Keibubapaan

Jangan Pandang Rendah Hati Ayam Untuk Bayi, Murah Tapi Padat Nutrien!

Share

Bila menyediakan makanan untuk bayi, ramai ibu ayah mungkin beranggapan mereka perlu membeli bahan yang mahal atau menyediakan menu yang nampak ‘fancy’. Hakikatnya, ada makanan yang murah, mudah didapati dan sebenarnya sangat padat dengan nutrien. Salah satu daripadanya ialah hati ayam. 

Hati ayam untuk bayi boleh menjadi sebahagian daripada menu makanan pelengkap apabila si manja mula mengambil makanan pejal sekitar usia enam bulan. Pada usia ini, keperluan tenaga dan nutrien bayi semakin meningkat. Susu ibu atau susu formula sahaja tidak lagi mencukupi untuk memenuhi semua keperluan tersebut, justeru makanan pelengkap perlu diperkenalkan secara beransur-ansur mengikut perkembangan dan kebolehan bayi.

Khasiat Hati Ayam Untuk Bayi Yang Ramai Tidak Sedar

Jangan pandang rendah pada hati ayam kerana makanan ini mengandungi pelbagai nutrien penting seperti zat besi, vitamin B12, folat, zink, protein dan vitamin A.

Zat besi memainkan peranan penting dalam menghasilkan hemoglobin, iaitu komponen dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan. Pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi membantu mengurangkan risiko kekurangan zat besi serta anemia dalam kalangan bayi yang sedang membesar.

Vitamin B12 dan folat pula membantu pembentukan sel darah merah serta menyokong perkembangan otak dan sistem saraf. Pada masa sama, zink dan protein diperlukan untuk menyokong proses tumbesaran, pembaikan tisu dan menguatkan sistem pertahanan badan.

Selain itu, hati ayam turut mengandungi vitamin A yang penting untuk kesihatan mata, pertumbuhan dan sistem imun. Walau bagaimanapun, vitamin ini perlu diambil secara sederhana kerana kandungannya dalam hati ayam agak tinggi.

Garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menggalakkan bayi dan kanak-kanak berusia enam hingga 23 bulan menikmati diet yang pelbagai. Ini termasuk makanan berasaskan haiwan seperti ayam, daging, ikan, telur serta hati atau organ dalaman sebagai sebahagian daripada pemakanan yang seimbang.

Cara Menyediakan Hati Ayam Untuk Bayi Dengan Selamat

Tak perlu resipi yang terlalu rumit. Hati ayam boleh dimasukkan sedikit ke dalam menu harian bayi dengan beberapa langkah mudah.

  • Bersihkan hati ayam dengan teliti sebelum dimasak.
  • Pastikan ia dimasak sehingga benar-benar masak bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria.
  • Kisar, cincang halus atau lenyek mengikut tekstur yang sesuai dengan usia bayi.
  • Campurkan sedikit ke dalam bubur nasi, nasi lembut, kentang lenyek atau puri sayur.
  • Mulakan dengan kuantiti yang kecil dan lihat penerimaan bayi terhadap makanan baharu.
  • Elakkan menambah garam, gula atau perasa tambahan.

Tekstur makanan juga perlu diubah secara beransur-ansur. Bayi sekitar enam bulan sesuai diberikan makanan yang dikisar, dilenyek atau separa pejal sebelum beralih kepada tekstur yang lebih kasar apabila semakin membesar.

Jangan Berikan Terlalu Kerap

Walaupun hati ayam untuk bayi kaya dengan nutrien, ia juga mengandungi vitamin A jenis retinol pada paras yang tinggi. Vitamin A memang diperlukan untuk tumbesaran, penglihatan dan sistem imun, namun pengambilan berlebihan secara berpanjangan boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan.

Oleh itu, hati ayam disyorkan diberikan dalam kuantiti kecil dan tidak terlalu kerap, contohnya sekitar sekali seminggu sebagai sebahagian daripada menu yang pelbagai. Elakkan memberikannya dalam jumlah yang banyak atau hampir setiap hari.

Bagi bayi yang mengambil suplemen vitamin A atau mempunyai masalah kesihatan tertentu, ibu ayah disarankan mendapatkan pandangan doktor atau pegawai dietetik sebelum memasukkan hati ayam ke dalam menu harian.

Halal Dimakan Mengikut Syarak

Ada juga yang mungkin keliru kerana hati dianggap sebagai organ dalaman atau darah beku. Namun begitu, hati dan limpa merupakan makanan yang halal dimakan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memetik hadis yang menyatakan bahawa dua jenis darah yang dihalalkan ialah hati dan limpa.

Pastikan hati ayam diperoleh daripada ayam yang halal dan disembelih mengikut hukum syarak. Untuk bayi, berikan dalam kuantiti kecil, masak sehingga sempurna dan jadikannya sebahagian daripada pemakanan yang seimbang.

Kesimpulan

Tak semestinya makanan mahal sahaja yang terbaik untuk anak. Hati ayam untuk bayi merupakan pilihan yang murah, mudah didapati dan kaya dengan pelbagai nutrien penting apabila diberikan dalam kuantiti yang sesuai.

Yang penting ialah ibu ayah memahami cara penyediaan yang betul, tidak memberikannya secara berlebihan serta memastikan bayi menikmati diet yang pelbagai dan seimbang.

Sumber: Public Health Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Public Health Malaysia 

Published by
SRM