4kg)
-Sejarah obstetrik lampau yang teruk (i.e., kematian dalam rahim, kecacatan kongenital, bahu bayi tersekat ketika bersalin)
-Paras gula dalam air kencing ≥2+ dalam dua bacaan yang berbeza
-Sedag menghidap masalah obstetrik lain (hipertensi primer, hipertensi ketika mengandung dan polihydramnios)

Selain perkara-perkara di atas, peningkatan usia juga dikaitkan dengan risiko menghidap diabetes gestasi yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, wanita mengandung yang berusia 25 tahun dan ke atas, walaupun tanpa faktor risiko yang lain, akan disaring sekitar minggu ke-24 hingga minggu ke-28.

Komplikasi akibat diabetes gestasi

IKLAN

Seperti yang disebut dalam bab sebelum ini, penyakit diabetes gestasi membawa risiko untuk beberapa komplikasi obstetrik yang tidak diingini.

Secara asasnya, apabila bacaan normal kencing manis semasa mengandung tidak berjaya dicapai, ia akan berpindah ke bayi menerusi uri. Ini akan menyebabkan darah bayi juga akan mempunyai kandungan gula yang tinggi. Untuk mengatasi masalah ini, pankreas bayi akan bertindak menghasilkan insulin tambahan. Bayi akan mendapat tenaga (dalam bentuk glukosa) yang berlebihan dari yang diperlukannya, dan tenaga lebihan ini akan tersimpan sebagai lemak badan yang akan menyebabkan makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih).

Bayi makrosomia akan meningkatkan risiko komplikasi ketika bersalin dan/ atau kemungkinan untuk bersalin melalui pembedahan Caesarean section. Komplikasi ketika bersalin yang boleh berlaku termasuklah:

-Tempoh bersalin menjadi lama
-Bahu bayi tersekat
-Kekoyakan perineum darjah tinggi
-Tumpah darah (pendarahan pasca-bersalin)
-Kecederaan barchial plexus
-Asfiksia perinatal
-Hipoglisemia neonatal
-Tersedut mekonium

Selain daripada komplikasi di atas, terdapat juga risiko jangka masa panjang untuk bayi tersebut. Kajian mendapati bayi makrosomia terdedah kepada risiko yang lebih tinggi untuk menghidap obesiti dan diabetes ketika membesar. Oleh itu, mengawal paras gula untuk mendapatkan bacaan normal kencing manis semasa mengandung adalah sangat penting.

IKLAN

Mendapatkan bacaan normal kencing manis semasa mengandung

Dalam merawat diabetes gestasi, pemantauan bacaan paras gula dalam darah adalah penting. Ini kerana, ia dapat membolehkan pesakit dan juga doktor mengenal pasti sama ada paras gula adalah terkawal dan bacaan normal kencing manis semasa mengandung berjaya dicapai.

Kaedah pemantauan utama adalah melalui pemantauan kendiri (SMBG). Kaedah ini digunakan untuk kedua-dua pesakit yang menghidap kencing manis sedia ada dan juga mereka yang menghidap diabetes gestasi. Berdasarkan bacaan yang diperolehi ini, doktor dapat melaraskan kandungan dan jenis ubat yang perlu digunakan untuk memastikan paras gula terus berada dalam tahap yang terkawal.

Sasaran bacaan normal kencing manis semasa mengandung adalah seperti berikut:

Sebelum makan/ ketika puasa semalaman: ≤5.3 mmol/L
1 jam selepas makan: ≤7.8 mmol/L
2 jam selepas makan: ≤6.7 mmol/L

Kawalan paras gula ini dicapai melalui penggunaan ubat antidiabetik. Kadangkala, insulin juga akan digunakan untuk melengkapi kesan ubat antidiabetik. Selain penggunaan ubat, modifikasi diet juga akan dilakukan demi meningkatkan keberkesanan rawatan yang diberikan. Walau bagaimanapun, mendapatkan bacaan normal kencing manis semasa mengandung bukanlah satu-satunya matlamat rawatan. Disebabkan wanita hamil yang mengalami diabetes gestasi terdedah kepada risiko yang tinggi (5 kali ganda) untuk menghidap pre-eklampsia, ubat pencegahan pre-eklampasia (aspirin dos rendah bermula minggu ke-12) turut diberikan.

Tuntasnya, kehamilan adalah salah satu pengalaman hidup yang cukup bermakna. Menyedari hakikat bahawa anda akan melahirkan ‘ahli baru’ kepada keluarga anda pasti membawa kegembiraan yang tidak terkata. Untuk itu, persediaan rapi perlu dibuat agar anda tidak terkejut dengan realiti kehamilan.

Sumber: Hello Doktor

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI