Kekeluargaan

Jaslinda Ditemui Selamat Selepas 15 Hari, Coretan Anak Meruntun Jiwa

Share

Siapa sangka, selepas hanya dua jam perkongsian mengenai coretan anak Jaslinda yang meluahkan rasa rindu terhadap ibunya disiarkan, beberapa jam kemudian tular pula gambar Jaslinda yang ditemui selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mangsa telah ditemukan berhampiran di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Batu 8, Jalan Pahang di sini kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, mangsa telah ditemukan oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Nazri Bah Eng.

“Nazri kemudian memaklumkan kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

“Mangsa sekarang berada di rumah Tok Batin di Kampung Lubuk Gaharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tular video Jaslina sedang berehat dan memakan mi segera hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Jaslinda menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain serta dua malim gunung pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu. Pendakian tersebut melalui laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih dan Kuala Woh.

Jaslinda bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, kemudian dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, pendaki wanita itu dikatakan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.

Sejak kehilangan Jaslinda dilaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan serta komuniti Orang Asli yang arif dengan keadaan muka bumi di kawasan berkenaan.

Usaha pencarian berdepan pelbagai cabaran termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, bentuk muka bumi yang berbukit-bukau serta kawasan hutan tebal yang menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat. Namun, semua pihak terus bertungkus-lumus menjalankan pencarian dengan harapan Jaslinda dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

Berita penemuan Jaslinda nyata membawa kelegaan buat ahli keluarga, rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes tersebut sejak hari pertama kehilangannya. Di media sosial, ramai netizen meluahkan rasa syukur dan menyifatkan penemuan itu sebagai satu keajaiban selepas lebih dua minggu pencarian dijalankan.

SETELAH 2 JAM CORETAN LUAHAN ANAK JASLINDA

Sebelum ini, coretan anak Jaslinda yang meluahkan rasa rindu dan berharap ibunya pulang dengan selamat turut mengundang sebak dalam kalangan netizen. Ramai yang berkongsi semula hantaran tersebut sambil menitipkan doa agar Jaslinda segera ditemukan.

“Genap 14 hari ,masih menunggu ibu. Ibu..selama ni ibu yang selalu ajar dan ingatkan kami, always be strong,dont worry, Allah ada. Sekarang, kami perlukan ibu untuk terus kuat mcm mana ibu selalu ajar kami. Kami semua yakin dengan ibu. Jangan risau ya ibu..dalam semua yang berlaku ni,ramai yang sedang mendoakan ibu, dan kami juga tak pernah berhenti berdoa serta berharap untuk ibu. Allah SWT sentiasa melindungi ibu walau di mana pun ibu berada. Kami sayang ibu & sentiasa menunggu kepulangan ibu. “

Penemuan wanita itu akhirnya menjadi jawapan kepada segala doa dan harapan yang tidak pernah putus sepanjang operasi pencarian berlangsung. Setakat ini, Jaslinda dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan menerima bantuan serta pemantauan daripada pihak berkaitan sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut.

Sumber: malaysiagazette.com & deefzl._

Published by
Nor Yusoff