Tahniah diucapkan buat Siti Sairah, adik kepada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza yang selamat menimang cahaya mata kelimanya semalam.
Menerusi Instagramnya, Sairah berkongsi perkhabaran gembira itu kepada semua pengikutnya.
Menurut Sairah, biarpun terpaksa melahirkan bayi kelimanya itu menerusi pembedahan namun dia bersyukur kerana proses kelahirannya lancar dan dipermudahkan Allah SWT.
“Alhamdulillah, saya telah melahirkan anak pada tanggal 8.8.2023.
Ads
“Syukur ku ya allah semuanya dipermudahkan. Sepanjang tempoh mengandungkan anak kecil ini ada dugaan dan cabaran tapi Alhamdulillah Allah menyempurnakan semuanya,” kongsinya.
Sairah yang melalui pengalaman empat kali melahirkan anak secara normal kini akur melahirkan bayi kelimanya melalui kaedah pembedahan.
“Pengalaman pertama buat saya melahirkan anak secara pembedahan. Saya usaha juga untuk melahirkan secara normal tapi kali ini adik baby nak ikut tingkap pulak. Rezeki hero walid dan ibu.
Ads
Sairah yang menyambut kelahiran bayi lelaki ini juga turut berterima kasih kepada doktor dan semua yang mendoakannya.
“Buat semua terima kasih atas doa kalian, hanya Allah swt dapat membalas setiap doa yang indah buat anda semua.
“Terima kasih @msumcmalaysia memberi layanan yang sgt² bagus dan terbaik. Terima kasih yg tak terhingga buat doktor @noornezaabdulrahman (Obstetrician) Dr Fadzlon (Anaesthetist) Dr Syed (Pediatrician) & team,” luahnya.
Terdahulu, Sairah dan suami, Mohd Sharidan Johari, 35, mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Siti Nurkhalishah Alisha. Menerusi perkahwinan pertama, Sairah dikurniakan tiga anak iaitu Ummi Umairah, Ahmad Daiyan dan Ahmad Aisy.
Mengepam susu adalah cara untuk memastikan si manja tetap akan mendapat susu ibu walaupun tidak berada bersama si ibu. Tetapi adakah ibu-ibu sekalian tahu cara penyimpanan susu yang betul?
Kita selalu menganggap ia adalah satu perkara mudah untuk menyimpan susu ibu yang sudah dipam. Walau bagaimanapun, tanpa sedar, terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan oleh ibu mengenai cara simpanan susu.
Kesilapan ini secara tidak langsung sebenarnya boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi. Jadi jom kita semak apakah kesilapan yang sering dilakukan.
Bekas tercemar
Susu badan dapat membantu meningkatkan sistem pertahanan badan bayi daripada bakteria berbahaya. Tetapi keadaan akan menjadi sebaliknya jika bekas simpanan susu yang digunakan sudah tercemar. Bekas mengepam susu juga harus dipastikan bersih, ya?
Penggunaan botol susu plastik atau kaca harus dicuci dan dikeringkan dengan sebaiknya. Ini kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan bakteria. Cuci menggunakan air suam dan lap bekas dengan kain bersih.
Kiub ais
Mungkin ada di antara ibu sekalian memilih untuk membuatkan kiub ais susu sebagai cara mudah untuk menyimpan susu. Tetapi mungkin selepas ini anda patut hentikan kaedah penyimpanan ini, kerana ia berisiko untuk dicemari bakteria memandangkan ia adalah bekas terbuka.
Jika masih ingin menggunakan kaedah kiub ais, disarankan untuk menggunakan bekas tertutup. Ia adalah cara yang lebih selamat.
Bekas plastik
Bukan semua bekas atau beg plastik sesuai untuk digunakan sebagai bekas penyimpanan susu. Anda perlu menggunakan bekas plastik yang bebas bahan kimia. Anda dinasihatkan untuk memilih bekas dengan label “BPA-Free”. Ini kerana ia adalah lebih selamat untuk si manja anda.
Dalam masa yang sama, pastikan bekas plastik yang digunakan tidak koyak atau bocor. Jika tidak, sudah tentu bakteria berkembang dan membiak di dalam bekas plastik tersebut. Sentiasa memeriksa bekas plastik yang digunakan, okay?
Terlalu lama
Bagi ibu yang ‘meriah’ susu badannya sudah tentu akan memilih untuk menyimpan stok susu dalam peti ais beku. Malahan ada ibu yang menyediakan deep freezer semata-mata untuk menempatkan susu yang dipam.
Ia adalah ikhtiar yang harus mendapat pujian. Walau bagaimanapun, penyimpanan susu untuk tempoh yang terlalu lama adalah tidak bagus. Ini kerana badan ibu menghasilkan susu yang bersesuaian dengan keadaan semasa bayi.
Tempoh penyimpanan yang terbaik di dalam peti sejuk beku, di bawah suhu -18℃ adalah dari tempoh enam, adalah tempoh yang terbaik dan sehingga 12 bulan, tempoh yang masih boleh diterima untuk penyimpanan susu. Tetapi jika disimpan dalam peti sejuk biasa, ia hanya boleh bertahan sehingga empat hari sahaja, okay?
Kandungan nutrien dalam susu ibu adalah untuk memenuhi keperluan khasiat bayi pada ketika itu, jadi sebaiknya berikan susu tersebut secepat mungkin.
Berhampiran makanan mentah
Tempat di mana anda menyimpan susu juga perlu dititikberatkan. Ini kerana jika susu disimpan di tempat yang sama dengan bahan makanan lain seperti daging atau ikan mentah, ia akan meningkatkan risiko untuk bakteria berpindah dari makanan ke susu yang disimpan.
Jika boleh, sebaik-baiknya, asingkan ruang penyimpanan makanan barangan dapur dengan susu ibu. Selain itu, anda amatlah dinasihatkan untuk tidak meletakkan susu yang ingin disimpan pada bahagian pintu peti sejuk. Ini adalah untuk membantu melindungi susu daripada perubahan suhu ketika membuka dan menutup pintu peti ais.
Simpan semula
Pasti rasa sayang untuk membuang susu yang tidak digunakan. Tetapi jika susu tersebut sudah dikeluarkan daripada peti beku, anda dinasihatkan untuk tidak menyimpan semula walaupun ia tidak digunakan.
Maksudnya di sini, jika susu disimpan beku dan didedahkan kepada suhu biasa, jangan masukkan kembali untuk pembekuan semula, jika susu yang beku telah cair sepenuhnya. Sebaiknya ia digunakan dalam tempoh masa dua jam selepas proses pencairan.
Ia hanya boleh digunakan untuk susu ibu yang beku tetapi terdedah. Jangan sekali-kali menyegarkannya dan mesti menggunakannya dalam masa 2 jam selepas pencairan ((ini bermakna dari masa ia tidak lagi beku atau dicairkan sepenuhnya, bukan dari semasa anda mengeluarkannya dari peti sejuk)
Ini kerana, selain daripada mengurangkan nilai khasiat di dalamnya, tindakan anda ini juga membuatkan susu lebih mudah dicemari bakteria. Jadi hanya keluarkan susu dalam jumlah yang diperlukan.
Secara terus
Sesungguhnya memberikan susu ibu secara terus adalah antara kaedah yang paling baik. Tetapi jika keadaan memerlukan anda menyimpan susu, pastikan anda melakukan ia dengan cara yang betul. Jangan lupa untuk memastikan tangan anda juga dalam keadaan bersih semasa mengendalikan proses mengepam dan penyimpanan susu, okay?
Kehadiran suami di dewan bersalin bukan sekadar memotong tali pusat anak sahaja. Tip yang dikongsikan bapa ini boleh dijadikan panduan kepada bapa-bapa lain.
Menghadapi saat kelahiran bayi memang ditunggu-tunggu bagi mama & papa. Tapi bila memikirkan sakit kontraksi berjam-jam lamanya serta proses meneran yang mencabar di dewan bersalin, ‘seram sejuk’ jadinya.
En Akhtar Syamir telah berkongsi pengalamanya menemani isterinya, Puan Nor Azni bersalinkan anak ketiga mereka. Ia wajar dijadikan panduan kepada bapa-bapa lain. Jangan biarkan isteri bertarung nyawa di dewan bersalin seorang diri! Berikut ialah perkongsian beliau;
Apa sebenarnya yang berlaku di dalam dewan bersalin dan peranan suami.
“Suami kepada Cik Nora Azni, sila daftar dan masuk labour room”.
Ayat yang dah 3 hari saya tunggu akhirnya kedengaran. Ini kali ketiga dalam hidup, saya akan menghadapi situasi ini.
Kononnya sudah biasa, dalam hati membayangkan nak tenang – tenang je masuk labour room.
Tapi, baru sampai kat pengawal yang jaga dewan bersalin, saya dah terkial – kial nak isi buku pelawat. Tiba – tiba jadi tak reti nak isi ruangan nama, nombor kad pengenalan dan lain – lain. Pengawal tu pun dah pandang semacam je.
#1: LUANGKAN MASA
Masuk pintu pertama, saya disambut dengan almari baju putih ala – ala baju doktor. Hampir terlupa bab kena pakai baju nie. Baju disarung dengan peluh sejuk yang mula keluar di dahi. “Ko nie dah kenape? Kawal diri tu sikit”, kata saya kepada diri sendiri. Entah kenapa masa ni ada 2 karakter pulak. Haha.. Baju putih yang ketat di ketiak terus saya sarung sambil menuju ke labour room.
Setelah mendapat kebenaran jururawat, saya masuk dan disambut dengan senyuman si isteri. Belum sakit lagi barangkali. Mesti dia lega saya ada.
#2: MENEMANI ISTERI DI DEWAN BERSALIN
“Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan sayang”, kata isteriku sambil tersenyum manis. 3 kali dah saya di sini. 3 kali juga isteri saya bakal merasakan kesakitan yang amat sangat. Rasa bersalah ada, rasa kesian pun ada.
Tangan dia sentiasa saya usap. Dia meminta kebenaran untuk tanggalkan tudung. Tadi nampak jugak 2 orang Doktor pelatih lelaki. Awal – awal masuk tadi kami dah pesan dengan nurse yang kami nak Doktor perempuan sahaja. “Boleh, jangan bimbang” katanya.
Kami ditemani dengan bunyi degupan jantung baby dari salah satu alat di dalam dewan bersalin ni. Alhamdulillah aktif bunyinya. Mungkin baby pun tengah bersedia untuk keluar.
“Puan nak makan ubat tahan sakit tak?”, soal seorang nurse yang baru sahaja masuk. Kami pun macam terpinga – pinga sebab bersalin sebelum ni memang tak pernah ada orang tawarkan ubat tahan sakit. Rupanya disebabkan jantung baby ok dan bukaan baru 4cm. Dia tawarkan ubat tu sebab kemungkinan lama lagi tunggu dan nanti bila dah mula sakit, tak boleh dah ambil ubat tu.
#3: MENGURUT & SOKONGAN SEMASA KONTRAKSI
Sambil berbual – bual, saya urut – urut badan dan usap kepala isteri untuk beri dia selesa. Sedar – sedar dia dah tidur. Ubat dah berkesan la tu.
Aduhhhh.. Sakitnya tangan kena cengkam. Rupanya “contraction” isteri dah mula. Saya pun mula rekod masa dan jarak masa bila ianya terjadi. Makin lama makin kerap. Makin lama makin panjang. Makin lama nampak makin sakit.
#4: DATANGKAN KEINSAFAN KEPADA DIRI
Masa inilah. Memang masa inilah. Kalau tidak datang keinsafan dalam diri, memang hati tu dah mati. Di depan saya, orang yang paling saya cintai sedang mengalami kesakitan yang amat sangat tanpa saya boleh buat apa – apa pun. Sakitnya sehingga air mata dia mengalir. Bila “contraction” itu berhenti, baru dia lega. Besar sungguh pengorbanan isteri. Fikir saya dalam hati.
#5: PEKA DENGAN TAHAP KESAKITAN ISTERI
Alat sedut gas tu dah macam takde kesan. Kesakitan dah terlalu kuat. Saya panggilkan nurse untuk periksa. Masuk seorang Doktor pelatih perempuan untuk periksa laluan. Baru 5cm katenye. Tapi gayanya macam nak bersalin dah. Lepas Doktor pelatih tu keluar, kebetulan ada nurse lain masuk. Saya pujuk nurse tu supaya periksa balik.
“Eh, dah boleh dah ni. 8cm dah tapi kalau pandai teran boleh je, anak ketiga dah kan?”. Datang seorang lagi nurse. Tapi tiba – tiba masuk dua orang Doktor Pelatih lelaki tadi. Saya terus mintak maaf dan maklumkan yang kami nak perempuan sahaja. Mereka berdua pun faham dan meninggalkan kami berempat dalam tu.
#6: INGATKAN ISTERI 6 STRATEGI SEMASA PROSES MENERAN
Selepas itu saya dan isteri terus fokus. Sebelum ini kami dah rancang strategi teran yang berkesan. Ini semua hasil daripada apa yang kami lalui semasa anak pertama dan kedua. Antara strategi kami :-
1.Jangan angkat punggung. Nanti akan terkoyak.
2.Jangan teran selagi tak dibenarkan nurse. Buang masa dan tenaga.
3.Jangan teran sikit – sikit. Rugi sebab baby akan masuk balik dan keluar sikit je.
4.Teran dengan kuat dan panjang. Biar kurang bilangan teran tapi sepenuh tenaga dan lama – lama. Ini bakal bagi baby keluar dengan cepat dan tanpa sangkut – sangkut.
5.Jangan benarkan nurse buat episiotomi (potong untuk bukaan lebih luas). Saya kena main peranan tegah nurse kalau dia nak potong. Sebab kami yakin kami boleh buat.
6.Set masa bila nak buat “final push”. Masa ni ialah masa untuk teran habis – habisan. Saya akan bagitau dia masanya dah sampai bila kepala baby dah keluar.
Dan seperti yang dirancang, situasi yang sama berlaku. Tapi kali ni nurse dah pegang gunting dan nak potong. Saya tanya “nak potong apa? Jangan !”. Rupanya nurse cakap nak potong tali pusat sebab takut terbelit. Sebab masa kepala dah nak keluar tu, tali pusat dekat sangat dengan kepala baby.
#7: TARIK NAFAS DALAM SAMA-SAMA
Bila potong je, terus kepala baby senang nak keluar. Saya pun bagitau kat isteri yang inilah masanya. Dia tarik nafas dalam – dalam dan bersama dengan saya, kami sama – sama keluar suara untuk meneran sepanjang yang boleh.
Nurse pada masa itu sentiasa bagi dorongan positif seperti bagus, pandai dan sikit lagi. Saya pulak berada dekat dengan muka isteri. Hanya dia dan saya je dalam dunia kami sendiri, dia tak dengar dah nurse cakap ke atau bunyi lain. Dia teran, saya pun teran. Ini nampak macam takde ape – ape, tapi sebenarnya amat membantu isteri.
#8: UCAP TERIMA KASIH & PELUK ISTERI
Alhamdulillah, dengan hanya 3 kali teran, Daisy Medina dilahirkan. Saya terus peluk isteri saya dan ucapkan terima kasih dan I love you berkali – kali. Ini juga kali pertama saya tak boleh control tangisan saya. Habis basah pipi dia dengan air mata saya. Syukur sangat segalanya selesai dengan selamat.
#9: BANTU ISTERI
Cuma kali ni lepas bersalin, isteri muntah – muntah. Bila ditanya, rupanya ianya kesan dari ubat tahan sakit. Setelah beberapa ketika menemani dan mengelap muntah isteri dan keadaan sudah tenang, saya diminta tunggu di wad.
Perjalanan dari labour room sehingga ke tempat menunggu bagaikan sedang berjalan di dalam taman warna warni. Berbunga – bunga hati saya. Saya rasa masa tu juga kalau diukur, kedalaman lesung pipit adalah yang paling dalam dalam sejarah hidup saya. Hehehe..
PAPA JANGAN LUPA 6 PERANAN INI BILA DI DEWAN BERSALIN
Jadi, kesimpulannya di sini. Betapa pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin.
BERIKAN SOKONGAN SERAPAT MUNGKIN
Buat yang tidak mampu untuk berada bersama isteri kerana tidak tahan dengan darah, janganlah bersedih. Ini adalah perkara yang di luar kawalan. Berilah sokongan serapat yang boleh.
Buat suami yang tidak dapat bersama isteri kerana bekerja, bertabahlah. Ini ujian buat suami dan isteri. Diharap dengan penulisan ini juga dapat anda faham betapa sakitnya isteri dan betapa isteri memerlukan suaminya pada saat itu. Cubalah sebaik mungkin untuk berada bersama. Rancanglah sehabis baik. In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan.
Walaupun dijangka akan bersalin pada 9 Oktober, Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Binti Mohd Sabri dikatakan telah mengalami kontraksi sejak tengah malam Isnin, dan digegaskan ke hospital untuk pengawasan.
Pada jam 5.40 petang, Elfira telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.68 kg secara normal.
Jawab teka-teki baby boy
Sementara itu, adik kepada Elfira iaitu Nurul Ezlisa Loy memuat naik paparan skrin membuat panggilan video bersama anak buahnya di insta storynya.
Ezlisa yang menulis kapsyen he is cute sekaligus menjawab teka-teki mengenai jantina bayi Elfira.
Sebelum ini Elfira dan suaminya Khairol Faris Anuar mengambil keputusan untuk merahsiakan jantina bayi dalam kandungannya kerana ingin memberi kejutan kepada keluarga kedua-dua belah pihak.
Pengumuman jantina bayi hanya akan dibuat kepada keluarga dan peminat apabila dia sudah selamat bersalin kelak.
Sepanjang mengandung pun Elfira juga bersyukur tiada alahan bukan-bukan dan boleh dikatakan proses kehamilan anak pertamanya ini dipermudahkan. Bab makanan pun tiada mengidam yang pelik-pelik dan hingga hari nak bersalin masih lagi aktif bekerja dan menghadiri beberapa majlis.
Sumber: Hot FM & Mstar Online
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jenis-jenis najis bayi boleh berubah mengikut usia, susu dan pemakanan. Ketahui warna najis yang normal, tanda bahaya serta bila ibu ayah perlu membawa bayi berjumpa doktor.