Ditinggalkan sekejap kerana ibu keluar ke kedai, tak sangka dapat berita anak lelaki yang berusia 6 tahun terjatuh ke bawah sehingga meninggal dunia dan mengejutkan jiran berdekatan.

Kanak-kanak lelaki itu dijumpai maut terjatuh dari tingkat 15 Flat Ladang Gemilang Satu, Kuala Terengganu pada petang (25 Oktober).

Kredit Foto: Tranung Kini

Dipercayai tergelincir

Menerusi laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku pada jam empat petang ketika mangsa, Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, duduk bersendirian di rumahnya dan tergelincir ketika berada di tepi tingkap ruang tamu. Ketika kejadian, ibu mangsa ketika itu keluar kedai berhampiran, manakala Aryan ketika itu dikatakan sedang tidur.

Menerusi ruang komen di Facebook, mangsa ketika itu sedang mamai mencari ibunya sebelum tergelincir jatuh ke bawah menerusi tingkap di ruang tamu.

Ingatkan ‘sampah’ jatuh

Pada mulanya saya ingat sampah yang jatuh, namun selepas diberitahu oleh anak ada budak jatuh, saya kemudian melihat ke bawah dan terkejut kerana saya kenal kanak-kanak itu.

Menurut saksi kejadian, Siti Mafatehah Alias, 29 tahun, dia ketika itu sedang tidur di rumahnya di tingkat empat sebelum terdengar bunyi benda jatuh ke bawah.

IKLAN

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar telah mengesahkan kejadian tersebut dan masih menjalankan siasatan bagaimana insiden tersebut boleh berlaku.

“Arwah bersalam dengan saya”

Sementara itu, dalam laporan terbaru Metro, arwah sempat bersalam dengan ibunya pada pagi sebelum kejadian itu.

“Waktu pagi ketika mengemas rumah, dia bersalam dengan saya dan tidak sangka ia adalah tanda perkara tidak baik berlaku kepadanya.”

Nurul Emilia Ali, 34, berkata, dia tidak menyangka perbuatan anaknya (bersalam) yang dianggap sebagai suka-suka itu adalah salaman terakhir apabila anak ketiga daripada empat beradik itu pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

“Memang sedih dengan pemergiannya yang secara tiba-tiba, namun kami reda dan menerima qada dan qadar yang sudah ditetapkan Allah walaupun perit untuk menerimanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Biasanya bawa bersama ke kedai

Menurutnya, dia bersama anak bongsunya ke kedai di kawasan sekitar flat itu untuk membeli makanan.

Nurul Emilia berkata, kebiasaannya dia akan membawa kanak-kanak terbabit bersama ke kedai membeli makanan tetapi disebabkan ketika itu kanak-kanak itu sedang tidur menyebabkan meninggalkannya sendirian.

Kredit Foto: Tranung Kita

Tanggalkan cermin nako, letak atas sofa

Katanya, dua abangnya sudah keluar bermain dan suaminya, Mohd Azizul Mohamad, 35, pula yang bekerja sebagai jurujual berada di Dungun.

“Sebelum keluar saya memasang cerita kartun tetapi tidak menyangka apabila terjaga dia menanggalkan sekeping tingkap cermin nako di ruang tamu dan letak di atas sofa.

“Saya tidak tahu apa tujuannya tetapi kemungkinan dia mahu menjenguk untuk melihat ke bawah.

“Saya berasa agak pelik kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian,” katanya.

Sumber: Harian Metro & Tranung Kini

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)