
Tahniah diucapkan buat pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans yang berkongsi khabar gembira apabila mengesahkan dirinya kini sedang hamil cahaya mata ketiga.
Berita tersebut diumumkan sendiri oleh pemilik nama Juliana Sophie Johari Evans, 37, menerusi satu hantaran di Threads yang mengejutkan sekali gus menggembirakan para peminat yang mengikuti perkembangan dirinya sejak sekian lama.
Dalam hantaran itu, Juliana sempat berseloroh mengenai perjalanannya sebagai seorang ibu yang bakal mempunyai tiga orang cahaya mata tidak lama lagi.
“Nampaknya saya tidak belajar daripada pengalaman sebelum ini! Saya cuma bergurau.
“Saya memang tahu yang saya akan menambah sekurang-kurangnya seorang lagi (anak) dan tahun ini adalah waktu yang sangat sesuai,” katanya.
Perkongsian tersebut menerima perhatian ramai kerana dilakukan secara santai namun penuh makna. Ramai peminat menganggap pengumuman itu sebagai satu berita yang cukup menggembirakan, lebih-lebih lagi selepas melihat kebahagiaan yang dibina Juliana bersama keluarga tercinta.
Tambah Juliana lagi, dia seakan-akan tidak percaya bakal bergelar ibu kepada tiga orang anak dalam masa terdekat.
“Saya? Ibu kepada 3 anak? Masih cuba untuk menghadam perkara ini,” selorohnya.
Luahan ringkas itu jelas menggambarkan perasaan teruja dan terkejut yang dialami oleh dirinya. Walaupun pernah melalui pengalaman kehamilan sebelum ini, setiap kehamilan pastinya membawa pengalaman serta cabaran yang berbeza.
Bagi kebanyakan ibu, kehadiran anak baharu bukan sahaja membawa kegembiraan, malah memerlukan persediaan dari segi emosi, masa dan tanggungjawab. Namun, ramai percaya pengalaman yang dimiliki Juliana sebelum ini akan membantu dirinya melalui fasa tersebut dengan lebih yakin.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen membanjiri hantaran tersebut dengan ucapan tahniah dan kata-kata semangat buat pelakon berkenaan.
Segelintir mereka turut menitipkan doa agar segala urusan kehamilan dan kelahiran dipermudahkan kelak. Ada juga yang meluahkan rasa gembira kerana dapat mengikuti perkembangan terbaru selebriti kesayangan mereka.
Untuk rekod, Juliana mendirikan rumah tangga bersama Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada April 2017.
Pasangan itu kemudiannya dikurniakan dua cahaya mata dan kini bakal menyambut kehadiran seorang lagi ahli keluarga baharu.
Baca lagi: Nama Luay Anak Eyka Farhana Jadi Perdebatan, Rupanya Ada Maksud Indah
Fattah Amin Ajar Fatima Baca Quran, Gelaran Ustaz Daddy Buat Ramai Cair
Sumber: Threads