
Anak anda obses pada dinosaur? Kalau anak anda boleh bercakap tentang dinosaur tanpa henti, jangan cepat anggap ia sekadar minat biasa. Ada ibu ayah sampai pening kepala kerana setiap hari anak asyik mahu tengok dinosaur, beli permainan dinosaur dan hafal nama-nama pelik yang susah disebut.
Namun sebenarnya, minat mendalam terhadap dinosaur boleh menjadi petanda yang sangat baik untuk perkembangan anak.

Menurut beberapa kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari University of Indiana dan University of Wisconsin, kanak-kanak yang terlalu obses terhadap sesuatu topik seperti dinosaur selalunya mempunyai tahap pemikiran yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lain. Saintis memanggil keadaan ini sebagai intense interest iaitu minat yang sangat mendalam terhadap satu perkara.
Dalam banyak keadaan, anak obses dinosaur bukan sekadar melalui fasa biasa. Mereka sebenarnya sedang membina kemahiran penting yang memberi kesan positif kepada perkembangan otak dan pembelajaran jangka panjang.
Anak Obses Dinosaur Bukan “Fasa”
Bagi sesetengah ibu ayah, minat anak terhadap dinosaur mungkin nampak pelik kerana mereka boleh menghafal pelbagai jenis spesies, mengetahui habitat dinosaur malah mampu membezakan bentuk dan ciri-ciri setiap satu.
Tetapi di sebalik semua itu, sebenarnya otak anak sedang bekerja dengan sangat aktif dan ia merupakan petanda baik terutawa ketika anak perlu menghafal nama-nama dinosaur ini.
Kajian pada tahun 2008 mendapati kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam terhadap dinosaur cenderung menunjukkan perkembangan yang lebih baik dalam beberapa aspek penting seperti:
- Lebih fokus terhadap sesuatu perkara
- Mempunyai daya ingatan yang kuat
- Rajin mencari maklumat baru
- Lebih tekun dan tidak mudah putus asa
- Mampu berfikir secara kompleks dan menyusun maklumat dengan baik
Sebab itu ada anak kecil yang sanggup duduk berjam-jam membaca buku dinosaur, menonton dokumentari atau menyusun permainan dinosaur mereka mengikut jenis.
Minat seperti ini sebenarnya membantu anak membina keyakinan diri kerana mereka rasa seronok apabila dapat memahami sesuatu topik dengan mendalam.

Minat Dinosaur Bantu Anak Belajar Cara Selesaikan Masalah
Apa yang menarik, kajian juga mendapati cara kanak-kanak meneroka dunia dinosaur sebenarnya membantu mereka membina kemahiran menyelesaikan masalah.
Ketika mereka cuba memahami perbezaan antara dinosaur, habitat atau cara hidup haiwan purba ini, secara tidak langsung mereka sedang belajar membuat pemerhatian, menghubungkan fakta dan berfikir secara logik.
Kemahiran seperti ini sangat penting apabila mereka membesar nanti.
Malah, anak obsesi dinosaur biasanya lebih suka bertanya soalan dan ingin mengetahui jawapan dengan lebih mendalam. Sikap ingin tahu ini merupakan asas penting dalam proses pembelajaran yang sihat.
Jadi kalau anak anda terlalu banyak bertanya tentang dinosaur, jangan cepat bosan melayan. Itu tanda mereka sedang belajar dengan cara mereka sendiri.
Sampai Bila Anak Akan Minat Dinosaur?
Walaupun nampak sangat obses sekarang, kebanyakan minat ini sebenarnya tidak kekal lama. Kajian pada tahun 2007 yang melibatkan 177 kanak-kanak mendapati minat mendalam terhadap dinosaur biasanya bertahan antara enam bulan hingga tiga tahun sahaja.
Apabila anak mula memasuki alam persekolahan, perhatian mereka akan mula berubah kerana perlu memberi fokus kepada pelbagai subjek dan aktiviti lain.
Malah hanya sekitar 20 peratus kanak-kanak sahaja yang masih mengekalkan minat mendalam mereka sehingga umur lima atau enam tahun.
Jadi ibu ayah tak perlu risau jika satu hari nanti koleksi dinosaur anak mula ditinggalkan. Itu adalah proses perkembangan yang normal.

Ibu Ayah Jangan Pandang Ringan Minat Anak
Walaupun nampak remeh, minat anak terhadap sesuatu perkara sebenarnya boleh membuka ruang pembelajaran yang sangat besar.
Daripada memarahi anak kerana terlalu obses dengan dinosaur, lebih baik ibu ayah gunakan peluang itu untuk menggalakkan mereka membaca, bertanya dan meneroka ilmu baru.
Ibu ayah juga boleh menggunakan minat dinosaur sebagai cara untuk mengajar anak membaca, mengenal warna, mengira atau meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.
Siapa tahu, daripada minat kecil itulah lahirnya anak yang kreatif, bijak dan mempunyai daya fikir luar biasa suatu hari nanti.
Baca Lagi: Jangan Halang Anak Main Permainan Blok, Banyak Kelebihan Yang Ramai Tak Sedar
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





