Keibubapaan

Indonesia Padam Lima Juta Akaun Kanak-Kanak, Langkah Tegas Demi Keselamatan Digital!

Share

Indonesia mengambil langkah tegas dalam memperkukuhkan keselamatan digital kanak-kanak apabila kira-kira lima juta akaun milik pengguna bawah umur dipadamkan daripada pelbagai platform dalam talian.

Tindakan itu dilaksanakan susulan penguatkuasaan Peraturan Kerajaan mengenai Tadbir Urus Sistem Elektronik bagi Perlindungan Kanak-Kanak yang diperkenalkan untuk memastikan pengalaman digital lebih selamat kepada golongan muda.

Keselamatan Digital Kanak-Kanak Jadi Keutamaan Indonesia

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Meutya Hafid, berkata pencapaian tersebut direalisasikan menerusi kerjasama erat antara kerajaan dan syarikat pengendali platform digital.

“Bersama-sama platform berkenaan, kami telah memadam lima juta akaun kanak-kanak. Walaupun lima juta pengguna masih kecil berbanding sasaran kami, pada peringkat global pencapaian ini mengatasi apa yang dilakukan TikTok di Australia,” kata beliau pada Selasa, menurut Agensi Berita Antara.

Menurut Meutya, Indonesia memilih pendekatan berasaskan tahap risiko bagi meningkatkan keselamatan digital kanak-kanak. Pendekatan itu berbeza daripada larangan umur secara menyeluruh seperti yang dilaksanakan di Australia.

Platform Berisiko Tinggi Tidak Boleh Diakses Pengguna Bawah 16 Tahun

Menerusi pendekatan tersebut, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak dibenarkan mengakses platform digital yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

Peraturan yang dikenali sebagai PP Tunas bukan sekadar mengehadkan akses kanak-kanak, malah menggalakkan syarikat teknologi mereka bentuk semula ciri dan perkhidmatan supaya lebih selamat untuk pengguna muda.

Usaha ini diharapkan mampu memastikan setiap platform menyediakan ciri keselamatan digital kanak-kanak yang lebih menyeluruh serta bersesuaian dengan usia pengguna.

Roblox Laksana Kawalan Tambahan

Sebagai contoh, platform permainan dalam talian Roblox telah menyahaktifkan fungsi sembang secara automatik bagi pengguna Indonesia yang berusia bawah 16 tahun. Fungsi tersebut hanya boleh diaktifkan semula selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa.

“Kami berharap pada masa akan datang, langkah ini bukan sekadar melarang kanak-kanak daripada membuka akaun, tetapi menjadi gerakan lebih luas yang menggalakkan platform melakukan perubahan,” katanya.

Cabaran Pengesahan Umur Masih Wujud

Walaupun menunjukkan perkembangan positif, Meutya mengakui pelaksanaan peraturan tersebut masih berdepan beberapa cabaran, khususnya dalam proses pengesahan umur pengguna.

Katanya, kebanyakan syarikat teknologi masih belum menggunakan sistem pengesahan yang lebih maju seperti algoritma anggaran umur, teknologi pengecaman wajah serta analisis tingkah laku pengguna bagi meningkatkan keselamatan digital kanak-kanak.

Buat masa ini, kerangka peraturan tersebut mewajibkan syarikat teknologi mengemukakan penilaian kendiri yang menerangkan tahap risiko bagi setiap perkhidmatan digital yang ditawarkan.

200 Platform Telah Dinilai

Setakat ini, kementerian berkenaan telah menjalankan penilaian terhadap 200 platform yang dikendalikan oleh 79 Penyedia Sistem Elektronik.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan platform telah mengklasifikasikan perkhidmatan mereka sebagai berisiko tinggi kepada pengguna kanak-kanak.

Langkah yang diambil Indonesia dilihat sebagai antara usaha paling agresif di rantau Asia Tenggara dalam memperkukuhkan keselamatan digital kanak-kanak. Sekiranya pelaksanaan PP Tunas terus diperkasakan dengan teknologi pengesahan umur yang lebih tepat, dasar ini berpotensi menjadi rujukan kepada negara lain dalam melindungi golongan muda daripada ancaman di ruang siber.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Berita Harian

Published by
SRM