Sama ada melahirkan secara normal atau pembedahan, darah nifas adalah perkara normal buat ibu bersalin. Ia adalah (Lochia), discaj normal yang keluar daripada faraj wanita selepas bersalin yang mengandungi darah, mukus & tisu rahim.

Darah nifas boleh berlanjutan sehingga 60 hari. Secara amnya, wanita dalam pantang akan mengalami nifas dalam enam minggu selepas bersalin. Pun begitu, jika darah berlanjutan keluar selepas 60 hari, ia mungkin simptom kepada masalah kesihatan yang lain. Bagi mendapatkan penerangan lanjut tentang topik ini, Pa&Ma sempat menemuramah Dr. Wan Elly Rushima Wan Abdul Rahim, Pakar Obstetrik & Ginekologi dari Hospital UMRA, Shah Alam.

Bersalin Normal Lebih Banyak Darah Nifas

Sebenarnya sama sahaja darah nifas yang keluar tidak kira bersalin normal atau pembedahan. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita mengalami darah nifas yang lebih banyak selepas bersalin normal kerana darah akan keluar secara semulajadi berbanding wanita bersalin melalui pembedahan.

Pada minggu pertama, darah keluar dalam bentuk ketulan dan berwarna merah terang. Selepas sepuluh hari, darah nifas akan bertukar warna kepada kecoklatan. Cecair ini boleh berterusan lebih kurang enam minggu (mungkin bagi sesetengah wanita akan datang haid dalam masa terdekat), sama ada menyusu atau tidak menyusukan anak. Jika darah nifas mulai mengering dan sudah bertukar jernih dan kemudiannya didapati keluat semula darah dari faraj, terutamanya selepas 60 hari dan kemudiannya anda dapati keluar semula darah dari faraj, ia dikenali sebagai darah haid.

Pun begitu, terdapat beberapa jenis pendarahan yang membimbangkan dan harus diberi perhatian:

* Jika pendarahan berterusan dan memenuhi tuala wanita setiap jam dan perlu disalin kerap

* Setiap pendarahan disertai dengan rasa sakit yang teruk

* Ibu mengalami demam secara tiba-tiba

* Pendarahan yang banyak berterusan lebih seminggu

Warna, Bau Dan Rupa Daraf Nifas Yang Normal

Terdapat tiga jenis darah nifas:

Lochia Rubra – selepas bersalin hingga hari keempat dan kelima berwarna merah pekat, darah yang banyak dan mungkin berketul

Lochia Serosa – hari keempat hingga kesepuluh berwarna kecoklatan, merah semakin pudar, , kurang perdarahan dan lebih banyak mukus

Lochia Alba – hari 10- 42 berwarna kekuningan, tiada darah atau sedikit keputihan (discaj biasa)

Perbezaan Darah Haid Dan Nifas

NIFAS

Untuk tiga ke empat hari pertama selepas melahirkan anak, ibu akan mengalami pendarahan merah yang terang. Rupanya lebih kurang sepereti darah haid pada hari-hari pertama. Ini dikenali sebagai darah nifas. Selepas hari keempat dan kelima, darah ini akan menjadi lebih berair dan mulai kelihatan seperti warnanya merah jambu. Jika anda mengalami pendarahan yang banyak pada hari-hari pertama, itu adalah perkara normal.

Sekiranya ia berterusan dan semakin banyak atau merah terang, anda perlu berehat dan lihat sama ada ia berkurangan. Jika masih sama, segeralah berjumpa dengan doktor. Sekitar hari kelapan dan kesepuluh selepas kelahiran, aliran darah yang merah jambu tadi akan bertukar kepada pelepasan putih kuning yang banyak. Pendarahan bertompok (spotting) boleh berlaku selepas enam minggu bayi dilahirkan. Tetapi biasanya buat kebanyakan wanita, ia akan tamat lebih awal. 

HAID

Bagi sesetengah ibu, dalam tempoh enam ke lapan minggu selepas bersalin akan datang haid jika tidak menyusukan anak. Bagi ibu yang menyusukan, kedatangan haid mungkin kembali pada masa yang berbeza-beza. Sesetengah wanita mungkin tidak akan datang haid selama dia menyusukan anak, ada yang akan datang dalam tempoh beberapa bulan sama ada menyusukan ataupun tidak.

Jika haid datang awal dan ibu tersebut bersalin normal, penggunaan tampon mungkin tidak digalakkan oleh doktor kerana tubuh masih melalui fasa penyembuhan dan penggunaan tampon mungkin boleh mengundang trauma. Gunakan tuala wanita yang sesuai dengan keperluan anda dan tukarlah secara kerap. Menggunakan tuala wanita yang sama dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan jangkitan pada pundi kencing atau rahim.

Tinggalkan Komen