
Izara Aishah yang kini hamil anak ketiga berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata perempuan sekali lagi. Perkongsian tersebut nyata mengujakan peminat, apatah lagi dua puteri kesayangannya juga sudah tidak sabar menanti kehadiran adik baharu dalam keluarga mereka.
Menurut Izara, kehamilan kali ini memberikan pengalaman yang sedikit berbeza berbanding dua kehamilan terdahulu. Tambahan pula ia dilalui dalam bulan Ramadan, membuatkan dirinya perlu lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan serta rutin harian.
Apa yang menarik perhatian, Izara pada awalnya menyangka bayi yang dikandungnya kali ini adalah lelaki. Perubahan minat yang dirasainya sepanjang hamil membuatkan dia yakin dengan sangkaannya itu.
“Dua kehamilan sebelum ini saya rasa sangat feminin. Tapi kali ketiga ini lain sedikit. Saya ingatkan lelaki sebab sekarang suka tengok sukan lasak, UFC, MMA, boxing… saya memang minat sangat Khabib. Rupanya girl juga,” katanya berseloroh.
Walaupun kelihatan aktif seperti biasa, Izara mengakui keadaan fizikalnya kali ini agak mencabar. Ibu kepada dua cahaya mata itu berkongsi dia mudah berasa pening dan hampir pitam jika berdiri terlalu lama.
“Saya memang tak boleh berdiri lama. Rasa macam nak pengsan. Puasa pun sempat beberapa hari sahaja. Bukan tak nak, tapi memang tak larat. Doktor beritahu bayi sedang menyerap protein daripada saya. Kadang-kadang sampai terduduk. Jadi kalau rasa tak kuat, saya kena minum dan rehat,” kongsinya jujur.
Keadaan tersebut membuatkan Izara lebih peka terhadap isyarat tubuhnya. Jika terasa lemah, dia tidak lagi memaksa diri dan memilih untuk berehat demi keselamatan diri serta bayi dalam kandungan.
Dalam masa sama, Izara turut mendedahkan berat badannya meningkat sekitar 10 kilogram sepanjang kehamilan ini. Namun dia bersyukur kerana setiap pemeriksaan menunjukkan dirinya dan bayi berada dalam keadaan sihat.
Menariknya, sepanjang tiga kehamilan, Izara tidak pernah melalui fasa alahan teruk atau morning sickness. Sebaliknya, perubahan paling ketara yang dirasainya lebih kepada aspek emosi.
Kini kandungannya sudah memasuki usia tujuh bulan dan Izara menjangkakan bayi ketiganya bakal dilahirkan sekitar April, berkemungkinan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tambah Izara lagi, juga berharap proses kelahiran kali ini berjalan lancar seperti dua pengalaman bersalin sebelum ini.
“Insya-ALLAH saya harap semuanya dipermudahkan. Setakat ini doktor maklumkan keadaan saya dan bayi baik. Cuma saya doa agar segala urusan sehingga hari kelahiran berjalan lancar,” katanya penuh harapan.
Dalam pada itu, dua puteri kesayangannya, Irisa Alaia dan Amara Amina, sudah mula menunjukkan keterujaan menyambut kehadiran adik baharu.
“Kakak-kakaknya asyik suruh adik cepat keluar. Tapi saya kata tunggu dulu, biar sampai masa,” ujarnya sambil ketawa.
Terdaulu, Izara mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Adib Khalid pada 17 November 2017. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua orang puteri dan tidak lama lagi keluarga kecil ini bakal diserikan lagi dengan kehadiran cahaya mata perempuan ketiga.