Anak-anak memang sukakan rutin. Tindakan Imam Muda Asyraf membacakan hadis bersama anak-anak dan isteri adalah rutin yang baik yang boleh dipraktikkan & dicontohi semua.
Bapa kepada tiga anak iaitu, Aisy Raihan, Aisy Abdurrahman dan Setiaku Aisyah, ini telah berkongsi cara didikan yang dilakukannya. Kata Asyraf, rutin selalunya diambil oleh isterinya, Nur Husna Yusoff tetapi kali ini diberikan kelapangan masa untuk melaksanakannya.
Pendakwah muda ini juga turut mengakui yang anak-anak memang bijak memerhati walau pun mereka tidak menumpukan perhatian. Lebih-lebih lagi bagi anak yang sedang aktif, menunjukkan sesuatu di depan mereka akan membuatkan mereka terbiasa.
Asyraf malah mengakui anak sulungnya, Aisy sangat meminati kisah dan hadis dan tidak sabar untuk menunaikan umrah Mac nanti.
imammudaasyraf Seperti biasa. Faham atau tidak perkara kedua. Yang penting kelibat duduk sambil mengambil berkat hadith itu menjadi rutin yang dibiasakan pada mata anak-anak.
TELINGA TIDAK MEMAHAMI TAPI MATA MEMERHATI
Ads
Telinganya tidak memahami. Namun matanya belajar memerhati. Walau bermain handphone sekalipun, ianya satu kejayaan bagi membawa AbduRahman yang seaktif Ultraman Batman untuk duduk di depan.
ANAK TIDAK SABAR TUNAI UMRAH MAC INI
Bagi Aisy pula, dia sangat meminati cerita, hadith dan sebagainya. Manakan tidak, semangat beliau apabila hajat untuk menunaikan umrah di Mekah pada cuti sekolah Mac ini tak sabar dinanti. Doakan kami bersama ke sana.
Ads
Jarang sempat membaca bersama mereka. Selalu ummi yang mengambil peranan. Tapi kali ini Aisyah pun teruja duduk bersama Abah.
TIADA YANG MUSTAHIL WALAU PUN SEBARIS HADIS
Mungkin agaknya Abah mimpi apa malam ini tiada kuliah. Apapun selamat malam anakku. Tiada apa yang mustahil walau sebaris hadith.
Ads
Sedangkan al-Qa’nabi mampu berubah watak dari peminum Nabiz (memabukkan) kepada perawi paling tsiqah dalam al-Muwatto’ hanya kerana sepotong hadith dari Imamnya Syu’bah.
Selamat Hari Autisme! Anak-anak autisme juga mempunyai hak untuk melakukan aktiviti seperti kanak-kanak normal lain. Untuk merangsang otak mereka, ibu ayah boleh melakukan berapa aktiviti yang boleh membantu menjana mindanya.
Panduan yang disediakan oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan,Ketua Pusat Pengajian di UiTM Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal dengan harapa menjadi panduan buat ibu bapa.
Aktiviti 1
Terdapat beberapa permainan yang agak tradisional seperti catur atau dam dan lain-lain lagi yang yang terdapat di kedai serbaneka dan kedai permainan yang menawarkan peluang untuk si kecil autistik mencuba kemahiran seperti mengalihkan sesuatu, berkongsi sesuatu dan menunggu gilirannya.
Namun, pastikan apabila anda memilih permainan seperti ini, cuba pilih yang tidak mengambil terlalu banyak masa untuk dihabiskan. Ini kerana tempoh fokus si kecil yang autistik mungkin agak terhad.
Aktiviti 2
Rata-rata, ramai kanak-kanak dengan autisme sentiasa mahu bergerak aktif. Ini kerana mereka amat menikmati pergerakan memanjat, berlari, berayun, melompat dan lain-lain lagi. Kadangkala hal ini mendatangkan mudarat kepada mereka.
Apa kata papa dan mama gunakan minat ini untuk melibatkan si kecil autistik dengan aktif? Aktiviti seperti berayun di atas buaian (dengan seliaan orang dewasa) boleh menjadi menyeronokkan. Melompat di atas trampolin, berlari bebas di padang atau taman rekreasi juga boleh dijadikan rutin positif untuk si kecil dengan autisme.
Aktiviti 3
Sesetengah kanak-kanak yang autistik benar-benar menikmati aktiviti dengan plastisin, bermain dengan pasir, lumpur atau bahan-bahan yang mungkin ‘menggelikan’ kanak-kanak lain. Yang paling utama, ikutlah kehendak si kecil anda sendiri kerana yang utama ialah proses memfokus deria sebagai kanak-kanak dalam Spektrum Gangguan Autisme.
Aktiviti seperti ini dapat menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk si kecil autistik anda dan pada masa yang sama dapat melatihnya mengawal deria dan rangsangan yang ada kalanya boleh merimaskan dan melemaskan kanak-kanak yang ada gangguan autisme.
Aktiviti 4
Muzik memotivasikan kanak-kanak. Kanak-kanak yang autistik tetapi dengan kepekaan bunyi yang tinggi akan menikmati muzik sebagai suatu medium untuk merangsang dan menenangkan diri mereka.
Mama dan papa juga boleh mencari jalan untuk memasukkan elemen muzik dan lagu ke dalam aktiviti yang dilakukan dengan si kecil yang autistik pada setiap hari. Sebagai contoh, sambil menyanyi boleh dilakukan pergerakan aktif seperti menari dan menonton video muzik untuk kanak-kanak yang membawa keriangan.
Aktiviti 5
Aktiviti pembinaan disukai oleh kanak-kanak lelaki dan juga perempuan. Untuk anak kecil yang autistik, aktiviti seperti ini banyak faedahnya seperti mendidik kesabaran dan membantu koordinasi diri serta kawalan rangsangan yang terlampau.
Lebih menarik lagi, papa dan mama tidak semestinya harus membeli blok permainan binaan yang mahal-mahal. Ini kerana kotak kosong, alatan dapur yang tidak terlalu berat atau mudah pecah serta tajam, malah apa sahaja yang sesuai boleh digunakan untuk aktiviti berbentuk permainan membina (building things).
Aktiviti 6
Kanak-kanak autistik adalah insan yang mempunyai deria visual yang juga kuat. Maka, ramai kanak-kanak yang berada dalam Spektrum Gangguan Autisme amat menyukai kegiatan seni dan kraftangan termasuk menconteng dan meluksi yang menyenangkan dan memotivasikan mereka.
Seni dan kraf juga boleh menjadi aktiviti bahasa yang hebat sambil menawarkan peluang penting untuk mengembangkan kemahiran motor halus. Namun, pastikan aktiviti ini bersesuaian dengan tahap perkembangan si kecil yang ada gangguan autisme berkenaan.
Aktiviti7
Dalam ruangan ini bulan lepas, kita telah berbincang panjang lebar tentang manfaat demi manfaat komputer tablet, telefon pintar dan gajet serupa dalam perkembangan kanak-kanak pada tahap pendidikan usia praformal.
Manfaat yang sama juga pasti dapat diraih oleh si kecil yang autistik. Autismenya tidak harus menjadi halangan untuk si kecil itu menikmati pembelajaran menerusi teknologi yang pasti menghiburkan. Hanya kata-kata kunci ‘dalam keadaan terkawal’ perlu menjadi panduan utama dalam menggunakan gajet agar tidak pula ketagihan pada hari muka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bidan kongsi cara atasi masalah perut buncit selepas bersalin. Masalah perut buncit dan menggelebeh antara masalah yang merunsingkan ibu-ibu selepas bersalin. Belum lagi dengan kesan stretch mark dan selulit pada kawasan tersebut yang boleh menjejaskan keyakinan diri.
Sebenarnya, mak-mak boleh rujuk panduan daripada Ketua Jururawat di sebuah klinik kerajaan dan Bidan Berdaftar, Tengku Azmanira Raja Husin ini mengenai cara atasi perut buncit selepas bersalin.
10 CARA ATASI PERUT BUNCIT SELEPAS BERSALIN
Membentuk tubuh langsing dan mendapatkan semula berat badan ideal selepas bersalin adalah idaman setiap ibu. Namun, pastinya ia tidak semudah disangka dan lebih sukar terutama buat ibu yang memberikan susu badan kepada bayi mereka.
Bahagian perut yang buncit serta kehadiran selulit dan tanda regangan membuatkan ramai ibu yang gelisah. Lemak yang terkumpul di perut mendedahkan Ibu kepada masalah yang serius seperti diabetes dan penyakit jantung.
Masalah perut buncit, ‘Spare Tyre’ atau perut menggeleber selepas bersalin adalah perkara normal bagi setiap ibu selepas bersalin. Namun, jika dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan susulan ianya akan berkekalan dan boleh menjejaskan penampilan ibu. Atas faktor kesihatan, saiz ukuran pinggang ibu disarankan tidak melebihi 35 inci. Saiz lingkaran pinggang berlebihan mendedahkan ibu kepada pelbagai risiko penyakit.
Individu dengan kadar lemak yang tinggi di perut cenderung mempunyai nafsu makan yang besar. Lemak berlebihan dalam tubuh menghalang pelepasan hormon yang mengendalikan nafsu makan. Justeru membuatkan individu sukar mengawal nafsu makan mereka dan makan dalam jumlah yang banyak. Akibatnya, masalah perut buncit sukar diatasi.
Tubuh yang langsing sememangnya menjadi idaman setiap ibu. Ada segelintir ibu yang ingin langsing cepat dengan mengambil ubat-ubatan tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan diri dan bayi. Apakah rahsia untuk kekal langsing secara sihat? Kak Engku ingin berkongsi tip yang lebih selamat untuk menghilangkan masalah perut buncit selepas bersalin dengan kaedah yang mudah dan murah.
Ikuti 10 tip berikut:
1. Penyusuan
Penyusuan bukan hanya memberi manfaat kepada bayi sahaja, malah ianya juga sangat membantu Ibu untuk langsing semula. Ibu digalakkan menyusukan anaknya hanya dengan susu ibu sebaik sahaja bayi dilahirkan. Sebaik-baiknya lakukan penyusuan secara ekslusif sehingga bayi berumur 6 bulan tanpa memberi makanan dan minuman tambahan selain dari susu ibu. Juga disarankan agar penyusuan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Ibu yang menyusukan bayi akan cepat berasa lapar dan dahaga. Ini disebabkan air dan banyak kalori diperlukan untuk menghasilkan susu ibu. Oleh sebab itulah, ibu menyusu dinasihatkan mengamalkan pemakanan seimbang terutama makanan yang rendah lemak dan tinggi serat. Diet ideal ialah makanan yang tinggi kandungan protein dan vitaminnya. Kalori juga harus dikira supaya ada penyusutan berat badan. Perlu diingat, kalori yang sesuai bagi ibu menyusu adalah sekitar 2500 kcal. Kalau terlalu kurang, dikhuatiri kualiti susu yang dihasilkan tidak memuaskan.
Penyusuan dan pemakanan seimbang mampu membantu menurunkan berat badan. Setiap kali sesi penyusuan 85kcal akan di bakar bagi 100ml susu badan yang dihasilkan. Untuk 6 bulan pertama, purata susu badan dihasilkan sehari adalah sebanyak 750ml. Ini bermakna sebanyak 650kcal akan dibakar hanya dengan menyusukan susu badan. 650kcal kalori yang dibakar adalah bersamaan dengan naik tangga berterusan selama 90 minit. Penyusuan juga membantu mengecutkan rahim ibu dan bantu mengembalikan bentuk badan asal dengan cepat. Jadi teruskanlah menyusukan anak dengan susu ibu.
2. Pemakaian Bengkung
Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ini, terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung atau berbarut. Tidak dinafikan amalan tersebut agak leceh dan remeh tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan.
Amalan berbengkung yang dilakukan secara berdisiplin boleh membantu seseorang ibu mengembalikan bentuk badan asal secara semulajadi. Pemilihan dan penggunaan bengkung yang sesuai serta cara pemakaian yang betul mampu merampingkan pinggang ibu.
Di samping itu, berbengkung bertujuan untuk memejalkan semula otot-otot badan, perut dan pinggul. Ia juga mengempiskan semula perut yang menggeleber dan mengetatkan peranakan agar tidak jatuh. Ibu perlu berbengkung untuk mendapatkan kembali tubuh yang langsing kerana fizikal badan berubah semasa mengandung. Otot menjadi kendur dan perlu ditegangkan semula agar tubuh menjadi kemas dan langsing semula.
Waktu sesuai berbengkung adalah selepas mandi pagi dan setelah di urut. Ulangi semula pada sebelah petang selepas mandi hinggalah pagi keesokannya. Ibu pasti tersenyum melihat hasilnya.
3. Amalan Bertungku
Bertungku adalah amalan tradisional ibu-ibu untuk memecahkan darah beku selepas bersalin. Amalan ini semakin kurang mendapat sambutan kerana khasiat dan kebaikan bertungku sudah tidak dititikberatkan. Tujuan bertungku adalah untuk membantu mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku, memecahkan lemak dan mengecutkan rahim bagi ibu selepas bersalin.
4. Kawal Diet Pemakanan
Untuk 6 bulan pertama, ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif dinasihatkan mengamalkan pemakanan sihat yang rendah lemak dan tinggi serat. Manakala bagi Ibu yang sudah tidak menyusukan bayi, Ibu boleh mengawal diet pemakanan secara teratur. Kurangkan pengambilan karbohidrat, lemak dan minyak. Lebihkan pengambilan protein bagi membina otot tubuh dan menganjalkan semula perut yang menggeleber. Tingkatkan juga pengambilan makanan yang dapat mempercepatkan proses pembakaran lemak seperti oat, kekacang, bayam dan madu.
Ingin sentiasa kenyang pada masa yang sama mampu mengecilkan saiz pinggang? Cuba amalkan oat, cendawan, asparagus, bawang dan pisang. Ini kerana makanan tersebut menghasilkan lebih hormon yang mengawal selera yang membuatkan Ibu sentiasa berasa kenyang.
5. Kepentingan Sarapan Pagi
Bagi ibu yang ingin kembali langsing, jangan pandang remeh akan perkara ini. Bersarapan dapat meningkatkan metabolisma dalam badan dan menyebabkan kadar pembakaran tenaga berlaku dengan lebih cepat. Namun, cuba ambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi makan dengan lebih kerap. Amalkan makanan tinggi serat, kurangkan gula ringkas dan makan lemak yang sihat.
6. Teh Hijau Dan Jus Limau Nipis
Untuk mengempiskan perut, selain menjaga pemakanan dan bersenam secara teratur, Ibu boleh mempercepatkan proses tersebut dengan mengamalkan minum teh hijau. Sejak dahulu lagi, teh hijau disebut sebagai minuman pelangsing kerana memiliki kandungan Catechin yang berupaya meningkatkan pembakaran lemak, sekali pun sewaktu ibu tidak bergerak.
Catechin adalah sejenis polifenol yang terdapat di dalam daun teh yang memiliki sifat sebagai antioksidan. Ibu disarankan meminum teh hijau selepas makan makanan yang berlemak. Kaedah ini sesuai untuk ibu yang tidak menyusukan bayi dengan susu ibu.
Selain mengamalkan minum teh hijau, minum minuman yang masam akan menggalakkan pembakaran lemak di dalam tubuh. Amalkanlah minum air limau nipis atau jus oren segar sebaik-baiknya tanpa gula.
7. Minum Air Sebelum Makan
Pelik tapi benar. Menurut satu kajian, ibu yang minum 2 gelas air sebelum sarapan, makan tengahari dan malam mampu mengurangkan berat badan sebanyak 12kg setahun. Ibu yang minum 2 gelas air mendapat 75 kalori berbanding yang tidak minum air. Ia juga meningkatkan metabolisma tubuh.
Elakkan makan bersulam air. Ramai yang gemar menikmati makanan dengan ditemani segelas air. Mungkin sudah terbiasa makan diselangi minum air agar tidak tercekik dan tersedak. Sebenarnya minum bersulam air boleh memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman dan meningkatkan insulin dengan cepat. Bukan sahaja masalah kesihatan, tetapi turut membuatkan lemak berkumpul di bahagian perut dengan cepat.
8. Selepas Makan, Gerak 25 Langkah
Kurangkan segera kalori selepas makan! Setiap 25 langkah anda berjalan, satu kalori akan digunakan. Lebih-lebih lagi jka anda menaiki tangga. Lakukan dengan santai kerana perut baru diisi. Selain memberi peluang makanan untuk hadam, amalan berjalan-jalan sesudah makan membantu menghabiskan sebahagian kalori daripada makanan yang diambil.
9. Senaman Secara Teratur
Sebaik sahaja bersalin, senaman kurang sesuai dilakukan kerana ibu perlu berehat bagi menyembuhkan luka pada vagina (kelahiran normal) atau perut (kelahiran caesarean). Selepas 3 bulan bersalin, pemulihan ibu sudah sempurna. Usaha untuk merampingkan pinggang perlu dititikberatkan. Pelajari cara dan panduan untuk menurunkan berat badan yang betul dan jangan lakukan diet secara membuta tuli, ini boleh menjejaskan kesihatan anda.
Senaman hendaklah dilakukan dengan betul dan teratur agar ia dapat memberi manfaat. Senaman mestilah sesuai dengan individu yang melakukannya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai perut geleber haruslah melakukan senaman yang boleh membakar lemak.
Senaman juga mestilah seiring dengan diet yang betul. Tisu lemak akan hanya digunakan oleh badan apabila kita membakar kalori melalui senaman lebih tinggi daripada jumlah kalori yang diambil pada hari sebelumnya. Sebagai contoh; sekiranya kita mengambil 2,500 kalori pada hari sebelumnya, kita mesti bersenam untuk membakar 3,000 kalori pada hari berikutnya.
Ibu yang ingin kembali ramping, mesti melakukan senaman setiap hari untuk membakar kalori yang cukup agar lemak yang tersimpan dapat digunakan. Diet makanan yang sihat mestilah diteruskan supaya tiada lebihan lemak yang boleh disimpan kembali oleh badan.
Senaman kardio vaskular dan abdomen tertentu boleh membantu mengempiskan perut. Senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mendapatkan kesan terbaik. Untuk mengempiskan perut juga, gerakan punggung secara perlahan boleh dilakukan contohnya dengan melakukan tarian gelek, dangdut atau hula-hula.
10. Petua Tradisional
Selain daripada berbengkung, masalah perut buncit selepas bersalin boleh juga diatasi dengan mengamalkan petua tradisional. Caranya, dua hari selepas bersalin, ambil kapur sirih, perahkan sebiji asam limau kepada kapur sirih tadi, lumurkan campuran tersebut di permukaan perut Ibu sehingga rata, biarkan seketika sehingga kering. Sapuan ini akan menyebabkan perut terasa hangat kerana kesan kapur. Oleh itu jangan sapu terlalu banyak.
Tujuannya adalah untuk mengempiskan perut yang membuncit dan membakar lemak. Namun rawatan ini mengambil masa yang lama untuk perut kembali kempis. Amalkan petua ini selama tempoh berpantang (44 hari) berturut-turut.
Kebiasaannya jika dilakukan secara berdisplin selepas tempoh berpantang, perut ibu beransur kempis, kelihatan licin, anjal dan tidak berkedut-kedut. Keadaan perut kembali menarik seperti sebelum ibu bersalin.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi rujukan buat mak-mak yang lepas bersalin untuk kembali ramping, dan elak perut menjadi buncit.
Ramai ibu dan guru-guru yang selalu mengeluh kerana anak-anak kecil sukar untuk memberi fokus kepada apa yang sedang dilakukan. Daya fokus kanak kanak sebenarnya adalah agak singkat iaitu antara 10 hingga 15 minit sahaja.
Jadi sebagai ibubapa atau pendidik, jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi pada anak anak kecil untuk memberi focus atau perhatian pada sesuatu aktiviti yang sedang dijalankan. Bagaimanapun daya fokus ini boleh dirangsang atau dipupuk supaya ia berlaku lebih lama dari biasa.
Menurut pakar psikologi klinikal, Dr Jamie Howard memberi tumpuan atau fokus seumpama otot yang memerlukan senaman untuk menguatkannya. Berikut adalah Antara perkara perkara yang boleh dilakukan oleh ibubapa atau pendidik bagi merangsang atau meningkatkan daya fokus kanak-kanak yang dikongsi oleh pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Mahani Razali.
Kebanyakan kanak-kanak boleh fokus pada aktiviti yang seronok dan gembira. Apabila tiba aktiviti yang membosankan, kanak-kanak berasa kurang berminat dan mereka akan hilang fokus. Sebagai ibubapa dan guru pastikan aktiviti yang dilakukan adalah aktiviti yang menyeronokkan dan menarik minat kanak kanak.
Bagi memastikan aktiviti tersebut adalah menyeronokkan, ibubapa dan pendidik boleh berbincang dengan kanak-kanak apakah jenis aktiviti yang akan dilakukan. Minta pendapat kanak kanak juga dalam menyediakan bahan dan perancangan aktiviti.
-Pastikan aktiviti tersebut dilakukan dalam suasana yang kondusif atau selesa serta wujud perasaan selamat pada kanak-kanak.
– Pastikan ruang tempat melakukan aktiviti adalah bersih selesa dan pada suhu yang bersesuaian. Ruang yang panas akan menyebakan kanak-kanak cepat hilang fokus.
-Berikan arahan dengan menggunakan ayat-ayat yang mesra dan bukan berbentuk ugutan. Selain dari itu sentiasa memberi masa kepada kanak kanak untuk menyiapkan sesuatu aktiviti.
Kanak-kanak belajar melalui sensori atau pancaindera. Dalam merangcang sesuatu aktiviti pembelajaran, pastikan aktiviti tersebut melibatkan penggunaan pancaindera kanak-kanak seperti mata, telinga, deria sentuh dan juga rasa. Penggunaan deria mampu meningkatkan daya fokus atau tumpuan kanak-kanak.
Ibubapa dan guru juga boleh membantu kanak-kanak memberikan fokus dengan menyebut ganjaran yang bakal diperolehi apabila mereka menyiapkan sesuatu kerja atau aktiviti. Berikan pelbagai bentuk ganjaran seperti pujian, dapat menonton video kegermaran, dapat membaca buku cerita yang di sukai, dapat melukis dan sebagainya. Pemberi ganjaran dapat membantu merangsang kanak kanak memberikan tumpuan kepada aktiviti yang sedang dilakukannya.
Selain dari itu pastikan tahap kesihatan kanak-kanak adalah baik sebelum memulakan sesuatu aktiviti. Kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan biasa akan lesu dan hilang fokus. Pastikan juga kanak-kanak bebas dari tekanan dan sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai tanda-tanda mengalami tekanan, pastikan masalah tekanan tersebut di atasi terlebih dahulu sebelum mengajak dia melakukan aktiviti pembelajaran.
Kanak-kanak juga akan cepat hilang fokus jika berada dalam keadaan lapar atau dahaga. Pastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selesa fizikal, sosial, emosi dan kognitif sebelum memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran.
Apabila melakukan aktiviti dengan kanak kanak, pasti jarak antara ibubapa atau pendidik dengan kanak kanak tidak terlalu jauh. Jarak yang agak jauh menyebakn kanak kanak mudah hilang fokus. Sebaliknya kefekatan jarak akan menyebabkan kanak-kanak merasakan dirinya diperhatikan atau diambil peduli dan menyebabkan dia terangsang untuk lebih memberikan perhatian atau fokus.
Sentiasa menyebut nama kanak kanak dan sentiasa menarik perhatiannya dengan bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan aktiviti yang sedang dijalankan juga dapat membantu meningkatkan daya fokus kanak-kanak. Melalui cara ini kanak-kanak akan merasakan dirinya sentiasa diberi perhatian dan di sayangi dan secara tidak langsung memotivasikan dirinya untuk lebih memberikan tumpuan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!