
“Tu lah, banyak sangat berjalan. Tak reti duduk diam masa pantang.” Pernah dengar kata-kata seperti ini? Bagi ibu yang baru melahirkan anak, terutama mereka yang menjalani proses bersalin normal dan mempunyai jahitan, pastinya ada rasa bimbang setiap kali mahu bergerak atau melakukan aktiviti harian.
Malah, ada ibu yang takut untuk berjalan terlalu banyak kerana risau jahitan bersalin akan terbuka semula. Lebih menyedihkan apabila ada ibu yang mengalami masalah jahitan terbuka, tetapi terus dipersalahkan kononnya tidak menjaga pantang dengan betul.
Namun, benarkah banyak berjalan ketika berpantang menjadi punca jahitan bersalin terbuka?
Menurut perkongsian Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, tanggapan bahawa jahitan bersalin terbuka disebabkan ibu terlalu banyak berjalan sebenarnya kurang tepat.
Ada beberapa faktor perubatan yang boleh menyebabkan keadaan ini berlaku dan penting untuk ibu memahaminya supaya tidak terus menyalahkan diri sendiri.

Jahitan Bersalin Terbuka Bukan Semata-mata Sebab Banyak Berjalan
Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, keadaan jahitan episiotomi yang terbuka atau terlerai dikenali dalam istilah perubatan sebagai perineal wound dehiscence.
Episiotomi ialah prosedur membuat potongan pada kawasan perineum, iaitu bahagian antara bukaan faraj dan dubur, ketika proses kelahiran untuk membantu bayi dilahirkan apabila diperlukan.
Selepas bersalin, bahagian tersebut akan dijahit semula bagi membantu penyembuhan luka.
Bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, luka yang telah dijahit boleh terbuka semula akibat beberapa faktor tertentu.
Dr Muhammad Izzat menjelaskan bahawa antara penyebabnya termasuklah jangkitan, hematoma dan gangguan pada proses penyembuhan luka.
Berjalan selepas bersalin bukanlah punca utama jahitan episiotomi terbuka.
Penjelasan ini juga selari dengan panduan Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG) yang menyatakan bahawa luka perineum boleh terbuka akibat jangkitan atau tekanan daripada pengumpulan darah di bawah kawasan jahitan.
Justeru, ibu yang mengalami keadaan ini tidak sepatutnya terus dipersalahkan hanya kerana mereka banyak bergerak sepanjang tempoh berpantang.
Kenapa Jahitan Bersalin Boleh Terbuka?
Terdapat beberapa faktor yang boleh mengganggu proses penyembuhan luka selepas bersalin.
1. Jangkitan pada kawasan jahitan
Jangkitan merupakan antara punca utama luka jahitan boleh terbuka semula. Apabila kawasan jahitan mengalami jangkitan, tisu di sekeliling luka boleh menjadi radang dan proses penyembuhan terganggu.
Antara tanda yang perlu diperhatikan termasuklah kesakitan semakin kuat, luka mengeluarkan nanah, berbau kurang menyenangkan atau ibu mengalami demam.
2. Hematoma atau pengumpulan darah
Hematoma berlaku apabila darah terkumpul di bawah tisu atau kawasan luka. Pengumpulan darah ini boleh memberikan tekanan pada bahagian jahitan sehingga menyebabkan luka terpisah atau terbuka semula.
3. Proses penyembuhan luka terganggu
Setiap ibu mempunyai kadar pemulihan yang berbeza selepas bersalin. Ada luka yang sembuh dengan cepat, manakala ada juga yang memerlukan tempoh lebih panjang, terutama apabila berlaku komplikasi seperti jangkitan.
Oleh itu, penting untuk ibu memastikan kawasan luka dijaga dengan baik dan mendapatkan pemeriksaan sekiranya terdapat perubahan yang mencurigakan.

Jahitan Bersalin Terbuka, Adakah Perlu Jahit Semula?
Satu lagi perkara penting yang dikongsikan Dr Muhammad Izzat ialah bukan semua luka episiotomi yang terbuka perlu dijahit semula.
Menurut beliau, terdapat keadaan apabila luka boleh sembuh dengan sendirinya melalui proses yang dikenali sebagai secondary intention.
Melalui proses ini, badan akan membentuk tisu baharu secara beransur-ansur sehingga kawasan luka tertutup.
Ini bermakna luka tidak semestinya perlu dicantum semula menggunakan jahitan baharu.
Bagaimanapun, keputusan sama ada luka perlu dijahit semula atau dibiarkan sembuh secara semula jadi bergantung kepada beberapa perkara, termasuk keadaan luka, tahap pemisahan tisu dan kehadiran jangkitan.
Jika luka masih mengalami jangkitan, doktor lazimnya tidak akan menjahitnya semula sehingga jangkitan tersebut dirawat.

Bagaimana Nak Tahu Jahitan Bersalin Sudah Terbuka?
Selepas melahirkan anak, rasa sakit atau tidak selesa pada kawasan jahitan adalah perkara yang boleh berlaku, terutama pada minggu-minggu awal.
Namun, ibu perlu lebih peka sekiranya mengalami tanda-tanda berikut:
- Kesakitan pada kawasan jahitan semakin kuat dan bukannya beransur pulih.
- Terdapat luka yang kelihatan terbuka atau ternganga.
- Keluar cecair seperti nanah atau terdapat bau yang tidak menyenangkan.
- Berlaku pendarahan baharu dari kawasan luka.
- Kawasan jahitan menjadi semakin bengkak atau kemerahan.
- Mengalami demam atau berasa tidak sihat.
Sekiranya terdapat tanda-tanda ini, ibu perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan segera dan tidak menunggu sehingga pemeriksaan selepas bersalin yang dijadualkan.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Dr Muhammad Izzat Abdul Razak
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

