Keibubapaan

15 Kemahiran Anak Usia 5 Tahun yang Wajib Dikuasai Sebelum Masuk Sekolah, Penting!

Share

Apabila anak mencapai usia 5 tahun, inilah masa yang sesuai untuk ibu bapa mula mempersiapkan mereka dengan pelbagai kemahiran hidup sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persekolahan. Selain mengajar anak menulis dengan betul, terdapat banyak lagi kemahiran asas yang penting untuk dipelajari pada peringkat usia ini.

Menurut perkongsian Penulis Keibubapaan, Hanis Athirah Rusli, terdapat 15 kemahiran anak usia 5 tahun yang boleh mula diterapkan di rumah secara santai dan menyeronokkan.

Aktiviti yang sesuai dengan minat anak bukan sahaja membantu perkembangan akademik, malah membentuk keyakinan diri, kreativiti dan sahsiah mereka.

15 Kemahiran Anak Usia 5 Tahun yang Perlu Dipelajari

1. Literasi Asas

Mulakan dengan mengajar ABC, bunyi huruf (phonics) dan bacaan asas. Gunakan buku cerita bergambar yang menarik supaya anak lebih berminat untuk membaca sejak kecil.

2. Numerasi

Perkenalkan kemahiran mengira, tambah dan tolak yang mudah melalui permainan atau aktiviti harian.

3. Kemahiran Motor Halus

Aktiviti seperti mewarna, menggunting dan menekap bentuk membantu menguatkan koordinasi tangan dan mata.

4. Kemahiran Hidup

Ajar anak memakai pakaian sendiri, mengemas permainan serta membantu menyediakan snek ringkas di rumah mengikut kemampuan mereka.

5. Eksplorasi dan Kreativiti

Galakkan anak meneroka alam semula jadi, menghasilkan kraftangan dan bermain secara imaginatif bagi merangsang kreativiti.

6. Kemahiran Sosial

Bawa anak ke taman permainan atau playgroup supaya mereka belajar berinteraksi, berkongsi dan bekerjasama dengan rakan sebaya.

7. Kemahiran Motor Kasar

Aktiviti seperti berlari, melompat, memanjat dan bermain di luar rumah membantu perkembangan fizikal yang sihat.

8. Bahasa Kedua

Perkenalkan frasa mudah dalam bahasa kedua melalui lagu, permainan atau perbualan harian.

9. Perkembangan Emosi

Bantu anak mengenali pelbagai emosi dan ajarkan cara mengawal perasaan dengan baik apabila berhadapan sesuatu situasi.

10. Kemahiran Berfikir

Gunakan puzzle, permainan logik dan aktiviti penyelesaian masalah untuk merangsang pemikiran kritis.

11. Kemahiran Praktikal

Libatkan anak dalam tugasan rumah yang mudah seperti menyapu, mengelap meja atau mengemas bilik sendiri.

12. Muzik dan Pergerakan

Nyanyian, tarian dan permainan berirama membantu perkembangan koordinasi serta memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.

13. Asas Agama Islam

Ajar doa-doa harian seperti doa makan dan doa tidur, selain memperkenalkan asas ibadah seperti wuduk dan solat mengikut kemampuan anak.

14. Cerita dan Kisah Nabi

Bacakan kisah para nabi serta cerita teladan untuk memupuk akhlak mulia dan nilai murni sejak kecil.

15. Kreativiti Melalui Permainan

Galakkan permainan role-play seperti menjadi doktor, guru atau ahli bomba untuk meningkatkan imaginasi serta kefahaman sosial mereka.

Mengapa Kemahiran Anak Usia 5 Tahun Sangat Penting?

Kemahiran anak usia 5 tahun bukan sekadar membantu mereka bersedia menghadapi sesi persekolahan, malah membentuk asas perkembangan menyeluruh dari aspek intelek, emosi, fizikal, sosial dan rohani. Anak yang didedahkan kepada pelbagai pengalaman pembelajaran sejak awal lazimnya lebih yakin untuk berdikari serta mudah menyesuaikan diri apabila memasuki alam sekolah.

Yang paling penting, pastikan proses pembelajaran berlaku dalam suasana yang menyeronokkan tanpa paksaan. Setiap anak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza, jadi berikan ruang kepada mereka untuk belajar mengikut rentak sendiri.

Belajar bukan semata-mata untuk kecemerlangan akademik. Sebaliknya, ia juga bertujuan membina kreativiti, kemahiran hidup, keyakinan diri serta pemahaman agama agar anak membesar menjadi individu yang seimbang.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Youtube Pa&Ma

Published by
SRM