Ibu hamil biasanya kurang peka dengan diet sihat yang perlu diikuti sepanjang tempoh mengandung. Kebanyakan ibu akan makan mengikut nafsu. Akibatnya berat badan akan naik mendadak dan berpotensi untuk menghidap diabetes. Pegawai Dietetik dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital, LAILA FADHILAH BINTI OMAR, berkongsi maklumat tentang isu kenaikan berat badan mendadak saat ketika hamil.
BERAPA BANYAK SEPATUTNYA BERAT NAIK?
Bagi memudahkan anda untuk memahami formula kenaikan berat badan ketika hamil, lihat info ini. Secara ringkas berat badan ibu hamil harus naik sebanyak:
Bagi wanita yang mempunyai BMI normal sebelum mengandung, jumlah peningkatan ketika trimester pertama adalah 5.2kg. Jumlah peningkatan yang baik setiap minggu adalah 0.40kg.
MANAKALA ibu yang hamil anak kembar pula perlu mendapatkan jumlah kenaikan berat badan antara 15kg – 20kg sepanjang tempoh mengandung iaitu lebih kurang 0.68kg seminggu.
Sebenarnya kenaikan berat badan semasa hamil berbeza mengikut BMI seorang wanita sebelum hamil. Namun secara keseluruhanya (bagi wanita BMI normal) adalah 11.5kg – 16kg.
KENAPA BERAT BADAN BOLEH NAIK?
Pertambahan berat badan yang naik mendadak adalah berpunca dari pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, gula, dan berkalori tinggi tanpa kawalan. Ada pendapat yang mengatakan faktor genetik menjadi penyebab kenaikan berat badan ibu hamil, namun tiada hasil kajian yang menyokongnya.
Semasa pemeriksaan bulanan dilakukan ke atas ibu hamil, doktor akan menyarankan ibu untuk minum air gula jika didapati beratnya naik terlalu banyak. Fungsi air gula adalah untuk mengetahui sama ada ibu mengandung itu menghidap gestatinal diabetic mellitus (kencing manis ketika hamil) atau tidak. Jika penyakit ini dapat dikesan dari awal, pemantauan kesihatan akan dibuat dengan lebih ketat dan si ibu akan diberikan diet seimbang yang harus dia ikuti.
RISIKO BERAT BADAN NAIK MENDADAK
Jika tidak diberi perhatian, ibu hamil mungkin menghidap kencing manis dan darah tinggi tanpa sedar. Si ibu akan berisiko untuk melahirkan melalui pembedahan atau bayi dalam kandungan bersaiz besar. Jika bayi terlebih berat, dia juga berkemungkinan menghidap hypoglycaemia (kurang glukosa dalam darah).
JAGA PEMAKANAN
Bagi mengelak berat badan naik secara mendadak adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, banyak gula dan tinggi kandungan kalori.
Selain itu, si ibu perlu belajar untuk mengawal porsi makanan yang diambil. Susunan waktu makan yang teratur juga boleh membantu untuk mengelakkan kenaikan berat badan yang mendadak.
Apakah Pecahan Berat Badan Ketika Hamil? Adakah Semuanya Berat Ibu Dan Anak?
Tidak. Pecahan berat badan ini adalah pada bayi (3.55kg), uri (0.67kg), air ketuban (0.896kg), payudara (0.448kg), darah (1.34kg), cecair (3.2kg) dan pengembangan rahim (1.12kg).
Tiada diet yang terperinci ketika sedang mengandung, si ibu hanya perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan memastikan setiap pemakanan yang diambil seimbang dengan porsi yang sederhana.
Pengambilan susu tidak menyumbang kepada peningkatan berat badan. Berat badan boleh naik jika anda minum susu bersama makanan yang tidak sihat. Jadi janganlah risau untuk minum susu ketika hamil kerana khuatir pertambahan berat badan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 11 November 2016 dan sudah memiliki seorang anak lelaki, Aqeef Anaqi yang bakal genap 2 tahun pada 15 Oktober nanti.
Dalam posting Instagram, Amar telah berkongsi video pendek yang menunjukkan baby bump Amyra.
Perkongsian Amar ini menarik perhatian rakan & para follower yang teruja menunggu kelahiran cahaya matannya. Rata-rata meneka dan berharap jantina bayi adalah perempuan. Malah ada yang perasan ada tendangan kecil ketika video tersebut dirakam!
Ibu hamil yang bakal menempuhi bulan Ramadan perlu tahu mereka tidak perlu memaksa diri untuk meneruskan puasa. Ada kelonggaran untuk berbuka dalam Islam.
Beberapa hari lagi umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mungkin bagi ibu hamil ada yang terfikir ini adalah peluang untuk berpuasa sebulan penuh memandangkan tiada haid.
Namun sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan dan kemudaratan untuk meneruskan berpuasa, ada kelonggarannya. Pa&Ma mendapatkan informasi daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin mengenai topik ini.
Wanita hamil mempunyai kelonggaran dalam ibadah puasa
Para ahli fiqih (pakar hukum) sepakat bahawa menjadi hak wanita yang hamil untuk berbuka. Dalilnya cukup jelas. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencabut puasa dan separuh solat daripada musafir, dan mencabut puasa daripada perempuan hamil dan menyusui.” (HR Nasa’i dan Ibnu Majah).
Mengapa wanita hamil diberikan kelonggaran dalam ibadah puasa?
Menurut ahli tafsir, wanita yang hamil termasuk dalam kategori “orang yang berat menjalankannya (puasa),” sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: ayat 184.
Islam memahami beban kehidupan yang memberat di bahu wanita hamil. Wanita hamil biasanya muntah-muntah, loya, pening dan kembung perut. Wanita hamil juga biasanya mengalami kekejangan apabila kurang kalsium, pedih ulu hati dan sebagainya.
Islam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan ini dengan merakam kesusahan wanita hamil di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT, “Ibunya mengandungnya dengan susah-payah, dan melahirkannya dengan susah-payah (pula).” (Al-Ahqaf: 15).
Islam sangat berperi kemanusiaan terhadap kesusahan umatnya. Ia termasuklah kepada wanita hamil bahkan kepada musafir meskipun dia bermusafir dengan kenderaan moden, dan kepada ramai lagi golongan lain. Oleh sebab itulah ada konsep ‘rukhsah’ (kelonggaran/keringanan) dalam Islam.
Keadaan yang membolehkan wanita hamil berbuka puasa
Ada pelbagai keadaan wanita hamil. Wanita hamil kadang kala risaukan keadaan dirinya disebabkan payahnya berpuasa. Wanita hamil juga kadang kala risaukan bayi dalam kandungannya. Bayi itu dikesani oleh sumber makanan ibunya. Lebih kerap, wanita hamil risaukan kedua-duanya secara bersama, dirinya dan bayinya.
Dalil hadis di atas yang memberi kelonggaran kepada wanita hamil untuk berbuka, merujuk kepada keadaan wanita itu yang ‘hamil’ secara umum. Ia tidak merujuk kepada keadaan-keadaan khusus bagi wanita hamil itu.
Maka, apabila hamil sahaja seorang wanita, dan dia berasa berat untuk berpuasa, maka boleh baginya mengambil ‘rukhsah’ (kelonggaran) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Jika dia berasakan tidak berat baginya untuk berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasa.
Apakah hukumnya jika wanita hamil itu sihat dan tidak mengalami komplikasi tetapi tetap tidak berpuasa?
‘Harus’ baginya berbuka. Hukum ‘harus’ (mubah) bukan bererti ‘mesti’ berbuka. Hukum ‘harus’ bererti ‘boleh’. Mahu meneruskan puasa, boleh. Mahu berbuka pun, boleh. Dia lebih arif tentang kemampuannya saat itu.
Sesihat manapun wanita hamil, keadaan hamilnya itu menggolongkan dirinya berada dalam keadaan yang lemah. Firman Allah SWT, “Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Luqman: 14).
Orang yang lemah kadang kala berat untuk mengerjakan puasa. Allah memberikannya kelonggaran.
Firman Allah SWT, “Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang sakit berat, orang yang sangat tua, wanita hamil, wanita menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang miskin dalam satu hari), maka itu lebih baik baginya. Dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184).
Fidyah adalah sebanyak secupak beras (anggaran 600 gram) untuk setiap satu hari yang ditinggalkannya, diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah wajib dibayar sebelum datangnya Ramadahan seterusnya. Menurut mazhab Syafie, fidyah bertambah, dengan bertambahnya tahun.
Kaedah untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan
Masalah wanita hamil ‘unik’ berbanding masalah lain. Setelah 9 bulan 10 hari hamil, dia perlu menyusui pula selama 2 tahun. Disebabkan keadaan ‘susah’ yang panjang ini, maka kaedah ‘menggantikan puasa’ yang telah ditinggalkan bagi wanita hamil mempunyai banyak pandangan ulama.
Antara perbahasan mereka ialah:
Adakah wanita hamil diperlakukan seperti orang sakit biasa yang dimestikan mengganti sebanyak puasa yang ditinggalkan?
Atau mereka diperlakukan seperti orang tua renta, baik lelaki mahupun perempuan?
Atau seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh?
Adakah mereka harus membayar fidyah setiap hari atau dibebaskan daripada fidyah?
Bukan itu sahaja, para ulama juga membahaskan:
Adakah berbeza hukumnya, antara orang hamil dengan orang menyusui?
Adakah berbeza orang yang khuatir terhadap dirinya, dengan orang yang khuatir terhadap bayinya?
Dengan membahaskan semua kemungkinan ini, maka keluarlah konklusi yang pelbagai di kalangan para ulama berkaitan kaedah menggantikan puasa yang ditinggalkan. Semuanya merujuk al-Quran dan as-Sunnah yang sama, namun cara tafsir dan sudut pandang mereka berbeza. Inilah antara faktor, isu fiqah mempunyai banyak pendapat.
Pendapat Majoriti
Majoriti ahli fiqih memperlakukan wanita hamil dan wanita menyusui seperti orang sakit. Mereka berkata, “Keduanya berbuka dan mengganti.”
Mazhab Syafie yang biasa diamalkan di Malaysia memperincikan:
1. Ibu yang bimbangkan dirinya, tidak mampu dan tidak berdaya, maka dia boleh berbuka. Kemudian mengganti pada hari lain.
2. Ibu yang bimbangkan dirinya dan anaknya, maka dia boleh berbuka. Kemudian, mengganti dan membayar fidyah pada hari lain.
Masa yang diwajibkan adalah 11 bulan mulai Syawal hingga Syaaban. Jika seseorang telah meninggalkan puasa, kemudian tidak menggantinya dalam tempoh itu dengan sengaja, maka dia berdosa, wajib ganti dan bayar fidyah.
Pendapat Kuat dan Praktikal
Ibnu Umar dan Ibnu Abbas (dari kalangan sahabat), juga Ibnu Sirin (dari kalangan Tabiin), berpendapat, “Mereka hanya perlu membayar fidyah (memberi makan orang miskin) dan tidak perlu mengganti.” Ibnu Abbas menyamakan wanita hamil seperti orang tua renta dalam isu ini.
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqih Puasa membuat kesimpulan:
1. Yang paling kuat ialah pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Wanita hamil dan menyusui hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengganti. Itu yang banyak diamalkan oleh kaum wanita pada masa lalu. Ia suatu rahmat apabila mereka tidak perlu mengganti, cukup dengan membayar fidyah.
2. Ada wanita yang tempoh kehamilannya berjauhan dan anaknya tidak ramai. Dia kurang berasa susahnya kehamilan dan menyusui, kecuali dua atau tiga kali sahaja, maka yang paling tepat baginya ialah mengganti, sebagaimana pendapat jumhur.
Kesimpulan ini dibuat kerana hukum dibangun atas prinsip ‘keringanan’ dan ‘menghilangkan kesulitan yang berlebihan’. Apabila kesulitan tidak ada, maka hukumpun tiada. Apabila kesulitan ada, maka hukumpun ada. Kaedah menyebut, “Hukum bergerak bersama alasannya, ada atau tiada.”
Bila seelok-eloknya proses penggantian puasa ini dijalankan sedangkan selepas hamil sudah tentu si ibu tersebut akan menyusukan anak pula?
Sesiapa yang memiliki hutang puasa Ramadhan, tidak kira kerana uzur seperti sakit, musafir, haid, nifas, atau yang merasakan sangat berat mengerjakannya, juga wanita hamil dan menyusui, bagi mazhab yang mengharuskannya qadha’ (ganti), maka hendaklah dia bersegera sebaik sahaja uzurnya hilang. Bersegera untuk mengganti hari-hari yang dia berbuka, dalam rangka melepaskan diri daripada hutangnya dan bersegera untuk menunaikan kewajipan
Tidaklah berdosa orang yang mengakhirkan pelaksanaan ganti puasa sepanjang pada hatinya tetap berniat untuk mengganti, kerana kewajipan ganti bersifat ‘luas’ masanya.
Adakah penggantian puasa boleh dilewatkan atas sebab menyusukan anak? Misalnya selepas anak berusia dua tahun.
Soalan ini timbul bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil hanya perlu membayar fidyah, maka soalan ini tidak timbul. Lainlah, jika dia memang berasakan menggantikan puasa tidak berat dalam situasi hidupnya. Islam meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.
Huraian seterusnya ini bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Barangsiapa kedatangan Ramadhan yang baru, sedangkan hutang Ramadhan sebelumnya belum dibayar, jika hal itu terjadi kerana uzur (menyusukan anak) maka ianya tidaklah mengapa. Itu pendapat ijma’.
Dia wajib menggantinya selepas dia mampu berpuasa semula.
Puasa sunat 6 hari bulan Syawal & puasa ganti, mana perlu didahulukan?
Keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal bersandar kepada hadis yang kuat.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian dia iringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah).
Realitinya, cuti Hari Raya membuka peluang besar untuk kita beramah mesra dan menjamu selera dengan sanak saudara. Tidak seperti hari-hari lain. Maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunah pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Menjaga hubungan silaturrahim amat penting. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Kita dalam dilema;
1. Jika mendahulukan yang wajib, bimbang tidak berkesempatan berpuasa enam.
2. Jika mendahulukan yang wajib kemudian terus berpuasa enam, bimbang tidak sempat meraikan majlis menjamu selera bersama sanak-saudara.
3. Jika mendahulukan yang sunah, bimbang puasa wajib terus terhutang dan tidak sempat dilakukan pada masa-masa depan.
Pandangan yang sahih berkenaan isu ini, menurut Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, boleh saja melaksanakan puasa sunah sebelum mengganti. Buat puasa sunah enam hari dahulu pada bulan Syawal. Kemudian, melakukan puasa ganti pada hari-hari lain sebelum masuk Ramadhan berikutnya.
Kesimpulan ini diambil daripada ucapan Aisyah r.ha., “Ketika itu saya memiliki hutang puasa Ramadhan. Saya tidak mampu menggantinya kecuali di bulan Sya’ban.” (Muttafaq a’laih).
Tidak boleh disekalikan niat antara yang wajib dan sunat bagi mereka yang mahu menyelesaikan gantian Ramadhan dahulu. Tapi mereka boleh berdoa kepada Allah mudah-mudahan sempat mendapat kelebihan puasa enam.
Bahaya kucing pada ibu mengandung? Demi keselamatan anak dalam kandungan sebaiknya ibu hamil elakkan daripada pegang kucing.
Jika diikutkan membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kehamilan kerana keadaan ini berkait rapat dengan sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii.
Haiwan jinak seperti kucing sememangnya kerap dijadikan haiwan peliharaan di rumah. Tetapi sekiranya anda sedang hamil, mungkin anda perlu mengehadkan masa bersama dengan haiwan peliharaan khususnya dari segi pengendalian najis kucing.
Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kehamilan. Keadaan ini berkait rapat dengan sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan juga dalam tanah.
Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui iaitu toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan.
Ini boleh mendatangkan ancaman jangkitan toksoplasma yang boleh memberi kesan kepada anak dalam kandungan. Ramai wanita dijangkiti oleh parasit toksoplasma tetapi tidak menyedari hakikat ini kerana parasit ini tidak memberikan tanda yang ketara.
Isu yang paling dikhuatiri ialah apabila jangkitan parasit itu dialami buat kali pertama ketika mengandung. Ramai ibu yang sedang hamil tidak mengetahui bahaya parasit berkenaan kerana ia tidak mendatangkan petanda luar biasa seperti sesak nafas atau demam tinggi.
Sebaliknya, ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selesema biasa, kelenjar limfa membengkak, sakit otot, kekejangan dan sakit sendi. Gejala sebegini selalu dianggap ‘keadaan biasa’ oleh ibu hamil dan doktor yang merawatnya.
Proses penyebaran boleh berlaku berpunca daripada najis haiwan peliharaan yang menyebabkan toksoplasmosis atau dalam dunia perubatan digelar jangkitan yang disebabkan oleh parasit toksoplasma yang menyerang jaringan saraf manusia.
Menjangkiti bayi
Seorang wanita yang dijangkiti sama ada sebelum atau semasa hamil, boleh menjangkiti bayi yang dikandung. Toksoplasmosis kongenital adalah satu masalah perubatan yang mana bayi dalam kandungan dijangkiti melalui uri (plasenta).
Jika seorang wanita menerima pendedahan pertama kepada toksoplasmosis ketika mengandung, bayi akan berisiko tinggi. Risiko bayi termasuk mati dalam kandungan, buta mata dan kecacatan otak termasuk ‘retardasi mental’
Jangkitan paling biasa diperolehi menerusi sentuhan dengan kucing serta najis mereka. Toksoplasma juga boleh dijangkiti apabila wanita mengendalikan daging mentah atau separuh masak.
Peringatan
Sebagai peringatan kepada wanita khususnya yang sedang hamil dan berusaha untuk hamil, anda perlu mengehadkan masa bersama haiwan atau pengurusan najis haiwan itu. Pengurusan najis haiwan ini boleh dilakukan oleh suami atau orang lain.
Dengan cara ini moga anda dapat mengelak risiko jangkitan kali pertama ketika hamil. Lebih utama ia dapat mengurangkan risiko bayi menghidapi toksoplasmosis kongenital.
Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkitan ini. Jika ibu disahkan mendapat jangkitan, ujian lanjutan seperti amniosintesis dan ujian imbasan ultrabunyi akan dilakukan ke atas bayi dalam kandungan.
Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan.
Rawatan
Rawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan. Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.
Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan dan terus diberi rawatan.
Langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya dengan membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan, mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak, membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan, menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan daripada menyentuh najis kucing.
Elakkanlah membela kucing semasa hamil sekiranya langkah ini sukar dilakukan.
Sumber: Kelab Ibu Hamil, Menyusu & Berpantang
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelahiran cahaya mata adalah detik paling membahagiakan buat seorang wanita. Namun di sebalik kegembiraan itu, ibu tetap berdepan dengan risiko kesihatan serius sekiranya tidak diberikan pemantauan yang rapi.