Ini Manfaatnya Jika Ibu Guna Kedua-dua Payudara Masa Susukan Anak!

Share

Apakah kepentingan untuk ibu menyusukan bayi daripada kedua-dua belah payudara? Ikuti penjelasan ini untuk mengetahui cara penyusuan susu ibu yang betul.

Cara penyusuan susu ibu: Ini saranan pakar

Dalam tempoh beberapa minggu pertama selepas bayi dilahirkan, sebaiknya mereka disusukan daripada kedua-dua belah payudara pada setiap sesi penyusuan.

Selain membantu merangsang pengeluaran susu ibu bagi mengukuhkan bekalan susu badan, ia juga dapat mengelakkan beberapa masalah biasa penyusuan seperti pembengkakan payudara, saluran susu tersumbat dan mastitis.

Selepas 4-6 minggu, apabila bekalan susu sudah seimbang dan berat badan bayi bertambah baik, anda boleh memilih kaedah penyusuan bersesuaian dengan diri dan si manja.

Cara penyusuan susu ibu: Ikut keselesaan

Umumnya, keputusan untuk memberikan satu atau kedua-dua belah payudara pada setiap penyusuan adalah bergantung kepada keselesaan.

Paling penting si manja mendapat susu yang mencukupi dan membesar pada kadar sihat serta konsisten.

Hanya sebelah payudara pada sesi penyusuan

Sebaik sahaja mempunyai bekalan susu mencukupi dan bayi membesar dengan baik, mungkin lebih mudah untuk menyusu menggunakan sebelah payudara pada setiap penyusuan.

Jika bekalan susu terlalu banyak, penyusuan sebelah payudara dapat membantu mengurangkan bekalan susu pada payudara bertentangan.

Kaedah ini juga boleh mengurangkan masalah kembung perut bayi, meragam dan gejala kolik.

Ada kalanya mungkin anda tiada pilihan seperti payudara sebelah lagi perlu direhatkan untuk sembuh, hanya sebelah payudara yang menghasilkan susu atau bayi lebih gemar menyusu pada sebelah payudara sahaja.

Menukar payudara

Menukar payudara pada sesi penyusuan turut mempunyai kebaikan tersendiri. Selain membantu memperbanyakkan bekalan susu, teknik menukar payudara membolehkan bayi yang mengantuk untuk menyusu lebih lama, memberikan lebih banyak susu untuk si manja menambah berat dan juga membantu mengekalkan payudara anda agar lebih seimbang.

Bagi anda yang tidak pasti cara untuk menukar payudara semasa menyusu?

Cara penyusuan susu ibu: Teknik switch nursing

Dikenali sebagai switch nursing – teknik ini melibatkan penukaran payudara beberapa kali secara berselang-seli semasa penyusuan.

Dalam teknik ini, bayi akan menyusu selama beberapa minit pada 1 payudara sebelum beralih ke payudara sebelah untuk beberapa minit dan terus mengulang tindakan yang sama sehingga si manja kenyang.

Teknik ini bagaimanapun tidak sesuai bagi:

  • Bayi pramatang
  • Bayi dengan masalah kesihatan
  • Bayi dengan kesukaran menghisap
  • Masa sesuai aplikasi teknik switch nursing
  • Sekiranya bayi melekap (latching) dan menyusu dengan baik, anda tidak perlu menghentikannya untuk menukar payudara.

Anda boleh membiarkan si manja menghabiskan penyusuan pada satu payudara dan kemudian menawarkan payudara sebelah setelah mereka selesai.

Pun begitu, teknik menukar payudara beberapa kali semasa penyusuan ini mungkin berkesan jika:

Si manja tertidur sambil menyusu

Cara penyusuan susu ibu ini dapat memastikan bayi kekal mengantuk dan menghisap lebih lama. Setiap kali penyusuan bayi semakin perlahan, terhenti dan mula tertidur, cuba bangunkan dia sekejap dan ubah ke payudara sebelah.

Peningkatan berat si kecil perlahan

Jika bayi tidak mendapat jumlah berat jangkaan, teknik menukar payudara boleh membantu meningkatkan jumlah susu ibu yang diperolehi pada setiap sesi penyusuan.

Teknik ini akan menggalakkan bayi menghisap susu untuk tempoh lebih lama sambil merangsang pengeluaran susu ibu.

Bekalan susu ibu kurang

Sekiranya anda mempunyai bekalan susu badan rendah, teknik penyusuan susu ibu dengan menukar payudara dapat membantu meningkatkannya.

Cara penyusuan susu ibu: Kekurangan teknik switch nursing

Antara isu yang mungkin timbul daripada teknik menukar payudara semasa penyusuan ini adalah bayi mungkin tidak menyusu untuk tempoh yang cukup bagi mendapatkan susu akhir (hindmilk).

Susu akhir ini adalah bahagian susu yang tinggi kandungan lemak dan berkalori yang bercampur dengan susu ibu selepas beberapa minit penyusuan.

Bayi yang menyusu selama beberapa minit pada setiap payudara mungkin hanya mendapat susu awal (foremilk) sahaja.

Jadi walaupun si manja mendapat lebih banyak susu melalui teknik menukar payudara ini, namun bayi mungkin tidak mendapat lemak dan kalori yang diperlukan.

Bantuan doktor

Cara penyusuan susu ibu melalui teknik switch nursing ini sesuai digunakan pada beberapa hari pertama penyusuan atau sehingga si manja mengalami peningkatan tumbesaran.

Apabila bekalan susu sudah meningkat, bayi lebih berwaspada dan penyusuan berjalan lancar, anda tidak perlu menukar payudara lebih daripada sekali pada sesi menyusu si manja.

Anda sepatutnya sudah boleh menyusukan anak pada sebelah payudara sehingga kosong sebelum beralih ke payudara lain untuk baki penyusuan.

Sekiranya anda mempunyai kebimbangan si manja mungkin tidak mendapat susu yang mencukupi, terlalu mengantuk semasa penyusuan atau mengalami kesukaran untuk menghisap, berjumpalah dengan doktor.

Doktor boleh memeriksa dan memberikan jalan penyelesaian terbaik untuk si kecil.

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/

IKLAN