Kehamilan

Kaki Bengkak Ketika Hamil, Perlu Risau Atau Tidak?

Share

Masalah kaki bengkak ketika hamil sering dialami oleh ibu mengandung, terutamanya apabila usia kandungan semakin membesar. Keadaan ini boleh menyebabkan rasa tidak selesa, lenguh dan menyukarkan pergerakan harian. Namun dalam kebanyakan situasi, ia sebenarnya merupakan perubahan normal yang berlaku sepanjang kehamilan.

Kaki yang bengkak lazimnya bermula di bahagian buku lali, kemudian merebak ke betis dan boleh naik sehingga ke paras paha. Namun, sekiranya bengkak berpanjangan atau melibatkan bahagian badan lain seperti muka dan tangan, pemeriksaan doktor amat disarankan bagi menolak kemungkinan masalah kesihatan yang lebih serius.

Mengapa Kaki Ibu Hamil Mudah Bengkak?

Menurut Dr Mardiana Kipli, Pakar Obstetrik dan Ginekologi yang dipetik melalui The Malaysian Medical Gazette, masalah kaki bengkak ketika hamil lazimnya mula berlaku apabila usia kandungan melebihi 20 minggu.

Pada peringkat ini, janin yang semakin membesar akan menekan satu salur darah utama yang dikenali sebagai inferior vena cava. Saluran ini berfungsi membawa darah dari bahagian bawah badan kembali ke jantung. Apabila tekanan berlaku, aliran darah menjadi kurang lancar dan menyebabkan darah berkumpul di bahagian kaki.

Apabila tekanan dalam salur darah meningkat, cecair badan akan keluar dari saluran darah dan terkumpul di celah tisu. Keadaan inilah yang menyebabkan kedua-dua belah kaki ibu hamil membengkak. Kebiasaannya bengkak ini tidak menyakitkan, namun saiznya boleh bertambah jika lebih banyak cecair terkumpul dalam badan.

Cara Kurangkan Bengkak Kaki Semasa Hamil

Walaupun keadaan ini dianggap normal, terdapat beberapa langkah praktikal yang boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan akibat kaki bengkak ketika hamil.

1. Minum Air Secukupnya

Pengambilan air yang mencukupi sangat penting. Ramai ibu hamil mengelakkan minum air kerana bimbang bengkak akan menjadi lebih teruk. Hakikatnya, kekurangan air boleh menyebabkan dehidrasi dan darah menjadi lebih pekat. Keadaan ini meningkatkan risiko pembekuan darah yang boleh membawa kepada masalah seperti deep vein thrombosis.

2. Tinggikan Kaki Ketika Berehat

Semasa berbaring, tinggikan kaki dengan meletakkan bantal supaya kedudukannya lebih tinggi daripada paras jantung. Tarikan graviti membantu mengurangkan pengumpulan cecair di bahagian kaki, terutamanya jika diamalkan pada waktu malam.

3. Pilih Posisi Tidur Yang Betul

Tidur mengiring ke sebelah kiri membantu mengurangkan tekanan janin ke atas salur inferior vena cava. Posisi ini seterusnya melancarkan aliran darah kembali ke jantung dan mengurangkan bengkak.

4. Kekal Aktif Dengan Pergerakan Ringan

Anggapan bahawa banyak bergerak akan menyebabkan kaki semakin bengkak adalah tidak tepat. Aktiviti ringan seperti berjalan membantu melancarkan peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku dalam salur darah.

5. Pilih Kasut Yang Selesa

Gunakan kasut yang longgar, selesa dan bertapak rata bagi mengelakkan tekanan berlebihan pada kaki. Walaupun tiada bukti kukuh bahawa rendaman kaki boleh mengurangkan bengkak, ramai ibu hamil berasa lebih lega apabila merendam kaki dalam air sejuk kerana ia membantu mengurangkan rasa lenguh.

Bila Bengkak Kaki Perlu Dirisaukan?

Bengkak kaki tidak boleh dipandang ringan sekiranya ia menjadi terlalu teruk atau melibatkan bahagian lain seperti muka, pinggang, celah jari tangan atau kawasan kemaluan. Keadaan ini mungkin menandakan masalah kesihatan serius seperti pre-eclampsia, iaitu tekanan darah tinggi semasa mengandung yang menyebabkan protein keluar melalui air kencing.

Pemeriksaan tekanan darah dan ujian air kencing di klinik kesihatan sangat penting bagi memastikan ibu dan bayi berada dalam keadaan selamat.

Sekiranya ibu hamil mengalami simptom seperti sakit kepala yang teruk, pedih di bahagian ulu hati, penglihatan kabur atau muntah berlebihan, rawatan doktor perlu didapatkan dengan segera.

Kehamilan adalah fasa istimewa yang memerlukan perhatian terhadap setiap perubahan tubuh. Dengan pemantauan rapi serta penjagaan yang betul, masalah kaki bengkak ketika hamil kebiasaannya dapat dikawal dengan selamat tanpa menjejaskan kesihatan ibu dan bayi.

Published by
SRM