Setiap ibu ayah pasti menginginkan yang terbaik untuk anak-anak. Bahkan sanggup berbuat apa saja demi anak-anak. Dalam proses membesarkan anak-anak, harus juga diterapkan nilai murni serta disiplin dalam diri mereka. Terlalu menginginkan anak mengikut cara didikan kita sehingga mengguris perasaan mereka.
Ummu Aminah berkongsi tentang kesilapan yang sering dilakukan oleh ibu ayah ketika mendidik anak-anak.
PARENTING TERULUNG CARA MENDIDIK ANAK
Herdik. Jerit. Pukul. Perbuatan ini hanya akan mendatangkan kekecewaan dan perasaan serba salah kepada ibu bapa apabila terkenangkan cara parenting mereka mendidik anak. Malah ada kanak-kanak yang telah menjadi lebih aggressive dan berani untuk melawan dan menengking semula ibu bapa mereka. Hanya kerana kesilapan kecil ibu bapa yang mengikuti kehendak nafsu amarah dan lokek tentang hal-hal memahami dunia kanak-kanak menjadi satu penyesalan seumur hidup. Lebih tragis, apabila kesan di masa hadapan kehidupan anak-anak mereka hancur atas perbuatan “kasih-sayang” ibu bapa sendiri.
Berapa ramai kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi dan tekanan mental kerana trauma atas tingkah laku ibu bapa yang merobek rakus jiwa mereka sewaktu kecil. Sedihnya, kerakusan itu sering terlepas pandang oleh ibu bapa sendiri mereka menyangka cara itu adalah yang terbaik untuk mendidik dan mendisplinkan anak. Namun, hakikatnya ia hanya membuka lembaran buruk terhadap kehidupan kanak-kanak tersebut apabila mereka meningkat remaja.
Akhirnya, di usia dewasa mereka menonjolkan sifat aneh seperti bipolar disorder, kecelaruan indentiti, kaki pukul, menipu, salah guna dadah, skizofrenia, jenayah mencuri, merompak, mencabul, merogol, membunuh dan berbagai lagi. Hanya kerana kesan memori lampau memori kanak-kanak yang buruk.
Anak menipu, melawan, menengking, menjerit, memberontak adalah kerana refleksi dari ibu bapa sendiri atau itulah karekter yang dimiliki anda sewaktu kecil. Momen itu akan berulang di hadapan mata anda pada hari ini. Secara real!. Kerana Karma itu wujud. Kifarah itu pasti.
Selama saya menetap di bumi Mekah ini, banyak yang Allah telah ilhamkan kepada saya tentang ilmu parenting pastinya itu adalah untuk peringatan dan rujukan diri saya sendiri. Namun, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk berkongsi kepada anda semua yang masih tercari-cari teknik paling berkesan bagaimana untuk menjadi ibu bapa sejati dalam membentuk amanah Allah yang akan disoal di akhirat kelak. Setiap benih yang bercambah di dalam rahim, pasti akan di tanya dan di hisab akan perihal bagaimana kerja-kerja menuai dan baja dilakukan.
Bagaimana pula perkembangan pucuk dan bunga. Adakah ia kembang mekar mewarnai kehidupan orang lain. Sehinggalah ia menjadi pohon yang kukuh dan berbuah ranum. Adakah buah itu manis yang boleh dinikmati orang lain. Atau sebaliknya? Paling ditakuti sekali, jika benih yang bercambah di dalam rahim itu akan dituai menjadi pohon berduri serta buah beracun yang akan membunuh setiap yang menyentuh dan yang memakannya. Nauzubillahiminzalikh.
Cara parenting terulung ini akan melengkapi setiap fitrah ibu bapa muslim di atas muka bumi. Antaranya ialah:
Ads
1. Jika ibu bapa menginginkan anak yang baik dan taat. Anda terlebih dahulu wajib melakukan ketaatan kepada Allah swt pencipta sekalian alam. Allah lah yang mengurniakan zuriat penyejuk mata ketika anda memohon dan meminta kepada-Nya agar dihadirkan sinar dalam kehidupan anda. Iatu, sinar yang bernama anak. Taatlah kepada Allah dengan menghambakan diri kepada Nya dalam kelazatan ibadah malam. Qiamullail. Seorang Ayah yang sering sujud kepada Allah dan bergantung kepada Nya, pasti akan roboh tembok-tembok ego dan amarah. Seorang ibu yang sujud kepada Allah dengan penuh keikhlasan, pasti Allah mendorong hati dan tangannya dalam mendidik jiwa anak-anak serta damai seisi rumahtangga.
2. Jika mahu anak menghargai anda, ibu bapa harus menghargai sifat kehambaan kepada Allah sedalam-dalamnya. Tunaikanlah solat, perbanyakkan bacaan al-quran, berzikir, dan bersedekah di jalan Allah. Ibu bapa yang menghargai Tuhan-NYA, pasti mendapat balasan setimpal yang lumayan. Allah akan menjadikan anak-anak anda orang yang menghargai kedua ibu bapanya.
3. Jika tidak mahu anak menipu, Ibu bapa jangan menipu kepada Allah. Jangan sesekali menyembunyikan kesalahan berbohong di hadapan Allah. Meski anda tidak dapat melihat Allah, namun Allah sentiasa melihat anda di setiap waktu dan ketika. Jangan menipu dalam urusan mencari rezeki, jangan menipu terhadap hubungan suami isteri kerana sifat ini mengundang kemurkaan Allah. Pasti anda akan dibalas perasaan ditipu yang menyakitkan sekali. Iaitu dibohongi oleh anak sendiri.
Ads
4. Jika tidak mahu anak melawan dan derhaka kepada ibu bapa. Anda terlebih dahulu jangan menderhakai Allah dalam urusan dunia. Sedar atau tidak, ibu bapa sering terlepas pandang urusan harian mereka hingga mengundang syirik kepada Allah. Bahaya syirik akan menelan kebahagiaan hidup hingga lumat dan musnah. Apakah syirik yang berlaku dalam isu parenting? Tahyul. Kepercayaan kuno dengan memberi makan tertentu (jampi serapah) kepada anak untuk jadikan anak dengar dan akur perintah ibu bapa. Memberi anak pelindung dan tangkal selain dari Allah kerana rasa kurang yakin dengan pertolongan serta penjagaan Allah. Perbuatan ini masih mekar dalam budaya masyarakat melayu. Yakinlah, bahawa yang memegang hati manusia itu sebenarnya Allah. Jika anda tidak derhaka kepada Allah, pasti anak-anak tidak akan menderhakai anda.
5. Jika tidak mahu anak memalukan anda dengan kelakuan maksiat maka ibu bapa jangan bermaksiat kepada Allah. Jika zaman muda-mudi dahulu anda telah bermaksiat lalu bertaubatlah bersungguh-sungguh. Tinggalkan perkara yang dibenci Allah. Arak, judi, penipuan, suka bermain perempuan mahupun lelaki, tidak menutup aurat dengan sempurna atau tingkah laku lain yang buruk segeralah berubah dan kembali kepada Allah. Jangan tangguh lagi. Agar hal ini tidak berbalik kepada anak-anak anda. Anak anda hari ini adalah diri anda di masa lampau. Diri anda pada hari ini, adalah gambaran anak anda di masa akan datang.
Sebelum anda mencari dan mengkaji tentang diri anak-anak. Kaji dahulu tentang diri anda sendiri. Allah tidak akan mengubah hidup sesuatu kaum, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Setelah itu, barulah akan terjawab segala persoalan tentang kerenah anak-anak dan penyelasaian bagi pendekatan yang bersesuaian dengan diri mereka. What goes around, comes around. What you give, you will get back. Share jika ilmu ini bermanfaat.
Nota Parenting Dari Bumi Mekah, Ummu Aminah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak pernah terlintas pun di fikiran untuk berkahwin di usia muda dengan jejaka tak dikenali. Namun semuanya dah ditakdirkan. Bagi Alia Isdawati yang kini berusia 19 tahun, perkahwinannya selepas SPM pada tahun 2019 semuanya diaturkan oleh keluarga.
Walaupun tak pernah kenal dan bercinta, urusan itu dipermudahkan sehinggalah dikurniakan cahaya mata perempuan pada 3 Ogos tahun lalu.
Rezeki dapat anak cepat
Menurut Alia, kelahiran Fatima Filastin yang dilahirkan secara pramatang tetapi normal itu adalah pengalaman yang tak boleh dilupakan. Mana taknya dengan usia yang masih muda dan masih dalam fasa nak menyesuaikan diri ia benar-benar mendebarkan.
Saya melahirkan Fatima ketika kandungan berusia 32 minggu. Pada awalnya saya sendiri tak sangka perkara ini berlaku sebab saya mula rasa sakit contraction 6 hari sebelumnya. Selama 6 hari tu saya langsung tak tahu tu adalah sakit nak bersalin sehinggalah sakit menjadi bertambah teruk dan kerap pada hari ke 5.
Ingatkan sakit biasa-biasa
Saya mula beritahu ibu dan suami. Tapi mereka fikir bahawa itu adalah sakit-sakit biasa kerana usia kandungan masih awal lagi dari due date yang sebenar.
Pada malam seterusnya iaitu 2 Ogos, saya sempat menyambut hari kelahiran ibu dan keluar bersama suami membeli kek dan buat persiapan untuk sambut hari lahir ibu. Pada masa yang sama sakit contraction hendak bersalin yang saya alami makin kerap iaitu setiap 5 minit. Ketika di rumah selepas menyambut hari kelahiran ibu, rasa makin sakit dan ambil keputusan untuk berehat di bilik.
Dah turun tanda
Ketika dalam bilik, air ketuban mula keluar dan terus beritahu ibu. Terus ke hospital dan doktor beritahu saya akan melahirkan bayi pada malam itu.
Agak terkejut dan sedikit risau tentang bayi dalam kandungan kerana usia kandungan saya hanya 32 minggu. Sejujurnya saya masih tak sediakan apa-apa barang keperluan bayi pada ketika itu kerana bercadang untuk membelinya selepas menyambut hari kelahiran ibu.
Sewaktu dalam wad, sakit makin kerap sehinggalah jam 6 pagi saya berasa tidak tahan dan memberitahu jururawat tentang keadaan saya.
Proses kelahiran bayi dipermudahkan
Jururawat buat pemeriksaan dan terus tolak ke dewan bersalin. Suami dan keluarga tidak dapat teman kerana musim Covid. Tepat jam 10.52 pagi saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.53kg secara normal.
Alhamdulillah walaupun bayi lahir pramatang semuanya dalam keadaan baik. Namun tetap dimasukkan ke NICU untuk pemantauan lanjut. Selama 2 hari di NICU boleh ke wad biasa kerana ada jaundis.
Selama 3 minggu berada di hospital, barulah dibenarkan pulang ke rumah. Waktu itu, bermulalah perjalanan hidup saya sebagai ibu. Disebabkan berpantang di kampung, jadi ibulah yang banyak bagi tunjuk ajar.
Maklumlah saya masih muda dan tiada pengalaman. Kebetulan suami pula dah pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Sejujurnya saya akui tanpa pertolongan ibu, agak sukar juga untuk saya memahami bahasa bayi waktu berpantang.
Fatima sentiasa jadi perhatian
Ramai yang tertanya-tanya apa maksud Filastin bila saya letakkan pada belakang nama Fatima. Filastin adalah sempena nama negara kelahiran suami saya iaitu Palestin.
Selain itu, semakin Fatima besar, dia sentiasa jadi perhatian ramai tiap kali bawanya keluar. Selalu sangat orang tegur selepas melihat bahagian matanya yang sangat comel. Warna pada mata Fatima bertukar-tukar. Sesekali kita nampak warna kelabu, kadang akan nampak warna hijau dan ada masanya seolah-olah biru. Ramai yang keliru dengan warna matanya yang sebenar.
Mungkin juga sebab genetik bapa Fatima yang berasal dari Arab dan Palestin jadi banyak mewarisi keluarga sebelah sana yang mempunyai mata berwarna hazel.
Dengan usia Fatima yang kini 8 bulan, dia dah mula belajar untuk berdiri dan boleh menyebut “mama..baba”. Syukur sangat, doktor dan jururawat kata tak perlu risaukan lagi keadaan Fatima walaupun dia lahir tak cukup bulan. Perkembangannya sama seperti bayi yang lahir cukup bulan.
Bukan itu saja, ramai yang cair tengok senyuman Fatima. Walaupun orang yang dia tak biasa pun tetap boleh mesra. Sebagai ibu satu je yang saya harapkan agar Fatima membesar dengan baik, sihat, cerdas, bijak dan menjadi anak yang solehah. Inshaallah
Kredit: Alia Isdawati
**Nak menang hadiah menarik dari SSPN, boleh hantar penyertaan Cabaran RM10 mengikut kreativiti anak. Nak tahu lanjut boleh klik sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Adik jom mandi! Kenapa kena mandi? Sebab badan adik dah kotor, seharian dah ke sana ke mari. Macam mana badan boleh kotor mama? terkadang tertekan mama melayan soalan-soalan si kecil yang tidak berkesudahan? Tak tahu apa yang patut anda respon, marah atau terus tersenyum. Namun itulah antara proses perkembangan si kecil yang baik untuk otak mereka.
Soalan Penting untuk Pembelajaran?
Apabila anak anda bertanya soalan, dia mengambil peranan aktif dalam pembelajaran sendiri. Mereka cuba untuk memikirkan bagaimana dunianya berfungsi dengan mencari maklumat. Sambil bertanya soalan, anak-anak sedang membangunkan kemahiran pemikiran kritikal yang membina kekuatan otak.
Bertanya juga merupakan satu bentuk komunikasi yang penting. Anak anda mencari maklumat daripada individu lain yang menurut mereka lebih mempunyai pengetahuan. Ia mungkin akan bertanya kepada anda, kakak atau abang mereka, ahli keluarga yang lain atau juga pengasuh mereka untuk mendapatkan maklumat yang mereka perlukan.
Kanak-kanak kecil lazimnya akan bertanya soalan apabila:
melihat sesuatu objek atau individu yang menarik minat mereka
Mencapai sesuatu objek atau orang
tertumpu kepada sesuatu yang menarik
Menyentuh sesuatu
melihat anda dengan ekspresi muka yang kehairanan
Soalan yang sering ditanya
Jenis soalan biasanya akan berubah mengikut perkembangan mereka. Berikut adalah soalan yang biasa ditanya mengikut peringkat umur mereka:
21-24 bulan – suka bertanya “apa tu?”
25-28 bulan – bertanya dengan intonasi yang tinggi
26-32 bulan – suka bertanya “ kat mana atau di mana?”
36-40 bulan – suka bertanya “ Siapa tu?”
40-49 bulan – soalan kenapa, bila dan bagaimana sering menjadi pertuturan
Adakalanya ibu dan ayah buntu untuk menjawab soalan si kecil yang berterusan. Sudah tentulah ia penting untuk menjawab soalan anak-anak tapi sebaiknya elakkan menjawab secara membuta tuli kerana ia mungkin mengurangkan peluang si kecil untuk berfikir sendiri dengan sokongan daripada anda. Apa yang boleh mungkin boleh anda lakukan adalah:
Menawarkan peluang atau pengalaman sebagai tindak balas kepada soalan si kecil. Contohnya jika si kecil terpandang objek yang menarik minat mereka, tawarkan kepada mereka untuk menyetuhnya dan rasakan pengalaman bermain dengan objek tersebut. Ia memberi peluang kepada mereka untuk terokai dan belajar tentang objek yang menarik minat mereka.
Cadangkan satu cara baru untuk meneroka sebagai jawapan kepada soalan si kecil. Contohnya jika mereka tak tahu bagaimana untuk membuka pintu yang tertutup. Anda boleh cadangkan supaya mereka menekan butang khas untuk membuka pintu tersebut. Ia menjadi panduan untuk si kecil mendapatkan jawapan daripada persoalan mereka.
Tanyakan soalan kepada mereka untuk menggalakkan mereka aktif berfikir untuk mendapatkan jawapan.
Anda juga boleh mencipta keadaan di mana anak-anak akan bertanya dan menunjukkan rasa ingin tahu si kecil:
Berikan mereka objek yang menarik untuk mereka terokai. Kanak-kanak mempunyai minat semulajadi untuk belajar tentang perkara-perkara baru.
Membaca buku bersama. Dengan membaca anda boleh berkongsi banyak idea dan berpeluang bertanya soalan tentang buku yang dibaca.
Bertanya soalan kepada mereka adalah salah satu cara berkomunikasi dengan berkesan. Kanak-kanak biasanya akan bertanya untuk mendapatkan maklumat atau jawapan daripada seseorang yang mereka percaya.
Lakukan aktiviti yang menggalakkan kanak-kanak berfikir bagaimana dan kenapa sesuatu perkara itu berlaku. Aktiviti seperti bermain pasir dan bermain air, membuat kraf dan bermain muzik memberi kanak-kanak peluang untuk berfikir dan meneroka apa objek atau alat tersebut boleh lakukan. Proses penemuan boleh merangsang banyak soalan baru.
Apa sahaja soalan si kecil, ibu dan ayah haruslah cuba untuk memberikan jawapan yang terbaik kerana ia penting untuk perkembangan otak si kecil anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemahiran motor halus kena asah sejak anak usia tiga tahun lagi atau seawal mungkin melalui aktiviti-aktiviti playtime supaya anak terus lupa gajet.
Malah, tak perlu tunggu anak usia enam tahun untuk asah motor halusnya, takut nanti jejas pembelajarannya di tadika. Ini kerana kemahiran motor halus ini penting untuk anak-anak belajar menulis, zip baju, guna gunting dan sebagainya yang melibatkan pergerakaan jari.
Penguasaan skil motor halus amat penting untuk si kecil untuk menguasai pelbagai kemahiran sebelum ke sekolah. Mama dan papa boleh lakukan pelbagai 10 aktiviti ini di rumah untuk membantu mereka.
Penguasaan kemahiran motor halus amat mustahak untuk melakukan melibatkan penggunaan halus otot kecil yang mengawal tangan, jari dan ibu jari. Dengan perkembangan kemahiran ini, si manja dapat menyelesaikan tugas-tugas penting seperti menulis, memotong menggunakan gunting, menyuap makanan sendiri, membutangkan pakaian sendiri dan zip.
Mama dan papa boleh melakukan aktiviti rangsangan yang disarankan ini untuk membantu anak menguasainya. Lebih awal dilakukan maka lebih baik.
1.BERMAIN PASIR
Pasir sama ada pasir kinetik atau pasir biasa merangsang jari-jemari dan tapak tangan si kecil. Sediakan alatan yang lain seperti penceduk, trak kecil untuk mengangkut pasir dan acuan. Selain itu, isikan pasir ke dalam dulang dan biarkan si manja melakar di atasnya. Anda juga boleh membawa si kecil ke pantai dan ajaknya untuk membina istana pasir. Tentu dia seronok!
2.DOH MAINAN
Doh mainan memang sesuai untuk tujuan sensori motor halus. Dia bebas menguli, memicit, mencubit doh pelbagai warna. Ini adalah latihan yang baik untuk jari dan ibu jarinya. Berikan penggelek dan acuan untuk menjadikan permainan lebih menarik.
3.MENAMPAL
Menampal kertas mahu pun pelekat boleh menggalakkan si manja menggunakan tangannya. Anda boleh ajaknya membuat kolaj pelbagai bentuk seperti buah epal, payung dan sebagainya.
4.MENGKATEGORIKAN OBJEK KECIL
Objek kecil seperti butang, pompom, klip kertas dan tutup botol pelbagai warna boleh dimanfaatkan sebagai permainan si kecil. Anda boleh menyuruh si kecil mengasingkannya mengikut warna atau bentuk yang berlainan.
5.BUSY BOARD
Bermain dengan busy board ialah aktiviti yang bagus untuk si kecil. Ia menggalakkan penguasaan si manja untuk membutangkan baju, membuka tombol, membuka ikatan, memasang zip dan sebagainya.
6.MENYUSUN MENGIKUT BENTUK
Ambil sekeping kadbod dan lukis dua garisan iaitu zigzag dan berombak. Sediakan juga objek seperti kacang atau butang. Minta si manja untuk menyusun objek mengikut garisan-garisan ini. Penggunaan hujung jari untuk mengambil objek melenturkan otot jari dan tangan mereka.
7.MENJAHIT
Sediakan kadbod mengikut bentuk yang anda sukai dan tebuk lubang pada sekelilingnya. Berikan anak benang kasar atau tali dan minta mereka masukkan tali ke dalam lubang pada sekeliling kadbod. Ketika tangan memasukkan tali ke dalam lubang, mereka telah menggunakan jari dan serta koordinasi mata-tangan.
8.RANTAI PASTA
Sediakan semangkuk pasta penne dan seutas benang kasar yang bersaiz besar. Ajak anak untuk memasukkan benang ke dalam lubang pasta sehingga membentuk rantaian panjang. Anda boleh mewarnakan penne menggunakan pen penanda untuk efek yang lebih cantik dan menarik.
9.MENGGUNAKAN PENYEPIT
Anda boleh menyediakan objek seperti pompom, bebola kecil atau pasta penne berwarna dan biarkan si manja mengasingkannya mengikut warna menggunakan penyepit. Selain itu, boleh juga ajak si manja bermain air menggunakan syringe. Ia boleh menggalakkan penggunaan jari dan tangan.
10.MELAKAR MENGIKUT GARISAN
Melakar atau tracing adalah aktiviti yang baik untuk motor halus. Ia boleh dilakukan dengan membiarkan si manja melakar dengan meniru garisan yang telah anda buat pada kertas. Buku yang mempunyai latihan menyambungkan titik juga adalah saranan yang baik.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Che Ta Baru Tahu Anak Tak Boleh Makan Ketam, Muka Aaisyah Habis Bengkak-bengkak. Anak perempuan Che Ta, Aaisyah Dhia Rana mengalami bengkak-bengkak di bahagian muka selepas makan ketam.