
Ramai mak ayah yang keliru dan tidak tahu cara untuk menggunakan nasal spray ketika anak mengalami selesema dan hidung tersumbat. Akibatnya anak jadi bertambah tidak selesa dengan keadaan mereka dan mula meragam.
Namun, walaupun nampak mudah, penggunaan nasal spray pada kanak-kanak ada caranya yang betul. Jika salah guna atau tersalah pilih produk, ia boleh mendatangkan risiko kepada anak kecil.

Apa Itu Saline Nasal Spray?
Saline nasal spray ialah semburan atau titisan air garam steril yang digunakan untuk melembapkan rongga hidung dan melonggarkan hingus yang pekat.
Ia bukan ubat selsema yang membunuh virus, tetapi rawatan sokongan yang membantu anak bernafas dengan lebih selesa apabila hidung tersumbat.
Saline spray biasanya selamat digunakan untuk bayi dan kanak-kanak jika digunakan dengan betul mengikut arahan produk.
Kenapa Bayi Cepat Tak Selesa Bila Hidung Tersumbat?
Bayi bawah usia setahun kebanyakannya bernafas melalui hidung, terutama ketika menyusu dan tidur. Bila hidung tersumbat:
- Bayi mudah meragam
- Menyusu jadi terganggu
- Tidur tidak lena
- Mudah penat dan gelisah
- Sukar bernafas dengan selesa
Disebabkan mereka belum tahu cara menghembus hingus sendiri, lendir mudah terkumpul dalam hidung dan menyebabkan ketidakselesaan berpanjangan.
Bukan Semua Nasal Spray Sesuai Untuk Anak Kecil
Ini perkara paling penting yang ibu ayah perlu tahu.
Produk batuk dan selsema yang mengandungi decongestant atau antihistamine tidak boleh diberi sesuka hati kepada kanak-kanak kecil, terutama bawah usia 2 tahun, kecuali atas nasihat doktor.
Sesetengah produk boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti:
- Degupan jantung laju
- Mengantuk melampau
- Gelisah
- Sukar bernafas
- Risiko dos berlebihan
Sebab itu, sebelum membeli nasal spray, baca label dengan teliti dan pastikan ia sesuai mengikut umur anak.

Cara Betul Guna Nasal Spray Pada Anak
Ramai ibu ayah terus sembur tanpa tahu teknik yang betul. Sebenarnya cara penggunaan memainkan peranan penting supaya saline dapat berfungsi dengan lebih efektif dan tidak menyebabkan anak tidak selesa.
1. Pastikan Posisi Anak Betul
Jika anak sudah besar sedikit, minta dia tunduk sedikit seperti sedang membaca buku.
Posisi ini membantu saline masuk dengan lebih baik ke dalam rongga hidung tanpa terus mengalir keluar.
Untuk bayi pula, ibu ayah boleh baringkan bayi dengan kepala sedikit tinggi.
2. Masukkan Nozzle Dengan Lembut
Masukkan hujung nozzle secara perlahan ke dalam lubang hidung.
Elakkan halakan semburan ke tengah hidung. Sebaliknya, halakan sedikit ke arah sisi luar hidung supaya semburan lebih selesa dan tidak mengganggu bahagian sensitif dalam hidung.
3. Guna Mengikut Sukatan Disarankan
Biasanya cukup:
- 1 hingga 2 semburan
atau - 1 hingga 2 titisan bagi setiap lubang hidung.
Sentiasa ikut arahan pada produk kerana setiap jenama mungkin mempunyai cara penggunaan berbeza.
4. Sedut Lebihan Hingus Untuk Bayi
Untuk bayi kecil, selepas menggunakan saline, ibu ayah boleh membantu mengeluarkan hingus menggunakan:
- Suction bulb
- Nasal aspirator
Jika menggunakan suction bulb:
- Picit dahulu bulb sebelum memasukkan ke lubang hidung
- Letakkan perlahan di pintu hidung
- Lepaskan perlahan-lahan supaya hingus disedut keluar
Cara ini membantu bayi bernafas lebih lega terutama sebelum menyusu atau tidur.
5. Jangan Suruh Anak Hidu Terlalu Kuat
Selepas semburan diberikan, jangan suruh anak menghidu terlalu kuat atau terus menghembus hidung.
Saline perlu berada seketika dalam rongga hidung untuk membantu melonggarkan lendir dengan baik.
Waktu Terbaik Guna Nasal Spray
Waktu paling membantu biasanya:
- Sebelum menyusu
- Sebelum tidur
Ini kerana ketika inilah hidung tersumbat paling mengganggu anak. Bila saluran hidung lebih lega, anak lebih mudah menyusu dan tidur dengan selesa.

Jangan Sedut Hingus Terlalu Kerap
Walaupun suction bulb sangat membantu, elakkan menggunakannya terlalu kerap.
Sedutan berlebihan boleh menyebabkan:
- Hidung jadi kering
- Iritasi pada rongga hidung
- Anak makin tidak selesa
Gunakan hanya bila perlu terutama jika hingus terlalu banyak atau mengganggu pernafasan anak.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Walaupun selsema biasa selalunya boleh pulih sendiri, ibu ayah perlu lebih peka jika anak menunjukkan tanda-tanda berikut:
- Susah bernafas
- Nafas laju atau berbunyi
- Tidak mahu menyusu atau minum
- Kurang kencing
- Demam
- Badan makin lemah atau lesu
Untuk bayi berumur 3 bulan ke bawah, jika mula sakit atau selsema sekalipun, sebaiknya terus dapatkan nasihat doktor kerana bayi kecil boleh menjadi semakin teruk dengan cepat.
Kesimpulannya
Saline nasal spray boleh menjadi bantuan mudah tetapi sangat berguna untuk melegakan hidung tersumbat anak ketika selesema. Namun, penggunaan yang betul sangat penting supaya ia benar-benar membantu dan tidak mendatangkan masalah lain.
Ibu ayah juga perlu berhati-hati memilih produk dan elakkan memberi ubat selsema secara sembarangan kepada anak kecil tanpa nasihat doktor.
Kadang-kadang, langkah kecil seperti membantu membersihkan hidung anak sudah cukup membuatkan mereka lebih selesa, tidur lena dan kembali aktif seperti biasa.
Baca Lagi: Anak Obses Dinosaur Rupanya Banyak Kelebihan Dalam Perkembangan Otak
Sumber: Public Health Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





