Mak ayah mana yang tidak resah bila anak batuk berkahak yang tidak menunjukkan tanda semakin reda.
Puas dicuba pelbagai jenis ubat tetapi kahak anak masih lagi pekat dan tidak reda.
Amalan minum air kelapa seperti yang dikongsikan oleh Dr Mazliana Mazlan ini patut mak ayah cuba untuk rutin harian anak. Bukan itu sahaja bahkan ada beberapa lagi amalan pemakanan yang mak ayah patut cuba.
Jom ikuti perkongsiannya.
Ads
Pencair kahak dengan kesan segera. Ambil air kelapa, magnesium flakes, habbatussauda’, madu dan bawang putih.
Mula dengar anak batuk kering dengan kahak pekat.
Kalau serasi, sehari dua guna, dah terus dengar bunyi kahak mencair dan batuk makin kurang. Boleh try k.
Ads
Air kelapa ni boleh dijadikan aiskrim bila anak sakit tekak & ulcer.
Aiskrim buat sendiri tanpa gula tambahan, pewarna dan perisa. Aiskrim paling sihat untuk anak. Anak sakit tekak & ulcer memang tak lalu makan, aiskrim kelapa jadi penyelamat tinggi khasiat.
Seorang kanak-kanak perempuan, Nur Falisya Mardina Fahme Ridzuan (Ica) hidup dalam penderitaan setelah menghidap penyakit cystic hygroma iaitu gejala abnormal yang terjadi pada leher atau kepala bayi.
Ibunya Nur Atekah Mohd Yusof berkata, bahagian leher kiri anaknya yang berusia setahun itu membengkak serta mengandungi cecair atau air bisa dalam badan yang sepatutnya keluar melalui najis.
“Saya perasan ada kelainan pada leher Icha selepas melahirkannya dan dia ditahan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Seri Manjung, selama tujuh hari.
“Icha kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan didapati penyakit itu ketika berusia hampir tiga bulan sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Menurut ibu berusia 23 tahun itu, saluran makanan dan pernafasan anaknya semakin terhimpit akibat lehernya yang semakin membesar setelah melakukan imbasan CT bulan lalu.
“Kalau ikutkan pembedahan akan dijalankan pada usia dua tahun ke atas tetapi keadaan Icha semakin serius dan pembedahan akan dibuat untuk membuang cecair itu di HKL pada 21 Oktober ini,” ujarnya.
Pembedahan Berisiko Tinggi
Nur Atekah berkata, dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya seperti itu walaupun mengetahui pembedahan tersebut berisiko tinggi sehingga memberi kesan kepada suara dan saraf.
Disebabkan perkara itu, dia dan suaminya Fahme Ridzuan Zulqarnil mula menyimpan wang sebagai persediaan termasuk kos ulang-alik ke HKL.
Merengek sakit, kadang bernafas guna mulut
Bukan itu sahaja, tidur malam anaknya juga kerap terganggu kerana tidak selesa dengan keadaan lehernya itu sehingga menangis dan kadang-kadang bernafas menggunakan mulut.
“Luluh hati saya apabila Icha mengadu ‘Buuu, akit.. (Ibu.. sakit), malah dia kerap merengek dan terjaga dari tidur kerana tidak selesa dengan lehernya yang besar,” tambahnya.
Bagi individu yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menyumbang melalui akaun Agrobank bernombor 2005351000103289 (nama Nur Atekah Mohd Yusof).
Pepatah Melayu ada menyebut kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Kasih seorang bapa, sanggup berkorban apa sahaja untuk memberikan yang terbaik kepada anaknya.
Begitulah kasih seorang bapa Mohamad Iqbal Adib Mohd Afzanizam, 24, terhadap anak tersayang Aydin Malique, 15 bulan yang diuji menghidap penyakit Short Bowel Syndrome (SBS) atau sindrom usus pendek yang berpunca daripada najis berdarah.
Demi menjaga kebajikan anaknya yang sakit, bapa muda ini diberhentikan kerja pada Ogos lalu kerana kerap mengambil cuti menjaga anaknya yang sakit. Dia sebelum ini bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang kaca di Sungai Buloh.
Menurut Mohamad Iqbal Adib hampir setahun Aydin dirawat di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang dan dipantau di rumah.
Mohamad Iqbal Adib yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Shahira Anisha Mohamad Zuber, 23 pada 2019 dikurniakan sepasang bayi kembar, Aydin Malique dan Aydan Malique yang dilahirkan pramatang ketika usia tujuh bulan pada 12 Jun tahun lalu.
“Awalnya, bayi kami dilahirkan sihat, namun selepas dua minggu doktor memaklumkan ada jangkitan kuman pada usus Aydin.
“Sejak lahir, tiga kali Aydin menjalani pembedahan dengan yang pertama bagi memotong usus berukuran 32 sentimeter(sm) dan kedua, membuang usus tidak sihat yang dijalankan di Hospital Selayang.
“Pembedahan ketiga iaitu sambungan usus serta memasukkan tiub gestrol dekat perut dijalankan di HTA, dengan usus kecil kini berukuran 14 cm,” demikian beritahu Mohamad Iqbal Adib.
Bercerita tentang keletah Aydin, Mohamad Iqbal Adib memberitahu Pa&Ma yang anaknya ini seorang yang aktif walaupun perlu menggunakan tiub yang disambung ke perut.
Ditanya sama ada kembarnya Aydan ada mengusik tiub tersebut, bapa muda ini memberitahu Aydan tidak menganggu Aydin.
“Wayar pun dia tak usik. Dia buat hal sendiri sebaliknya Aydin yang suka kacau dia.”
Dari segi perkembangan pula, Aydin kini boleh duduk dan meniarap dan masih belum boleh merangkak.
Si comel ini minum susu menggunakan tiub yang disambung ke perut dan menggunakan wayar CVL (Central Venous Line) yang menghubungkan saluran darah terus ke jantung.
Oleh itu Mohamad Iqbal Adib perlu memantau Aydin ketika dia minum susu menggunakan mesin khas bagi mengelakkan risiko tiub tercabut.
Sebelum ini dia pernah berkongsi video di TikTok yang memberitahu perlu memantau Aydin 24 jam kerana jika tiub saluran jantung tercabut, dia perlu dibedah lagi.
“Aydin kena minum dua jenis susu iaitu susu formula yang disalurkan menggunakan tiub di perut dan ambil masa selama tiga jam. Susu lagi satu susu nutrisi (tpn) yang dibekalkan oleh Farmasi HKL. Susu ni kalau on mesin ambil masa 12 jam.
“Jadi isteri saya akan pasang mesin susu ini waktu malam sebab dia tengah tidur jadi tak banyak pergerakan berlaku.
Bagaimanapun Aydin boleh makan makanan pejal lain seperti roti, bijirin bayi dan nasi tetapi dalam kuantiti yang sedikit.
Ditanya tentang peluang Aydin untuk kembali normal tanpa perlu bergantung kepada tiub, Mohamad Iqbal Adib memberitahu semuanya bergantung pada dia. Buat masa sekarang Aydin masih lagi memerlukan tiub gestrol di perut & CVL di dada kirinya.
Bapa mana yang tidak resah memikirkan nasib keluarga selepas diberhentikan kerja apatah lagi mempunyai anak yang sedang sakit.
Mohamad Iqbal Adib mengakui sejak diberhentikan kerja, dia hilang punca pendapatan dan tertekan kerana memikirkan tanggungan termasuk kos rawatan anak.
“Saya cuba jual bundle (pakaian terpakai) kerana ramai rakan cadangkan, memandangkan modal tidak terlalu besar.
“Anggaran gaji bersih ketika kerja kilang dulu kira-kira RM1,400 manakala hasil jualan bundle kini tidak menentu, dengan paling sedikit RM20 dan paling banyak antara RM200 ke RM300 sehari.
“Saya baru belajar berniaga, jadi jual murah-murah saja dengan bersiaran langsung di TikTok,” katanya.
“Pernah satu tahap, saya hampir putus asa kerana masalah kewangan namun bangkit semula apabila mengenangkan anak kami.
“Pihak zakat ada beri bantuan untuk anak berdasarkan senarai keperluan dan selebihnya hasil sumbangan orang ramai selepas melihat perkongsian saya mengenai Aydin di TikTok.
Menurutnya dalam sebulan lebih kurang RM400 diperlukan untuk kos perubatan, susu dan keperluan lain untuk Aydin dan Aydan.
Orang ramai yang ingin membantu Mohamad Iqbal Adib boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7072310580.
Dental caries atau lebih mudah dipanggil sebagai masalah gigi berlubang merupakan antara masalah normal yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira individu dewasa mahupun kanak-kanak. Tetapi, masalah ini lebih kerap dialami oleh kanak-kanak, khususnya mereka yang menyusu botol.
Pastinya ia mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa jika anak anda mengalami masalah gigi berlubang, bukan? Jadi bagaimana cara terbaik untuk mencegah perkara ini daripada berlaku? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui tip yang boleh diamalkan.
Tip Mencegah Gigi Berlubang
Ilmu mengenai penjagaan gigi adalah sangat penting. Jadi perkara pertama sekali adalah untuk memastikan bahawa anda juga mementingkan aspek penjagaan gigi dan kesihatan oral anda terlebih dahulu.
Bagaimana gigi berlubang terjadi? Masalah ini boleh berlaku apabila bakteria dalam plak memetabolisma karbohidrat, yang akhirnya menghasilkan asid yang mengurangkan pH dalam rongga mulut. Asid ini bertindak ‘mencairkan’ (demineralization) struktur gigi anda. Maka terjadilah gigi berlubang.
Berikut adalah antara beberapa tip untuk mencegah gigi berlubang yang boleh anda amalkan:
1. Penjagaan awal
Sama ada anda memilih untuk menyusukan bayi anda secara eksklusif ataupun menggunakan susu botol, adalah penting untuk anda memberikan perhatian dalam aspek penjagaan gigi bayi anda dengan baik.
Awal kelahiran hingga usia 12 bulan – lap mulut dan gusi bayi anda dengan perlahan-lahan menggunakan kain lap yang bersih. Sekiranya gigi pertama bayi anda sudah kelihatan, anda boleh menggunakan berus gigi bayi yang lembut.
12 hingga 36 bulan – pada usia ini, beruskan gigi anak anda 2 kali sehari selama 2 minit. Gunakan sedikit ubat gigi berfluorida sehinggalah anak anda berusia 3 tahun. Sebaiknya berus gigi anak anda selepas sarapan pagi dan sebelum tidur.
Cegah Anak Alami Gigi Berlubang – botol susu
2. Tiada susu botol
Sememangnya sudah menjadi kebiasaan ibu bapa untuk membenarkan anak tidur sambil menyusu botol. Tahukah anda perbuatan ini bukan sahaja meningkatkan risiko masalah gigi kepada anak anda, tetapi turut mendedahkan anak anda kepada masalah jangkitan telinga dan tersedak? Jadi sebaiknya, elakkan daripada mengamalkan tabiat ini. Mencegah itu adalah lebih baik, bukan?
3. Bukan pengganti puting
Terdapat sesetengah ibu bapa yang memilih untuk memberikan anak mereka menghisap botol susu bagi menggantikan penggunaan puting, kerana menyangka ia adalah lebih baik berbanding puting. Tetapi hakikatnya, tidak sama sekali. Jangan pernah menggunakan botol susu sebagai pengganti kepada puting bagi penggunaan tempoh waktu yang panjang. Sekiranya anak anda masih mahukan botol susu, sebaiknya isi botol dengan air kosong sahaja.
4. Cawan biasa
Sebolehnya, apabila anak anda mencapai usia seawal setahun, cuba untuk melatihnya minum menggunakan cawan minum yang biasa. Mengajar anak untuk minum dengan cawan biasa dapat mengelakkan kecenderungan cecair daripada terkumpul di sekitar gigi. Paling utama, cawan tidak boleh diminum sambil tidur.
5. Air kosong
Sekiranya anak anda sudah terbiasa dengan tabiat untuk menghisap botol susu untuk tempoh yang panjang, terutamanya ketika waktu hendak tidur atau dalam perjalanan jauh di dalam kereta, pastikan anda hanya mengisinya dengan air kosong. Elakkan daripada memberikan air manis mahupun susu.
Cegah Anak Alami Gigi Berlubang – makanan manis 6. Hadkan makanan manis
Siapa yang tidak gemarkan makanan manis? Sama ada individu dewasa mahupun kanak-kanak, pasti akan tidak menolak makanan manis, bukan? Namun, sebaiknya anda hadkan jumlah pengambilan makanan manis untuk dimakan oleh anak anda, seperti gula-gula, biskut, kerepek kentang dan segala makanan yang tinggi kandungan gula. Ini adalah antara jenis makanan yang tidak baik untuk anak anda terutamanya jika dimakan dalam kuantiti yang banyak. Sebagai ibu bapa anda perlu bertegas dalam hal ini.
7. Jus buah-buahan
Jus segar yang diperah daripada buah-buahan sememangnya baik. Tetapi American Academy of Pediatrics (AAP) tidak mengesyorkan pemberian jus kepada bayi di bawah usia 6 bulan. Manakala jika ingin memberikan jus bagi anak anda yang berusia di antara usia 6 hingga 12 bulan, pastikan ia dihadkan kepada 4 auns sehari dan perlu dicampurkan dengan air, dengan kiraan separuh air dan separuh jus. Untuk kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun pula, pemberian jus perlu dihadkan dalam jumlah 4 hingga 6 auns sehari.
8. Hindari produk pemutihan
Terdapat kajian yang mengkaji mengenai kesan penggunaan produk pemutihan kepada kanak-kanak. Tetapi apa yang pasti, penggunaannya produk seperti itu cenderung menyebabkan gigi anak anda menjadi nipis dan mendatangkan kesan tindak balas yang berbeza berbanding kesannya kepada enamel gigi kekal. Sebaiknya elakkan sebarang produk pemutihan bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
9. Rawatan berkala
Sebaiknya biasakan anak anda untuk berjumpa dengan doktor gigi. Ia boleh dimulakan seawal ketika anak anda berusia 12 bulan.
Langkah penjagaan
Masalah berkaitan gigi seperti gigi berlubang mahupun gigi reput boleh dicegah daripada berlaku kepada anak-anak anda. Cara yang paling penting adalah dengan memastikan langkah penjagaan yang betul diamalkan bagi mencegah sebarang kerosakan daripada berlaku. Jangan ambil mudah soal penjagaan gigi anak-anak anda. Mulakan seawal mungkin. Dengan langkah penjagaan yang betul, gigi anak anda akan dapat tumbuh dengan sihat dan baik.
Sumber: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...