Bagi anak-anak yang menggunakan botol susu, sangat penting bayi ibu ayah membersihkannya dengan baik bagi mengelakkan ‘pencemaran’ yang merosakkan kualiti susu. Nampak remeh tetapi kepentingan untuk mencucinya dengan baik perlu dititikberatkan supaya botol susu tahan lama dan tidak membiak bakteria.
Langkah demi langkah ketika membersihkan botol susu anak sangat penting. Kesilapan mencuci peralatan penyusuan boleh menyebabkan ia kurang bersih dan membiakkan pelbagai kuman yang boleh menyebabkan penyakit seperti keracunan, cirit birit sebagainya.
Pensterilan juga perlu dilakukan sebagai cara menyahkuman. Mensterilkan peralatan penyusuan boleh dilakukan menggunakan pelbagai kaedah seperti merebus, menggunakan pensteril elektrik, bekas pensteril yang menggunakan ketuhar gelombang mikro, pensteril tanpa air dan sebagainya.
Susu ibu lazimnya meninggalkan kesan berminyak manakala susu formula pula meninggalkan kesan dan bau masam sekiranya tidak dibersihkan segera. Bukan sahaja botol susu, bahagian breast shield pam payudara, milk collector, nipple shield, cawan, mangkuk, sudu dan puting (pacifier) juga perlu disterilkan.
Bagi anda yang mempunyai bayi bawah 12 bulan, steril semula peralatan jika tidak digunakan selepas 24 jam untuk mengelakkan recontamination (Pencemaran pada susu).
PENTING UNTUK STERIL BOTOL SUSU ANAK
Peralatan penyusuan bayi yang berusia di bawah 12 bulan perlu dinyahkuman atau disterilkan. Ini kerana sistem keimunan mereka masih lemah. Maka, langkah pencucian rapi dan pensterilan boleh merendahkan risiko jangkitan dan penyakit kepada si manja. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bakteria seperti E. sakazakii boleh berkembang biak sekiranya langkah ini diabaikan.
Ads
Permukaan peralatan penyusuan yang selalunya melibatkan puting, botol, dan gegelang. Bahagian ini perlu dipastikan bersih dan steril sebelum diberikan kepada bayi. Ibu bapa perlu mengelakkan daripada cuai dalam melakukan langkah ini untuk mengelakkan bayi daripada terkena cirit birit dan muntah akibat keracunan.
8 INFO PERLU TAHU UNTUK STERIL BOTOL ANAK
Ads
Pastikan tangan anda bersih semasa proses mencuci peralatan penyusuan.
Sebaik-baiknya cuci botol bayi sebaik selepas penyusuan. Elakkan membiarkan susu rosak dan berkulat sehingga membuatkan keadaan di dalam botol menjadi berbau dan kekotoran sukar ditanggalkan.
Gunakan berus botol khas untuk botol susu untuk menanggalkan sisa yang tertinggal di dalamnya.
Berus khas untuk puting perlu digunakan untuk membersihkan puting.
Pastikan peralatan dibilas dengan air sehingga bersih.
Pastikan air mendidih semasa memasukkan peralatan yang ingin disteril.
Selepas disteril, pastikan ia tidak disentuh dengan tangan kotor. Anda boleh memasang ia selepas kering untuk mengelakkan kontaminasi semula.
Berus yang digunakan juga perlu bersih. Cara mencucinya ialah dengan perlu direndam dengan larutan cuka dan air suam dengan nisbah 1:5 setelah dicuci bagi mengelakkan pembiakan bakteria.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memiliki jumlah anak yang ramai memang menyeronokkan namun aspek kesihatan ibu seharusnya lebih diberikan perhatian untuk mengandung dalam tempoh waktu yang kerap. Anak-anak yang masih kecil juga terabai malah setiap perkembangannya tidak dipantau kerana jumlah anak yang ramai.
Luahan dan perkongsian ilmu oleh doktor ini, Dr. Erna Nadia memang menarik. Banyak benarnya dalam kata-kata beliau. Tubuh isteri memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Jadi suami harus buka mata, biar isteri benar-benar sembuh terlebih dahulu.
JARAK KEHAMILAN
Saya ditugaskan untuk menjaga MCH ( maternal & child health) di klinik baru ini. Risau juga sebab agak berisiko tapi saya selalu fikir kalau tidak belajar sekarang, bila lagi?
Kebetulan seorang senior doktor di sini adalah bekas pelajar masters dalam bidang kesihatan keluarga. Hari pertama lagi dia dah tahu yang saya berminat untuk sambung belajar dalam bidang yang sama.
Nasihat dia : Erna, awak perlu banyak membaca setiap hari. Bukan baca CPG sahaja tapi kena buka textbooks dan baca jurnal. Dan awak praktikkan dalam kerja seharian. Insha Allah ok punya.
Telan liur kejap. Punyalah susah nak jadi pakar ni kan? Tapi kenapa ramai orang boleh senang-senang percaya kepada penjual atau penyampai petua merapu yang langsung tak ada ilmu asas pun tentang kesihatan? Pelik binti benar bin ajaib.
Ok, kembali kepada topik asal. Kawasan tempat saya kerja ini adalah kawasan pedalaman. Orang utara kata hulu banat. Orang kl kata hulu gilerrr.
Jadi, ibu ibu di sini rata ratanya ada ramai anak. Umur 25 pun dah 5-6 orang anak. Ramai dan meriah. Tapi tak terurus. Baik mak atau anak.
Ya, memang kita digalakkan untuk memiliki ramai cahaya mata tapi adakah kuantiti lebih penting dari kualiti? Kenapa doktor selalu bising bising kalau jarak kelahiran dekat?
Risiko untuk mendapat bayi kurang berat badan dan zat, risiko kelahiran pramatang, risiko anemia ( kurang darah) dan masalah kongenital adalah tinggi kepada ibu yang sudah mengandung lagi dalam masa 6 bulan.
Faktor risiko jika jarak kehamilan rapat: 1. Anemia Wanita akan kehilangan darah dalam 200-400 ml darah setiap kali melahirkan anak ( jika beranak normal). Kehilangan darah yang banyak ini perlu di ganti semula. Darah merah memerlukan masa 90-120 hari untuk terbentuk semula. Kelahiran yang rapat akan membuatkan darah merah belum sempat terhasil dan risiko semakin tinggi kerana ibu perlukan darah yang cukup semasa mengandung.
Jadi, bayangkan. Sudahlah yang lama belum sembuh, kita tambah lagi beban pada hati kita untuk kerja keras hasilkan darah. Bila kurang darah, kena ambil darah banyak kali dan suruh makan ubat tambah darah banyak, kita bebel kata doktor kejam.
2. Tombong atau rahim jatuh Ingat lagi kenapa berlakunya tombong? Salah satu faktor terbesarnya adalah kelahiran yang ramai. Ingat, rahim kita adalah otot yang fleksibel. Semakin kerap kita beranak, semakin tinggi risiko untuk mendapat tombong. Semasa melahirkan anak, banyak otot yang luka dan trauma. Setiap yang luka pasti memerlukan masa untuk pulih. Kesian badan kita. Bagilah dia rehat sama sekejap.
3. Rahim pecah Hal ini banyak berlaku pada ibu yang melahirkan anak secara bedah. Rahim yang dipotong memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih. Nak nak pula kalau si ibu ada masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, kencing manis yada yada yada. Rahim yang belum sempat pulih kemudian di tambah dengan kehamilan baru, berisiko untuk pecah ( jarang berlaku tapi boleh).
4. Kelahiran pramatang Rahim masih lemah dan kita tambah beban lagi pada dia. Akibatnya rahim kekal lemah sepanjang kehamilan baru.
5. Bayi kurang berat badan Ini adalah kerana ibu senang mendapat anemia. Kekurangan nutrisi menyebabkan bayi kurang mendapat zat semasa di dalam rahim. Kesian kan?
6. Depressi Ada sesetengah kes, si ayah yang asyik nak anak. Nak buat kelab bola sepak katanya. Nak ada perempuan katanya ( lepas 10 anak semua lelaki). Ya lelaki memang senang. Akibat mereka, yang menanggung adalah isteri. Padahal isteri tak rela mengandung lagi.
Jangan jadi lelaki dayus. Fikir sama keadaan fizikal dan mental isteri. Bukan senang nak jaga bayi kecil. Ditambah pula luka dalaman yang masih belum sembuh. Takut nanti isteri meroyan sebab terlampau tekanan. Nak ditolak takut dikata isteri nusyuz. Bincang sama sama. Nak berapa anak. Bagaimana nak jaga.
7. Autism Bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan jarak kehamilan kurang dari setahun setengah adalah sangat berisiko menjadi autism. Perkembangan di dalam rahim menjadi terbantut jika nutrisi tak mencukupi.
8. Anak terabai Rata rata yang datang klinik dengan anak masih setahun dan kandungan dah menjejak dua tiga bulan biasanya akan mengabaikan sahaja anak mereka. Anak yang berumur 0-3 tahun memerlukan perhatian yang lebih dari ibu bapa mereka kerana mereka sedang membesar.
Mereka tak pandai nak melakukan apa apa lagi. Biasanya bila mengandung, wanita akan jadi sedikit beremosi akibat daripada hormon dan penat atau morning sickness. Bila anak perlukan anda, anda marah anak kata anak anda degil padahal mereka cuma kanak kanak yang tak faham apa apa. Kesian mereka.
9. Masalah tulang rapuh Apabila mengandung, wanita memerlukan kalsium yang cukup untuk dirinya dan anak yang dikandung. Bayangkan kalau tengah mengandung dan anda masih menyusu anak anda lagi? Hormon estrogen amat penting untuk penyerapan kalsium. Gangguan pada hormon boleh menganggu struktur tulang.
10. Rumahtangga terabai Apabila anak masih kecil dan berderet dan anda mengandung lagi, kesihatan anda akan sedikit terjejas. Bukan kesihatan fizikal sahaja tetapi mental juga.
Nak uruskan rumah, nak uruskan suami dan anak anak dan nak uruskan diri sendiri dan kandungan. Akhirnya semua urusan jadi caca merba dan diri sendiri tidak selesa. Jadi, adakah kita masih lebih mementingkan kuantiti berbanding kualiti?
Ya, saya faham ramai yang kata Islam galakkan ramai anak tapi kita kena ambil kisah untuk semuanya. Dari aspek kesihatan dan ekonomi serta perkembangan anak anak. Kita tak boleh pentingkan diri sendiri.
Jika isteri tak sihat, biar dia betul sembuh dahulu. Jika anak anak terabai, pulihkan dahulu kucar kacir keluarga.
Jika ekonomi tak membantu, fikirkan dahulu cara untuk stabilkan kehidupan anda. Ada sebab kenapa doktor suruh jarakkan kehamilan. Seeloknya jarakkan kehamilan 2-5 tahun. Ada banyak kaedah untuk merancang keluarga.
Katanya ada viral mengatakan yang pil atau suntikan perancang adalah merbahaya? Jawapan saya tak betul. Biasalah nyetizen ni, gemar sangat menakut nakutkan orang dengan sesuatu yang tak pasti. Macam isu vaksin?
Bincang seeloknya dengan pasangan anda. Fikir akan faktor risiko masa hadapan. Rancang keluarga bagaimana yang ingin anda bentuk bersama.
Untuk isteri, jika tak selesa atau rasa penat atau ada penyakit, tolong jangan takut dan segan untuk bagitahu suami. Suami anda bukan jembalang yang makan orang. Cakap elok elok, terangkan lembut lembut. Insha allah mereka boleh faham.
“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Dan untuk suami, fahami dan sayangilah isteri anda. Kita kahwin bukan sebab nafsu, tapi kita kahwin kerana tanggungjawab. Jika anda sayang mereka, dengarkan mereka. Perempuan ini biasanya sayang suami lebih dari diri dia sendiri. Saling menjaga, insha Allah bahagia?
“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman). “ (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Nota kaki : biar kuantiti kecil tapi kualiti besar dari kuantiti banyak tapi semua terabai dan terbiar?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hanya sempat peluk dan susukan bayi 11 hari dalam pantang, kegembiraan sepasang suami isteri tidak berpanjangan apabila isteri dikasihi meninggal dunia setelah baru menerima cahaya mata 28 Ogos lalu.
Status pemilik Facebook Hamijan Mijan itu mengundang sayu netizen.
“Wajahmu sentiasa didalam ingatan ku (aku) disusuli dengan doa buat mu isteri tercinta, walau awak jauh dimata sayang tapi awak tetap dekat dihati saya, (saya) sayang awak sampai bila-bila,” tulisnya.
Al-Fatihah buat isteri tercinta, Siti NurHidayah Mohd Saad, 23.
Malah, wanita itu juga dikatakan sempat memuat naik status terakhir di facebook sehari sebelum pemergiannya dengan tidak sabar mengajak suami untuk bercuti ke Cameron Highland setelah habis pantang pada hari ke-45.
Namun impian itu tidak kesampaian apabila dia akhirnya dahulu dijemput Ilahi.
Hamijan Jalaludin berkata, dia tidak menyangka isterinya pergi secara tiba-tiba kerana NurHidayah tidak menunjukkan sebarang tanda, bahkan, beberapa jam sebelum kejadian mereka masih sempat berbual seperti biasa.
“Lepas subuh, saya tidur sampai pukul 11, saya (hanya) tersedar apabila anak menangis. Saya bangun buatkan susu anak dan memanggil isteri tetapi tidak dia tidak menyahut. Jadi saya pergi dekat dan menarik selimut, dan melihat tangan arwah sudah kebiruan,” kata Hamijan.
Panik dengan keadaan isterinya yang sudah tidak sedarkan diri, dia terus memanggil ambulans dan membawa isterinya ke hospital.
“Namun sampai di hospital, isteri disahkan meninggal dunia,” kata Hamijan.
Menurut Hamijan, doktor mengesahkan terdapat darah beku di peranakan isterinya yang menjadi punca kepada kejadian tersebut, selain mengalami hipoglisemia (bacaan gula dalam darah rendah) kerana mengalami diabetes semasa mengandung.
Bagaimanapun, keputusan penuh dari doktor masih belum diketahui.
Meskipun sedih, namun dia reda dengan pemergian isteri tercinta dan janjinya akan menjaga zuriat, tanda cinta mereka yang telah diberi nama Muhammad Hud Hayyan dengan baik.
“Saya akan menjaga bayi kami dengan penuh kasih sayang atas bantuan keluarga,” katanya.
Kes demam denggi terus menunjukkan peningkatan apabila 1,407 kes dicatatkan pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51), dari 15 hingga 21 Disember, berbanding 1,384 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa dua kematian akibat komplikasi denggi turut dilaporkan dalam tempoh tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME51 adalah sebanyak 121,082 kes berbanding 120,418 kes bagi tempoh sama pada 2023.
“Terdapat 116 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 96 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME51 ialah 18 lokaliti berbanding 27 pada minggu sebelumnya.
Daripada 18 lokaliti dilaporkan katanya, sembilan adalah di Selangor, Negeri Sembilan (empat), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (tiga) manakala masing-masing satu di Pahang dan Pulau Pinang.
Beliau berkata pergerakan masyarakat yang meningkat bersempena dengan musim cuti kini juga akan menyebabkan penyebaran jangkitan denggi menjadi mudah, justeru sangat penting untuk memastikan kawasan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!