Bila dah jadi ibu, kadang kita rasa macam hidup ni ulang-ulang je. Bangun pagi, kelam-kabut urus anak, rumah, kerja, suami dan hujungnya, kita sendiri pun tak sempat tanya diri sendiri, “Aku okay ke hari ni?”
Letih yang ibu rasa ni bukan letih biasa. Ini letih fizikal, emosi, mental dan kadang spiritual sekali. Tapi jangan risau, awak tak keseorangan. Jom kita tengok 5 cara yang boleh bantu mommy elak burnout dan jaga mental sebelum ‘meletup dalam senyap’.
Mommy bukan robot. Kalau badan letih, kepala berat, hati serabut rehat dulu. Baring kejap. Tutup mata. Biarkan rumah sepah, biarkan baju belum lipat. Yang penting mommy okay dulu. Kadang satu-satunya orang yang tahu kita perlukan rehat… adalah diri sendiri.
Kadang kita nak jadi “buat semua sendiri”, tapi realitinya… kita perlukan bantuan. Minta tolong pasangan tengokkan anak sekejap, atau panggil mak datang teman. Tak perlu malu. Ibu yang bijak tahu bila dia perlukan sokongan, bukan tunggu sampai diri sendiri tumbang baru nak mengadu.
Dekat media sosial, semua nampak sempurna. Anak orang lain sopan, rumah bersih, suami romantik. Tapi yang kita tak nampak… adalah air mata dan penat lelah di sebalik semua tu. Jalan hidup kita lain. Yang penting, kita sayang anak, kita usaha setiap hari, dan itu dah cukup luar biasa.
Buat sesuatu untuk diri sendiri. Tak perlu mahal, tak perlu lama. Dengar lagu yang kita suka, tengok drama sambil makan jajan, atau sekadar duduk diam-diam depan cermin pakai skincare. Benda-benda kecil ni lah yang bantu kita rasa diri sendiri masih wujud, bukan sekadar “mak orang”.
Kadang kita marah sangat pada diri sendiri. “Kenapa aku tak sabar?” “Kenapa aku rasa serabut sangat?” Tapi sebenarnya… mommy dah buat yang terbaik. Belajar untuk pujuk diri sendiri. Cakap macam ni, “Hari ni susah sikit, tapi aku masih bertahan. Aku masih sayang anak aku. Aku masih kuat.” Sebab kata-kata tu… akan jadi pelukan yang kita sendiri perlukan.
Kalau hari ni mommy rasa nak menangis, rasa letih sangat, rasa macam hilang semangat peluk diri sendiri dulu. Tengok wajah anak. Sebab setiap peluh dan air mata tu… adalah bukti cinta yang paling agung.
Ibu bukan makhluk lemah. Ibu cuma manusia yang terlalu banyak memendam. Tapi jangan lupa, awak layak untuk bahagia juga.
👩🍼 Kongsi artikel ni dengan kawan-kawan mommy yang tengah penat dan perlukan pelukan dari jauh. Sebab kadang satu ayat pun cukup untuk buat kita rasa… “Oh rupanya aku tak sorang…”
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Suami isteri mana yang berkahwin tidak mahukan zuriat sendiri. Soalnya bukan tidak mahu, cuma masih belum dikurniakan rezeki dari Allah. Masanya mungkin belum tiba. Satu hal yang mama papa kena tahu, dikurniakan rezeki anak bukan pelengkap kehidupan. Dugaan tetap ada, sama seperti pasangan yang belum dikurniakan anak.
Perkongsian hebat daripada ayah penyayang, Dr Syahr Musafir ini memang deep. Mama dan papa kena buka mata. Bersyukur bila Allah kurniakan kita rezeki untuk punya anak. Jaga amanah Allah yang satu ini. Bagi yang masih belum dikurniakan anak, sabar kerana pasti akan tiba masanya. Enjoy your life..
“Tolong doakan aku, aku jealous tengok kau ada anak-anak, padahal kita kahwin sama bulan sama tahun, tapi aku masih berdua, kau dah berenam. Jealous wey, in a positive way la. Bukan jealous yang sihir tu.. Hahah,” ungkap rakan baik saya.
Memang benar kami kahwin beza haribulan saja. Dia kahwin 6 hari lebih awal daripada saya, kini berdua dengan isteri tercinta belum dikurniai cahaya mata manakala saya mempunyai 4 orang anak.
Saya sensitif bab ni, dan biasanya saya tak jawab apa-apa pun bab ni selain ayat cliche “InsyaAllah, aku doakan.” Tetapi entah kenapa, dengan dia ini saya mahu sembang panjang.
Sembang panjang ye, bukan sembang kencang dan bukan sembang kencing ?
“Tak ada sebab kau nak jealous aku. Kau tahu aku jealous dengan kau kan…” jawab saya, selamba.
“Jealous amende kau kat aku. Aku bukan ada apa pun,” jawabnya, lebih selamba.
“Dengar ni, aku bagi 3 sebab aku jealous dengan kau;
Pertama, orang yang suka travelling macam kau ni memang Allah beri peluang travel dengan isteri lama-lama dan banyak-banyak sikit. Sesuailah perancangan Allah, Dia bagi kau pergi situ sini ikut kemahuan kau terlebih dulu.
Kau tengok aku, mana ada pergi travel banyak. Sikit-sikit je, tu pun atas faktor kerjaya, keluarga dan seumpamanya. Kalau nak pergi saja-saja atau holiday, kena fikir 10 kali baru boleh pergi. Susah tau nak travel dengan 4 orang anak yang masih kecil ni.
Dengan bekalan lampinnya termasuklah wet tissues, baju spare, set nak buat susu guna air panas dan sebagainya, kena consider masa dan tempat untuk anak-anak main, berlari dan sebagainya sepanjang perjalanan, you cannot expect perjalanan 5 jam akan jadi betul-betul 5 jam kalau travel dengan anak-anak kecil, tu belum cerita pasal kos lagi, tiket penerbangan tu kena fikir, bilik nak kena ada katil tambahan, bla bla bla. Elok dan molek kau yang kaki travel ni Allah susun sebegini. Heheh…
Kedua, walaupun belum ada anak kau tak adalah stress sangat, dikelilingi keluarga dan orang positif yang baik-baik pun satu nikmat besar. Disebabkan inilah kau boleh fokus kerjaya dan seumpamanya.
Kau boleh develop kerjaya, fokus betul-betul, banyak beza nak compare dengan aku ni. Nak kerja overtime pun fikir nak luang masa dengan anak-anak. Kalau cuti memang aku tak fikir pasal kerja dah sebab nak urus keluarga. Nak aktif di media sosial pun kena fikir banyak kali sebab kekangan nak luang masa berkualiti dengan anak-anak. Kau boleh buat semua ini tanpa fikir hal lain sangat.
Boleh kerja kuat-kuat, simpan duit, bina jawatan dan reputasi hebat. Nanti tiba masa dapat anak, semuanya sudah tersedia. Kau relax je. Duit pun dah ada.
Macam aku sekarang ni, ada jemputan ceramah di luar pun aku tak pergi walaupun ada bayaran yang tinggi kerana fikirkan urusan di rumah, nak kena urus anak sekolah, nak spend masa dengan anak-anak, bla bla bla. Kau pun tahu kan…
Jadi masa yang ada memang sesuai untuk kau develop kemampuan diri. Lagi pula orang sekeliling pun baik-baik walaupun tidaklah baik gilerrr. Sekurang-kurangnya positif.
Ketiga, aku nak sebut pasal hubungan suami isteri. Aku tak couple sebelum nikah, jadi cinta kami berputik selepas ijab kabul. Lepas nikah barulah nak berkenalan sesama suami isteri. Kemudian dapat anak, proses perkenalan masih berjalan. Cumanya bercinta dalam keadaan sudah punya anak tidaklah semudah yang disangka.
Kalau bercinta berdua, lain situasinya. Kau pun sama macam aku tetapi prosesnya tak sama. Kau jaga dia, dia jaga kau. Pasangan yang ada anak ni nak kena jaga anak lagi. Usia ibu bapa muda ni memang banyak tak tahu daripada tahu. Proses nak berkenalan dengan pasangan dan nak bercinta bagai tidaklah terencat atau terhenti tetapi cabarannya berbeza. Kau ingat senang ke nak pujuk isteri merajuk dalam keadaan ada anak kecil yang merengek nak susu atau nak kena basuh berak? Hehehe…. Lebih kurang macam ni la, sebagai contoh, supaya kau boleh bayangkan.
Fuhhhh, panjang aku cerita…. Macam ceramah dah ni,” ulas saya panjang, selamba saja.
“Tiga je?” usik rakan baik saya ini.
Mengerutkan dahi, saya balas dengan jawapan, “Amboiiii. 3 ni pun mujur ada. Kau ingat mudah nak susun ayat nak cerita 3 poin ni? Susah tau. Dah la free tak berbayar… Heheh.”
“Ok, Ok,” jawabnya, ketawa.
“Bukan apa, kau dah berusaha tetapi Allah belum beri zuriat. Jadi tak apa. Aku tahu mudah untuk aku cakap tetapi lebih susah bagi kau yang merasai dan menghadapi. Tapi apa aku cakap ni ikhlas untuk kau terus semangat teruskan kehidupan. Kau dah usahakan dan doa, tetapi Allah belum bagi, bukan salah kau, bukan salah isteri kau. Dan bukan salah aku juga tau. Heheh,” jawab saya.
Masih menyambung, “Kau pun tahu aku dulu belum kerja belum berduit dah dapat anak. Kau ingat mudah nak urus? Masa tu kau seronok travel bawa isteri makan angin keliling Australia, aku dok kerah keringat jual burger di surau universiti untuk cari nafkah.
Tak punya anak adalah ujian, sudah punya anak pun ujian juga. Ujian berbeza bagi orang yang berbeza saja. Kalau semua orang hadapi ujian sama, bosanlah weyyyy….” panjang pula celoteh saya.
Dia mengangguk-angguk. Entah setuju atau tak dengan apa saya kata. Mungkin tak setuju tetapi angguk saja. Heheh…
Bab anak ni bab sensitif. Sangatlah sedikit pasangan yang bernikah yang tak mahukan anak. Hampir semua pasangan mahukan anak tetapi tak semua dikurniakan anak. Jadi perlu berhati-hati apabila berbicara topik ini.
Saya lebih memilih untuk tutup mulut saja. Kecuali dengan orang yang bertanyakan pendapat atau memang super-rapat barulah sembang. Selainnya, I just keep my mouth shut.
Kena ingat, tak ada anak itu ujian, ada anak pun ujian juga. Jangan banding-membanding, tak untung apa pun, bahkan bersengketa dan bersangka-sangka yang tak berbaloi untuk dirasa. Sama-samalah kita saling mendoakan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru sebentar tadi kita dikejutkan dengan berita kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia disebabkan tercekik biji rambutan. Salam Takziah buat ahli keluarga mangsa.
Tercekik adalah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak. Saluran pernafasan dan tenggorok yang sempit menyebabkan mereka berisiko untuk tercekik.
Ketika tercekik, salur pernafasan dan tenggorok yang tertutup akan menghalang oksigen ke paru-paru dan seterusnya ke otak. Ini akan menyebabkan kematian. Sebarang objek bersaiz kecil boleh menyebabkan tercekik. Ini termasuklah bahan makanan, perkakasan rumah dan alat permainan.
Sebentar tadi kita baru dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai akibat tercekik gula-gula jenis jeli di rumahnya di Kampung Batu Manikar.
Memetik laporan Berita Harian, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam kanak-kanak tersebut meminta gula-gula jenis jeli sebelum terkcekik dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Labuan.
Sebagai ibu bapa, ada beberapa langkah yang perlu kita ketahui apabila berhadapan dengan detik cemas. Ikuti artikel penuh ini.
Apakah tanda-tanda seseorang itu tercekik? Kanak-kanak mungkin akan mengalami:
-Sesak nafas secara tiba-tiba.
-Bunyi nafas tidak normal (bunyi seperti siulan).
-Menggenggam kerongkong.
-Kawasan mulut dan bibir kebiru-biruan.
-Bernafas dengan cepat.
-Lubang hidung kembang-kempis setiap kali bernafas.
-Pengsan.
-Berhenti bernafas.
Kadang kala kanak-kanak akan tersedak (seperti kacang tanah) jika objek tersebut sangat kecil. Mereka akan mengalami:
-Batuk yang berterusan.
-Termengah-mengah.
-Tiada apa-apa tanda.
-Komplikasi
-Jangkitan pada paru-paru seperti radang paru-paru.
-Kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.
-Kematian akibat radang/ bengkak paru-paru yang teruk atau kekurangan oksigen ke otak.
Apakah yang perlu dilakukan jika anak anda tercekik? Langkah-langkah jika anak anda tercekik:
LAKUKAN:
-Tunggu sehingga mangsa batuk.
-Minta bantuan.
-Buka mulut anak anda perlahan-lahan – keluarkan objek jika jelas kelihatan.
Jika tidak berjaya, tepuk di antara tulang belikat mangsa dengan tapak tangan anda dengan kedudukan kepala mangsa lebih rendah dari badan.
JANGAN: -Masukkan jari anda ke dalam mulut mangsa.
-Mendongakkan kepala mangsa.
-Jika mangsa berhenti bernafas, pengsan dan badan menjadi biru, segera lakukan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR) sementara menunggu bantuan pakar.
BAGI KANAK-KANAK DEWASA
-Bantu kanak-kanak untuk berdiri jika mereka masih sedar.
-Posisikan badan anda di belakang mereka.
-Lakukan Heimlich manouvre.
-Jika kanak-kanak pengsan laksanakan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR).
Langkah-langkah pencegahan:
-Jangan benarkan anak anda makan ketika bermain.
-Sediakan makanan dalam bentuk saiz kunyahan.
-Pastikan lantai, meja dan tempat mereka bermain bebas dari objek-objek yang kecil seperti butang, guli, duit syiling, pin dan manik-manik.
-Elakkan makanan yang mudah tercekik bagi kanak-kanak seperti kacang tanah, gula-gula dan bertih jagung.
-Elakkan memberi alat permainan yang mempunyai bahagian-bahagian yang kecil kepada kanak-kanak.
-Pelajari bantuan kecemasan dan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak anda tercekik.
Sumber: PORTAL MyHEALTH, KKM, PHM
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...