Perceraian tidak perlu jadi penyebab kepada kurangnya hak anak. Biarpun tidak lagi bersama sebagai suami isteri dan meneruskan perkahwinannya, usahawan dan selebriti, Noor Nabila Mohd Noor dan bekas suami, pelakon Sharnaaz Ahmad tidak berseteru dalam hal penjagaan anak tunggal mereka, Jebat Jayden.
Jebat perlu menerima haknya sebagai anak untuk disayangi dan merasai kasih sayang dari kedua ibu dan bapanya. Begitu tegas Nabila. Satu keputusan yang cukup hebat. Mengenepikan emosi dan perasaan sendiri demi anak. Itu sebaiknya yang perlu dicontohi oleh pasangan bercerai lain.
Malah kakak kepada pengacara dan pelakon popular, Neelofa ini mempunyai pandangannya yang tersendiri. Malah Jebat yang berusia dua tahun pada Ogos ini menjadi keutamaannya dan Shanaaz.
“Bila sudah berpisah, anak menjadi keutamaan. Semuanya berkenaan dengan anak, bukan sebab diri sendiri.
“Anak merupakan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan. Sebagai ibu bapa, kita harus memberikan hak dia sebagai seorang anak.
Ads
“Hak anak kena ada kasih sayang daripada ibu dan bapa. Jadi, kedua-duanya harus bekerjasama biarpun tidak lagi mempunyai persefahaman dalam perkahwinan. Kalau kita menidakkan hak anak, kita berdosa,” katanya.
Itulah yang sebaiknya dilakukan malah kata Nabila lagi, isu perebutan anak seharusnya tidak perlu timbul jika ibu dan bapa tahu akan hak anak mereka.
Selesa hidup sendiri
Ads
Tambah Nabila yang kini selesa menjalani hidup sebagai ibu tunggal, dia banyak belajar dari episod perceraian yang dilalui sebelum ini.
“Apa yang saya belajar ialah perkahwinan memerlukan dua orang yang mahu ikatan itu kekal.
“Usaha itu datang daripada dua belah pihak, suami dan isteri. Jika satu pihak sahaja, ia tidak okay,” katanya lagi.
Ads
Nabila dan Sharnaaz sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Perpisahan bukan penghalang Jebat merasai kasih sayang dari kedua ibu bapanya. Malah baik Nabila, Shanaaz juga sentiasa melapangkan masa buat permata hati mereka ini. Seronok melihat kedua-dua saling berusaha memberikan yang terbaik buat Jebat. Inspirasi untuk semua.
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu negara pernah dikejutkan dengan satu tragedi hitam yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), apabila sebuah bas yang membawa pelajar-pelajar tersebut terbalik dalam satu kejadian menyayat hati pada awal Jun 2025.
Insiden itu bukan sahaja mengundang tangisan seluruh rakyat Malaysia, malah meninggalkan luka yang dalam buat keluarga dan sahabat handai mangsa yang terkorban.
Antara yang menjadi korban dalam tragedi itu ialah Muhammad Adib Hazim bin Halim, pelajar jurusan Pengurusan Pendidikan. Seorang anak muda yang disenangi ramai, pemalu tapi penyayang, pendengar setia dan sahabat sejati. Kehilangannya diratapi ramai, namun lebih perit buat mereka yang pernah berkongsi hidup seharian bersamanya.
Terbaru, kisah meruntun jiwa yang diceritakan oleh Muhd Zamani bin Ispaini, sahabat rapat arwah Adib Hazim yang dizahirkan menerusi coretan di facebook milik Muhammad Syazwan yang menzahirkan rindu yang sukar diluahkan dengan kata-kata.
Setiap gambar yang disertakan bersama catatan itu, benar-benar menggamit sebak, dan menjadi bukti betapa dalamnya erti persahabatan yang mereka bina. Sakit untuk dikenang, tapi itulah hakikat kehilangan yang tak mampu ditawar semula. Rindu untuk yang pergi, benar-benar perit untuk dirasa.
Ikuti coretan penuh menusuk jiwa buat sahabat yang telah pergi tidak akan kembali lagi.
Kali pertama kami berkenalan… cuma di satu program. Satu senyuman, satu tegur sapa. Tak sangka… dari situ, hidup aku berubah. Kami tukar nombor, janji nak join program sama-sama. Tapi siapa sangka, lepas tu… dia jadi bahagian paling indah dalam hidup aku. Hari-hari di UPSI… makan sama-sama, pergi cafe, pergi kelas, jogging petang, lepak malam, semua kami buat berdua. Macam bayang. Kalau aku pergi mana-mana, mesti dia ada. Kalau dia hilang dari pandangan, rasa tak lengkap.
Adib Hazim… sahabat yang paling penyayang aku pernah jumpa. Pemalu sikit, tapi bila dah rapat, dia simpan semua rahsia aku. Dia pendengar setia, peneman terbaik. Kalau aku ada masalah, dia orang pertama yang hulur tangan. Dia selalu kata, “Kalau tak boleh tanggung sendiri, kita tanggung sama-sama.”
Kami pernah tengok cerita hantu kat KL, dia takut, tapi nak jugak tengok sebab aku nak. Tengah malam pun pernah ajak teman ke mesin ATM sebab takut jalan sorang. Aku senyum bila ingat, tapi sekarang… senyuman tu pedih.
Lima hari sebelum kejadian, kami balik sama-sama. Dia peluk aku. Kami sempat minta maaf. Dia kata, “Jumpa naik raya haji nanti…”
Tapi rupanya… itu pelukan terakhir. Itu “jumpa lagi” yang takkan pernah jadi.
Pagi kejadian… aku bangun tidur, dengar berita, bas terbalik. Aku terus cari nama dia… mesej dia, tunggu balasan. Tak ada. Aku tunggu… tunggu dekat katil dia, harap dia masuk bilik, senyum macam biasa. Tapi makin lama… makin sunyi. Aku dapat nombor umi dia. Aku call.
Dan saat tu… dunia aku runtuh. Dia sah dah pergi. Pergi selamanya. Aku jerit. Aku menangis. Aku doa, semoga semua ni mimpi. Tapi… hakikatnya, aku dah kehilangan sahabat yang aku sayang macam saudara sendiri.
Lepas dia tiada, jalan kat UPSI rasa kosong. Aku makan sorang. Jogging sorang. Semua tempat yang dulu ada dia, sekarang tinggal bayang. Lagu Naim Daniel… barang yang dia pernah bagi… semuanya buat aku rasa dia masih dekat, tapi tak boleh aku peluk lagi. Aku rindu nak lepak KL sama-sama. Rindu nak gelak depan wayang. Rindu nak jalan tepi dia. Tapi semua tu dah takkan jadi.
Arwah ajar aku, ajal tak kenal masa. Hari ni kita gelak, esok mungkin kita dah tak sempat ucap selamat tinggal. Kehilangan dia buat aku lebih menghargai masa, lebih banyak berdoa, lebih cuba jadi manusia yang tak sia-siakan sesiapa. Kalau aku boleh cakap kali terakhir, aku cuma nak kata… “Terima kasih, Adib. Sebab jadi cahaya dalam hidup aku. Walaupun kau tak lama, tapi kau tinggal bekas yang takkan hilang sampai mati.”
Buat siapa yang masih ada sahabat, peluk mereka kuat-kuat. Hargai setiap saat. Jangan tunggu mereka pergi, baru nak menangis. Bagi aku… Adib Hazim ialah… Peneman jiwa. Saudara tak sedarah. Tempat aku bersandar bila dunia terlalu berat. Dan sekarang… Aku cuma mampu kirim doa, dalam setiap sujud aku. Rindu ini tak pernah reda, walau hari berganti minggu, dan minggu jadi bulan,
kau tetap hadir dalam ingatan setiap kali aku pejam mata. Kalau waktu boleh diputarkan, aku nak ulang hari terakhir kita berbual, aku nak peluk kau lama-lama, aku nak cakap, “Terima kasih sebab jadi sahabat terbaik aku.” Aku tak tunjuk depan orang, tapi setiap kali aku duduk sorang, nama kau yang aku sebut, dan air mata tu, tetap tumpah tanpa dipaksa.
Bukan mudah nak hadap hidup lepas kehilangan, tapi aku belajar redha… sebab aku tahu, Allah ambil kau pada waktu yang paling indah, waktu hati kau bersih dan jiwa kau suci.
Sampai masa nanti, kalau Tuhan izinkan, aku nak duduk sebelah kau lagi… bukan di sini, tapi di tempat yang kekal, di syurga. Di sana nanti, tiada lagi perpisahan, tiada lagi tangisan, hanya tawa kita berdua, di bawah naungan rahmat-Nya. Aku janji akan terus kirim pahala, dalam setiap bacaan Al-Fatihah, dalam setiap amal dan sedekah, semoga ia sampai pada kau, sebagai hadiah dari sahabat yang tak pernah lupa. AL-FATIHAH MUHAMMAD ADIB HAZIM BIN HALIM
Benarlah kata pepatah, malang tidak berbau. Sudah memandu secara berhemah tapi disebabkan kesilapan orang lain mungkin boleh menyebabkan kemalangan yang melibatkan kita juga. Sesungguhnya pengalaman berdepan dengan kemalangan sangat menakutkan dan boleh menyebabkan trauma.
Seperti yang dipetik dari portal BH Online, tentang seorang ibu bersama anaknya termasuk bayi berusia dua bulan terselamat dalam kemalangan yang meliatkan lima buah kenderaan.
Ikuti berita lanjut;
Seorang wanita bersama lima anaknya termasuk bayi berusia dua bulan, bersyukur apabila terselamat selepas terbabit dalam nahas lima kenderaan di Kilometer (KM) 46 Kampung Selamat, Sungai Tong, di sini, petang tadi.
Kerani sekolah, Azima Chik, 38, dalam perjalanan selepas menghantar anak sulungnya pulang ke asrama di Sekolah Menengah Sains Setiu.
“Saya bersama lima anak dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sura Tengah, Dungun.
“Masa tiba di lokasi kejadian, saya nampak sebuah lori dari arah depan terbabas dan masuk ke laluan kami.
“Saya cuba mengelak tetapi terlanggar Perodua Axia di depan.
“Memang cemas dan saya cuma fikirkan anak-anak, mujurlah anak saya yang berusia 12 tahun memegang adiknya berusia dua bulan dan tidak tercampak,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.
Azima yang memandu Toyota Wish, berkata suaminya, Mohd Hanapi Ali, 46, tidak bersama kerana kurang sihat.
Peniaga kedai makan, Mazlan Abdul Ghani, 56, berada di rumah kedainya berhampiran lokasi kejadian sebelum mendengar dentuman.
“Saya keluar dan nampak beberapa kenderaan terbabit kemalangan tak jauh dari kedai.
“Kereta Proton Exora nampak paling teruk dan saya cuba membantu tetapi tidak dapat berbuat apa-apa, hanya menunggu pihak bomba datang mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya yang ditemui di sini, hari ini.
Mazlan berkata, ketika itu pemandu kereta Exora berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia tetapi isterinya masih bernyawa dan meminta pertolongan.
“Apabila pihak bomba tiba, pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia manakala anak mereka cedera parah dan dibawa ke hospital,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Faizul Azman Awang, 43, dan isterinya, Habsah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Kemalangan turut menyebabkan anak mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, cedera parah di muka.
Sama-sama doakan agar keluarga yang kehilangan insan tersayang tabah menghadapi ujian berat ini manakala untuk mereka yang tercedera disebabkan kemalangan tersebut akan segera sembuh.
Benar virus yang melanda kita ini bukanlah satu hal yang boleh dibuat main-main. Malah kini hospital penuh sesak dengan pesakit Covid-19 yang sudah terlalu padat dengan jumlah pesakit yang ramai. Pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam turut berdepan hal yang sama bila mana gagal mendapatkan rawatan buat suaminya, Datuk Norazam Sulaiman yang secara tiba-tiba sesak nafas semalam.
Gagal menahan air mata ketika live di Instagramnya semalam, ibu kepada sembilan orang cahaya mata ini berkongsi cerita detik mencemaskan dan pengalaman yang dilalui kini.
Kata Rebecca, keadaan suaminya kini sudah pun berada di Stage 4 namun dia bersyukur enam orang anak-anaknya dan dirinya sendiri berada dalam keadaan baik dan stabil.
“Apa yang paling menyedihkan adalah ketika menghubungi lebih 20 hospital ibu kota dan Selangor tiada satu pun mahu menerima suami saya yang memerlukan bantuan oksigen dengan segera susulan kepadatan pesakit positif Covid-19.
“Saya terpaksa tinggalkan kesemua anak-anak yang positif Covid-19 buat sementara waktu kerana perlu menemani suami yang dalam keadaan kritikal semalam. Sebaik tiba di sebuah hospital swasta, kami diberitahu perlu menunggu giliran kerana jumlah pesakit yang ramai dan padat.
“Percaya atau tidak, saya dan suami perlu menunggu hampir dua jam di tepi jalan di dalam ambulans. Saya juga akui ada satu kedegilan apabila seboleh mungkin tidak mahu membawa suami ke hospital kerajaan atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang kerana saya amat takut jika keadaan suami akan bertambah teruk selepas melihatkan situasi di hospital swasta yang cukup menakutkan.
“Sementara menunggu giliran untuk suami saya menerima rawatan di hospital itu, saya teringat ada sahabat memberitahu terdapat hotel di ibu negara yang menjadi Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian klinik swasta.
Jadi saya terus membawa suami untuk mendapat alat bantuan oksigen kerana keadaannya sangat kritikal. Alhamdulillah, suami saya akhirnya menerima bantuan oksigen namun doktor memaklumkan dia kini berada di tahap 4 Covid-19,” katanya.
Suami menangis depan mata
Kata Rebecca ia adalah ujian yang cukup berat baginya sekeluarga. Sayu hati bila mana terpaksa berpisah dengan suami untuk seketika namun dia terpaksa sementelah anak-anak juga memerlukan perhatian daripadanya.
Menurut Rebecca, suaminya kini menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di sini selepas menerima panggilan sekitar jam 10.30 malam, semalam.
“Ketika mendapat panggilan telefon pusat perubatan di sini yang memaklumkan seorang pesakit Covid-19 dibenarkan pulang selepas keadaanya stabil, saya terus membawa suami ke hospital berkenaan.
“Ketika berada di wad kecemasan hospital terbabit, saya sangat sedih apabila melihat suami saya buat pertama kali menangis di depan saya. Dia beritahu dia tak sanggup dan minta jangan tinggalkannya.
“Berkali-kali dia cakap yang dia takut dan mohon saya berada di sampingnya. Namun saya diberitahu yang saya tidak boleh menemani suami di hospital kerana dia akan ditempatkan di wad yang lebih ketat kerana keadaannya yang sudah berada di tahap 4 ke 5.
“Selepas selesaikan urusan suami, saya tiba di rumah sekitar 5 pagi tadi. Alhamdulillah setakat hari ini anak-anak semua tidak demam cuma dua pembantu saya kini perlu dibawa ke hospital,” katanya berkongsi.
Mohon Total lockdown demi kehilangan insan tersayang
Tambah Rebecca, selepas menjalani ujian saringan Covid-19 dia mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin di rumah berbanding ke pusat kuarantin susulan jumlah pesakit Covid-19 yang semakin ramai dan keadaan pusat kuarantin yang padat.
“Selepas saya, suami, kesemua anak-anak dan pembantu rumah disahkan positif Covid-19, kami bersepakat untuk menjalani kuarantin di rumah. Saya agak takut untuk membawa anak-anak dan pembantu ke pusat kuarantin kerana setahu saya keadaan di sana sangat padat.
“Justeru saya mohon kepada kerajaan untuk rasalah apa yang rakyat hadapi sekarang. ‘Total lockdown’ kena dilaksanakan. Sesungguhnya penyakit ini sangat bahaya dan jahat. Kalau tidak semakin ramai yang akan mati, jatuh sakit serta kehilangan insan tersayang,” katanya.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)