Keibubapaan

Kalau Dulu Hanya Ayat-Ayat Lazim, Kini Ziyyad Dah Hafal 4 Juzuk Al Quran Pada Usia 4 Tahun, Hebatnya!

Share

Anugerah dari Allah buat anak kecil ini sememangnya cukup luar biasa. Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, anak kecil yang tular dimedia sosial kerana kehebatannya mampu menghafal surah-surah lazim pada usia 2 tahun ini seorang anak yang cukup istimewa.

Ziyyad sememangnya anak yang cukup istimewa. Ketika diminta bapanya membuka beberapa surah pilihan, anak kecil ini dengan pantas membuka helaian Al Quran.

Sejak lahir lagi, Ziyyad rupanya sudah didedahkan dengan alunan Al Quran setiap masa. Malah sejak usianya 11 bulan lagi, Ziyyad telah menunjukkan minat terhadap bacaan ayat suci Al Quran dengan mengikut setiap patah-patah ayat.

Paling membanggakan, pada umur 2 tahun 8 bulan, Ziyyad menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan bila mana berjaya menghafal 42 surah, Juzz amma termasuk surah-surah pilihan seperti Al-Kahfi, Ar Rahman, Al Waqiah, Al Mulk dan surah Yasin.
Menurut ibunya, Nurul Shahida Lukman, anak sulungnya ini sememangnya sudah dididik sejak kecil untuk cintakan Al Quran.

“Ketika dalam kandungan lagi, selain amalkan surah-surah ibu mengandung seperti surah Maryam, Yusuf dan Al Luqman, saya juga sentiasa pasangkan audio Al Quran untuk diperdengarkan pada anak dalam perut. Dan begitu jugalah amalan saya selepas Ziyyad dilahirkan.

Saya selalu perdengarkan alunan Al Quran sebagai hiburannya. Sambil dia bermain pun saya pasangkan audio Al Quran. Tak kiralah di rumah atau di dalam kereta. Mungkin sudah terbiasa dengan itu menjadikan dia mudah tangkap dan menghafal setiap surah yang perdengarkan padanya,” cerita ibu ini lagi.

Hafal 4 Juzz Al Quran
Sehingga kini anak hebat ini sudahpun berjaya menghafal beberapa juzuz Al Quran walaupun baru menjangkau usia 4 tahun. Satu pencapaian yang sungguh luar biasa.

“Alhamdulillah, sekarang Ziyyad telah pun berjaya menghafal 4 juzz Al Quran iaitu juzz 30, juzz 29, juzz 21 dan juga juzz 16. Dan kini dia sedang menghafal juzz ke 21 pula,” katanya yang merupakan seorang perunding perkahwinan, Hilman Wedding di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Bukan itu sahaja, malah anak kecil ini pernah memperlihatkan pencapaian yang paling memberangsangkan bila mana mampu menghafal 10 surah pilihan dalam masa tak sampai sebulan. Antara surah yang dihafal anak kecil ini dalam tempoh sesingkat itu adalah surah Al Fatihah, Surah Yasin, As Sajdah, Al Mulk, Ar Rahman, Al Waqiah, Al Munafiqun, Al Jumuah, Nuh dan juga surah Al Insan.

Pasang, Tulis Dan Bacakan Bersama-Sama
Bagi ibu dan ayahnya, melihat bakat dan anugerah Ziyyad pastinya merasa cukup bangga. Rupanya ibu dan ayah Ziyyad tidak hanya mendidiknya secara semulajadi sebaliknya menyemarakkan ayat-ayat suci Allah ini dalam segenap hidupnya.

“Teknik paling berkesan bagi kami ialah dengan memperdengarkan audio Al Quran buatnya setiap hari. Dalam kereta pun kami beli CD Al Quran sahaja. Kami tak pernah buka lagu-lagu lain selain Al Quran. Teknik ini sangat berkesan kerana sambil santai-santai naik kereta, Ziyyad boleh dengar Al Quran. Kami juga gantikan hiburannya dengan Al Quran dan dia cukup enjoy bila dengar Al Quran.

Malah untuk pastikan Ziyyad sentiasa boleh menghafal, setiap kali selepas solat kami akan bacakan bersama-sama dengannya. Biasanya kami pilih surah-surah yang dia pernah dengar atau sedang hafal, buka Al quran dan minta dia tunjukkan ayat demi ayat. Bukan itu sahaja malah kalau pasang Al Quran, kami biasanya akan baca kuat-kuat supaya merangsang Ziyyad untuk ikut sekali,” begitu katanya.

Bukan itu sahaja, malah pasangan suami isteri ini juga turut menggunakan kaedah menulis untuk merangsang anak kecil mereka ini.

“Kami juga mengetengahkan teknik menulis ayat pada whiteboard. Pilih satu surah, tulis satu ayat dan bagi Ziyyad baca. Seterusnya tulis lagi ayat yang kedua sehingga habis satu surah. Kami juga gunakan marker whiteboard berwarna-warni supaya menarik minatnya.

Paling utama kami tak pernah paksa Ziyyad untuk baca Al Quran. Apa yang kami buat setiap hari adalah menarik minatnya untuk membaca. Saya dan suami belikan Al Quran cantik supaya Ziyyad suka baca dan bagi peluang Ziyyad baca quran dengan pelbagai gaya. Tak perlu terlalu formal, kami biarkan sahaja dia bermain sambil menghafal. Sambil memanjat pun boleh jadi satu tarikan bagi Ziyyad,” katanya.

Sudah Boleh Membaca
Bukan itu sahaja malah anak kecil yang turut gemar bermain puzzle dan memanjat ini juga rupanya sudah pandai membaca. Malah anak yang suka mencuba benda baru ini merupakan anak yang cukup disiplin dan pembersih orangnya.

Ziyyad sangat teliti dan pembersih. Jika ada sisa makanan yang jatuh dia akan terus lap.
Dia juga tidak pernah jemu belajar. Walaupun penat balik dari sekolah, dia tetap suka buat aktiviti menulis dan membaca. Bibirnya sentiasa cair dengan Al Quran atau zikir setiap masa seolah-olah sedang menyanyi. Mungkin itulah hiburan yang paling menyeronokkan bagi Ziyyad.

“Ziyyad boleh baca sejak umurnya 2 tahun 3 bulan. Kaedah yang kami ajar iaitu kaedah pandang sebut dan menggunakan pelbagai jenis permainan berbentuk ‘education toys’. Contoh bentuk-bentuk huruf dan bentuk nombor.

Baik saya atau suami, kami sentiasa baca buku bersama-samanya dan tunjuk satu persatu perkataan dalam buku tersebut. Tak kira buku jenis apa sekali pun. Dari kecil sampai sekarang Ziyyad banyak menghabiskan masanya dengan menulis pada papan putih. Kira menulis sambil membaca. Dua dalam satu.

Hampir setiap minggu akan ada buku baru kami belikan untuk Ziyyad. Tak kira buku bacaan atau buku aktiviti menulis, itulah mainan kegemarannya.

Harapan kami agar Ziyyad dapat menjadi hafiz kelak dan menjadi pewaris kepada ilmuwan-ilmuwan islam di masa akan datang. Yang paling penting menjadi seorang yang dapat menyumbang kepada agama Islam suatu hari nanti. Diharapkan akan terus kekalkan kecintaannya terhadap alquran sampai bila-bila. Insyaallah.

IKLAN