Keibubapaan

Ibu Lepas Bersalin Bakal Terima Elaun Baharu, PM Umum Inisiatif Bantu Keluarga

Share

Khabar baik buat para ibu di Malaysia, khususnya wanita bekerjaya yang baru melahirkan anak apabila kerajaan mengumumkan satu inisiatif baharu menerusi pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin.

Langkah progresif ini diumumkan sebagai usaha membantu ibu selepas bersalin agar mempunyai ruang dan masa tambahan untuk pulih secara fizikal serta emosi, tanpa perlu terlalu risau soal kewangan atau tekanan untuk kembali bekerja terlalu awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut diperkenalkan susulan dapatan yang menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh, khususnya bagi golongan berusia antara 25 hingga 39 tahun, mengalami sedikit penurunan.

Menurut beliau, antara faktor utama adalah komitmen terhadap materniti dan tanggungjawab menjaga anak selepas kelahiran.

“Rasionalnya ialah kita tidak mahu selepas itu sepertimana yang berlaku selama ini, ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan medan pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini.

Beliau menjelaskan, elaun tersebut akan diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Menerusi inisiatif ini, pekerja wanita yang diinsuranskan layak menerima bantuan kewangan tambahan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan, yang akan dibayar secara sekali beri (one-off).

Elaun ini diwujudkan khusus bagi membantu ibu yang mengambil cuti tambahan sehingga 30 hari sebulan selepas tamat tempoh cuti bersalin sedia ada selama 98 hari.

Ini bermakna, ibu yang memerlukan lebih masa untuk berpantang, pulih selepas bersalin, menyesuaikan diri dengan rutin baharu atau menjaga bayi yang masih kecil boleh mendapat sedikit kelegaan kewangan.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan sentiasa komited memperkasakan wanita kerana mereka merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.

Pengumuman ini disambut baik ramai pihak kerana dilihat sebagai satu langkah lebih mesra keluarga dan realistik terhadap cabaran sebenar yang dihadapi wanita selepas melahirkan anak.

Bagi ramai ibu, tempoh selepas bersalin bukan sahaja melibatkan proses pemulihan fizikal, malah turut datang bersama perubahan emosi, penyesuaian mental, penyusuan, kurang tidur serta komitmen menjaga bayi.

Dengan adanya Elaun Pasca Cuti Bersalin ini, ia diharap dapat mengurangkan tekanan ibu baharu serta mengelakkan situasi wanita terpaksa memilih antara kerjaya dan keluarga.

Inisiatif ini sekali gus dilihat sebagai berita gembira yang memberi sinar baharu buat golongan ibu bekerja di Malaysia.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nor Yusoff