Perkahwinan merupakan detik yang paling bermakna buat setiap individu. Ia menandakan perubahan fasa kehidupan daripada fasa bujang/tanpa tanggungan kepada fasa hidup bersama.

Cabaran dan dugaan perlu ditempuhi bersama namun persoalan berkenaan dengan talasemia boleh ditanya sebelum berkahwin agar persiapan awal dapat dibuat. Tanpa rawatan awal, penyakit tersebut boleh mempengaruhi kesihatan dan faktor-faktor lain seperti kewangan, psikologi dan sebagainya. Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya.

Talasemia, masalah genetik

Talasemia adalah penyakit genetik berkaitan dengan darah. Ia menyebabkan pemusnahan sel darah merah akibat ralat pada gen yang tertentu dalam pembuatan sel tersebut menyebabkan masalah anemia. Sel darah merah penting bagi setiap individu kerana ia membantu menyebarkan oksigen dan nutrisi kepada sel. Di samping itu, ia juga bertanggungjawab dalam membawa bahan kumuh sel (karbon dioksida) ke paru-paru untuk dibuang.

Bergantung kepada tahap keterukan dan jenis masalah talasemia (talasemia alfa atau beta), mereka yang terbabit terpaksa menjalani terapi transfusi darah sekerap sebulan sekali bagi memenuhi kehendak sel badan untuk oksigen dan nutrisi. Tanpanya, individu terlibat akan mudah mendapat masalah tumbesaran, kecacatan pada bentuk tulang dan pembesaran organ hati dan limpa.

Namun, perlu diingatkan bahawa terapi tersebut bukanlah jalan penyelesaian definitif. Buat masa sekarang, tiada lagi rawatan yang dapat menyembuhkan masalah talasemia melainkan prosedur pemindahan sumsum tulang. Walau bagaimanapun prosedur tersebut dianggap radikal, mempunyai kadar mortaliti yang tinggi dan ia bergantung kepada jika terdapatnya penderma sumsum tulang yang ideal.

Mungkin anda berpendapat bahawa terapi transfusi darah adalah jalan penyelesaian yang paling ideal namun terapi tersebut mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. Beban lebih ferum (Iron overload) boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan seperti masalah jantung, kencing manis, masalah tiroid dan sebagainya. Ini berikutan proses patologikal beban lebih ferum yang akan menyebabkan pendepositan lebihan zat besi pada organ-organ lain yang menyebabkan kerosakan.

Cinta sebenar?

Walaupun tahap kesedaran berkenaan dengan penyakit ini agak rendah, terdapat beberapa individu yang mengambil tindakan drastik memutuskan hubungan mereka kerana kedua-duanya merupakan pembawa (carrier) kepada masalah talasemia. Kebanyakan garis panduan talasemia menyarankan mereka yang ingin berkahwin untuk melalui ujian saringan dan kaunseling bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik buat pasangan.

Namun, tidak mudah untuk membuat keputusan lebih-lebih lagi jika anda sudah komited terhadap perhubungan tersebut. Apabila dua pembawa talasemia berkahwin, mereka mempunyai risiko setinggi 25% untuk mendapat bayi yang mempunyai masalah talasemia. Ujian saringan pranatal dan kaunseling mempunyai peranan yang penting dalam menyediakan kedua pasangan bagi menerima anak yang mempunyai masalah talasemia.

Pengguguran (abortion) mempunyai isu etika yang kebiasaannya menjadi tabu dalam kepercayaan masyarakat setempat. Oleh sebab itu, pasangan yang ingin berkahwin, perlu membuat keputusan bagi memastikan anak mereka kelak mempunyai tahap kesihatan yang optimum. Bukan mudah untuk menjadi rasional apabila sesuatu keputusan itu melibatkan perasaan namun tahap kesanggupan pasangan kebiasaannya menjadi faktor pemisah.

Ingin saya tekankan di sini, tiada siapa yang bersalah jika hubungan itu terlerai disebabkan oleh ketidaksanggupan untuk mempunyai anak yang bermasalah talasemia. Perbincangan perlu dibuat dengan matang dan fikirkan kesannya terhadap semua pihak. Kepada mereka yang ingin meneruskan perkahwinan, jangan lupa untuk melalui ujian saringan talasemia setiap kali anda mengandung. Persediaan fizikal, mental dan kewangan boleh dibuat. Kedua-dua pasangan mesti komited dalam proses penjagaan bagi mereka yang bermasalah talasemia.

Tanya kepada pasangan anda berkenaan dengan penyakit genetik ini. Jika anda berdua tidak mengetahui status masing-masing, ambillah ujian genetik. Jika kedua-duanya adalah pembawa, buat temu janji untuk sesi kaunseling. Pastikan anda memahami dengan lebih dalam dan telah mengumpulkan maklumat sebanyak mungkin sebelum membuat keputusan. Jika anda ragu-ragu, berjumpalah dengan pakar bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Sumber: Hello Health